Cari Entri WADi

Rabu, 24 Ogos 2016

10 Tipu Daya Iblis Ketika Bertanya Soalan



10 Talbis Iblis (Tipu Daya Iblis) Ketika Bertanya Soalan !!
_________________

Lumrah dalam kehidupan khususnya penuntut ilmu agama dan orang awam umumnya suka bertanya soalan terutama dalam majlis-majlis ilmu. Bertanya soalan merupakan salah satu kaedah belajar bahkan ianya amat digalakkan untuk menambah kefahaman terhadap sesuatu ilmu dan perbahasannya.

Namun begitu sikap manusia itu beragam-ragam. Bukan semua orang yang bertanya soalan itu ikhlas untuk belajar. Boleh jadi bertanya soalan itu membawa bencana dan keburukan terhadap dirinya.

Talbis (tipu daya) iblis juga boleh berlaku terhadap penuntut ilmu dan orang awam ketika mereka ingin bertanya soalan. Mungkin anda belum menemui jenis talbis iblis ini dalam karya Ibn Jauzi (bagi yang membacanya). Kini saya nyatakan 10 talbis iblis dalam bertanya soalan.

Kata Imam As-Syatibi (wafat 790 Hijrah) menyebutkan 10 jenis soalan yang makruh (tidak disukai) untuk ditanya. Maka saya katakan bahawa 10 jenis soalan ini merupakan antara bentuk talbis iblis yang boleh menjerat si penyoal jika dia tidak berhati-hati dengannya. Antaranya ialah:


السؤال عما لا ينفع في الدين
1. Soalan berkaitan perkara yang tidak bermanfaat untuk Islam.


يسأل بعد ما بلغ من العلم حاجته
2. Bertanya setelah disampaikan apa ilmu yang diperlukannya (maksudnya perkara yang telah diketahui jawapannya dia tanya lagi).


السؤال من غير احتياج إليه في الوقت
3. Soalan berkaitan perkara yang tidak diperlukan ketika itu.


يسأل عن صعاب المسائل وشرارها
4. Bertanya perkara yang sukar dengan niat yang jahat (untuk merendah-rendahkan orang yang ditanya)- [Biasanya bagi yang suka berdebat]


يسأل عن علة الحكم وهو من قبيل التعبدات
5. Bertanya tentang 'illah (sebab-sebab) ibadah-ibadah yang telah ditetapkan oleh Allah subhanahu wa ta'ala yg bersifat ta'abbud. (Ibadah tanpa atas dasar taat tanpa perlu diketahui hikmah tertentu)


يبلغ بالسؤال إلى حد التكلف والتعمق
6. Bertanya perkara yang terlalu dalam hingga melampaui had taklifan dan terlalu berlebih-lebihan. [Biasanya yang suka berdebat]


أن يظهر من السؤال معارضة الكتاب والسنة بالرأي
7. Bertanya perkara yang kelihatan bertembung antara nas (Al-Quran dan Hadith) dengan akal fikiran.


السؤال عن المتشابهات
8. Bertanya tentang sifat-sifat Allah subhanahu wa ta'ala yang mutasyabihat (samar-samar).


السؤال عما شجر بين السلف الصالح
9. Bertanya tentang perselisihan ulama' As-Salafussoleh terdahulu.


سؤال التعنت والإفحام وطلب الغلبة في الخصام
10. Bertanya untuk menimbulkan perbalahan seterusnya menginginkan kemenangan (mengatasi lawannya) melalui perangkap dari soalan tersebut. [Ini biasanya bagi yang suka berdebat]

[As-Syatibi, Al-Muwafaqat 4/319-320]
--------------------------
10 soalan ini tentu pernah ada pada diri setiap penuntut ilmu. Anda dalam kategori yang mana? Jika masih ada, muhasabah dan insaflah!

Bak kata pepatah Arab:


اللأسألة للتفقه والعمل, لا للتفكه والجدل
"Soalan-soalan (yang ditanya) tujuannya untuk tafaqquh ilmu (mendalami ilmu) dan beramal, bukan untuk tafakkuh (bermain-main) dan berdebat"


Wallahua'lam


Link tulisan asal:


Isnin, 22 Ogos 2016

Nasihat Emas Fudhail bin Iyadh Berkaitan Beban Jawatan



Fudhail bin Iyadh pernah memberikan nasihat kepada Harun Al-Rashyid sewaktu beliau dilantik menjadi Khalifah ummat Islam. Khalifah Harun Al-Rasyid berkata:

“Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah (Bani Abbasiyah), dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saranan dan nasihat kepada saya!”

Berkata Fudhail ibn Iyadh kepada Khalifah Harun al-Rasyid, “Dahulu, Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Berkata Fudhail bin Iyadh, “wahai Amirul Mukminin (Harun Al-Rasyid) ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib radhiallahu 'anhu.,iaitu bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”

Harun Ar-Rasyid pun lalu menangis dengan teruk sekali semahu-mahunya.

Berkata sebahagian salaffussoleh:

"Manusia di akhirat kelak akan dihisab tentang diri mereka, tetapi kamu wahai pemimpin, akan dihisab tentang diri kamu dan semua yang berada dibawahmu! ".

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi.

Dalam keghairahan duduk di jawatang yang tinggi, ingatlah beban yang berat di akhirat sedang menanti.


Tulisan asal di Facebook:

Khamis, 18 Ogos 2016

Berpegang Zahir Nas Syarak Dikira Sesat?





Guna Zahir Nas Mengeluarkan Seseorang Dari Ahli Sunnah wal Jamaah?
___________

Sebahagian orang mendakwa bahawa mereka yang berpegang kepada zahir Al-Quran dan Al-Hadith sebagai sesat, menyimpang atau terkeluar daripada golongan Ahl Sunnah wal Jamaah. Mungkin dizaman kebelakangan ini kita menemukan sebahagian yang agak "literal" dalam memahami nusus syarak dan tidak mengamalkan qiyas secara meluas sebagaimana yang diamalkan oleh Mazhab Syafie yang diamalkan penduduk negara ini.

Namun, melabel sebagai terkeluar daripada Ahli Sunnah wal Jamaah adalah tidak tepat bahkan salah sama sekali dari prinsip Ahli Sunnah. Jika semata-mata berpegang kepada zahir nas Al-Quran dan Hadith menyebabkan terkeluarnya mereka dari Ahli Sunnah, maka samalah seperti menyatakan sebahagian ulama' Salafussoleh khususnya ulama' Mazhab Az-Zahiri tidak termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah!

Ini kerana Mazhab Az-Zahiri jauh lebih syadid (tegas) dalam berpegang dengan zahir nas Al-Quran dan As-Sunnah bahkan mereka sama sekali tidak berhujah dengan qiyas sebagaimana aimmah Mazhab yang lain. Ibn Hazm Az-Zahiri (wafat 456 Hijrah) berkata:

"Jika kami ditanya bilakah dibenarkan berijtihad dengan dalil (semata-mata)? Kami katakan: "Pada setiap waktu kerana dalil adalah nas dan ijtihad itu adalah mencari hukum Allah dengan Al-Quran dan As-Sunnah sahaja. Kami yakin bahawa sesiapa yang tidak berhujah dengan nas daripada Allah dan Rasulnya, maka dia tidak benar dan ditolak disisi kami. Tidak diterima bagiku hujah daripada Al-Ra'yi dan Al-Qiyas." [Mulakhas Ibtal Al-Qiyas wal Ra'yi wal Istihsan wal Taqlid wal Ta'lil 1/ 41-42]

Sudah tentu menolak qiyas dan berpegang dengan zahir Al-Quran dan Hadith adalah sesuatu yang bercanggah dengan prinsip mazhab yang empat namun itu tidaklah mengeluarkan mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah.

Ianya disebutkan oleh Abu Mansur Abdul Qahir Al-Baghdadi (wafat 429 Hijrah) ketika membahaskan usul yang disepakati oleh Ahli Sunnah wal Jamaah:

"Dan jika sesiapa yang berpandangan dengan hujah aqal semata-mata dan menolak qiyas dalam furu' hukum-hukum syariat seperti Ahli Zahir (Mazhab Az-Zahiri), maka tidaklah mereka dikafirkan (sebagaimana ahli ahwa' wal dhalal) dengan sebab mereka menginkari qiyas syar'ie." [Al-Farqu Bainal Firaq 1/281]

.......

Kalau kita rujuk pandangan-pandangan Ibn Hazm dalam Al-Muhalla, pasti kita akan menemukan banyak pendapatnya yang literal seolah-olah "tak masuk akal" atau kelakar bagi kita. Itu menunjukkan bahawa method berpegang dengan zahir nas memang diamalkan sebahagian para ulama'.

Mungkin kita tak bersetuju dengan penolakan qiyas disisi Mazhab Az-Zahiri dan praktis ala Mazhab Zahiri yang digunakan sebahagian orang dizaman ini. Namun, untuk melabel mereka yang berpegang dengan zahir nas sebagai sesat, menyimpang dan bukan termasuk Ahli Sunnah wal Jamaah adalah sesuatu dakwaan yang berat dan tidak adil sama sekali.

Adakah kita sanggup menyesatkan Imam-imam dan pengikut mazhab Az-Zahiri yang jauh lebih rigid dan literal dalam beramal dengan dalil-dalil syarak? Jika tidak, maka mengapa perlu kita melabel orang lain dengan pelbagai gelaran yang buruk hanya disebabkan mereka berpegang dengan pendapat yang kelihatan ala-ala zahiri dalam beberapa keadaan? Sebenarnya jika kita amati dengan cermat, ia hanya diamalkan dalam beberapa permasalahan sahaja. Bukanlah dalam semua keadaan dan tidaklah begitu literal seperti mazhab Zahiri.

Kalaupun kita tidak bersetuju methodologi sedemikian, bersikap adillah dan amanah dalam ilmu lebih baik untuk kita amalkan. Kita bersatu dalam hal yang kita sepakati dan berlapang dada dalam hal yang kita tidak sependapat.


Wallahua'lam.


Tulisan asal di Facebook:

Rabu, 17 Ogos 2016

Hukum Memakai Pakaian Warna Merah, Adakah Haram?




Ibn Hajar Al-Asqalani menyebutkan 7 pendapat ulama’ tentang hukum memakai pakain berwarna merah ini.

1. Boleh memakai pakai merah secara mutlak. Antara para Sahabat Nabi yang berpendapat sedemikian ialah Ali bin Abi Talib, Talhah, Abdullah bin Ja’far, Al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu ‘anhum. Manakala dalam kalangan Tabi’in pula yang berpendapat boleh secara mutlak ialah Sa’id bin Musayyab, An-Nakha’ie, As-Sya’bi, Abi Qilabah, Abi Wail dan sebagainya.

2. Tidak boleh pakai pakaian merah secara mutlak/haram mutlak. Ibn Hajar hanya menyebutkan kewujudan pendapat ini tanpa menyenaraikan siapakah para sahabat, tabi’in atau ulama’ yang berpendapat sebegitu. Namun beliau membawakan dalil dan hujjah pendapat haram mutlak ini kemudian mengkritiknya kerana dalil tersebut lemah dan ada yang palsu.

3. Makruh memakai pakaian yang seluruhnya berwarna merah (al-mushba’ bil humrah) kecuali jika warna merah itu sedikit. Ini ialah pendapat ‘Atha’ bin Abi Rabah, Thawus bin Kaisan, Mujahid.

4. Makruh memakai pakaian merah jika niat untuk berhias atau bermegah-megah, dibenarkan jika memakainya di rumah atau kerana urusan kerja/urusan rasmi dan sewaktu dengannya. Ini ialah pendapat Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma dan pendapat Imam Malik.

5. Dibenarkan pakai pakaian merah yang mana benangnya berwarna merah lalu ianya ditenun hingga jadi pakaian. Dilarang jika selepas tenunan itu diwarna/dicelup dengan warna merah atau dengan erti kata lain, baju selepas disiapkan diwarnakan dengan warna merah. Ini ialah pendapat Imam Al-Khattabi.

6. Larangan warna yang dikhususkan hanyalah pakaian yang dicelup dengan warna mu’asfar. Tidak dilarang jika diwarnakan dengan warna lain. Bagi pendapat ini, Ibn Hajar Al-Asqalani juga tidak mennyebutkan siapakan ulama’ yang berpendapat sedemikian sebagaimana pendapat kedua tadi. Namun setidaknya ia menjadi isyarat bahawa pendapat sedemikian wujud.

* Mu’asfar bukanlah warna merah atau kuning. Ia adalah warna bunga ‘usfur (safflower/kesumba) kuning yang kemerah-merahan mungkin agak keorenan.

7. Larangan itu hanya dikhususkan kepada pakaian yang seluruhnya berwarna merah tanpa ada warna lain langsung seperti warna putih, hitam dan sebagainya. Ini ialah pendapat Imam Ibn Al-Qayyim Al-Jauziyyah.
.......

Diakhir perbahasan Ibn Hajar menyebutkan beberapa pandangan lain antaranya warna merah ini dizaman silam adalah warna yang dibolehkan cuma tidak digemari kerana boleh mengurangkan muru’ah/ kredibiliti orang Islam dizaman itu. (Mungkin dizaman itu merah ni Syiar orang Kafir/musuh Islam)

Beliau juga memberikan beberapa panduan yang mana jika ianya ada, maka warna merah jangan dipakai.

1. Jika warna merah itu menjadi pakaian perhiasan bagi wanita, maka jangan dipakai bagi lelaki.

2. Jika warna merah itu menjadi syiar bagi orang kafir, maka jangan dipakai seperti larangan dalam hadith mitharah hamra’.

3. Jika ianya simbol kemegahan atau sombong.

[Fath Al-Bari 10/306]

.......

Pandangan yang mengatakan makruh pakaian warna merah tanpa diserta warna lain ialah pandangan sebahagian ulama’ mazhab Hanafi dan Hanbali manakala pandangan sebahagian ulama’ Mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian ulama’ hanafi yang lainnya mengatakan boleh memakai pakaian warna merah sepenuhnya [Mausu’ah Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah 6/132].

Untuk perincian qaul mazhab mungkin perlu dibahaskan dalam tulisan yang berasingan. Apapun, jelas isu ini merupakan isu yang diperselisihkan ulama’ zaman berzaman. Bukanlah haram mutlak seperti yang disangkakan sebahagian kita.

Terpulang kepada penilaian anda kerana masing-masing daripada pendapat ulama’ sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Hajar Al-Asqalani. Cuma pendapat haram mutlak itu sahaja yang dinilai lemah dan dikritik oleh Ibn Hajar.

Saya tidak berniat untuk mentarjih (menyebutkan pendapat manakah yang paling kuat) antara tujuh pendapat yang disebutkan Ibn Hajar diatas, cuma saya fikir 3 kriteria untuk melarang memakai pakaian merah yang disebutkan beliau itu jika dilihat pada zaman ini seperti sudah tidak valid lagi.

Terima kasih pada Ibn Hajar kerana meletakkan panduan yang bagi saya cukup berguna untuk ummat dizaman ini yang mana dunia dan adat setempat sudah jauh berubah.

Saya selesa dengan pendapat Ali bin Abi Talib walaupun saya sendiri tiada baju yang full merah without mix with any other colours~

Untuk berkenaan pakaian warna lain seperti kuning dan oren, akan saya bahaskan pada penulisan lain, insyaAllah.



Rabu, 10 Ogos 2016

Imam Az-Zahabi Pakar Ilmu Al-Quran





Az-Zahabi Juga Imam dalam Al-Quran 
-------


Imam Az-Zahabi (wafat 748H) sangat dikenali sebagai pakar dalam ilmu Hadith dan sejarah. Boleh dikatakan bahawa jika seseorang itu belajar ilmu hadith dan tarikh, karya Imam Az-Zahabi tidak dapat tidak mesti dirujuk.

Namun mungkin ada yang tidak tahu bahawa Az-Zahabi juga sebenarnya pakar dalam Qiraat. Beliau mula belajar Ilmu Al-Quran dan Qiraat ketika berusia 18 tahun (691H) dan telah terhimpun seluruh ilmu usul dan masail Qiraat tujuh pada dirinya lebih kurang pada usia 20 tahun.

Beliau belajar dengan Syaikh Al-Qurra', Jamaluddin Ibrahim bin Daud Al-Asqalani pada tahun itu, Syaikh Ibrahim bin Ghali Al-Muqri' Ad-Dimasyqi, kemudian belajar pula dengan Syaikh Majiduddin Abi Bakar Ad-Dimasyqi dan sebagainya.

Az-Zahabi turut membentangkan bacaannya di hadapan pakar Al-Quran dizaman itu, Imam Syamsuddin Muhammad bin 'Abdul Aziz Al-Dimyati As-Syafie ketika berusia 19 tahun.

Az-Zahabi ketika berusia 20 tahun pernah ditanya tentang masalah ilmu qiraat oleh Qadhi Al-Qudhah dizaman itu, Syihabbuddin Muhammad bin Ahmad bin Khalil As-Syafie dan beliau menjawabnya dengan tepat hingga Qadhi mengakui keilmuannya dan mengijazahkannya seluruh riwayat qiraat yang dimilikinya kepada Az-Zahabi. [Mu'jam As-Syuyukh 2/31]


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik