Cari Entri WADi

Isnin, 23 Julai 2012

Puasa Tidak Boleh Bercanggah Dari Dalil Al-Quran dan Hadith




السلام عليكم 




Tiada siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam. Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil Al-Quran dan Hadith Nabi maka ia tidak diterima bahkan tertolak sama sekali. 

Penolakan terhadap sunah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah. Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimansuhkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran dan kesahihan hadith tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata:

“Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). 

Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34).

Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya:“Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). 

Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).

Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). 

Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu. Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala adat kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Bukan lah menjadi suatu kesalahan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!

Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadith, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda;

Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya.

Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:

Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). 

Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan. Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”


Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).

Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.

Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.

Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadith.

Anas katanya: Bahawa Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih).

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…

Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.

Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187).

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).

Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.

Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.

Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain baginda bersabda:

Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan.

Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil Al-Quran dan Al-Hadith. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti.

Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.



والله أعلم بالصواب



Oleh: Dr. Muhammad Asri Zainul Abidin
Editor dan penambahan hadith : WADi


Jumaat, 20 Julai 2012

Kisah Abu Jandal dan Abu Basyir Dalam Perjanjian Hudaibiyah


السلام عليكم





Pada tahun ke enam Hijrah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ingin berumrah  dan berziarah ke Makkah. Khabar ini kemudiannya diketahui oleh orang-orang kafir Makkah dan ini membuatkan mereka berasa terhina sehingga mereka merangcang untuk menghalang perjalanan Rasulullah di suatu tempat bernama Hudaibiyyah. Ketika itu Baginda bersama para sahabat telah bersiap sedia untuk mengorbankan jiwa dan raga ke jalan Allah subhanahu wa ta'ala. Namun demi kebaikan penduduk Makkah, Rasulullah tidak mahu terjadinya peperangan. Baginda berusaha mengadakan perjanjian dengan penduduk Makkah. Walaupun para sahabat telah bersedia untuk berperang, Nabi tetap mengadakan perjanjian dan menerima baik syarat-syarat yang mereka nyatakan. Hakikatnya para sahabat amat tertekan dengan perjanjian itu termasuklah Umar al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani. Namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana jiwa dan raga mereka telah diserahkan untuk mentaati perintah Allah dan RasulNya. Mereka akur dengan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan umat Islam ketika itu. 

Antara isi kandungan perjanjian itu ialah orang-orang kafir yang telah memeluk Islam dan berhijrah harus kembali semula ke Makkah dan orang Islam yang murtad tidak akan dikembalikan kepada kaum Muslimin. Belum sahaja selesai perjanjian itu, seorang sahabat bernama Abu Jandal radhiallahu 'anhu yang telah ditahan, diseksa dan dirantai oleh orang kafir lantaran keislamannya tiba-tiba rebah saat mendengar isi perjanjian tersebut. Dia berharap dapat bersama kaum Muslimin dan bebas dari musibah yang dialaminya dahulu. Ayahnya yang bernama Suhail , ketika saat perjanjian itu masih belum memeluk Islam menampar Abu Jandal lalu memaksanya agar kembali ke Makkah. Beliau merupakan wakil orang kafir dalam perjanjian Hudaibiyah. 

Rasulullah lalu berkata, "Perjanjian belum diputuskan, maka belum ada apa-apa peraturan yang akan berlaku." Namun Suhail tidak mempedulikannya dan terus memaksa Jandal agar pulang ke Makkah. "Aku meminta agar ada seorang yang diserahkan kepadaku" kata Baginda. Namun kaum kafir menolak permintaan itu. Abu Jandal kemudian berkata kepada kaum Muslimin, "Aku datang untuk Islam kerana banyak penderitaan yang telah aku alami. Sayang sekarang aku akan dikembalikan lagi kepada kaum kaffir." Hanya Allah sahaja yang mengetahu betapa sedihnya sahabat ketika mendengar ucapa Abu Jandal itu. Atas nasihat Rasulullah, Abu Jandal kemudian bersedia untuk kembali ke Makkah. Baginda berusaha menghiburkan hatinya dan menyuruhnya agar tetap bersabar atas ujian itu kemudian bersabda: "Dalam waktu terdekat, Allah akan membuka jalan buatmu."

Setelah perjanjian Hudaibiyah selesai, seorang sahabat bernama Abu Basyir radhiallahu 'anhu melarikan diri ke Madinah setelah keislamannya. Kaum kuffar Makkah mengutus dua orang ke Madinah untuk membawanya pulang ke Makkah. Sebagaimana yang telah terkandung dalam perjanjian Hudaibiyah, maka Baginda memulangkan semula Abu Basyir kepada mereka lalu Abu Basyir berkata, "Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi Muslim, dan engkau mengembalikan aku kepada kaum kuffar?". Rasulullah menasihatinya agar bersabar lantas bersabda, "InsyaAllah, sebentar nanti Allah akan membukakan jalan bagimu." Akhirnya Abu Basyir dikembalikan ke Makkah bersama dua orang utusan tersebut.

Di tengah perjalanan, Abu Basyir berkata kepada seorang utusan tersebut, "Hai kawan, pedangmu bagus sekali." Disebabkan pujian tersebut, utusan itu merasa bangga lalu mengeluarkan pedangnya, "Ya. aku sudah membunuh ramai orang dengan pedang ini." sambil menunjukkan pedang tersebut kepada Abu Basyir. Apabila pedang itu berada di tangannya, dia lantas menebas pemilik pedang tersebut. Ketika utusan lain melihat temannya telah terbunuh, dia ketakutan dan berasakan bahawa dirinya juga akan menerima nasib yang sama lalu melarikan diri ke Madinah. Setibanya di hadapan Rasulullah utusan tersebut berkata, "Temanku telah dibunuh dan sekarang dia (Abu Basyir) ingin membunuhku pula."

Ketika itu juga Abu Basyir tiba di hadapan Baginda seraya berkata, "Ya Rasulullah, engkau telah memenuhi janjimu dengan mereka dan aku pun telah dipulangkan, namun aku tidak memiliki janji apa pun yang menjadi tenggungjawabku ke atas mereka. Ku lakukan semua ini kerana mereka berusaha mencabut agama Islam dariku." Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Kamu telah menyalakan api peperangan, kalaulah ada yang dapat membantumu.." Atas sabda itu, Abu Basyir dapat memahaminya iaitu jika ada kaum kafir yang mahu membawanya kembali ke Makkah selepas ini, ternyata dia akan dikembalikan. Akhirnya dia memutuskan untuk pergi ke sebuah tempat yang dekat dengan pantai. Berita ini sampai kepada penduduk Makkah termasuk Abu Jandal yang dikembalikan ke Makkah sebelumnya. Beliau kemudian melarikan diri ke tempat Abu Basyir termasuk dengan orang-orang Islam yang lain yang berada di Makkah. Mereka semua bergabung lalu menjadi sebuah kabilah kecil.

Kawasan disitu langsung tidak ada penghuni dan dikelilingi hutan sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan sebenar mereka disana. Namun mereka membuktikan bahawa mereka berjaya menenteng kaum kuffar yang menzalimi umat Islam dan bergabung membentuk suatu kumpulan yang kuat. Mereka berjaya mematahkan serangan dari kaum kafir yang cuba menyerang sehingga kaum kuffar itu berasa ketakutan yang akhirnya membawa kepada kelancaran perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memanggil mereka kembali pulang melalui surat dan ketika surat itu sampai ke tangan Abu Basyir, beliau sedang menderita sakit parah lalu wafat bersama-sama surat Rasulullah di tangannya. (Diriwayatkan dalam Fath al-Bari fi Syarh Sahih Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalaini)

Pelajaran

Jika agama yang kuat berada pada diri seseorang dengan syarat agamanya benar, maka kekuatan apa pun yang menghalang tidak akan mampu melepaskan pegangan agama pada dirinya kerana Allah subhanahu wa ta'ala berjanji untuk menolong hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

[Hayatus Sahabah lil Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Khandalawi rahimahullah




والله أعلم بالصواب

Sabtu, 14 Julai 2012

Status Hadith Larangan Berpuasa Selepas 15 Sya'ban


السلام عليكم 



Seringkali kedengaran pelbagai fadhilat-fadhilat tertentu apabila tibanya bulan Rejab dan Syaa'ban. Namun kali ini terdapat satu pendapat yang menyatakan larangan puasa selepas pertengahan Sya'ban atau dengan erti kata lain selepas 15 Sya'ban. Pendapat ini dipegang oleh segelintir umat Islam berdasarkan sebuah hadith yang menyebut larangan tersebut. Penulisan ini mengupas lebih lanjut mengenainya . InsyaAllah.

Matan Hadith : 


إذا انتصف شعبان فلا تصوموا
"Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa".

Takhrij :

Hadith ini semuanya diriwayatkan dari turuq (jalan) yang sama iaitu, oleh al-A'laa dari ayahnya dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, diriwayatkan antaranya dari Ahmad dalam Musnadnya [hadis no.9705], at-Tirmizi dalam Jami'nya [hadis no. 738], Ibn Majah dlm Sunan [hadis no.1651], al-Baihaqi dlm Sunan al-Kubra [hadis no.7751], Abu Daud dalam Sunannya [hadis no. 2337], Ibn Hibban dalam Sahihnya [hadis no. 3589], AbdulRazzaq dalam Musannaf [hadis no.7325], Darimi dalam Sunannya [hadis no. 1740], an-Nasaie dalam Sunan Kubra [hadis no.2911] dan lain-lain dengan lafaz yg sedikit berbeza [lafaz yg disebutkan diatas adalah lafaz dalam Sunan Abu Daud] 


Status Hadith : 

Status hadis ini diperselisihkan darjatnya, sesetengah mensahihkannya dan yg lain mendhaifkannya, dan yg tepat dan rajih (kuat) ialah ia DHAIF dan kita akan bincangkannya dibawah:

1. Penilaian Mutaakhirin :

Antara yg mensahihkan hadith ini adalah dari ramai kalangan muhaddith al-Mutaakhirun dan Muassirn, antaranya ialah:

1- Ibn Hibban [dalam Sahihnya]

2- al-Hakim, Tahawi, Ibn Abdil Baar [sebagaimana yang disebut Ibn Rajab dalam Latoif al-Ma'arif, dan dinukil oleh Dr. Mahir Yasin Fahl dalam Athar Ilal Hadis fi Ikhtilaf Fuqaha']

3- Syaikh al-Albani [dalam tahqiq sunan Abu Daud, tahqiq sunan Tirmzi, tahqiq Misykat al-Masobih dan lain-lain]

4- Syaikh Syuaib al-Arnaouth [dalam tahqiq Musnad Ahmad].



Penilaian Huffaz Mutaqaddimun (Terdahulu):

Manakala dari kalangan imam-imam Huffaz al-Mutaqaddimun pula berlaku perselisihan, at-Tirmizi mensahih-kannya dan yg lain-lain mendhaifkannya. Dan sebagaimana yg telah kita tahu dalam apa jua kes samada at-Tirmizi atau yg lain-lainnya kita perlu membuat perbandingan antara sesama mereka huffaz al-mutaqaddimun, terutamanya jika berlaku perselisihan status untuk menyelesaikan masalah. Terutamanya perbandingan dengan para imam Huffaz yg lebih hebat, lebih tinggi ilmunya, lebih senior, jumlah bilangan dan faktor-faktor penting lainnya.


Perbandingan antara Mutaqaddimun (Terdahulu) dan Mutaakhirun (Terkemudian)


Jika berlaku perselisihan dalam penilaian status hadis antara Imam-Imam Huffaz al-Mutaqaddimun dari kalangan Muhaddith Salaf dan para Muhaddith Mutaakhirun/Muassirn, maka sikap yang diambil adalah menggunggulkan penilaian Imam-Imam Huffaz al-Mutaqaddimun keatas penilaian Muhaddith Mutaakhirun atas banyak sebab tertentu [perbezaan penilaian status hadis antara Mutaqaddimun dan Mutaakhirun berlaku adalah disebabkan perbezaan Manhaj dalam beberapa aspek kajian hadis, oleh itu pembaca diharap dapat mengikuti siri penerangan Manhaj al-Mutaqaddimun dalam web www.al-Ahkam.net dan kitab-kitab hadith untuk lebih penjelasan]

Sahih Di Sisi Al-Tirmizi Namun Tidak Sahih Disisi Huffaz Lain


Ya memang benar, Imam Abu Isa at-Tirmizi menilai hadis ini sebagai ''Hasan Sahih'' dalam jami'nya. Berkata at-Tirmizi selepas mengeluarkan hadis ini dalam Jami'nya: ''Hadis Hasan Sahih, tidak diketahui selain dari wajah ini dalam lafaz ini...", kemudian at-Tirmizi menyebutkan pandangan sebahagian ahli ilmu yg menerima hadis ini akan fiqhnya. Dan kita perlu faham akan fiqh hadis ini jika tetap ingin memegang hadis ini sebagai sahih, ia bukanlah bermaksud haram secara mutlak untuk berpuasa selepas 15 Sya'ban, at-Tirmizi menyatakan bahawa ia lebih untuk mereka yg tidak berpuasa dalam bulan Sya'ban secara kerap akan tetapi apabila tiba hari akhir-akhir bulan Sya'ban dan bulan Ramadhan akn tiba tidak lama lagi, barulah mereka ingin berpuasa DENGAN NIAT khusus untuk mendahului Ramadhan dengan berpuasa beberapa hari sebelumnya [sehari atau dua hari sebelum] , maka inilah yg tidak disukai/makruh.

sedang, para Imam-imam huffaz al-Mutaqaddimun lainya termasuk yg utama, lebih hebat dan lebih tinggi ilmunya menolak hadis ini dan men-DHAIF-kannya.

Antara huffaz yang mendhaifkan hadis ini ialah:

1- Imam AbdulRahman ibn Mahdi

2- Imam Abu Zur'ah al-Razi

3- Imam Ahmad bin Hanbal

4- Imam Muslim al-Hajjaj

5- Imam Abu Daud

6- Imam al-Baihaqi

7- imam Yahya Ibn Main

8- imam Abu Bakr al-Atsram (murid imam Ahmad)

9- imam Ibn Adiy

10- Imam an-Nasaie dan lain-lain.


Perbandingan Antara Huffaz

Seperti yang disebutkan sebelum ini, terdapat perselisihan antara imam-imam huffaz al-Mutaqaddimun dalam penilaian status hadis ini, maka perlu dibuat perbandingan sesama mereka untuk mengetetahui yang lebih kuat. Dan sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini, para imam yang lebih tinggi ilmunya, lebih hebat dan lebih ramai dari kalangan huffaz al-Mutaqaddimun menolak hadis ini dan oleh itu yang kuat ialah hadis ini adalah dhaif.

Hal ini adalah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Latoif al-Ma'arif ketika membincangkan status hadis ini, kata Ibn Rajab:


حديث العلاء بن عبد الرحمن عن أبيه عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إذا انتصف شعبان فلا تصوموا حتى رمضان ] و صححه الترمذي و غيره و اختلف العلماء في صحة هذا الحديث ثم في العمل به : فأما تصحيحه فصححه غير واحد منهم الترمذي و ابن حبان و الحاكم و الطحاوي و ابن عبد البر و تكلم فيه من هو أكبر من هؤلاء و أعلم و قالوا : هو حديث منكر منهم عبد الرحمن بن المهدي و الإمام أحمد و أبو زرعة الرازي

"Hadis al-A'laa bin AbdulRahman dari Ayahnya dari Abu Hurairah dari Nabi sallallahu 'alaihi wasallam sabdanya: ''Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa", hadis ini disahihkan at-Tirmizi dan lain-lain, dan berlaku perselisihan dikalangan ulama' akan kesahihan hadis ini…yang mensahihkannya antaranya: at-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Tahawi, dan Ibn Abdil Baar, dan menyebutkan dari kalangan mereka yang lebih hebat dan lebih berilmu dari mereka: hadis ini Mungkar, antaranya ialah AbdulRahman ibn Mahdi, Imam Ahmad, dan Abu Zur'ah al-Razi…." [Latoif al-Ma'arif, juz 1, m/s 151]

Imam Ahmad menyatakan hadis ini sebagai MUNGKAR dan TIDAK TERPELIHARA, Imam AbdulRahman ibn Mahdi tidak pernah menyebutkannya[meriwayatkannya] dan malah dia cuba mengelak diri dari meriwayatkan hadis ini, Imam Muslim pula meninggalkan hadis ini dan menolak untuk memasukkan dalam Sahihnya, malah ia juga tidak dimasukkan Imam al-Bukhari dalam Sahihnya. mereka menolak hadis ini kerana masalah padanya, iaitu tafarrudnya seorang rawi iaitu al-A'laa yang meriwayatkan dari Ayahnya [tafarrud al-A'laa dari Ayahnaya] dan juga sebagaimana yg dikatakan Imam Ahmad ia bertentangan dengan hadis lain yg sahih menyatakn baginda Nabi SAW biasa menyambung terus puasa Baginda SAW dari Sya'ban ke Ramadhan. Dalam Tahzib al-Tahzib [kitab Rijal Hadis], Ibn Hajar menukilkan kata-kata Abu Daud tentang al-A'laa, kata Abu Daud:

و قال أبو داود : سهيل أعلى عندنا من العلاء ; أنكروا على العلاء صيام شعبان ـ

يعنى : حديث " إذا انتصف شعبان فلا تصوموا "


''….mengingkari kami hadis puasa Sya'ban dari al-A'laa iaitu hadis ''Apabila tiba setengah Syaaban, maka janganlah berpuasa''... [Tahzib al-Tahzib, rijal: al-A'laa bin AbdulRahman bin Ya'kub al-Harqi] 

Juga disebutkan oleh al-Baihaqi dalam sunannya setelah meriwayatkan hadis ini :


قال أبو داود وقال أحمد بن حنبل هذا حديث منكر قال وكان عبد الرحمن لا يحدث به

"berkata Abu Daud, berkata Ahmad bin Hanbal: hadis ini Mungkar..AbdulRahman [ibn Mahdi] tidak pernah sama sekali menyebutkannya/meriwayatkannya…" [ Sunan al-Baihaqi al-Kubra, komentarnya terhadap hadis ini]


Dan berkata Imam Abu Daud dalam Sunannya setelah meriwayatkan hadis ini:

قال أبو داود وكان عبد الرحمن لا يحدث به قلت لأحمد لم ؟ قال لأنه كان عنده أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يصل شعبان برمضان

''AbdulRahman ibn Mahdi tidak menyebutkannya/tidak meriwayatkannya'', aku bertanya kepada Ahmad: kenapa? Ahmad berkata (menjawab): kerana sesungguhnya Baginda SAW biasa menyambung terus puasa Sya'ban dengan puasa Ramadhan...'' [rujuk Sunan Abu Daud, komentarnya pada hadis no 1651]

Begitu juga dalam kitab Nasbu Rayah [kitab takhrij hadis al-hidayah] menyebutkan ketika membincangkan hadis ini:


وَقَالَ النَّسَائِيّ : لَا نَعْلَمُ أَحَدًا رَوَى هَذَا الْحَدِيثَ غَيْرَ الْعَلَاءِ ، وَرُوِيَ عَنْ الْإِمَامِ أَحْمَدَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ قَالَ : هَذَا الْحَدِيثُ لَيْسَ بِمَحْفُوظٍ ، قَالَ : وَسَأَلْت عَنْهُ ابْنَ مَهْدِيٍّ فَلَمْ يُصَحِّحْهُ : وَلَمْ يُحَدِّثْنِي بِهِ ، وَكَانَ يَتَوَقَّاهُ ، قَالَ أَحْمَدُ : وَالْعَلَاءُ ثِقَةٌ ، لَا يُنْكَرُ مِنْ حَدِيثِهِ إلَّا هَذَا


Berkata an-Nasaie: "tidak diketahui satupun yg meriwayatkan hadis ini kecuali al-A'laa seorang sahaja, dan diriwayatkan dari Imam Ahmad, sesungguhnya dia berkata [kata Ahmad]: ''hadis ini TIDAK TERPELIHARA [LAISA BI MAHFUZ], aku bertanya hadis ini kepada AbdulRahman [ibn Mahdi] dan dia tidak pernah sama sekali menyebutkannya/tidak meriwayatkannnya dan dia cuba untuk sedaya upaya tidak meriwaytkannya..., dan berkata Ahmad lagi: al-A'laa' seorang yang Tsiqah, tidak diingkari [tidak ditolak] hadis-hadisnya kecuali hadis ini…" [ Nasbu Rayah, takhrij Hadis al-Hidayah, juz 4, m/s 384] 

Diriwayatkan dari al-Baihaqi dari an-Nasaie, dari Ahmad tentang hadis ini, sebagiamana yg disebutkan dalam kitab al-Majmu' oleh Imam an-Nawawi:

البيهقى عن ابى داود انه قال قال احمد بن حنبل هذا حديث منكر قال وكان عبد الرحمن لا يحدث به يعني عبد الرحمن بن مهدى وذكر النسائي عن أحمد بن حنبل هذا الكلام قال أحمد والعلاء بن عبد الرحمن ثقة لا ينكر من حديثه إلا هذا الحديث قال النسائي ولا نعلم أحدا روى هذا الحديث غير العلاء

''al-Baihaqi dari Abu Daud, sesungguhnya berkata Ahmad: hadis ini Mungkar, AbdulRahman [ibn Mahdi] tidak pernah sama sekali menyebutkannya [meriwayatkannya], dan an-Nasaie menyebutkan dari Ahmad bin Hanbal kalam ini, berkata Ahmad: "al-A'laa bin AbdulRahman Tsiqah, tidak diingkari [diterima] hadis-hadisnya kecuali satu hadis ini", dan berkata an-Nasaie: "tidak diketahui satupun yg meriwayatkan hadis ini kecuali al-A'laa..." [ al-Majmu' Syarah Muhazzab, Imam Nawawi, juz 6, m/s 399]

Juga dalam kitab Tadrib al-Rawi al-Suyuthi [iaitu Syarh Taqrib an-Nawawi] menyebutkan bahwa:

كحديث العلاء عن أبيه عن أبي هريرة في النهي عن الصوم إذا انتصف شعبان تركه مسلم لتفرد العلاء به


''..seperti hadis al-A'laa dari Ayahnya dari Abu Hurairah dalam bab larangan berpuasa ''apabila tiba pertengahan sya'ban..", Imam Muslim meniggalkan hadis ini [tidak memasukkan dalam Sahihnya] kerana tafarrudnya al-A'laa dari Ayahnya..." [ Tadrib al-Rawi, juz 1, m/s 141]

Begitu juga disebutkan dalam kitab al-Maudhuat,bahawa Imam Muslim menolak hadis ini:


مثل حديث العلاء بن عبدالرحمن عن أبيه عن أبى هريرة أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: " إذا انتصف شعبان فلا تصوموا حتى يجئ رمضان " وقد خرج مسلم كثيرا من حديث العلاء في الصحيح وترك هذا وأشباهه مما انفرد به العلاء عن أبيه

"…contohnya hadis al-A'laa bin AbdulRahman dari Ayahnya dari Abu Huraitah, sesungguhnya Nabi SAW bersabda: "-matan hadis ini-", dan sesungguhnya Imam Muslim mengambil [memasukkan] banyak hadis-hadis yg diriwayatkan oleh al-A'laa dalm Sahihnya, tetapi meniggalkan hadis ini dan yg lain seumpamanya kerana tafarrudnya al-A'laa dari Ayahnya..." [ al-Maudhuat, juz 1, m/s 33]

imam Yahya Ibn Main: menyatakan hadis ini MUNGKAR (disebutkan oleh Ibn hajar dlm Fathul Bari)

imam Abu Bakr al-Atsram (murid imam Ahmad): juga menyatakan hadis ini MUNGKAR, juga kata al-Atsram lagi semua hadis2 [lain] yg ada adalah bertentangan dgn hadis ini (disebut oleh Ibn Rajab dlm Latoif al-Ma'rif)

imam Ibn Adiy: menyatakn hadis ini GHARIB (dalam al-Kamil fi Dhua'fa')


Kesimpulan Status Hadith Larangan Puasa Selepas 15 Sya'ban


Oleh itu yg Rajih(Kuat) adalah hadis ini TIDAK SAHIH.

1- Imam Ahmad menyatakan hadis ini sebagi Mungkar dan Tidak Terpelihara

2- Imam AbdulRahman ibn Mahdi tidak pernah menyebutkannya[meriwayatkannya] dan malah dia cuba mengelak diri dari meriwayatkan hadis ini,

3- Imam Abu Zur'ah al-Razi menolak hadis ini sebagaimana yang disebutkan Ibn Rajab

4- Imam Muslim pula meninggalkan hadis ini dan menolak untuk memasukkan dalam Sahihnya.1- imam Yahya Ibn Main: menyatakan hadis ini MUNGKAR (disebutkan oleh Ibn hajar dlm Fathul Bari)

5- imam Abu Bakr al-Atsram (murid imam Ahmad): juga menyatakan hadis ini MUNGKAR, juga kata al-Atsram lagi semua hadis2 [lain] yg ada adalah bertentangan dgn hadis ini (disebut oleh Ibn Rajab dlm Latoif al-Ma'rif)

6- imam Ibn Adiy: menyatakan hadis ini GHARIB (dalam al-Kamil fi Dhua'fa')

7- malah ia juga tidak dimasukkan Imam al-Bukhari dalam Sahihnya.

8- Hadis ini juga ditolak oleh imam-imam huffaz laiinya seperti Abu Daud, Nasaie, al-Baihaqi dan lain-lain.

9- Disebutkan dalam hadis sahih lain [riwayat Bukhari dan Muslim] bahawa baginda pernah menyambung terus puasa dalam bulan Sya'ban dengan Ramadhan.

Hal ini adalah seperti yang dijelaskan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Latoif al-Ma'arif ketika membincangkan status hadis ini, kata Ibn Rajab:

حديث العلاء بن عبد الرحمن عن أبيه عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه و سلم قال : إذا انتصف شعبان فلا تصوموا حتى رمضان ] و صححه الترمذي و غيره و اختلف العلماء في صحة هذا الحديث ثم في العمل به : فأما تصحيحه فصححه غير واحد منهم الترمذي و ابن حبان و الحاكم و الطحاوي و ابن عبد البر و تكلم فيه من هو أكبر من هؤلاء و أعلم و قالوا : هو حديث منكر منهم عبد الرحمن بن المهدي و الإمام أحمد و أبو زرعة الرازي

"Hadis al-A'laa bin AbdulRahman dari Ayahnya dari Abu Hurairah dari Nabi SAW, sabdanya: ''Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa", hadis ini disahihkan at-Tirmizi dan lain-lain, dan berlaku perselisihan dikalangan ulama' akan kesahihan hadis ini…yang mensahihkannya antaranya: at-Tirmizi, Ibn Hibban, al-Hakim, al-Tahawi, dan Ibn Abdil Baar, dan menyebutkan dari kalangan mereka yang lebih hebat dan lebih berilmu dari mereka: hadis ini Mungkar, antaranya ialah AbdulRahman ibn Mahdi, Imam Ahmad, dan Abu Zur'ah al-Razi…." [rujuk Latoif al-Ma'arif, juz 1, m/s 151]


Fiqh Al-Hadith:

Dalam bab ini terdapat beberapa pendapat berkenaan hukum berpuasa selepas 15 Sya'ban, antaranya:

1- HARAM: Mazhab az-Zahiri mengharamkan berpuasa selepas 15 Sya'ban dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu " Apabila tiba setengah Syaaban [15 sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan dinukilkan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, bahawa disebutkan Ibn Hazm dalam al-Muhalla' maksud haram itu bukanlah beerti haram berpuasa setiap hari selepas 15 Sya'ban secara keseluruhan, akan tetapi hanya pada 16 Sya'ban, kata Ibn Hazm dalam al-Muhalla': "larangan untuk berpuasa hanyalah untuk tanggal 16 sahaja. Itulah hari seseorang tidak boleh berpuasa" [rujuk al-Muhalla' Ibn Hazm, juz 7, hal 25-26, dinukil dari al-Mufassal Dr. Abdul Karim Zaidan]

Ini kerana adanya hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)] . Hal yang sama juga disebutkan oleh Syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl [rujuk al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah, Dr Abdul Karim Zaidan, bab larangan berpuasa selepas nisfu Sya'ban dan Athar Ilal Hadis Fi Ikhtilaf Fuqaha', Dr. Mahir Yasin al-Fahl, subtopik: hukum berpuasa selepas nisfu Sya'ban sehingga Ramadhan]

2- MAKRUH: Sebahagian fuqaha' menyatakan bahawa Makruh berpuasa selepas 15 Syaban jika seseorang itu tiada kelaziman berpuasa secara adat [kerap] pada bulan Syaban. Antara yang mendokong pendapat ini adalah jumhur Mazhab as-Syafie. Dalil mereka adalah hadis yang kita bincangkan diatas iaitu hadis "Apabila tiba setengah Syaaban [15 Sya'ban], maka janganlah berpuasa", dan digabungkan dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" -Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514). [rujuk kitab al-Maudhuat dan penjelasan at-Tirzmizi dalam Sunannya selepas meriwayatkan hadis yg kita dibincangkan diatas, serta Athar Ilal Hadis, Dr. Mahir Yasin al-Fahl]

3- DIBOLEHKAN DAN TIDAK MAKRUH: Mazhab jumhur fuqaha' lainnya membolehkan berpuasa dan tidak makruh berpuasa selepas 15 Sya'ban, kerana hadis yang melarangnya adalah Dhaif [iaitu hadis yang kita bincangkan diatas].

Kesimpulannya, pendapat yang kuat adalah pendapat yang ketiga. Iaitu boleh berpuasa selapas nisfu Sya'ban, ini sebagaimana kata Imam as-Syaukani ketika membincangkan masalah ini dalam Nailul Authar: ''jumhur ulama membolehkan dan tidak melarang puasa selepas nisfu Sya'ban [selapas 15 Sya'ban] kerana hadis yg melarangnya adalah DHAIF" [rujuk Nailul Authar,as-Syaukani]. Begitu juga kata syaikh al-Muhaddith Dr. Mahir Yasin al-Fahl dalam masalah ini: "Mazhab jumhur inilah yang paling kuat [rajih], tiadanya makruh serta dibolehkan berpuasa pada bahagian kedua Syaban [selepas 15 Sya'ban] kerana Dhaifnya hadis al-A'laa…" [rujuk Athar Ilal hadis fi ikhtilaf fuqaha;, Dr. Mahir Yasin al-Fahl]

Akan tetapi perlu diingat bahawa jika seseorang itu mendahului sehari atau dua hari sebelum Ramadhan dengan berpuasa sedangkan ia bukanlah puasanya yang biasa dia lazimi kebiasaaannya, iaitu dia hanya berpuasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan misalnya dengan niat khusus untuk menyambut Ramadhan dan seumpamanya,perbuatan ini adalah terlarang, dalilnya adalah hadis riwayat Bukhari dan Muslim, berbunyi: “Janganlah salah seorang kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari. Kecuali seseorang yang berpuasa dengan satu puasa (adat kebiasaannya) maka berpuasalah pada hari itu" [Sahih Bukhari (hadis no:1914), Sahih Muslim (hadis no:2514)]. Antara hikmah larangan ini disebut oleh Dr. Abdul Karim Zaidan iaitu adalah "agar tidak tercampur antara puasa sunnah dan puasa fardhu, iaitu puasa Ramadhan. Larangan ini sebetulnya tidak berlaku bagi mereka yang kebiasaaanya [adat] berpuasa sunnah bertepatan dengan hari tersebut. Ada juga yang mengatakan hikmah larangan untuk melakukan puasa pada sehari atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kerana puasa Ramadhan kewajipannya bergantung pada Ru'yat Hilal, barangsiapa yang [sengaja dan bukan puasa adat] mendahului bulan Ramadhan dengan sehari atau dua hari puasa seolah-olah dia berusaha memutuskan hukum tersebut,iaitu hukum kewajipan berpuasa Ramadhan mengikut Ru'yat Hilal, demikian penakwilan [fuqaha'] mengenai hikmah larangan ini sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Ahwadzi bi Syarah Jami' Tirmizi [rujuk al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, bab mendahului Ramadhan denga sehari atau dua hari puasa]




Oleh: Dr. Muhammad Fathi Ali Al-Sakandari
Disemak Oleh: Ustaz Anwaruddin
Disunting Oleh: WADi.



والله أعلم بالصواب

Selasa, 3 Julai 2012

Status Hadith Nuzul Ilahi Pada Nisfu Syaa'ban



السلام عليكم





HADITH-HADITH TENTANG ALLAH MEMERHATIKAN HAMBA-HAMBA-NYA PADA MALAM NISFU SYA’BAN, PENILAIAN MENURUT NERACA RIWAYAT DAN DIRAYAH


Rata-rata di kalangan masyarakat Islam terutama di nusantara, mempercayai bahawa malam Nisfu Syaa’ban atau malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan yang sangat istimewa dan padanya diputuskan segala qadha` dan qadar. Benarkah begitu? Ulama hadith yang terdahulu seperti al-Bukhari, al-Tirmizi, al-Daruqutni, Abu Hatim, al-Bazzar dan lain-lain telah memutuskan hadith-hadith tentang kelebihan tersebut tidak sahih dan tidak boleh dipertanggungjawab serta dijadikan hujjah. Walau bagaimanapun sebahagian ulama al-mutakhirin cuba mentashihkan salah satu daripada hadith-hadith tersebut. Hadith tersebut mengenai Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban iaitu hadith berikut :


يطلع الله على خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن

“Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka kecuali orang musyrik atau orang yang suka berbalah"

---------------------------------


Antara ulama yang cuba mentashihkannya ialah Al-Mubarakfuri dalam Tuhfah al-Ahwazi, (jil. 3, hal. 503-504) menulis bahawa berhubung dengan kelebihan nisfu Sya’ban terdapat beberapa hadith yang menunjukkan bahawa ia mempunyai asal. Al-Albani dalam kitabnya, Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, (jil. 3, hal. 135-139), menyimpulkan bahawa banyaknya jalan bagi hadith ini melebihi dari kadar yang mencukupi untuk mengangkat status sanadnya, daripada dha’if kepada sahih! Al-Albani berpendapat bahawa hadith ini pada asalnya dha’if . Oleh kerana hadith itu mempunyai banyak jalan maka ia telah dianggap sebagai sahih. Menurut beliau, sanad ini walaupun terdapat perawi yang dha’if namun ia boleh ditampung kerana kedhaifannya itu tidaklah bersangatan. 

Penulisan ini bertujuan untuk menyoroti dan meneliti semula kesahihan sanad hadith yang didakwa sebagai sahih berhubung kelebihan malam nisfu Sya’ban. Sejauh manakah kaedah pentashihan yang digunakan oleh ulama yang memutuskannya sebagai sahih itu menepati kaedah riwayah dan dirayah hadith.


1. Riwayat Mu’az bin Jabal



- حدثنا محمد بن أبي زرعة ، نا هشام بن خالد ، نا أبو خليد عتبة بن حماد ، عن الأوزاعي ، وابن ثوبان ، عن أبيه عن مكحول ، عن مالك بن يخامر ، عن معاذ بن جبل قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « يطلع الله على خلقه في ليلة النصف من شعبان ، فيغفر لجميع خلقه ، إلا لمشرك أو مشاحن « لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »

Muhammad bin Abi Zur’ah menceritakan kepada kami katanya, Hisyam bin Khalid menceritakan kepada kami katanya Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad menceritakan kepada kami daripada al-Auza’i dan Ibn Thawban daripada ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal katanya, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. bersabda: “Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hamba-hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka kecuali orang musyrik atau orang yang suka berbalah.”
(al-Tabarani dalam al-Mujam al-Awsat, no: 6776, jil. 7, hal. 36, Ibn Abi ‘Asim, al-Sunnah Bi Takhrij al-Albani, jil. 1, hal. 264, Sahih Ibn Hibban, no: 5665)


Perawi-perawi hadith Mu’az


1. ‘Utbah bin Hammad

Dalam Tahzib al-Tahzib, jil. 4, hal. 63:


قال أبو حاتم شيخ وقال أبو علي النيسابوري والخطيب ثقة وذكره ابن حبان في الثقات

Abu Hatim mengatakan beliau seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah). Abu ‘Ali al-Naisaburi dan al-Khatib mengatakan beliau seorang thiqah (dipercayai) serta disebutkan oleh Ibn Hibban di dalam Kitab al-Thiqat.

Dalam Taqrib al-Tahzib, Al-Hafiz Ibn Hajar menyimpulkan beliau sebagai seorang yang saduq. (hal. 335)


2. Ibn Thauban

Namanya ialah Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban. Al-Zahabi menulis: “Duhaim mengatakan Ibn Thauban thiqah. Ibn Ma’in mengatakan, tidak mengapa dengannya. Abu Hatim mengatakan beliau thiqah. Uthman bin Sa’id meriwayatkan bahawa Ibn Ma’in mengatakan beliau dha’if. Imam Ahmad mengatakan hadith-hadithnya mungkar. Al-Nasa’i mengatakan dia seorang yang bukan kuat dalam hadith. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 264). Muhammad bin Ali berkata saya mendengar Ahmad bin Hanbal ditanya tentang Abdul Rahman bin Thabit bin Thauban, bagaimana keadaannya. Beliau menjawab, beliau bukan seorang yang kuat dalam hadith. (Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 346)

Ibn Hajar menyebutkan, beliau seorang saduq melakukan kesilapan, dituduh berfahaman qadariyyah dan ingatannya berubah di akhir hayat. (Taqrib al-Tahzib, hal. 289)

Berhubung dengan hadith kelebihan malam nisfu Sya’ban ini, Ibn Thauban meriwayatkannya secara tidak tetap, kadang-kadang meriwayatkan daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat dan Ibn Abi ‘Asim dalam al-Sunnah), dan ada kalanya daripada bapanya daripada Makhul (riwayat al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin dan Ibn Hibban dalam kitab sahihnya). (lihat Abu al-Laith, al-Marwiyyat Fi Fadhl Lailah al-Nisf, hal. 46-49)

Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada bapaku tentang hadith yang diriwayatkan oleh Abu Khulaid al-Qari daripada al-Awza’i daripada Makhul - dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul - daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal… Bapaku menjawab: Ini adalah hadith munkar dengan sanad ini, tidak ada yang meriwayatkan dengan sanad ini selain daripada Abu Khulaid dan saya tidak tahu dari mana beliau membawanya. Saya bertanya lagi: “Bagaimana dengan keadaan Abu Khulaid?” beliau menjawab: Seorang syaikh (lafaz ta’dil yang rendah dan boleh ditulis hadithnya untuk i’tibar). (Ibn Abi Hatim, al-‘Ilal, jil. 5, hal. 322-323)



« لم يرو هذا الحديث عن الأوزاعي ، وابن ثوبان إلا أبو خليد عتبة بن حماد ، تفرد به عن الأوزاعي : هشام بن خالد »

Kata al-Tabarani: Hadith ini tidak diriwayatkan daripada al-Awza’i dan Ibn Thauban kecuali Abu Khulaid bin Hammad dan Hisyam bin Khalid pula berseorangan meriwayatkannya daripada al-Awza’i. (al-Mu’jam al-Awsat, jil. 7, hal. 36)


3- Makhul, mufti Dimasyq dan yang paling alim di kalangan ahlinya. Bukan seorang yang mengatakan beliau thiqah. Ibn Sa’d mengatakan, sekumpulan ulama mendhaifkan beliau. Al-Zahabi mengatakan, beliau seorang yang melakukan tadlis dan dituduh menafikan taqdir serta meriwayatkan secara mursal daripada Ubay, ‘Ubadah bin al-Somit, ‘Aishah dan Abu Hurairah. (Mizan al-I’tidal, jil. 6, hal. 509-510)

Al-Hakim mengatakan riwayatnya daripada sahabat adalah melalui perantaraan. (Ma’rifah ‘Ulum al-Hadith, hal. 111)

Di samping itu, Makhul dan Malik bin Yakhamir tidak pernah bertemu. Ini bermakna sanad ini terputus. Seorang perawi telah gugur antara Malik bin Yukhamir dan Makhul. Tidak dapat diketahui siapakah orangnya, sama ada seorang yang dipercayai atau tidak. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 135).

Ringkasnya, sanad riwayat Mu’az terputus di samping terdapat seorang perawi yang dipertikai oleh ulama. Walaupun jalan hadith ini banyak namun madar sanad (paksi bagi sanad) adalah Ibn Thauban dan Makhul. Tambahan pula, Ibn Thauban tidak tetap dalam menyebutkan riwayat ini. dan Makhul sendiri juga ada meriwayatkan daripada Abu Tha’labah. Bagi menjelaskan lagi berlakunya idhtirab dalam hadith ini, lihat apa jawapan tokoh ulama ’Ilal al-Hadith, al-Daruqutni terhadap soalan yang dikemukakan kepadanya tentang hadith Malik bin Yukhamir daripada Mu’az:

“Diriwayatkan daripada Makhul dan terdapat perbezaan periwayatan daripadanya. Abu Khulaid ‘Utbah bin Hammad al-Qari meriwayatkan daripada al-Awza’i, daripada Makhul dan daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Makhul daripada Malik bin Yukhamir daripada Mu’az bin Jabal. Demikian kata Hisyam bin Khalid daripada Abu Khulaid.

Sulaiman bin Ahmad al-Wasiti telah menyalahinya. Beliau meriwayatkan hadith ini daripada Abi Khulaid daripada Ibn Thauban daripada ayahnya daripada Khalid bin Mi’dan daripada Kathir bin Murrah daripada Mu’az bin Jabal. Kedua-dua hadith ini tidak mahfuz.

Hadith ini juga diriwayatkan daripada Makhul dengan beberapa riwayat. Kata Hisyam bin al-Gahz daripada Makhul daripada ‘Aishah. Dikatakan juga daripada Ahwas bin Hakim daripada Makhul daripada Abi Tha’labah. Dikatakan juga daripada Makhul daripada Abi Idris secara mursal. Hajjaj bin Artah berkata daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah secara mursal. Dikatakan juga daripada Makhul sebagai kata-katanya. Hadith ini tidak thabit (tidak sahih).” (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 50-51)

---------------------------------------

2.  Riwayat Abi Tha’labah


أخبرنا أبو طاهر الفقيه ، أخبرنا أبو حامد بن بلال ، حدثنا محمد بن إسماعيل الأحمسي ، حدثنا المحاربي ، عن الأحوص بن حكيم ، عن المهاصر بن حبيب ، عن مكحول ، عن أبي ثعلبة الخشني ، عن النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : « إذا كان ليلة النصف من شعبان اطلع الله إلى خلقه فيغفر للمؤمن ، ويملي للكافرين ، ويدع أهل الحقد بحقدهم حتى يدعوه »


Abu Tahir al-Faqih memberitahu kepada kami katanya, Abu Hamid bin Bilal memberitahu kepada kami katanya, Muhammad bin Isma’il al-Ahmasi menceritakan kepada kami katanya, al-Muharibi menceritakan kepada kami daripada al-Ahwas bin Hakim daripada al-Muhasir bin Habib daripada Makhul daripada Abi Tha’labah al-Khusyani daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila malam nisfu Sya’ban Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannya. (al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, jil. 3, hal. 381)



حَدَّثَنَا الْحُسَيْنُ بن إِسْحَاقَ التُّسْتَرِيُّ، ثَنَا عَلِيُّ بن بَحْرٍ، ثَنَا عِيسَى بن يُونُسَ، ثَنَا الأَحْوَصُ بن حَكِيمٍ، عَنْ حَبِيبِ بن صُهَيْبٍ، عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الْخُشَنِيِّ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ اللَّهَ يَطْلُعُ عَلَى عِبَادِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَيُمْلِي الْكَافِرِينَ وَيَدَعُ أَهْلَ الْحِقْدِ بِحِقْدِهِمْ حَتَّى يَدْعُوهُ.

Al-Husain bin Ishaq al-Tustari menceritakan kepada kami katanya, ‘Ali bin Bahr menceritakan kepada kami, katanya al-Ahwas menceritakan kepada kami daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah katanya Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hambanya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan orang-orang mukmin membiarkan orang kafir dan membiarkan orang-orang yang berdengki dengan kedengkian mereka sehinggalah mereka meninggalkannnya. (al-Tabarani, al-Mu’jam al-Kabir, no: 18038)

1- Al-Ahwas bin Hakim, seorang yang dhaif. Al-Zahabi menulis: Ibn Ma’in mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa nilai. Al-Nasa`i mengatakan dia seorang yang dha’if. Ibn al-Madini mengatakan dia laisa bisyai' (tidak mempunyai apa-apa nilai) dan hadithnya tidak boleh ditulis. (Mizan al-I’tidal, jil. 1, hal. 315)

2- Makhul tidak mendengar daripada mana-mana sahabat. Kebanyakan riwayatnya daripada sahabat adalah munqati’.

Al-Daruqutni menyebutkan tentang hadith Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah, katanya, hadith ini diriwayatkan oleh al-Ahwas dan berlaku perbezaan dalam meriwayatkan daripadanya. ‘Isa bin Yunus meriwayatkannya daripada al-Ahwas daripada Habib bin Suhaib daripada Abi Tha’labah. Makhlad telah menyalahinya dengan meriwayatkannya daripada al-Ahwas daripada Muhasir bin Habib daripada Abi Tha’labah. Al-Daruqutni menyimpulkan bahawa hadith ini mudhtarib dan tidak thabit. (‘Ilal al-Daruqutni, jil. 6, hal. 323)

Dalam sanad al-Baihaqi yang disebutkan di atas ada perantaraan di antara al-Muhasir bin Habib dan Abi Tha’labi iaitu Makhul dan Makhul sendiri tidak pernah mengambil riwayat daripada sahabat. Ini bermakna jalan al-Muhasir juga munqati’.

Jika kita merujuk kembali sanad-sanad hadith Mu’az dan hadith Abi Tha’labah sebenarnya kedua-duanya adalah hadith yang sama kerana berlaku idhtirab (ketidaktetapan) dalam meriwayatkan hadith ini. Sebagaimana Makhul meriwayatkan juga sebagai hadith Mu’az, beliau juga menyebutkannya sebagai hadith Abi Tha’labah.

----------------------------------------

3.  Riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al-Ash


ثنا حسن ثنا بن لهيعة ثنا حيي بن عبد الله عن أبي عبد الرحمن الحبلي عن عبد الله بن عمرو ان رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : يطلع الله عز وجل إلى خلقة ليلة النصف من شعبان فيغفر لعباده الا لاثنين مشاحن وقاتل نفس

Hasan menceritakan kepada kami katanya, Ibn Lahi’ah menceritakan kepada kami katanya, Huyai bin Abdullah menceritakan kepada kami daripada Abi ‘Abdul Rahman al-Hubali daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali dua orang, orang yang suka berbalah dan pembunuh.” (Musnad Ahmad, no: 6642)


Perawi-perawinya:

1. Abdullah bin Lahi’ah

Al-Zahabi menulis: “Ibn Ma’in mengatakan dia seorang yang dha’if dan tidak boleh dijadikan hujah. Al-Humaidi meriwayatkan daripada Yahya bin Sa’id bahawa beliau tidak memandang Ibn Lahi’ah dengan apa-apapun. Ibn Mahdi mengatakan, saya tidak mengambil apa-apa riwayat daripada Ibn Lahi’ah. Dia telah menulis kepada saya sepucuk surat yang tertulis padanya, ‘Amar bin Syu’aib menceritakan kepada kami. Lalu saya membacakannya kepada Ibn al-Mubarak lalu beliau mengemukakan hadith itu kepada saya daripada kitab. Ibn al-Mubarak berkata, Ishaq bin Abi Farwah melaporkan kepada saya daripada ‘Amr bin Syu’aib. Yahya bin Bukair mengatakan, rumah dan kitab-kitab Ibn Lahi’ah terbakar pada tahun 170 H. Imam Ahmad mengatakan, Ibn Lahi’ah sering menulis hadith daripada al-Muthanna bin al-Sabbah (seorang yang dha’if) daripada ‘Amr bin Syu’aib.

Kemudian selepas itu dia menceritakan hadith-hadith itu terus daripada ‘Amar (Ibn Lahi’ah melakukan tadlis dengan menggugurkan perawi yang dha’if). Yahya bin Sa’id mengatakan, Bisyr bin al-Sariy menasihati saya, sekiranya kamu menemui Ibn Lahi’ah, janganlah kamu mengambil daripadanya walaupun satu riwayat. Yahya bin Ma’in mengatakan, dia seorang yang lemah sebelum dan selepas terbakar kitab-kitabnya. Abu Zur’ah mengatakan, sama sahaja riwayat-riwayatnya yang terdahulu dan kemudian. Hadith-hadithnya laisa bil hujjah (tidak boleh dijadikan hujah). Al-Nasa`i mengatakan dia seorang yang lemah. Abu Zur’ah dan Abu Hatim mengatakan keadaannya tidak tetap tetapi boleh ditulis hadithnya untuk i’tibar.

Ibn Hibban mengatakan, saya telah memeriksa riwayat-riwayat Ibn Lahi’ah dalam riwayat orang sebelumnya dan selepasnya lalu saya dapati ada campur aduk dalam orang yang mengambil daripadanya dan banyak hadith yang tidak terdapat dalam riwayat orang sebelumnya. Oleh itu, saya memeriksa jalan-jalan hadith dan saya dapati beliau menyembunyikan kumpulan perawi yang lemah lalu menisbahkan kepada kumpulan perawi yang thiqah. Dengan itu, riwayat-riwayat palsu menyusupi dalam riwayatnya. Dalam satu riwayatnya daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bahawa Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda pada ketika sakitnya: “Panggilkan untukku saudaraku.” Lalu Abu Bakar dipanggil. Tiba-tiba baginda berpaling daripadanya. Kemudian baginda bersabda: “Panggilkan untukku saudaruku.” Kemudian dipanggil Uthman lalu baginda berpaling daripadanya. Kemudian dipanggil ‘Ali. Lalu Rasulullah menyelimutkan ‘Ali dengan selimutnya dan mengadapnya. Apabila ‘Ali keluar daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, orang bertanya: “Apakah yang Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  katakan kepada anda? Ali menjawab: “Baginda mengajar kepada saya seribu bab dan setiap bab membuka seribu bab.”

Ibn ‘Adi mengatakan, riwayat ini direka oleh Ibn Lahi’ah kerana dia seorang pelampau dalam fahaman Syi’ah. Al-Bukhari mengatakan dia seorang yang munkar hadithnya. (lihat Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)


2. Huyai bin Abdullah al-Ma’afir al-Misri.

Al-Bukhari mengatakan hadithnya dipertikaikan. Al-Nasa`i mengatakan beliau bukan seorang yang kuat. Imam Ahmad sendiri mengatakan hadith-hadithnya mungkar. Ibn ‘Adi pula mengatakan, Ibn Lahi’ah meriwayatkan daripadanya berpuluh hadith yang kebanyakannya mungkar (Mizan al-I’tidal, jil. 2, hal. 401)

Ini bererti dalam sanad hadith ini terdapat dua perawi yang sangat dha’if iaitu Abdullah bin Lahi’ah dan Huyai bin Abdullah.

Syeikh al-Albani menyebutkan Risydin bin Sa’d menjadi mutabi’ kepada Ibn Lahi’ah. (Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, jil. 3, hal. 136)

Walau bagaimanapun, mutaba’ah ini tidak dapat memberikan apa-apa faedah kerana Risydin itu seorang yang  dhaif jiddan (sangat dha’if).

Imam Ahmad berkata, beliau tidak mempedulikan daripada siapa riwayat diambil. Tetapi tidak mengapa dengan hadithnya dalam bab riqaq (hadith-hadith yang melembutkan hati). Ahmad juga berkata, saya harap dia elok hadithnya. Ibn Ma’in berkata, beliau tidak ada nilai. Abu Zur’ah berkata, beliau seorang yang dha’if. Al-Jawzajani berkata, dia mempunyai banyak hadith munkar. Al-Nasa’i berkata, dia seorang yang matruk (ditinggalkan). (Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 75-76 )

Ringkasnya, riwayat ini terdapat dua orang perawi dha’if (lemah) dan ianya tidak boleh dikuatkan dengan hadith perawi yang lebih lemah lagi daripadanya.

----------------------------------------------

4. Riwayat Abu Musa al-Asy’ari


حَدَّثَنَا رَاشِدُ بْنُ سَعِيدِ بْنِ رَاشِدٍ الرَّمْلِيُّ حَدَّثَنَا الْوَلِيدُ عَنْ ابْنِ لَهِيعَةَ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ أَيْمَنَ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَرْزَبٍ عَنْ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ لَيَطَّلِعُ فِي لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ إِسْحَقَ حَدَّثَنَا أَبُو الْأَسْوَدِ النَّضْرُ بْنُ عَبْدِ الْجَبَّارِ حَدَّثَنَا ابْنُ لَهِيعَةَ عَنْ الزُّبَيْرِ بْنِ سُلَيْمٍ عَنْ الضَّحَّاكِ بْنِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَحْوَهُ

Rasyid bin Sa’id bin Rasyid al-Ramli menceritakan kepada kami katanya, al-Walid menceritakan kepada kami daripada Ibn Lahi’ah daripada al-Dhahhak bin Aiman daripada al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab daripada Abu Musa al-Asy’ari daripada Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam sabdanya: “Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua makhluq-Nya kecuali orang yang syirik atau orang yang suka berbalah. (Ibn Majah, no: 1390)

Muhammad bin Ishaq menceritakan kepada kami katanya Abu al-Aswad alNadhr bin ‘Abdul Jabbar menceritakan kepada kami katanya Ibn Lahi’ah menceritakan kepada kami daripada al-Zubair bin Sulaim daripada al-Dhahhak bin ‘Abdul Rahman daripada ayahnya, katanya saya mendengar Abu Musa menceritakan daripada Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam lebih kurang sama dengannya (riwayat sebelumnya).

Perawi-perawi riwayat ini:

1- Al-Walid bin Muslim

2- Abdullah bin Lahi’ah

3- Al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi

4- Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab

5- Al-Zubair bin Sulaim

6- ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab

Sebab-sebab dhaif (lemah) yang terdapat dalam riwayat ini ialah:

1- Al-Walid bin Muslim, seorang perawi mudallis. Di sini beliau meriwayatkan secara ‘An’anah (cara periwayatan yang mengandaikan perawi itu tidak menerima secara langsung daripada perawi sebelumnya.) (Taqrib al-Tahzib, hal. 539)

2- Ketidaktetapan berlaku dalam riwayat Ibn Lahi’ah

Ibn Lahi’ah meriwayatkan secara tidak tetap. Sekali meriwayatkan daripada Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman. Pada kali yang lain pula meriwayatkan daripada Al-Zubair bin Sulaim. Sekali menyebut sebagai riwayat ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab. Sekali menyebut riwayat ‘Arzab.

3- Sanad terputus antara Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman dan Abu Musa al-Asy’ari

Dalam Kasyf al-Hajah Syarh Sunan Ibn Majah, ‘Allamah Abu al-Hasan al-Sindi menukilkan daripada al-Munziri bahawa Al-Dahhak bin ‘Abdul Rahman tidak pernah bertemu Abu Musa al-Asy’ari. (Sunan Ibn Majah berserta dengan Kasyf al-Hajah, juz. 2, hal. 86)

4- Dalam sanad yang satu lagi al-Dhahhak meriwayatkan daripada ayahnya. Bagaimanapun ayahnya itu, ‘Abdul Rahman bin ‘Arzab adalah seorang perawi majhul (tidak diketahu/ tidak dikenali).

Berkenaan al-Dahhak bin Aiman al-Kalbi pula al-Zahabi menulis:

Beliau guru kepada Ibn Lahi’ah, tidak diketahui siapakah beliau itu dan beliau mempunyai riwayat tentang malam nisfu Sya’ban. (Mizan al-I’tidal, jil. 3, hal. 441)

Ringkasnya, sanad ini mudhtarib dan terdapat perawi mudallis, dha’if dan majhul. Ini bermakna sanad sangat lemah dan kelemahan tidak boleh ditampung walaupun dengan banyak jalan sanad.

---------------------------------------------

5. Riwayat Abu Hurairah


أخبرني عبد العزيز بن علي الأزجي حدثنا عبيد الله بن أحمد بن علي المقرىء حدثنا محمد بن مخلد حدثنا يعقوب بن إسحاق القلوسي. وأخبرنا القاضي أبو عمر القاسم بن جعفر بن عبد الواحد الهاشمي حدثنا أبو بشر عيسى بن إبراهيم بن عيسى الصيدلاني حدثنا أبو يوسف القلوسي حدثنا عبد الله بن غالب العبداني حدثنا هشام بن عبد الرحمن الكوفي - وقال الصيدلاني هشام بن عبد الملك لعله بن عبد الرحمن الكوفي وقدم علينا مرابطاً ثم اتفقا - عن الأعمش عن أبي صالح عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: " ليلة النصف من شعبان يغفر الله لعباده إلا لمشرك أو لعبد مشاحن " .

‘Abdul al-‘Aziz bin ‘Ali al-Azji memberitahu kepada kami, katanya, ‘Ubaidullah bin Ahmad bin ‘Ali al-Muqri` menceritakan kami, katanya, Muhammad bin Makhlad menceritakan kepada kami Ya’qub bin Ishaq al-Qalusi dan Qadhi Abu ‘Umar al-Qasim bin Ja’far bin ‘Abd al-Wahid al-Hasyimi menceritakan kepada kami katanya, Abu Bisyr ‘Isa bin Ibrahim bin ‘Isa al-Saidalani menceritakan kepada kami katanya, Abu Yusuf al-Qalusi menceritakan kepada kami katanya, Abdullah bin Ghalib al-‘Abdani menceritakan kepada kepada kami katanya, Hisyam bin Abdul Rahman al-Kufi menceritakan kepada kami- kata al-Saidalani Hisyam bin ‘Abdul Malik, boleh jadi ia Ibn Abdul Rahman al-Kufi yang datang menemui kami di Murabit, kemudian sanad mereka bertemu- daripada al-A’masy daripada Abi Soleh daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Pada malam nisfu Sya’ban Allah subhanahu wa ta'ala mengampunkan hamba-hamba-Nya kecuali orang yang syirik atau orang yang suka berbalah. (Tarikh Baghdad, jil. 14, hal. 85)


Perawi-perawinya:

1 - ‘Abdullah bin Ghalib al-‘Abdani.

Hafiz Ibn Hajar mengatakan dia seorang yang mastur (tidak diketahui keadaannya) (Taqrib al-Tahzib, hal. 268)

2 - Hisham bin ‘Abdul Rahman,

Beliau adalah seorang majhul (tidak diketahui siapa). Al-Haithami mengatakan saya tidak mengenalinya. (Majma’ al-Zawa`id, jil 8, hal. 65)

Dalam sanad ini terdapat dua perawi yang tidak dikenali tentang kedudukannya dari segi jarh dan ta’dil.

-------------------------------------------

6. Riwayat Abu Bakar


عن عمرو بن الحارث ، عن عبد الملك بن عبد الملك ، أن مصعب بن أبي ذئب حدثه ، عن القاسم بن محمد بن أبي بكر ، عن أبيه ، أو عن عمه ، عن جده : عن النبي صلى الله عليه وسلم ، قال : « ينزل الله إلى السماء الدنيا ليلة النصف من شعبان فيغفر لكل شيء إلا رجل مشرك أو في قلبه شحناء »

Daripada ‘Amr bin al-Harith daripada‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik bahawa Mus’ab bin Abi Zi`b menceritakan kepadanya daripada al-Qasim bin Muhammad bin Abi Bakr daripada ayahnya atau bapa saudaranya daripada datuknya daripada Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  katanya: “Allah subhanahu wa ta'ala. turun ke langit dunia pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan setiap sesuatu kecuali lelaki musyrik atau orang yang di dalam hatinya ada permusuhan. (Syu’ab al-Iman, no: 3668)


1. ‘Abdul Malik bin ‘Abdul Malik

Al-Zahabi menulis: al-Bukhari mengatakan hadithnya dipertikaikan, yakni hadith ‘Amr bin al-Harith daripada ‘Abdul Malik (hadith ini). Ibn Hibban dan lain-lain mengatakan, hadithnya tidak ada orang yang menjadi mutabi’ yakni tidak ada perawi lain turut sama meriwayatkannya. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 404)

Ibn Hajar menukilkan daripada al-Bukhari yang mengatakan bahawa hadithnya dipertikaikan, ini juga dinukilkan oleh al-‘Uqaili dan beliau menjelaskan bahawa al-Bukhari memaksudkan hadith ini kemudian menyatakan, dalam bab ini terdapat beberapa hadith yang dhaif (lemah). Ibn ‘Adi juga menukilkan kata-kata al-Bukhari dan menyatakan bahawa ‘Abdul Malik terkenal dengan hadith ini dan tidak ada yang meriwayatkannya daripada beliau kecuali ‘Amr bin al-Harith. Hadith ini dengan sanad ini munkar. (Lisan al-Mizan, jil. 5, hal. 269)

Ini bermakna Ibn ‘Adi menyokong pendapat Imam al-Bukhari yang tidak menganggap banyaknya sanad-sanad yang lemah itu menjadikannya sahih atau sekurang-kurangnya hasan.


2 . Muhammad bin Abu Bakr al-Siddiq

Beliau dilahirkan pada tahun haji terakhir, meriwayatkan daripada ibunya Asma` binti ‘Umais tetapi daripada ayahnya secara mursal. Ini kerana Muhammad dilahirkan pada tahun kesepuluh hijrah manakala ayahnya meninggal pada tahun ketiga belas hijrah. (Tahzib al-Tahzib, jil. 5, hal. 54)

Kata al-Bazzar:


وهذه الأحاديث التي ذكرت عن محمد بن أبي بكر عن أبيه في بعض أسانيدها ضعف وهي عندي والله أعلم مما لم يسمعها محمد بن أبي بكر من أبيه لصغره ولكن حدث بها قوم من أهل العلم فذكرنا وبينا العلة فيها

Hadith-hadith yang saya sebutkan ini daripada Muhammad bin Abu Bakar daripada ayahnya, dalam setengah sanad terdapat kedha’ifan. Oleh kerana sekumpulan ahli ilmu menceritakannya maka saya menceritakan juga dengan menjelaskan ‘illat (penyakit) yang terdapat padanya. (Musnad al-Bazzar)

Ringkasnya, riwayat ini mempunyai dua kedha’ifan kerana terdapat perawi yang munkar dan terputus sanad antara Muhammad bin Abi Bakr dengan ayahnya.

--------------------------------------------

7. Riwayat ‘Auf bin Malik


حدثنا أحمد بن منصور قال أخبرنا أبو صالح الحراني يعني عبد الغفار بن داود قال أخبرنا عبد الله بن لهيعة عن عبد الرحمن بن زياد بن أنعم عن عبادة بن نسي عن كثير بن مرة عن عوف رضي الله عنه قال قال رسول الله ( يطلع الله تبارك وتعالى على خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لهم كلهم إلا لمشرك أو مشاحن )

Ahmad bin Mansur menceritakan kepada kami katanya, Abu Soleh al-Harrani yakni ‘Abdul Ghaffar bin Daud menceritakan kepada kami katanya Abdullah bin Lahi’ah memberitahu kepada kami daripada Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um daripada ‘Ubadah bin Nusay daripada Kathir bin Murrah daripada ‘Auf katanya, Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Allah subhanahu wa ta'ala memerhatikan hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan semua mereka kecuali orang yang melakukan syirik atau orang yang suka berbalah. (Musnad al-Bazzar, no: 2754)


Perawi-perawi dhaif dalam sanad ini ialah:

1- Abdullah bin Lahi’ah

2- ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um

Al-Nasa`i berkata: ‘Abdul Rahman bin Ziyad bin An’um seorang yang dha’if (lemah). Al-Daruqutni mengatakan: Beliau seorang yang tidak kuat. Ibn Hibban berkata: Beliau meriwayatkan hadith-hadith mawdhu’ daripada perawi-perawi thiqah dan meriwayatkan secara tadlis daripada Muhammad bin Sa’id bin Maslub. Ishaq bin Rahawaih berkata: Saya mendengar Yahya bin Sa’id berkata, Abdul Rahman bin Ziyad seorang yang thiqah. Abdul Rahman bin Mahdi berkata: “Tidak sepatutnya meriwayatkan daripada al-Ifriqi walaupun satu hadith. Ibn ‘Adi berkata: Kebanyakan hadithnya tidak diriwayatkan oleh perawi lain.

Ibn al-Qattan berkata: “Di kalangan ulama ada yang menta’dilkan dan mempertahankannya daripada ditolak periwayatannya. Tetapi yang sebenarnya, beliau seorang yang dha’if. Al-Fallas berkata: Yahya dan Abdul Rahman tidak meriwayatkan hadith daripada Abdul Rahman al-Ifriqi. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 280-281)

Ibn Abi Hatim berkata, saya bertanya kepada ayah saya (Abu Hatim) dan Abu Zur’ah tentang al-Ifriqi dan Ibn Lahi’ah, siapakah yang lebih disukai. Mereka berdua menjawab: Kedua-duanya adalah dha’if. (Tahzib al-Tahzib, jil. 3, hal. 244)

Hadith ini ada juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah daripada Kathir bin Murrah secara mursal melalui Hajjaj daripada Makhul.


حدثنا أبو خالد الاحمر عن حجاج عن مكحول عن كثير بن مرة الحضرمي قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : " إن الله ينزل ليلة النصف من شعبان فيغفر فيها الذنوب إلا لمشرك أو مشاحن ".

Abu Khalid al-Ahmar menceritakan kepada kami daripada Hajjaj daripada Makhul daripada Kathir bin Murrah al-Hadhrami katanya Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala turun pada malam nisfu Sya’ban lalu mengampunkan dosa-dosa kecuali kepada orang yang syirik atau orang yang suka berbalah. (Musannaf Ibn Abi Syaibah, jil. 7, hal. 139)

Kedudukan Makhul dari sudut jarh dan ta’dil telah pun dibincangkan sebelum ini manakala kedudukan Hajjaj nanti akan disebutkan dalam perbincangan tentang hadith ‘Aishah.

----------------------------------------

8. Riwayat ‘Aishah


حَدَّثَنَا عَبْدَةُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ الْخُزَاعِيُّ وَمُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ الْمَلِكِ أَبُو بَكْرٍ قَالَا حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا حَجَّاجٌ عَنْ يَحْيَى بْنِ أَبِي كَثِيرٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قَالَتْ قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ

‘Abdah bin ‘Abdullah al-Khuza’i dan Muhammad bin ‘Abdul Malik Abu Bakr berkata, Yazid bin Harun menceritakan kepada kami katanya Hajjaj memberitahu kepada kami daripada Yahya bin Abi Kathir daripada ‘Urwah daripada ‘Aishah katanya: “Saya mendapati Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  tiada pada satu malam lalu saya keluar mencarinya. Rupa-rupanya baginda berada di perkuburan Baqi’ dalam keadaan mendongak kepalanya ke langit. Maka baginda bersabda: “Wahai ‘Aishah adakah awak bimbang Allah dan Rasul-Nya berlaku zalim terhadap awak? ‘Aishah menjawab: “Memang saya berkata demikian, dan tidak sepatutnya saya buat demikian.Tetapi saya menyangka tuan pergi kepada salah seorang isteri tuan. Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya Allah  subhanahu wa ta'ala  turun pada malam nisfu Sya’ban ke langit dunia lalu mengampunkan sebanyak bulu kambing Bani Kalb. (Ibn Majah, no: 1389, al-Tirmizi, no: 739)

Perawi-perawi:

1- Hajjaj bin Artah

Hajjaj bin Artah, seorang yang dhaif lagi matruk. Jika perawi itu seorang yang matruk maka hadithnya tidak boleh diterima sama sekali. Tambahan pula, Hajjaj berseorangan meriwayatkan hadith ini. Selain itu, Hajjaj merupakan seorang mudallis, dan riwayat mudallis tidak boleh diterima apabila dia meriwayatkan secara ‘an’anah. Beliau tidak mendengar daripada Yahya bin Abi Kathir.

2- Yahya bin Abi Kathir

Yahya bin Abi Kathir tidak mendengar hadith daripada ‘Urwah. Beliau juga seorang mudallis.

Setelah mengemukakan hadith ini dalam kitabnya, al-Tirmizi membuat komentarnya: “Dalam bab ini ada diriwayatkan daripada Abu Bakar. Hadith ‘Aishah kami tidak mengetahuinya kecuali melalui jalan ini daripada hadith al-Hajjaj. Saya mendengar Muhammad (yakni Imam al-Bukhari) mendha’ifkan hadith ini dan mengatakan Yahya bin Abi Kathir tidak mendengar daripada ‘Urwah dan al-Hajjaj pula tidak mendengar daripada Yahya bin Abi Kathir.” (Jami’ al-Tirmizi, no. 739)

Mengapa al-Tirmizi menyebutkan dalam Wa Fi al-Bab daripada Abu Bakar sahaja sedangkan ada juga diriwayatkan daripada Abu Musa, Mu’az dan Abu Hurairah?. Adakah beliau tidak mengetahui selain riwayat ‘Aishah atau Abu Bakar sahaja. Hal ini tidak sesuai untuk diletakkan kepada beliau yang merupakan seorang pengkaji dan pengkritik hadith. Alasan paling sesuai untuk ditafsirkan maksud Imam al-Tirmizi itu ialah lemahnya hadith-hadith lain dalam bab ini dan ia tidak boleh dijadikan hujah dan sandaran bahawa malam tersebut mempunyai kelebihan khusus.

Penilaian dari sudut dirayah


Hadith-hadith tentang turunnya Allah subhanahu wa ta'ala ke langit dunia (nuzul Ilahi) adalah sahih lagi thabit walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam mentakwilkannya. Akan tetapi apakah maksud Allah memerhatikan hamba-hambanya? Ini agak mengelirukan kerana perbuatan memerhatikan dan menjenguk tidak tersebut dalam hadith yang sahih.


يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الْآخِرُ فَيَقُولُ مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ وَمَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ وَمَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Tuhan kita yang Maha Tinggi dan Agung turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam. Dia berfirman, adakah sesiapa yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti memperkenan untuknya, adakah sesiapa yang meminta dari-Ku? Aku pasti berikan kepadanya dan adakah sesiapa yang meminta keampunan dari-Ku? Aku pasti mengampuninya. (Sahih Muslim)


Dalam riwayat yang lain disebutkan


يَنْزِلُ اللَّهُ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا كُلَّ لَيْلَةٍ حِينَ يَمْضِي ثُلُثُ اللَّيْلِ الْأَوَّلُ فَيَقُولُ أَنَا الْمَلِكُ أَنَا الْمَلِكُ مَنْ ذَا الَّذِي يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ مَنْ ذَا الَّذِي يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ فَلَا يَزَالُ كَذَلِكَ حَتَّى يُضِيءَ الْفَجْرُ

Allah subhanahu wa ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia ketika berlalu satu pertiga malam dan berfirman: “Akulah raja, Akulah raja. Siapakah yang berdoa kepada-Ku? Aku pasti akan memperkenankan untuknya. Siapakah yang meminta daripada-Ku? Aku pasti akan memberikan kepadanya. Siapakah yang memohon ampun daripada-Ku? Aku pasti akan mengampunkannya. Demikianlah yang berlaku sehingga fajar menyinari.

Panggilan Allah akan hamba-hamba-Nya supaya mereka memohon keampunan dan ini berlaku pada setiap hari. Tetapi riwayat yang menyebutkan Allah menjenguk hamba-hamba-Nya itu khusus pada nisfu Sya’ban sahaja. Nampaknya malam ini sangat istimewa berbanding dengan malam-malam lain kerana untuk mendapat keampunan tidak perlu sembahyang dan munajat kepada Allah kerana memadai hanya dengan tidak melakukan syirik dan dendam kepada orang lain. Kalau begitu alangkah mudahnya, cukup dengan tidur sahaja pada malam itu sudah mendapat keampunan. Apa yang penting ialah memastikan diri tidak melakukan syirik dan berbalah dengan orang lain!

Mengapa disebutkan Allah memerhatikan. Tidakkah bercanggah dengan riwayat yang terdapat dalam Sahih Muslim bahawa Allah  subhanahu wa ta'ala turun pada setiap malam, bukan malam nisfu Sya’ban sahaja?

Sedangkan pengampunan itu perlu kepada taubat dan amal soleh.


أَمْ حَسِبْتُمْ أَنْ تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَعْلَمِ اللَّهُ الَّذِينَ جَاهَدُوا مِنْكُمْ وَيَعْلَمَ الصَّابِرِينَ

Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)? (Al- ‘Imran: 142)


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu bahawa Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam  bersabda: “Pintu-pintu syurga dibuka pada setiap hari Isnin dan Khamis lalu diampunkan semua hamba yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatupun kecuali seseorang yang bermusuhan dengan saudaranya. Maka dikatakan, tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai, tangguhkanlah kepada dua orang ini sehingga mereka berdamai. (Malik, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Majah)

Hadith ini bermaksud supaya orang yang berbalah dengan saudaranya itu menyelesaikan dengan segera perbalahan mereka dan berdamai. Walaupun dari satu sudut hadith ini mukhtasar, namun ia hendaklah difahami berdasarkan kepada hadith nuzul Ilahi keampunan diberikan kepada sesiapa yang bertaubat. Orang yang berbalah tidak disebutkan di dalam hadith ini secara mutlak tidak diampunkan sebagaimana yang terdapat dalam hadith Allah memerhatikan hamba-hambaNya. Tetapi keampunan akan diberikan juga jika mereka berdua itu berdamai.

Perhatikan bagaimana lafaz hadith yang sahih telah diubah sehingga memberi makna baru dengan mengkhususkan malam nisfu Sya’ban dengan perhatian Allah subhanahu wa ta'ala.


Ketidaktetapan pada matan

Dalam matan riwayat Allah memerhatikan hamba-hamba-Nya ini terdapat lafaz “atau” yang tentunya mempunyai pelbagai tafsiran dari sudut bahasa dan juga usul hadith. Menurut bahasa, ia bermaksud kepelbagaian, pilihan, makna “bahkan” dan sebagainya. Dari segi usul hadith, boleh jadi “atau” di sini, dipakai dengan pengertian bahasa atau digunakan oleh perawi bagi menunjukkan beliau syak dalam menyebutkan lafaz yang asal.

Jika “atau” di sini dengan makna syak perawi, adakah perawi dalam setiap sanad syak dalam periwayatan mereka. Hanya dalam hadith Abi Tha’labah tidak ada syak manakala hadith ‘Aishah menyebutkan keampunan itu secara mutlak. Ini bermakna syak berlaku dalam enam riwayat di mana dalam setiap sanad ada sahaja perawi yang syak.

Jika kita menafikan syak perawi, adakah syak itu datang dari Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam ? Andaian ini tidak mungkin diterima kerana amat jauh untuk difikirkan baginda mengalami keraguan dalam penyampaian hadith.

Jika diandaikan “atau” di sini bukan dengan makna syak perawi, maka boleh jadi ia mengandungi makna ‘bahkan”. Ini bererti bahawa hadith itu bermaksud orang yang berbalah sama dengan orang musyrik. Mengapa pula disamakan antara dosa orang yang suka berbalah dengan orang musyrik?.

Dalam riwayat Abdullah bin ‘Amr pula menyebutkan orang yang membunuh diri dan riwayat Abi Tha’labah menyebutkan orang kafir dibiarkan dan ditangguhkan kedudukan mereka.

Sekiranya malam 15 Sya’ban mempunyai kelebihan tentu sekali memperbanyak ibadat pada malam itu digalakkan kerana kelebihannya itu seperti malam Lailatul Qadar. Apa makna melarang orang ramai beribadat pada malam nisfu Sya’ban dalam masa sama disabitkan akan kelebihannya. Setengah pihak mempercayai malam 15 Sya’ban sebagai malam yang mulia kerana pada malam itulah al-Qur`an diturunkan. Sedangkan ahli tafsir mengatakan itu adalah malam Lailatul Qadar bukan malam nisfu Sya’ban. (lihat Tuhfah al-Ahwazi, jil. 3, hal. 504)

Jika diperhatikan, sebenarnya 15 Sya’ban adalah hari yang begitu penting bagi golongan Syi’ah dan ditunggu oleh mereka. Menurut kepercayaan mereka pada malam itu Imam kedua belas di sisi mereka telah dilahirkan. Menurut mereka pada malam inilah, kononnya Imam Mahdi dilahirkan. Al-Majlisi dalam kitabnya Bihar al-Anwar menukilkan riwayat daripada salah seorang imam, katanya:
Diriwayatkan daripada Musa bin Muhammad bin al-Qasim bin Hamzah bin Musa bin Ja’far katanya, Hakimah binti Muhammad bin Ali bin Musa bin Ja’far bin Muhammad bin Ali bin Hasan bin Ali bin Abi Talib berkata, Abu Muhammad, al-Hasan bin Ali telah mengutuskan seseorang kepadaku katanya, wahai makcik, berbukalah di rumah kami pada malam ini kerana sesungguhnya ia adalah malam nisfu Sya’ban. Sesungguhnya Allah  subhanahu wa ta'ala akan membangkitkan pada malam ini seorang hujah yakni hujah-Nya di muka bumi. (Bihar al-Anwar, jil. 51, hal. 2)

Dalam keadaan tidak sedar orang yang mengkhususkan malam ini dengan amal ibadat kerana menyakini adanya kelebihan, mereka merayakan satu malam yang sangat istimewa di sisi Syi’ah Imamiyyah.

Janganlah kita menganggap sesuatu itu mempunyai kelebihan yang khusus sedangkan ia tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam. Lebih parah lagi, keistimewaan itu sebenarnya berasal daripada tradisi kepercayaan luar daripada Islam yang hanya mahu menonjolkan fahaman dan bid’ah mereka. Apatah lagi salah seorang daripada perawi hadith ini seorang yang dituduh mempunyai fahaman Syi’ah yang melampau, iaitu ‘Abdullah bin Lahi’ah. (Mizan al-I’tidal, jil. 4, hal. 167-174)

Dengan mereka-reka hadith kelebihan malam nisfu Sya’ban seolah-olah membuka ruang maksiat sepanjang tahun dan apabila tibanya nisfu Sya’ban baru tiba masanya untuk mendapatkan kelebihannya. Sedangkan untuk mensabitkan kelebihan memerlukan kepada dalil yang sahih.


-----------------------------------------


Disediakan Oleh : Ustaz Muhammad Hanief bin Awang Yahaya

Editor: WADi 



والله أعلم بالصواب

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik