Cari Entri WADi

Sabtu, 30 Julai 2011

Mengenal Otak, Akal dan Fikiran Ciptaan Allah


 

Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah Tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Selawat dan salam keatas baginda s.a.w. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberik annya petunjuk.

Otak, akal dan fikiran adalah suatu nikmat dan anugerah Allah s.w.t kepada manusia. Seringkali ketiga-tiga kurniaan ini diaggap sama namun hakikatnya ia otak, akal dan fikiran adalah suatu yang berlainan tetapi saling berkaitan. Otak ialah ciptaan Allah yang bersifat konkrit dan kelihatan. Bagi yang belajar subjek biologi tentu biasa mendengar teori Roger Sperry yang menyatakan otak terbahagi kepada dua bahagian iaitu kiri dan kanan. Kedua bahagian ini mempunyai daya fikiran yang berbeza. Bahagian otak kanan membolehkan kita berfikir dengan kreatif dan imaginasi sebaliknya bahagian kiri otak membolehkan kita berfikir dengan logik dan analisis.

Akal pula adalah suatu ciptaan Allah yang unik. Tidak seperti otak, ia bersifat abstrak atau tidak kelihatan. Ia wujud namun tidak kelihatan. Jika anda melihat pembedahan otak, yang akan kelihatan hanyalah otak bukan akal. Akal ialah anugerah yang besar dari Allah kepada kita semua. Dengan akal darjat kita ditinggikan berbanding makhluk Allah yang lain seperti tumbuhan dan binatang. Dengan adanya otak dan akal barulah fikiran boleh dihasilkan.


Perumpamaan otak dan akal adalah umpama hardware dan software dalam komputer. Kita andaikan otak kita adalah hardware manakala akal ialah software. Kedua-dua unsur ini perlu digabungkan untuk berfungsi dengan baik. Seperti yang kita tahu, setiap hardware memerlukan software untuk berfungsi manakala tanpa hardware pula, software tidak dapat digunakan. Mustahil untuk menggunakan komputer tanpa software dan mustahil untuk menggunakan software tanpa adanya komputer.

Begitulah juga hubungkait antara otak dan akal manusia. Tanpa wujudnya otak, akal tidak dapat digunakan dan tanpa akal pula, mustahil otak dapat digunakan. Jika kedua-dua otak dan akal digunakan maka akan wujudlah fikiran. Dengan wujudnya fikiran maka manusia boleh berfikir. Fikiran pula wujudnya dalam dua keadaan iaitu fikiran keadaan sedar dan fikiran bawah sedar. Dari sudut ilmiah, fikiran sedar digunakan dalam empat tahap iaitu mengenal pasti maklumat, membuat perbandingan, menganalisis dan membuat keputusan terhadap sesuatu maklumat.

Maklumat dikenalpasti dengan menggunakan pancaindera kurniakan Allah s.w.t iaitu bau, sentuhan, penglihatan, pendengaran dan perasaan/rasa). Perbandingan dilakukan dengan merujuk kepada bahan dan pengalaman setiap manusia seterusnya dianalisis sebelum fikiran memutuskan sesebuah maklumat itu. Sungguh hebat ciptaan Allah, hanya beberapa saat sahaja otak kita mampu memproses dan menerima berjuta-juta maklumat. Subhanallah. Firman Allah s.w.t:

Yang telah menciptakanmu, lalu menyempurnakan kejadianmu dan menjadikan (susunan tubuhmu) seimbang, dalam bentuk apa yang dikehendaki, Dia menyusun tubuhmu. (Al-Infitar:7-8)

Minda bawah sedar pula adalah suatu keadaan dimana manusia berfikir diluar tahap kesedarannya. Mengikut teori pakar hipnosis, Milton Erickson, kemampuan berfikir di tahap bawah sedar adalah jauh lebih tinggi daripada fikiran sedar. Beliau menisbahkan kemampuan berfikir bawah sedar adalah sembilan kali ganda lebih tinggi daripada kemampuan fikiran sedar. Kadang-kala kita merasakan sesuatu memori itu telah dilupakan namun pada suatu ketika kita dapat mengingatinya kembali tanpa menyedari memori itu tersimpan di dalam otak. Maka ketika itu lah fikiran bawah sedar akan keluar dan digunakan.

Sesungguhnya rahsia ilmu Allah itu sangat luas dan hakikat yang sebenar hanya Allah yang mengetahui. Merenung penciptaan tiga anugerah Allah bernama otak, akal dan fikiran ini akan membuatkan kita berasa kerdil nya diri kita. Biarpun kita digelar manusia terpintar didunia ini, adalah mustahil bagi kita untuk mencipta tiga makhluk ciptaan Allah ini. Moga kita menggunakannya ke arah kebaikan dan diredha Allah. Syukur Alhamdulillah.

Jumaat, 29 Julai 2011

Syarat Wajib Puasa, Syarat Sah Puasa Dan Perkara Yang Berkait Dengannya

السلام عليكم 




Ramadhan sememangnya bulan yang sedia maklum bagi umat Islam untuk menunaikan kefardhuan ibadah puasa sebagaimana yang telah diperintahkan Allah subhanahu wa ta'ala. Ibadah yang ingin dilakukan hendaklah berlandaskan kefahaman dan ilmu yang jelas dan benar supaya ia diterima dan dapat dikerjakan dengan sempurna sesuai dengan kemampuan yang ada pada diri masing-masing. Antara perkara terawal dan yang penting bagi umat Islam sebelum menunaikan ibadah ini adalah dengan mengetahui syarat-syarat yang terkandung dalam perlaksanaan ibadah puasa ini. Syarat yang akan disentuh ialah syarat wajib dan syarat sah berpuasa. Syarat-syarat ini tampak seakan sama namun hakikatnya ia adalah berbeza namun saling berkait rapat antara satu engan yang lain. 


Syarat Wajib Puasa

Syarat wajibnya puasa iaitu: 

1. Islam. Disyariatkan berpuasa kepada mereka yang memeluk agama Islam dan tidak disyariatkan ibadah ini kepada kaum kafir.

2. Berakal. Ibadah puasa juga dituntut kepada mereka yang berakal dan yang waras dalam berfikir sebagai seorang manusia. Taklifan puasa ini tidak jatuh kepada mereka yang hilang kewarasan akal, gila, tidak sedarkan diri (koma) dan yang setara dengannya.

3.Baligh. Puasa diwajibkan ke atas mereka yang telah mencapai usia baligh disisi syarak. Tanda baligh adalah: 

(a) Ihtilam, yaitu keluarnya mani dalam keadaan sadar atau saat mimpi;
(b) Tumbuhnya bulu kemaluan; atau
(c) Dua tanda yang khusus pada wanita adalah haid dan hamil. ( Al-Mawsua’ah Al Fiqhiyah).

Sebahagian fuqaha menyatakan bahwa diperintahkan bagi anak yang sudah mencapai usia tujuh tahun untuk berpuasa jika ia mampu sebagaimana mereka diperintahkan untuk solat. Jika ia sudah berusia 10 tahun dan meninggalkannya padahal mampu, maka dibenarkan untuk memukulnya untuk tujuan mendidik dengan pukulan yang dibenarkan disisi Islam. ( Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah)


Syarat Wajibnya Penunaian Puasa

Syarat wajib penunaian puasa, artinya ketika ia mendapati waktu tertentu, maka ia dikenakan kewajiban puasa. Syarat yang dimaksud adalah sebagai berikut.

1. Sihat, tidak dalam keadaan sakit yang boleh medatangkan bebanan kepada diri untuk berpuasa.

2. Menetap/ bermukim, tidak dalam keadaan bersafar/musafir. Dalil kedua syarat ini adalah firman Allah Ta’ala,


وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

“Dan barangsiapa yang dalam keadaan sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain” ( Al-Baqarah: 185).

 Kedua syarat ini termasuk dalam syarat wajib penunaian puasa dan bukan syarat sahnya puasa dan bukan syarat wajibnya qadha/ ganti puasa. Ini kerana syarat wajib berpuasa di sini gugur pada orang yang sakit dan orang yang bersafar/ bermusafir. Ketika mereka tidak berpuasa saat itu, barulah mereka qadha/ ganti berdasarkan kesepakatan para ulama. Namun jika mereka tetap berpuasa dalam keadaan demikian, puasa mereka tetap sah.

3. Suci dari haid dan nifas bagi wanita. Dalilnya adalah hadith dari Mu’adzah, ia pernah bertanya pada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha: 


عَنْ مُعَاذَةَ قَالَتْ سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلْتُ مَا بَالُ الْحَائِضِ تَقْضِى الصَّوْمَ وَلاَ تَقْضِى الصَّلاَةَ فَقَالَتْ أَحَرُورِيَّةٌ أَنْتِ قُلْتُ لَسْتُ بِحَرُورِيَّةٍ وَلَكِنِّى أَسْأَلُ. قَالَتْ كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ.

Dari Mu'adzah dia berkata, "Saya bertanya kepada Aisyah seraya berkata, 'Kenapa gerangan wanita yang haid mengqadha' puasa dan tidak mengqadha' shalat?' Maka Aisyah menjawab, 'Apakah kamu dari golongan Haruriyah? ' Aku menjawab, 'Aku bukan Haruriyah, akan tetapi aku hanya bertanya.' Dia menjawab, 'Kami dahulu juga mengalami haid, maka kami diperintahkan untuk mengqadha' puasa dan tidak diperintahkan untuk mengqadha' shalat'". (Riwayat Muslim no.335) 

Berdasarkan kesepakatan para ulama pula, wanita yang dalam keadaan haidh dan nifas tidak wajib puasa dan wajib mengqodho’ puasanya. ( Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah)


Syarat Sahnya Puasa

Syarat sahnya puasa ada dua, iaitu: 

(1) Dalam keadaan suci dari haidh dan nifas. Syarat ini adalah syarat dikenakan kewajiban puasa dan sekaligus syarat sahnya puasa.

(2) Berniat. Niat merupakan syarat sah puasa karena puasa adalah ibadah sedangkan ibadah tidaklah sah kecuali dengan niat sebagaimana ibadah yang lain. Dalil dari hal ini adalah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, daripada Umar al-Khattab: 


إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ

“Sesungguhnya setiap amal itu tergantung dari niatnya.”(Riwayat Bukhari no. 1 dan Muslim no. 1907)

Niat puasa ini harus dilakukan untuk membezakan dengan menahan lapar dahaga dan sebagainya. Menahan lapar boleh jadi hanya sekadar fitrah atau kebiasaan bagi manusia yang berpuasa, dalam rangka diet, atau disebabkan sakit sehingga harus dibezakan dengan puasa yang merupakan ibadah. ( Sahih Fiqh Sunnah, 2/ 97 dan Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah)

Namun, para pembaca sekalian perlu ketahui bahwasanya niat tersebut bukanlah diucapkan (dilafazkan). Karena yang dimaksud niat adalah kehendak untuk melakukan sesuatu dan niat letaknya di hati. Niat tidak perlu dilafazkan dengan “nawaitu shouma ghodin ...”. Jika seseorang makan sahur, pasti ia sudah niat dalam hatinya bahwa ia akan puasa. Sesungguhnya agama Islam tidak mempersulit umatnya.

Semoga Allah merahmati An Nawawi rahimahullah ,ulama besar dalam Syafi’iyah yang mengatakan,


لَا يَصِحُّ الصَّوْمَ إِلَّا بِالنِّيَّةِ وَمَحَلُّهَا القَلْبُ وَلَا يُشْتَرَطُ النُّطْقُ بِلاَ خِلَافٍ

“Tidaklah sah puasa seseorang kecuali dengan niat. Letak niat adalah dalam hati, tidak disyaratkan untuk diucapkan. Masalah ini tidak ada perselisihan di antara para ulama.”( Rawdhatuth Tholibin, 1/268.)


Ulama Syafi’iyah lainnya, As-Syarbini rahimahullah mengatakan,

وَمَحَلُّهَا الْقَلْبُ ، وَلَا تَكْفِي بِاللِّسَانِ قَطْعًا ، وَلَا يُشْتَرَطُ التَّلَفُّظُ بِهَا قَطْعًا كَمَا قَالَهُ فِي الرَّوْضَةِ

Niat letaknya dalam hati dan tidak perlu sama sekali dilafazhkan. Niat sama sekali tidak disyaratkan untuk dilafazkan sebagaimana ditegaskan oleh An-Nawawi dalam Ar-Roudhah.”(Mughni al-Muhtaj, 1/620.)


Syaikhul Islam Ibn Taimiyah rahimahullah mengatakan,


وَالنِّيَّةُ مَحَلُّهَا الْقَلْبُ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ ؛ فَإِنْ نَوَى بِقَلْبِهِ وَلَمْ يَتَكَلَّمْ بِلِسَانِهِ أَجْزَأَتْهُ النِّيَّةُ بِاتِّفَاقِهِمْ

“Niat itu letaknya di hati berdasarkan kesepakatan ulama. Jika seseorang berniat di hatinya tanpa ia lafazkan dengan lisannya, maka niatnya sudah dianggap sah berdasarkan kesepakatan para ulama.”( Majmu’ Al-Fatawa, 18/262.)

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah menjelaskan pula, “Siapa saja yang menginginkan melakukan sesuatu, maka secara pasti ia telah berniat. Semisal di hadapannya dihidangkan makanan, lalu ia teringin untuk makan, maka ketika itu pasti ia telah berniat. Demikian ketika ia ingin menaiki kenderaan atau melakukan perbuatan lainnya. Bahkan jika seseorang dibebani suatu amalan lantas dikatakan tidak berniat, maka sungguh ini adalah pembebanan yang mustahil dilakukan. Karena setiap orang yang hendak melakukan suatu amalan yang disyariatkan atau tidak disyariatkan pasti ilmunya telah mendahuluinya dalam hatinya, inilah yang namanya niat.”( Majmu’ Al-Fatawa, 18/262.)


Wajib Berniat Sebelum Fajar (Subuh)

Dalilnya adalah hadith dari Ibn Umar radhiallahu ‘anhuma dari Hafshah –istri Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:


مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ

“Barangsiapa siapa yang tidak berniat sebelum fajar, maka puasanya tidak sah. (Riwayat Abu Daud no. 2454, Tirmidzi no. 730, dan Nasa’i no. 2333.)



Nota: Asy Syaukani rahimahullah mengatakan, “Riwayat yang menyatakan bahwa hadits ini mauquf (hanya perkataan sahabat) tidak menafikan riwayat di atas. Karena riwayat marfu’ adalah ziyadah (tambahan) yang bisa diterima sebagaimana dikatakan oleh ahli ilmu usul dan ahli hadith. Pendapat seperti ini pun dipilih oleh sekelompok ulama, namun diselisihi oleh yang lainnya. Ulama yang menyelisihi tersebut berdalil tanpa hujah yang kuat” (Ar-Roudhotun Nadiyah, hal. 323).
Syaikh Al -Albani mengatakan bahwa hadith ini saahih dalam Irwaul Gholil 914 (4/26).
Syarat ini adalah syarat puasa wajib menurut ulama Malikiyah, Syafi’iyah dan Hambali. Yang dimaksud dengan berniat di setiap malam adalah mulai dari tenggelam matahari hingga terbit fajar.( Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah)

Adapun dalam puasa sunnah boleh berniat setelah terbit fajar menurut mayoritas ulama. Hal ini dapat dilihat dari perbuatan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam. Dalil masalah ini adalah hadith ‘Aisyah berikut ini. ‘Aisyah berkata,

دَخَلَ عَلَىَّ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- ذَاتَ يَوْمٍ فَقَالَ « هَلْ عِنْدَكُمْ شَىْءٌ ». فَقُلْنَا لاَ. قَالَ « فَإِنِّى إِذًا صَائِمٌ ». ثُمَّ أَتَانَا يَوْمًا آخَرَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أُهْدِىَ لَنَا حَيْسٌ. فَقَالَ « أَرِينِيهِ فَلَقَدْ أَصْبَحْتُ صَائِمًا ». فَأَكَلَ.

“Pada suatu hari, Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam menemuiku dan bertanya, "Apakah kamu mempunyai makanan?" Kami menjawab, "Tidak ada." Beliau berkata, "Kalau begitu, saya akan berpuasa." Kemudian beliau datang lagi pada hari yang lain dan kami berkata, "Wahai Rasulullah, kita telah diberi hadiah berupa Hais (makanan yang terbuat dari kurma, samin dan keju)." Maka beliau pun berkata, "Bawalah kemari, sesungguhnya dari tadi pagi tadi aku berpuasa."(Riwayat Muslim no. 1154)

An Nawawi rahimahullah mengatakan, “Ini adalah dalil bagi majoriti ulama, iaitu boleh berniat di siang hari sebelum waktu zawal (matahari bergeser ke barat) pada puasa sunnah.”(Al-Minhaj Syarh Shahih Muslim, 8/35.)

Di sini disyaratkan bolehnya niat di siang hari yaitu sebelum niat belum melakukan pembatal puasa. Jika ia sudah melakukan pembatal sebelum niat (di siang hari), maka puasanya tidak sah. Hal ini tidak ada perselisihan di dalamnya.( Kasyaful Qona’ ‘an Matn Al Iqna’, 6/32.)

Niat ini harus diperbaharui setiap harinya. Karena puasa setiap hari di bulan Ramadhan masing-masing hari berdiri sendiri, tidak berkaitan satu dan lainnya, dan tidak pula puasa di satu hari merusak puasa hari lainnya. Hal ini berbeda dengan raka’at dalam solat.( Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah)

Niat puasa Ramadhan harus ditegaskan (jazm) bahwa akan berniat puasa Ramadhan. Jadi, tidak boleh seseorang berniat dalam keadaan ragu-ragu, semisal ia katakan, “Jika besok tanggal 1 Ramadhan, berarti saya tunaikan puasa wajib. Jika bukan 1 Ramadhan, saya niatkan puasa sunnah”. Niat semacam ini tidak dibolehkan karena ia tidak menegaskan niat puasanya.( Inilah pendapat ulama Syafi’iyah dan Hanabilah. Lihat Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah, 2/9918)
Niat itu pun harus dikhususkan (dita’yin) untuk puasa Ramadhan saja tidak boleh untuk puasa lainnya.(Ini pendapat jumhur ulama'. Lihat Al Mawsu’ah Al Fiqhiyah, 2/9918.)


Rukun Puasa

Berdasarkan kesepakatan para ulama, rukun puasa adalah menahan diri dari berbagai pembatal puasa mulai dari terbit fajar (yaitu fajar sodiq) hingga terbenamnya matahari. Hal ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:


وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

“Dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam.” (Al-Baqarah: 187).

Yang dimaksud dari ayat adalah, terangnya siang dan gelapnya malam dan bukan yang dimaksud secara hakiki. Ini berdasarkan riwayat dari ‘Adi bin Hatim ketika turun surat Al Baqarah ayat 187, Nabi saallallahu ‘alaihi wa sallam berkata padanya,


إِنَّمَا ذَاكَ بَيَاضُ النَّهَارِ مِنْ سَوَادِ اللَّيْلِ

“Yang dimaksud adalah terangnya siang dari gelapnya malam”(Riwayat Tirmizi no. 2970, beliau mengatakan bahwa hadits ini hasan shahih.).

Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam mengatakan seperti itu pada ‘Adi bin Hatim karena sebelumnya ia mengambil dua benang hitam dan putih. Lalu ia menanti bilakah muncul benang putih dari benang hitam, namun ternyata tidak kelihatan. Lantas ia menceritakan hal tersebut pada Rasulullahshallallahu ‘alaihi wa sallam, kemudian beliau pun menertawai kelakukan ‘Adi bin Hatim.(Riwayat Ahmad, 4/377. Shahih sebagaimana dikatakan oleh Syaikh Syu’aib Al Arnauth)


والله أعلم بالصواب

Khamis, 28 Julai 2011

Cara Menentukan Awal Ramadhan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua saudaraku muslimin dan muslimat di luar sana. Semoga semua dalam keredhaan Allah s.w.t. Seperti yang telah saya katakan sebelum ini, sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak, saya akan melebihkan penulisan entri berkaitan Ramdhan. Moga usaha yang sedikit ini dapat sama-sama kita ambil manfaat dan sebarkan kepada semua di luar sana. InsyaAllah. Kali ini saya ingin kongsikan cara untuk kita menentukan ketibaan Ramadhan. 

1. Kaedah Genap 30 Syaaban
2. Kaedah Melihat anak bulan
3. Khabar mutawatir yang daruri
4. Sangkaan datangnya ramadhan melalui ijtihad dan yakin

Dua kaedah yang mudah dan sering digunapakai ialah dengan genapnya 30 hari bulan Syaaban sekalipun langit pada petang 30 syaaban itu ghubar (mendung). Kaedah kedua adalah dengan melihat anak bulan oleh lelaki yang adil selepas terbenam matahari pada malam yang ke 30 bulan Syaaban. Apabila anak bulan kelihatan pada ketika itu, maka jadilah malam itu malam 1 Ramadhan (satu Ramadhan). Tidak ditemukan nas untuk melihat anak bulan melalui teropong dan seumpamanya. Rasulullah s.a.w bersabda :

"Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu dengan melihat anak bulan. Maka jika terlindung ke atas kamu (anak bulan) maka sempurnakanlah olehmu bilangan Syaaban tiga puluh hari" (riwayat Bukhari)


Selain daripada dua kaedah atau metod yang saya katakan tadi, kita juga boleh menentukan ramadhan dengan khabar yang mutawatir pada melihat anak bulan kerana khabar yang mutawatir itu memberi kita faedah kepada ilmu daruri iaitu maklumat yang diyakini. Mudahnya macam ini, tidak semua yang akan melihat anak bulan. Selepas ada pihak yang melihat anak bulan dan pengumuman telah disampaikan ke seluruh negara. Maka orang yang mendengar nya pasti yakin dan akan puasa pada tarikh yang dikhabarkan. Maka itulah yang dimaksudkan dengan Khabar yang mutawatir dan ilmu daruri (diyakini). _ rujuk Sabil Al Muhtadin bagi yang pernah belajar. 

Kaedah terakhir adalah sangkaan masuknya Bulan Ramadhan. Ia dilakukan dengan ijtihad bagi orang yang baru memeluk Islam, orang sesat atau orang yang dalam tawanan. Ia dilakukan bukanlah dengan membuat sangkaan membuta tuli tetapi dengan terdapat tanda-tanda yang nyata/ jelas. Contoh seperti dengar orang main meriam, ternampak cahaya pelita, terdengar bunyi orang tarawikh, dan sebagainya. 

walllahua'lam. 

take a note yer..insyaAllah

- Amal Dengan Ilmu -

WADi




Isnin, 25 Julai 2011

Kewajiban Puasa Di Bulan Ramadhan


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat sekalian pembaca yang dihormati sekalian. Bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak semakin hampir dengan kita. tidak berapa lama lagi kita semua, umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa. Sempena dengan Bulan Ramadhan ini, WADi akan postkan lebih artikel berkaitan Ramadhan sepanjang bulan mulia itu. Adapun entri genre lain insyaAllah akan diselitkan juga namun mungkin entri berkaitan Ramadhan ini lebih bilangannya, insyaAllah.

Kali ini saya ingin berkongsi tentang kewajiban puasa kepada seluruh Umat Islam di Bulan Ramadhan. Firman Allah s.w.t :

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa,. (iaitu) beberapa hari tertentu. Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasamu itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang didalamnya diturunkan Al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda ( antara yang benar dan batil). Kerana itu barang siapa diantara kamu ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantikannya), sebanyak hari yang ditinggalkan itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dengan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur" (Al-Baqarah:183-85)

Pentingnya puasa bagi umat Islam hingga ditekankan dalam Al-Quran malah berpuasa juga adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima. Dari Ibnu Umar r.a dia berkata Rasulullah s.a.w bersabda:

"Islam itu dibangunkan di atas lima dasar (asas)" pertama, kesaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah dengan benar selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah Rasulullah,(2) mendirikan solat, (3) menunaikan zakat, (4) berpuasa di bulan ramadhan, dan (5) mengerjakan Haji di Baitullah."

Semua ulama bersepakat bahawa Puasa di bulan ramadhan adalah wajib. Tiada sebarang keraguan mengenainya lagi. Jadi kita jangan cuba-cuba menyangkal rukun islam yang ke 4 ini. Bimbang murtad tanpa kita sedar. Patuhlah perintahNya dan marilah berpuasa. insyaAllah


- Amal dengan Ilmu -

WADi

Sabtu, 23 Julai 2011

Nabi Nuh a.s


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi sekalian.

Entri kali ini adalah sambungan daripada entri sirah yang lalu. Agak lama saya tidak membuat entri sirah, mungkin  saya tidak perasan, jadi kali ini saya terpanggil untuk berkongsi sebuah kisah Nabi Allah Nuh a.s. Bagi yang ingin membaca kisah sirah sebelumnya sila ke 

Baiklah, sekali lagi saya tekankan bahawa entri sirah saya hanyalah ringkasan sirah sahaja. Anda boleh merujuk sirah lengkap dengan membaca Buku sirah pelbagai  versi dan terbitan di pasaran. InsyaAllah.

Asal usul Keturunan Nabi Nuh a.s

Nabi Nuh a.s adalah dari keturunan yang ke 10 daripada Nabi Adam a.s. Baginda adalah Nabi dan Rasul bagi penduduk di negeri Armenia yang ingkar kepada baginda walaupun dakwahnya telah mencecah beratus tahun lamanya. Adapun yang menyahut seruan baginda itu amat sikit bilangan nya dan mereka terdiri daripada golongan miskin dan orang bawahan.

Nabi Nuh a.s yang juga nabi Ulul Azmi ternyata mempunya kesabaran yang luar biasa. Meskipun diejek, dihina dan dituduh pendusta oleh kaumnya, baginda tetap menyeru mereka ke arah seruan Ilahi dengan penuh kesabaran. Kaum baginda ternyata ingkar meskipun telah diberi ingatan oleh baginda tentang azab dan seksaan Allah bagi mereka yang mungkar. Keangkuhan mereka terserlah apabila mereka dengan sombongnya mencabar Nabi Nuh agar diturunkan azab sebagaimana yang dikatakan oleh baginda.

foto Lakaran Bahtera Nabi Nuh
ilustrasi bahtera Nabi Nuh a.s

Bahtera Binaan Nabi Nuh a.s

Pada suatu hari, Allah memerintahkan Nabi Nuh a.s membina sebuah bahtera yang besar. Dengan taat baginda dan beberapa pengikutnya mengumpul bahan-bahan dan memulakan pembinaan bahtera tersebut. Pembinaan tersebut dilakukan jauh dari kaum baginda yang ingkar dan mereka bertungkus-lumus siang dan malamuntuk menyiapkan bahtera itu. 

Apabila berita mengenai bahtera itu sampai kepada kaum baginda yang ingkar, mereka pantas mengejek dan menghina baginda dan pengikutnya dengan pelbagai hinaan, ceraan dan cemuhan. Ada yang mentertawakan baginda kerana membina bahtera jauh dari pantai. Ada juga yang mengejek baginda sudah berhenti menjadi nabi Allah dan berubah menjadi tukang kayu. Kesabaran tetap menghiasi baginda dan pengikut yang taat. Mereka tetap meneruskan pembinaan bahtera itu sebaik mungkin. Allah s.w.t memerintahkan baginda untuk membawa sepasang bagi setiap jenis binatang. Jantan dan betina. 

Turunnya Banjir Besar Dari Allah

Pada suatu hari hujan turun dengan lebatnya dan air naik dengan cepat sekali hingga berlakunya banjir. Ribut taufan melanda negeri tersebut sepanjang hujan lebat yang tidak berhenti-henti. Seluruh kota dan desa sama ada yang rendah ataupun tinggi habis ditenggelami air. Semuanya musnah hingga air menenggelami bukit bukau yang ada. Anda boleh membayangkan bagaimana dalamnya sehingga melebihi aras ketinggian bukit. 

Semua penduduk di negeri itu dihanyutkan dengan arus yang deras lagi mengerikan. Salah seorang dari mereka ialah anak lelaki Nabi Nuh a.s sendiri bernama Kan'an. Biarpun ayahnya adalah Nabi Allah namun Kan'an tetap ingkar terhadap seruan ayahnya Nabi Nuh a.s. Sebagai seorang ayah sudah pasti akan timbul rasa kasihan terhadap anak kandungnya sendiri. Baginda cuba menyelamatkan anaknya dan melaung kepadanya supaya bertaubat dan menaiki bahtera itu.

Kesan batera baginda di Bukit Judi

 Dalam keadaan seperti itu, anaknya tetap ingkar malah Kan'an mengatakan dia boleh berenang ke bukit yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri. Bayangkanlah betapa angkuhnya Kan'an. Akhirnya, Kan'an ditenggelamkan bersama-sama dengan mereka yang ingkar. Baginda berasa amat sedih lantas mengadu kepada Allah. Allah menjawab kepada baginda supaya jangan bersedih kerana Kan'an bukanlah termasuk dari keluarga baginda tetapi dia termasuk orang yang ingkar kepada Allah s.w.t.

Nabi Nuh Terselamat Dari Banjir Besar

Setelah semua yang ingkar itu tenggelam dalam banjir yang dahsyat itu, tiba-tiba air pun mula beransur surut dan meresap ke bumi. Pada ketika itu bahtera baginda berada di atas sebuah bukit bernama Bukit Judi. Terdamparlah bahtera Nabi Nuh a.s. di atas Bukit Judi. Turunlah baginda dan pengikut yang beriman bersama-sama dengan haiwan yang dibawa. Mereka memulakan hidup yang baru dan baginda meneruskan dakwahnya hingga ke akhir hayatnya. Dikatakan baginda hidup sehingga 950 tahun.

Marilah sama-sama kita mengambil pengajaran dari kisah ini. Jangan melampaui batas dan jangan pula mencabar Allah. Sungguh azab Allah itu benar dan sungguh azabnya amat pedih. Moga kita semua sentiasa tergolong dalam hambaNya yang mendapat taufik dan hidayah serta redha dari Allah s.w.t. InsyaAllah


- Amal Dengan Ilmu -


WADi



Jumaat, 22 Julai 2011

10 Sifat Tauladan Dari Anjing



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua. Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Entri kali ini saya ingin kongsikan kepada semua perihal kisah mulia yang boleh kita contohi dari seekor anjing. Kita sering merasakan anjing adalah haiwan yang kotor kerana telah tersebut akan hakikat najisnya ia dalam syara'. Namun begitu terdapat sifat mulia yang ada pada anjing yang ramai daripada kita tidak tahu. Sesudah anda membaca entri ini, mungkin anda boleh berfikir dan mengambil ibrah (pengajaran) daripadanya. Mungkin juga sifat pada anjing ini lebih baik dari kita sebagai seorang Muslim. ! Anda tidak akan mempercayainya sehingga anda membaca nukilan ini. Sungguh wahai saudaraku, tidaklah Allah menciptakan sesuatu makhluk melainkan tiada suatu pun yang sia-sia dan ia menjadi pelajaran buat mereka yang berfikir.


Kisah ini diceritakan dari Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahwa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama : Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh dimana mereka tidak berada dalam keadaan terlalu kenyang. Malah sering pula berpuasa.

Kedua :Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap.Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya. Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakkal kepada Allah. Sering berhijrah ke tempat atau arah yang lebih baik baginya dan Rabbnya.

Ketiga :Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja.Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah. Di saat orang dibuai mimpi indah, dia bangun bersengkakng mata bermunajat dan mencari redha Khaliq.

Keempat : Jika anjing mati,dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Tidak terikat dengan kesenangan dunia. Apa yang ada digukan dengan sederhana. Tidak pernah tergila-gilakan mencari harta dunia seperti kita semua.

Kelima :Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. idak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian. Sabar itu menjadi tunjang atau tulang belakang dirinya.

Keenam :Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah,tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong. Tidak berharap kepada kemewahan semata-mata, tidak pula mencela dengan kemiskinan dan kesusahan.

Ketujuh :Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan :Jika ia dipukul,dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan,dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan :Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu.Jika diberi makan atau tidak diberi,dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t. Bersyukur apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

Kesepuluh :Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah. Tidak terikat dengan kesenangan, dan tidak pula memandang tinggi pada kesenangan duniawi.


Bagaimana dengan kita 
semua wahai saudaraku?
Fitrahnya kita adalah khalifah ..
di muka bumi Allah
Namun adakah sifat mulia 
pada makhluk Allah
bernama Anjing ini
dimiliki oleh kita???
fikirlah sejenak, dan ambil lah pelajaran
buat orang-orang yang berfikir..



- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Khamis, 21 Julai 2011

Menangislah Wahai Saudaraku



Menangislah Wahai Saudaraku…


Tangisan adalah suatu fitrah bagi setiap makhluk bergelar manusia. Sejak dari awal kelahirannya, hinggalah ke akhir hayat setiap manusia, pasti tangisan akan menghiasi kamar hidupnya. Banyak punca yang menyebabkan air mata berlinangan namun berapa ramaikah dari kita yang tangisnya adalah kerana takutnya ia akan Allah s.w.t?. Berapa ramaikah dari kita yang menangis akibat menghitung setiap inci dosa dan noda yang telah kita lakukan?.

Wahai saudaraku, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t

Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman (Surah Al-Imran : 175)

Wahai saudaraku yang kukasihi, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janjiNya yang berbunyi

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga (Surah Ar-Rahman : 46)

Seorang khalifah yang agung dimuka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratapi akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah s.a.w, para sahabat r.a, para tabi’in dan tabi’tabi’in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah.

Rasulullah s.a.w sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda “ Apakah yang sedang mereka lakukan?”.

Salah seorang dari sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia.” Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah s.a.w menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).”Bagitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?.  

Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita didalam syurgaNya dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran.

Ubay bin Ka’ab berkata, “kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut kepada seksaNya. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya”. Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada siksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin.

Hisaplah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita?. Bilakah kali terakhir pipi dibasahkan dengan linangan air mata keinsafan?. Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa.


Menangislah, Wahai Saudaraku…

Rabu, 20 Julai 2011

Dijilat Kucing, Batalkah Solat??


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca WADi walau dimana anda berada. Alhamdulillah masih diberikan peluang oleh Nya untuk saya menulis di laman kecil ini. Agak lama saya tidak menulis entri, saya mohon maaf kepada semua. Ada beberapa perkara yang perlu saya uruskan hingga saya tidak punya banyak waktu untuk bersama di laman WADi ini. Baiklah, entri kali ini mengenai sah atau tidak solat jika kita dijilat kucing? atau kucing bergesel-gesel manja di kaki ketika solat.

Anda semua mungkin pernah mengalami situasi seperti diatas. Saya pun pernah kerana dirumah saya terdapat beberapa ekor kucing. Situasi seperti ini mungkin tidak asing bagi mereka yang memlihara kucing dirumah. Sedang kita solat kadangkala tanpa sedar si kucing akan bergesel manja bahkan mungkin menjilat-jilat kaki anda. Jika mereka yang kurang arif, pasti kucing tersebut disepaknya atau diperlakukan dengan kasar. Namun bagi yang arif dan mengetahui, mereka akan meneruskan solat mereka dengan baik dan seperti biasa. Mengapa?

Ini kerana kucing bukanlah haiwan yang berstatus najis. Jika ia bergesel dikaki anda, maka solata anda tidaklah batal. Jika ia menjilat-jilat kaki anda, pun tidak batal solat anda. Perihal mengenai kucing ini telah disebut dalam hadis berikut :




"Kucing bukan najis, ia termasuk hewan jinak yang berada di sekeliling kamu." ( Sunan Termidzi, no 92, )



Oleh itu tidak perlulah khuatir dengan kucing. Jangan memperlakukan ia dengan kasar kerana kucing adalan haiwan yang jinak. Sebarang kekeliruan boleh bertanya pada yang lebih arif seperti ustaz, panel-panel ibadah atau sesiapa jua yang alim perihal ini, insyaAllah.



- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Sabtu, 9 Julai 2011

Ciri-ciri Isteri Yang Baik Dalam Islam


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera buat semua pembaca WADi sekalian. Agak lama saya tidak update entri asbab saya didatangkan Allah dengan dugaan dan ujian yang membuatkan saya tiada upaya untuk update entri. Pun begitu tidaklah sesuatu itu berlaku tanpa izinNya dan dengan izinNya juga saya menulis entri kembali. 

Kali ini saya ingin menulis entri berkaitan munakahat. Munakahat itu apa? Munakahat bermaksud perkahwinan. Mungkin hanya label sahaja saya tertera munakahat namun segala entri berkaitan perkahwinan dan kekeluargaan saya akan masukkan di ruangan Munakahat, insyaAllah. Kali ini saya ingin berkongsikan mengenai ciri-ciri isteri yang baik dalam Islam atau ciri-ciri isteri yang disukai oleh suami yang baik, insyaAllah. 

1.Ciri yang paling utama dalam Islam tidak lain tidak bukan ialah isteri yang baik pada AgamaNya. Baginda bersabda lagi yang maksudnya: 

"Barangsiapa berkahwin akan perempuan kerana hartanya dan elok rupanya nescaya diharamkan akan hartanya dan elok rupanya yakni  ditegahkan akan hartanya dan eloknya, dan barangsiapa yang berkahwin akan dia kerana agamanya nescaya diberi rezeki oleh  Allah swt akan dia akan hartanya dan eloknya." 

Dari hadis di atas dapatlah difahami bahawa Rasulullah saw menegaskan kepada kaum lelaki supaya memilih calun isteri orang yang beragama serta berakhlak mulia, kerana bila isteri itu kuat beribadah akan membuahkan akhlak yang mulia maka rezeki dan hartanya dimurahkan Allah swt.

2.Berakhlak dengan Allah seperti tekun dan bersungguh-sungguh beribadah. Sabar dalam menempuh kesusahan (ujian) daripada Allah dan dalam mengerjakan perintah-perintahnya, sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah, tenang dalam menerima ketentuan Allah serta banyak mengingati Allah swt.
3. Tumpuan hatinya ialah untuk memperbaiki akhlak, mengurus rumahtangga dengan baik, memelihara ibadah dan menjaga hubungan dengan manusia.

4. Berakhlak dengan ibubapa, memuliakan mereka serta membantu dan menyenangkan mereka. Sentiasa berusaha mengajak keluarga kepada kebaikan dan keredhaan Allah swt.

5. Baik pergaulannya sesama rakan, jiran dan masyarakat sekeliling. Tidak mengganggu dan menyakiti mereka, malah membantu dan memudahkan mereka dengan apa cara yang termampu.

6. Mentaati suaminya, redha dengan pemberian suami, melayan suami dengan baik, bersopan santun dalam segala percakapan dan tindakan, menjaga aurat atau kehormatan diri dan memelihara maruah suami. 

Di sinilah letaknya realiti seorang wanita. Seorang wanita yang mempunyai sifat-sifat kewanitaan yang tulin maka itulah keistimewaan dan kecantikan yang hakiki. Rasulullah saw sendiri ada menerangkan bahawa seorang lelaki yang beristeri wanita solehah bererti dia telah mendapat satu nikmat Allah yang besar. Keterangan ini terdapat dalam hadis yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas r. a:

"Empat jenis, sesiapa yang diberi keempat-empatnya bermakna dia telah memperolehi sebaik-baik dunia dan akhirat. Iaitu hati yang selalu syukur, lidah yang sentiasa berzikir, jiwa raga yang sabar  dengan ujian dan isteri yang tidak melakukan dosa serta tidak menzalimi suaminya." 

Hikmah memperolehi wanita yang terdidik di dalam golongan keluarga yang soleh ini telah jelas dinyatakan sebahagian daripada sifat-sifatnya oleh Rasulullah saw:

"Tidak perlu bagi seorang Mukmin setelah ianya bertaqwa kepada Allah, sebaik-baik keperluan baginya ialah seorang isteri yang solehah, jika suami melihat kepada isterinya, isterinya tetap juga berbuat baik kepada suaminya dan jika suaminya tiada di rumah dia menyimpan rahsia dan harta suaminya." 

Semoga kita semua mendapat jodoh yang baik dan diredhai Allah demi kebaikan Agama, ummah, keluarga serta diri sendiri,insyaAllah.

- Amal Dengan Ilmu -

WADi 

Rabu, 6 Julai 2011

Dalil Al-Quran Mengenai Tauhid

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca WADi. Entri ini adalah sambungan daripada entri Tauhid Ditempat Pertama Sejak Turunnya Al-Quran yang lepas. Seperti yang telah saya katakan dalam beberapa siri entri Akidah yang lalu, berikut adalah dalil Al-Quran yang menerangkan soal tauhid. Moga dengan dalil yang saya kemukakan ini akan membuatkan kita semua bertambah yakin dalam Akidah. 

Ketahuilah teman, dengan akidah yang benar dan mantap, pasti ibadah akan benar, amalan akan benar, akhlak akan benar dan syariat akan benar. Cuba anda fikirkan sejenak jika Akidah bukan yang utama. Kita cuba letakkan ibadah yang utama. Maka fikirkan adakah dengan ibadah yang banyak menandakan Akidah yang benar?. Orang beribadah benyak belum tentu Akidah nya benar.

Tanpa Akidah, amalan tertolak, ibadah hancur. Kenapa? kerana tanpa Akidah dan tauhid, kita akan cenderung untuk mensyirikkan Allah s.w.t. sama ada sedar atau tidak. Jika Akidah telah kuat, pasti dia akan beribadah, dan berakhlak serta mengikut syariat. Kenapa pula? Kerana dia telah mengenal Allah atau dalam erti kata lain Ma'rifatullah. Orang yang kenal Tuhannya pasti akan mengikut suruhan tuhannya. Dia mencuba sedaya mungkin. Orang yang mengenal Allah tidak sama akidahnya dengan orang yang tahu Allah.


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yahudi dan orang-orang Nasora (Nasrani), dan orang-orang Saabien sesiapa diantara mereka itu beriman kepada Allah dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya disii Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka tidak pula akan berdukacita". (2:62)

Firman Allah dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud :


"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu, sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu)".




Ayat berkenaan tauhid seterusnya tersebut dalam surah Al-Baqarah 




"Tuhan kamu Tuhan Yang Maha Tunggal. Tidak ada Tuhan yang lain hanyalah Dialah sendiri. Maha Pengasih lagi Maha Penyayang". (2:163)

Allah juga menyatakannya dalam Surah Al-Maidah ayat 73 iaitu :

" Sesungguhnya kafirlah orang yang berkata bahawasanya Allah itu salah satu dari tiga. Tidak ada Tuhan lain selain Allah Yang Maha Tunggal. Jika mereka tidak menghentikan perkataannya, pasti azab siksaan akan menimpa orang yang kafir dari golongan mereka"


Dan dalil lain yang disebut dalam kalam Allah


"Allah, tidak ada Tuhan selain dari Dia. Hendaklah orang mukmin bertawakal kepada Allah Yang Maha Tunggal"(At-Taghabun: 13)

"Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang tidak ada Tuhan yang lain hanyalah Dia. Dia mengetahui segala sesuatu". (Taaha:98)

Sesungguhnya banyak lagi dalil yang kan menerangkan tentang Akidah dan mentauhidkan Allah. Jika ada kerajinan, mungkin anda boleh mencarinya sendiri dari Kitab suci Al-Quran. Anda akan menjumpainya, insyaAllah.


- Amal Dengan Ilmu -

WADi
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik