Cari Entri WADi

Khamis, 21 Ogos 2014

Jenis-Jenis Kitab Hadith

بسم الله الرحمن الرحيم



Pengetahuan mengenai jenis-jenis kitab hadith dan pembahagiannya amat penting untuk mengetahui manhaj penyusunan dan penulisan seseorang Imam. Setiap kitab hadith mempunyai manhaj (method/kaedah) penulisan yang tertentu. Pembahagian ini bertitik tolak daripada sejarah pembukuan hadith yang dilakukan di awal-awal zaman pembukuan hadith sebelum ia disaring dan disusunkan dengan lebih kemas dan teratur. 

Antara jenis-jenis atau metod penyusunan kitab hadith ialah:


1. Al-Masanid (المسانيد)

Al-Masanid ialah kata jamak daripada perkataan sanad. Ia bermaksud sesebuah kitab hadith yang mengumpulkan hadith-hadith yang diriwayatkan oleh para sahabat radhiallahu 'anhum ajma'in. Antara cara penyusunan kitab hadith ini ialaha dengan menyusunan mengikut turutan abjad nama para sahabat, tahun mereka masuk Islam, nama kabilah mereka, nama negeri mereka dan sebagainya.

Ia juga boleh disusun mengikut nama seorang sahabat contohnya Musnad Abu Bakar As-Siddiq, Musnad Abu Hurairah, Musnad Aisyah dan sebagainya. Ia juga boleh disusun mengikut jenis sebahagian sahabat seperti Musnad sepuluh sahabat yang dijamin syurga yang mengandungi hadith-hadith yang diriwayatkan oleh sepuluh orang sahabat-sahabat yang masuk syurga sahaja. 

Kitab yang ditulis dalam metod ini cukup banyak. Al-Kitani menyebutkan dalam kitabnya Al-Risalah Al-Mustatharrifah bahawa terdapat hampir 82 kitab yang ditulis dalam metod ini antaranya ialah:

  • Musnad Abu Daud Sulaiman bin Daud Al-Thayalisi atau lebih dikenali sebagai Musnad Al-Thayalisi (wafat 204 Hijrah)
  • Musnad Asad bin Musa Al-Umawi (wafat 212 Hijrah)
  • Musnad Abi Bakar Abdullah bin Az-Zubair Al-Humaidi (wafat 219 Hijrah)
  • Musnad Musaddad bin Musarhad Al-Asadi Al-Basri (wafat 228 Hijrah)
  • Musnad Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241 Hijrah)
  • Musnad 'Abd Ibn Humaid (wafat 249 Hijrah)
  • Musnad Abu Ya'la Ahmad bin Ali Al-Mathna Al-Mawsili (wafat 307 Hijrah)
  • Musnad As-Syamiyyin oleh Imam Al-Tabarani (wafat 360 Hijrah)

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, kitab ini disusun mengikut susunan sahabat. Disebabkan itu ia sukar untuk mencari hadith-hadith berkaitan fiqh kerana ia tidak disusun mengikut susunan bahasan fiqh seperti mana kitab As-Sunan. Selain daripada itu, ia juga tidaklah memfokuskan kepada hadith-hadith yang maqbul (Sahih dan Hasan) sahaja kerana ia bukan tujuan kitab Masanid. Disebabkan itu, hadith-hadith yang ada di dalam kitab Masanid bercampur antara hadith Sahih, Hasan, dan juga Dhaif.

Terdapat juga kitab-kitab yang dinamakan dengan Musnad tetapi hadith-hadithnya disusun dalam bentuk As-Sunan iaitu mengikut perbahasan fiqh dan tidak disusun mengikut urutan nama sahabat. Contohnya ialah Musnad As-Syafie, Musnad Ibn Mubarak, Musnad Abu Hanifah dan sebagainya. Kitab-kitab ini tidak termasuk dalam kategori Musnad sepertimana yang dimaksudkan. 


2. Al-Ma'aajim (المعاجم)

Al-Ma'aajim ialah jamak dari perkataan Al-Mu'jam. Menurut istilah ahli hadith mu'jam ialah kitab yang disusun hadith-hadithnya mengikut musnad-musnad sahabat, guru-guru, negeri dan seterusnya. Kebiasaannya ia disusun mengikut huruf mengikut turutan huruf dan kelihatan seperti ensiklopedia. Berikut merupakan kitab-kitab Ma'aajim yang utama antaranya ialah:

  • Mu'jam As-Sahabah oleh Abu Ya'la Al-Mawsili (wafat 307 Hijrah)
  • Al-Mu'jam Al-Kabir oleh Imam Al-Thabarani (wafat 360 Hijrah). Kitab ini disusun mengikut nama-nama sahabat radhiallahu 'anhum. Ia mengandungi hampir 60,000 hadith. Menurut Syaikh Mahmud Tahhan, kitab ini merupakan kitab Mu'jam yang paling besar dan ia paling layak disebut sebagai Mu'jam berdasarkan banyaknya hadith yang terkandung di dalamnya. 
  • Al-Mu'jam Al-Awsat oleh Imam Al-Thabarani juga. Kitab ini berbeza dengan kitab yang sebelumnya kerana ia disusun mengikut nama guru-guunya, bukan mengikut urutan nama para sahabat. Hadith yang terkandung di dalamnya mencecah 9485 buah. 
  • Al-Mu'jam Al-Saghir oleh Imam Al-Thabarani. Ia kitab Mu'jam miliknya yang paling kecil, sesuai dengan nama yang diberikannya.Hadith di dalamnya juga disusun mengikut nama para gurunya seramai 1000 orang mencakupi hadith sebanyak 1200. 
  • Mu'jam Al-Sahabah oleh Ibn Lal Al-Hamdani (wafat 398 Hijrah)

3. Al-Atraf (الاطراف)

Ia ialah jamak dari perkataan torf  yang yang bermaksud hujung, potongan, pangkal atau bahagian awal. Kitab-kitab al-Atraf ialah kitab-kitab hadith yang menyusun hadith-hadith sama ada daripada sebuah kitab atau daripada banyak kitab-kitab hadith yang lain dengan meringkaskan yakni menyebut sebahagian lafaz awal matan hadith sahaja.

Ia disusun menurut nama-nama sahabat dan disusun pula mengikut huruf mu'jam (alif, ba, ta...). Di bawah setiap nama sahabat itu akan dinyatakan atraf hadith-hadith yang diriwayatkannya sama ada daripada satu kitab hadith yang utama atau beberapa buah kitab hadith.

Kelebihan kitab Al-Atraf ialah memudahkan pembaca untuk mengetahui pelbagai sanad-sanad hadith di dalam satu himpunan, mengetahui pengarang yang meriwayatkan hadith itu dan dari bab apakah hadith itu dikeluarkan. Selain itu kita juga dapat mengenal pasti bilangan hadith bagi setiap sahabat yang dinyatakan dalam Al-Atraf tersebut. Contoh kitab jenis ini ialah:


  • Atraf As-Sahihain oleh Abu Muhammad Khalaf Al-Wasiti (wafat 401 Hijrah). Ia melibatkan dua kitab sahih iaitu Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim sahaja.
  • Atraf Al-Kutub As-Sittah oleh Abu Fadl Muhammad bin Tahir Al-Maqdisi (wafat 507 Hijrah). Ia melibatkan enam buat kitab hadith sebagaimana namanya iaitu kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Daud, Sunan Al-Tirmizi, Sunan An-Nasai dan Sunan Ibn Majah.
  • Tuhfah Al-Asyraf bi Ma'rifah Al-Atraf oleh Imam Al-Mizzi (wafat 742 Hijrah). Ia juga melibatkan kutub al-Sittah (kitab hadith yang enam) serta ditambah dengan beberapa kitab hadith yang lain.
  • Atraf Sahih Ibn Hibban oleh Abdulrahman bin Al-Husain Al-'Iraqi (wafat 806 Hijrah). Ia melibatkan sebuah kitab sahaja iaitu Sahih Ibn Hibban.
  • Ithaf Al-Maharah bi Atraf Al-'Asyarah oleh Ahmad bin Ali bin Hajar Al-Asqalani (wafat 852 Hijrah). Ia disusun melibatkan 10 buah kitab hadith selain kuttub as-sittah iaiatu kitah Sunan Al-Darimi, Sahih Ibn Khuzaimah, Muntaqa Ibn Jarud, Musnad Abi 'Awanah, Sahih Ibn Hibban, Mustadrak Al-Hakim, Sunan Al-Daraquthni, Syarh Ma'aani al-Athar Al-Tahawi, Muwatta' Imam Malik, Musnad As-Syafie dan Musnad Ahmad.
  • Dhakha'ir al-Mawarith fi al-Dilalah 'ala Mawadi' al-Hadith oleh Abd al-Ghani bin Ismail an-Nablusi (wafat 1143 Hijrah). Ia melibatkan kuttub as-sittah dan Muwatta' Imam Malik. 


4. Jawami' (الجوامع)

Al-Jawami' berasal daripada perkataan jama', jami'. Ia bermaksud kitab hadith yang disusun hadithnya mengikut mencakupi pelbagai atau semua bab-bab penting dalam agama seperti Aqidah, Taharah, Muamalat, Sirah. Manaqib, Tafsir Al-Quran, Raqaiq (hadith berkaitan perkara yang melembutkan hati), Fitan (hadith fitnah akhir zaman) dan sebagainya. Kebiasaannya kitab berbentuk ini mencakupi hadith-hadith ahkam seperti kitab sunan namun ianya lebih luas mencakupi bab-bab selain daripada fiqh.

Antara kitab dalam kategori ini ialah:


  • Al-Jami' As-Sahih karya Imam Al-Bukhari (wafat 256 Hijrah) atau nama penuh kitabnya Al-Jami' Al-Musnad As-Sahih Al-Mukhtasar min Umuur Rasulullah wa Ayyamihi.
  • Al-Jami' As-Sahih karya Imam Muslim (wafat 261 Hijrah)
  • Al-Jami' As-Sahih karya Imam Al-Tirmizi (wafat 279 Hijrah)
  • Al-Jami' Abdul Razzaq
  • Al-Jami' Sufyan Al-Thauri
  • Al-Jami' Sufyan ibn Uyainah
  • Al-Jami Ma'mar dan sebagainya


5. As-Sunan (السنن)

Kitab jenis ini hadithnya disusun mengikut bab-bab perbahasan fiqh dan umumnya mempunyai banyak hadith-hadith ahkam. Kebanyakan kitab-kitab ini disusun mengikut perbahasan fiqh dimana hadith-hadith di dalamnya dimuatkan dengan bab-bab fiqh seperti bab taharah, iman, zakat, puasa, haji  dan sebagainya. Perbezaannya dengan kitab jenis Jawaami' ialah kitab Sunan lebih memfokuskan hadith-hadith hukum dan  kebiasaanya tidak memuatkan hadith-hadith seperti sirah, manaqib, tafsir dan sebagainya.

Antara kitab Sunan yang masyhur ialah:


  • Sunan As-Syafie (wafat 204 Hijrah)
  • Sunan Al-Darimi (wafat 25 Hijrah)
  • Sunan Abu Daud (wafat 275 Hijrah)
  • Sunan Ibn Majah (wafat 275 Hijrah)
  • Sunan An-Nasai (wafat 303 Hijrah)
  • Sunan Ad-Daraquthni (wafat 385 Hijrah)
  • Sunan Al-Baihaqi (458 Hijrah)

6. Al-Musannafat (المصنفات)

Jama' daripada perkataan al-Musannif. Menurut ulama' hadith kitab ini ialah kitab hadith yang disusun mengikut perbahasan fiqh seperti As-Sunan tapi ia turut memuatkan hadith-hadith selain hadith marfu'. Ia turut mengandungi hadith mauquf dan maqtu' (athar sahabat dan tabi'in). Berbeza dengan kitab as-Sunan yang lebih banyak memuatkan hadith-hadith marfu' (bersambung dengan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam). Antara kitab dalam kategori ini ialah:

  • Al-Musannaf karya Hammad bin Salamah Al-Basri (wafat 167 Hijrah)
  • Al-Musannaf karya Waqi' bin Jarrah Al-Kufi (wafat 196 Hijrah)
  • Al-Musannaf karya Abu Bakar Abdurrazaq As-San'aani (wafat 211 Hijrah)
  • Al-Musannaf karya Ibn Abi Syaibah (wafat 235 Hijrah)
  • Al-Musannaf karya Baqi in Makhlad Al-Qurtubi (wafat 276 Hijrah)
7. Al-Muwatta'at (الموطآت)

Ia bermaksud kitab hadith yang bermaksud memudahkan (muwatta'). Definisi al-Muwatta' menurut ulama' hadith sama seperti kitab berbentuk al-Musannafat iaitu sebuah kitab hadith yang disusun menurut perbahasan fiqh dan turut memuatkan bukan sahaja hadith marfu' malah hadith-hadith mauquf dan maqtu'. Bezanya hanyalah dari segi penisbahan namanya sahaja.

Antara karya yang terkenal dalam bentuk ini ialah:

  • Al-Muwatta' karya Ibn Abi Zi'b Muhammad bin Abdulrahman Al-Madani (wafat 158 Hijrah)
  • Al-Muwatta' karya Imam Malik bin Anas Al-Madani (wafat 179 Hijrah)
  • Al-Muwatta' karya Ibrahim bin Muhammad Al-Aslami (wafat 184 Hijrah)
  • Al-Muwatta' karya Abdullah bin Wahb Al-Misri (wafat 197 Hijrah)
  • Al-Muwatta' karya Abdullah bin Muhammad Al-Mawarzi (wafat 293 Hijrah)

8. Al-Mustakhrajat (المستخرجات)

Kitab ini memfokuskan kepada hadith-hadith yang dikeluarkan daripada kitab-kitab hadith tertentu lalu diriwayatkan semula dengan sanad yang lain, bukan dengan sanad penulis asal. Selain daripada itu, kitab ini turut mengekalkan bab-bab mengikut susunan kitab-kitab yang asal. Antara karya Al-Mustakhraj ialah:

  • Al-Mustakhraj 'ala Sahih Al-Bukhari karya Abu Bakar Al-Ismaili (wafat 295 Hijrah)
  • Al-Mustakhraj 'ala Sahih Muslim karya Abu awanah Al-Isfarayini (wafat 316 Hijrah)
  • Al-Mustakhraj 'ala Sunan Abu Daud oleh Muhammad bin Abdul Malik Al-Qurtubi (wafat330 Hijrah)
  • Al-Mustakhraj 'ala Al-Sahihain oleh Abu Nu'aiam Al-Asfahani (wafat 430 Hijrah)

9. Al-Mustadrakat (المستدركات)

Al-Mustadrak bermaksud yang ditambah. Kitab ini mengumpulkan hadith-hadith yang menepati syarat-syarat pengarang sesebuah kitab hadith yang tertentu tetapi pengarang tersebut tidak memuatkannya di dalam karyanya itu. Oleh itu, hdith-hadith yang menepati syarat mereka dimuatkan dalam sebuah kitab, itulah yang dinamakan sebagai Al-Mustadrak. Contoh karya dalam kategori ini ialah:


  • AL-Ilzamat oleh Ali bin Umar Al-Daraquthni (wafat 385 Hijrah)
  • Al-Mustadrak 'ala Sahihain oleh Imam Al-Hakim (wafat 405 Hijrah).
  • Al-Mustadrak 'ala Sahihain karya Abu Zar Abd bin Ahmad Al-Harawi (wafat 434 Hijrah)

10. Al-Majami' (المجامع)

Jamak daripada perkataan Majma' yang bermaksud himpunan. Kitab ini mengumpukan hadith-hadith daripada sejumlah kitab-kitab hadith yang asal.


  • Al-Jam' baina al-Sahihain karya Al-Humaidi (wafat 488 Hijrah)
  • Al-Jam' baina al-Sittah karya Razin Al-Saraqusti Al-Andalusi (wafat 535 Hijrah)
  • Jami' Al-Masanid bin Alkhas al-Asanid karya Ibn Al-Jauzi (wafat 597 Hijrah)
  • Jami' al-Usul min Ahadith al-Rasul karya ibn Athir Al-Jazari (wafat 606 Hijrah)
  • Misykat Al-Masabih karya Al-Khatib Al-Tibrizi (wafat 742 Hijrah)
  • Jami' Al-Masanid wa al-Sunan karya Ibn Kathir Al-Dimasyqi (wafat 774 Hijrah)

11. Az-Zawaid (الزوائد)

Jamak daripada perkataan az-Zaid yang bermaksud tambahan. Kitab jenis ini menghimpunkan hadith-hadith tambahan daripada sesebuah kitab hadith atau lebih daripada sebuah yang tidak terdapat dalam mana-mana kitab lain dalam kumpulan hadith-hadith tertentu. Antara kitab jenis ini ialah:

  • Misbah Az-Zujajah fi Zawaid ibn Majah karya Al-Hafiz Al-Busiri (wafat 840 Hijrah)
  • Ithaf as-Sadah al-Maharah al-Khayarah bi Zawaid 'al-Masanid al-Asyarah juga karya Al-Hafiz al-Busiri.
  • Al-Matalib al';Aliyah bi Zawaid al-Masanid al-Thamamah oleh Al-Hafiz ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852 Hijrah)
  • Ghayah Al-Maqsad fi Zawaid Musnad Ahmad karya Ali bin Abu Bakar Al-Haithami (wafat 807 Hijrah)
  • Kasyf al-Astar an Zawaid Musnad Al-Bazzar juga karya Al-Haithami
  • Majma' Zawaid wa Manba' al-Fawaid juga karya Al-Haithami
  • Mawarid al-Zam'an ila Zawaid Sahih Ibn Hibban juga karya Al-Haithami

Selain daripada jenis yang disebutkan ini, terdapat juga kitab-kitab hadith yang disusun secara tematik iaitu mengikut tema-tema tertentu seperi kitab hadith ahkam yang mengumpulkan hadith-hadith hukum sahaja, kitab Az-Zuhud, Targhib wa tarhib, Al-Jihad, Ad-Du'a, Al-Arbain dan sebagainya.


 والله أعلم بالـصـواب 

Rabu, 13 Ogos 2014

Ziyadah Al-Thiqah (زيادة الثقة)



بسم الله الرحمن الرحيم


Ziyadah Al-Thiqah merupakan antara topik penting dalam perbahasan ilmu mustolah al-hadith. Topik ini dibincangkan panjang lebar baik dalam kalangan ulama' terdahulu mahupun terkemudian sama ada dalam kalangan ahli hadith mahupun fuqaha. Perbincangan itu membawa kepada wujudnya kitab-kitab yang khusus membincangkan permasalahan tersebut secara terperinci. Adapun disini maka saya hanya menyentuh berkaitan asas-asasnya sahaja untuk pengetahuan umum.

Secara literalnya Ziyadah bermaksud tambahan manakala Al-Thiqah merujuk kepada perawi yang dipercayai dalam periwayatan hadith. Ziyadah Thiqah secara istilahnya bermaksud:

Hadith yang terdapat tambahan lafaz daripada perawi yang thiqah (dipercayai dalam periwayatan hadith) sedangkan hadith yang sama juga diriwayatkan oleh perawi thiqah lain dengan lafaz yang berbeza.

Ziyadah Al-Thiqah boleh terjadi dalam matan mahupun pada sanad sesebuah hadith. Jika ia berlaku dalam matan hadith maka ia bermaksud terdapat tambahan lafaz/ perkataan di dalam sesebuah riwayat tersebut yang berbeza dengan riwayat yang lain sebagaimana yang disebutkan pada istilah ziyadah al-thiqah sebelumnya. Adapun penambahan pada sanad terjadi apabila perawi memarfu'kan hadith yang mauquf (terhenti pada sahabat) atau menyambungkan hadith yang mursal. [Syaikh Mahmud Tahhan, Taisir Mustolah Al-Hadith]


Contoh Ziyadah Al-Thiqah Pada Matan:

Berikut merupakan contoh hadith yang membincangkan permasalahan yang sama namun lafaznya berbeza-beza kerana mempunyai tambahan lafaz. Ianya dimuatkan secara khusus oleh Imam Muslim dalam Sahihnya dalam bab Hukmi wulughil kalb (Hukum bekas yang dijilat anjing).


1. Hadith yang diriwayatkan daripada Al-A'raj daripada Abu Hurairah berkata, bahawa Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabada:

إِذَا شَرِبَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ
"Jika anjing minum dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia mencuci bekas itu sebanyak tujuh kali." [Riwayat Muslim no. 279]


2. Hadith daripada Abi Razin dan Abi Saleh daripada Abu Hurairah dia berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabada:

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِى إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيُرِقْهُ ثُمَّ لْيَغْسِلْهُ سَبْعَ مِرَارٍ
"Jika anjing menjilat dalam bekas salah seorang daripada kamu makan hendaklah dia membuang isinya kemudian hendaklah dia mencucinya sebanyak tujuh kali". [Riwayat Muslim no. 279; An-Nasaie no. 66]


3. Hadith daripada Ibnu Mughaffal dia berkata.... Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabada:

إِذَا وَلَغَ الْكَلْبُ فِى الإِنَاءِ فَاغْسِلُوهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ وَعَفِّرُوهُ الثَّامِنَةَ فِى التُّرَابِ
"Jika anjing menjilat dalam bekas maka hendaklah kamu mencucinya tujuh kali dan hendaklah kamu lumurkan bekas itu kali kelapannya dengan tanah." [Riwayat Muslim no. 280]


Huraian:

Hadith ini menerangkan tentang satu permasalahan yang sama iaitu berkaitan bekas yang dijilat oleh anjing dan cara membersihkannya. Hadith yang pertama menyuruh kita mencuci bekas yang dijilat oleh anjing sebanyak 7 kali tanpa menyebutkan perkara yang lain. Sedangkan hadith yang kedua menyuruh melakukan hal yang sama namun ditambah dengan lafaz yang tidak ada pada hadith sebelumnya iaitu perintah untuk membuang isi kandungan yang terkandung di dalam bekas yang telah dijilat anjing tersebut. Manakala hadith yang ketiga pula tidak pula menyuruh membuang isi yang ada dalam bekas namun menyuruh kita melumurkan atau menyapu tanah pada bekas tersebut pada basuhan yang kelapan.

Ketiga-tiga hadith ini diriwayatkan oleh perawi yang thiqah dan tidak ada pertentangan antara satu dengan yang lain sebagaimana hadith syaz. Jadi melalui ketiga-tiga jalan periwayatan ini disimpulkan bahawa:

Apabila seekor anjing menjilat atau minum pada bekas maka hendaklah dibuang isi kandungan bekas tersebut lalu dibersihkan dengan air sebanyak tujuh kali basuhan dan ditambah dengan satu kali basuhan dengan tanah. 

Hukum Ziyadah Al-Thiqah Pada Matan Hadith


Para ulama' berselisih pandangan berkaitan permasalahan ini. Sebahagian mereka membolehkannya secara mutlak dan sebahagian yang lain ada juga yang menolaknya secara mutlak. Ulama' hadith yang terkenal, iaitu bapa kepada ilmu Mustolah Al-Hadith mutaakhirin, Imam Ibn Solah menyebutkan bahawa permasalah ziyadah al-thiqah ini boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

1. Ziyadah yang tidak saling bertentangan dengan perawi thiqah atau yang lebih thiqah darinya. Hukum ziyadah seperti ini boleh diterima pakai sama seperti hadith yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi thiqah dari perawi thiqah yang lain.

2. Ziyadah yang saling bercanggah antara perawi thiqah dengan perawi thiqah yang lain atau yang lebih thiqah daripadanya. Ziyadah seperti ini tidak diterima pakai (tertolak) sama seperti hadith syaz.

3. Ziyadah yang di dalamnya terdapat sebahagian pertentangan dengan riwayat perawi thiqah yang lain atau yang lebih thiqah daripadanya. Hal ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu:


  • Ziyadah yang bersifat taqyid daripada yang mutlak.
  • Ziyadah yang bersifat takhsis daripada yang umum.


Ziyadah yang ketiga ini tidak diulas oleh Imam Ibn Solah sama ada ianya boleh diterima pakai atau tidak. Namun, Imam An-Nawawi berkata bahawa ianya boleh diterima pakai dan itulah yang benar menurutnya.


Mazhab Syafie dan Maliki menerima ziyadah al-thiqah yang boleh diterima pakai sebagaimana yang telah disebutkan sebelumnya. Adapun bagi Mazhab Hanafi, mereka berpandangan bahawa ziyadah al-thiqah boleh menyebabkan berubahnya sesuatu hukum dalam permasalahan fiqh. Bagi mereka hadith yang saling bercanggah antara satu dengan yang lain perlu ditarjih. Disebabkan itu, mereka tidak menerima pakai ziyadah al-thiqah dalam hadith.


Ziyadah Al-Thiqah dalam Sanad

Ziyadah Al-Thiqah pada sanad bermaksud perbuatan menambahkan sanad yang asalnya mauquf menjadi marfu' (bersambung sampai kepada Nabi) atau menyambungkan hadith mursal yang terputus sanadnya.

Para ulama' berbeza pandangan mengenai penerimaan ziyadah al-thiqah pada sanad. Jumhur fuqaha' (ulama' fiqh) dan usuliyyin (ulama' usul fiqh) menerima pakai ziyadah al-thiqah pada sanad. Majoriti muhaddithin (ulama' hadith) menolak ziyadah al-thiqah pada sanad. Manakalah sebahagian ulama' lain pula melakukan tarjih (memilih riwayat yang lebih kuat dan menolak yang lebih lemah menurut mereka).




 والله أعلم بالـصـواب 


Selasa, 5 Ogos 2014

Bala-bencana Berlaku Akibat Dosa Kita, Benarnya Amaran Nabi !

بسم الله الرحمن الرحيم




Tidak mengulas tentang isu hangat di negara kita bukanlah bermakna saya tidak mengetahui dan mengikuti perkembangannya. Hanya sahaja kerana tidak punya maklumat yang jelas, maka saya rasa tidak perlu ikut mengulas. Namun, saya mahu mengajak diri sendiri dan kita semua untuk muhasabahmesej yang tersirat disebalik bala-bencana dan musibah yang berlaku dinegara kita sejak akhir-akhir ini. 

Bermula dengan Jerebu pada Jun tahun lalu (2013), tanah runtuh teruk di Cameron Highland, kemudian diikuti dengan banjir besar hingga berlarutan hampir sebulan ditambah gelombang kedua banjir, kemudian negara mengalami perubahan iklim sejuk yang luar biasa pada awal tahun, dan tiba-tiba kini berubah kepada panas luar biasa membawa kepada kemarau, terbaru kebakaran hutan dan jerebu disekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan pelbagai kejadian aneh yang menimpa kita. Sudah beberapa bulan berturut-turut Allah hantar ujian di negara kita, tidakkah kita berfikir tentangnya?


Adakah ia terjadi kebetulan sahaja? Dengan beranggapan ianya kejadian alam yang biasa maka ia normal bagi kita? Tidak ada kena mengena dengan kita langsung?

Tentu sekali tidak! Semuanya ada kaitannya dengan kita semua. Allah ta’ala berfirman: 

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Telah timbul berbagai kerosakan (bala bencana) di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]


Ibn Kathir dalam tafsirnya terhadap ayat ini menaqalkan perkataan Zaid bin Rafi’, dia berkata: 

ظهر الفساد : يعني انقطاع المطر عن البر يعقبه القحط ، وعن البحر تعمى دوابه . رواه ابن أبي حاتم 
“Telah timbul pelbagai kerosakan” iaitu terhentinya hujan didarat lalu diikuti dengan kemarau dan membutakan (memberi kesan) terhadap binatang-binatang di lautan. [Tafsir Ibn Kathir 6/319]


Kata Abu Al-‘Aliyah: 

من عصى الله في الأرض فقد أفسد في الأرض لأن صلاح الأرض والسماء بالطاعة
Sesiapa yang melakukan kemaksiatan kepada Allah di muka bumi bererti dia telah melakukan kerosakan di dalamnya kerana kebaikan di bumi dan di langit adalah disebabkan adanya ketaatan (penduduknya).


Amaran Nabi terbukti benar !

Mari renung-renungkan sebuah pesanan Rasulullah terhadap golongan Muhajirin. Baginda berdoa agar para Sahabatnya dijauhkan daripadanya. Namun, mungkin kita telahpun mengalaminya dan puncanya daripada dosa-dosa kita. Fokus lafaz kedua dan ketiga dari hadith ini. Kata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam:


لَمْ تَظْهَرِ الْفَاحِشَةُ فِى قَوْمٍ قَطُّ حَتَّى يُعْلِنُوا بِهَا إِلاَّ فَشَا فِيهِمُ الطَّاعُونُ وَالأَوْجَاعُ الَّتِى لَمْ تَكُنْ مَضَتْ فِى أَسْلاَفِهِمُ الَّذِينَ مَضَوْا
Tidaklah tersebarnya perbuatan keji ( kata Syaikh Muhammad bin Yazid, ia bermaksud zina) pada suatu kaum, kemudian mereka melakukannya (zina) dengan terang-terangan kecuali akan tersebar di tengah mereka penyakit Taun dan kelaparan yang belum pernah terjadi kepada orang yang terdahulu. 


وَلَمْ يَنْقُصُوا الْمِكْيَالَ وَالْمِيزَانَ إِلاَّ أُخِذُوا بِالسِّنِينَ وَشِدَّةِ الْمَؤُنَةِ وَجَوْرِ السُّلْطَانِ عَلَيْهِمْ
Tidaklah mereka mengurangi timbangan dan takaran kecuali mereka akan diseksa dengan kemarau berkepanjangan dan pemerintah yang zalim. 


وَلَمْ يَمْنَعُوا زَكَاةَ أَمْوَالِهِمْ إِلاَّ مُنِعُوا الْقَطْرَ مِنَ السَّمَاءِ وَلَوْلاَ الْبَهَائِمُ لَمْ يُمْطَرُوا
Tidaklah mereka enggan mengeluarkan zakat bagi harta-harta mereka kecuali langit akan berhenti mengeluarkan air untuk mereka (tidak turunnya hujan), jika bukan kerana haiwan-haiwan ternak (yang memerlukan air) nescaya mereka tidak akan diberi hujan. 


وَلَمْ يَنْقُضُوا عَهْدَ اللَّهِ وَعَهْدَ رَسُولِهِ إِلاَّ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ عَدُوًّا مِنْ غَيْرِهِمْ فَأَخَذُوا بَعْضَ مَا فِى أَيْدِيهِمْ
Tidaklah mereka melanggar janji terhadap Allah dan Rasul-Nya kecuali Allah akan memberikan kuasa ke atas musuh mereka dan musuh akan menguasai mereka. 


وَمَا لَمْ تَحْكُمْ أَئِمَّتُهُمْ بِكِتَابِ اللَّهِ وَيَتَخَيَّرُوا مِمَّا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلاَّ جَعَلَ اللَّهُ بَأْسَهُمْ بَيْنَهُمْ
Dan tidaklah pemimpin-pemimpin mereka enggan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah dan tidak menganggap apa yang diturunkan Allah itu lebih baik, kecuali Allah akan menjadikan rasa takut di antara mereka. 

[Riwayat Ibn Majah no. 4017; Al-Hakim no. 8727; Al-Thabrani dalam Al-Kabir no. 13454;Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman, Hadith ini isnadnya Hasan]

--------------------------------------

Jika kita amati dalam-dalam, lafaz kedua dan ketiga hadith ini berkaitan dengan kemarau dan tiadanya hujan akibat dosa kita dalam muamalat (perniagaan, jual beli, dan hal ehwal sesama manusia) serta berkaitan zakat harta oleh mereka yang kaya (bahkan zakat yang telah dibayar tapi tak dikeluarkan kembali kepada asnaf yang sepatutnya juga suatu dosa!). Mungkinkah rakyat kita sangat ramai mengabaikan dua perkara ini? Tidak mustahil bukan? Jika kita amati betul-betul, memang benar dua ini antara kerosakan major di negara kita.


Renung-renungkan dan mari muhasabah diri.


 والله أعلم بالـصـواب 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik