Cari Entri WADi

Sabtu, 22 Jun 2013

Definisi Al-Hadith dan Al-Sunnah


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته






Definisi Al-Hadith

Kata Al-Hadith menurut bahasa bermaksud Al-Jadid iaitu sesuatu yang baru. Ia juga bermaksud sesuatu yang dikatakan, dicakapkan atau disebut dari seseorang kepada irang yang lain. Jamaknya ialah Ahadiith. Firman Allah subhanahu wa ta'ala:
فَلَعَلَّكَ بَاخِعٌ نَّفْسَكَ عَلَىٰ آثَارِهِمْ إِن لَّمْ يُؤْمِنُوا بِهَٰذَا الْحَدِيثِ أَسَفًا

Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. [Al-Kahfi 18: 6]

Dalam ayat Al-Quran di atas, Al-Hadith bermaksud Al-Quran al-Karim. 

Firman Allah ta'ala dalam surah yang lain:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. [Al-Dhuha 93:11]

Makna lainnya ialah sampaikan apa yang telah diajarkan kepadamu [Ibn Munzir, Lisan al-Arab]


Maksud Al-Hadith dari sudut Istilah menurut Ahl al-Hadith, Muhaddithun (Ulama' Hadith) bermaksud:

Segala sesuatu yang bersumber daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sama ada perkataan, perbuatan, ketetapan, ciri-ciri tubuh badan, akhlak dan tingkah laku atau perjalanan hidup (sirah) beliau sama ada sebelum atau sesudah beliau diangkat menjadi Rasul. [Dr. Mustafa al-Siba'i, Al-Sunnah wa Makanatuha fi al-Tasyri' al-Islami]


Definisi al-Hadith disisi Usuliyyin (Ulama Usul) pula ialah:

Segala sesuatu yang diriwayatkan daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam setelah kenabian sama ada perkataan atau perbuatan atau ketetapan beliau.

Menurut para Usuliyyin masa sebelum kenabian tidak dikategorikan sebagai hadith kerana yang dimaksudkan hadith ialah segala amalan Nabi yang mengandungu hukum syara' dan tidak berlaku melainkan setelah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam diangkat menjadi Rasul. [Ajaj al-Khatib, Usul al-Hadith]

Pandangan ini turut dipegang oleh para Fuqaha (Ahli Fiqh) kerana hukum fiqh hanya terdapat pada perkataanm perbuatan dan pengakuan Rasulullah  sallallahu 'alaihi wasallam sahaja sedangkan sifat fizikal dan tingkah laku tidak mengandungi dasar fiqh (halal dan haram).

Pendapat usuliyyin mengenai definisi hadith ini turut dipersetujui oleh salah seorang Ulama' besar dalam Mazhab Hanbali iaitu Ibn Taimiyyah. Berkata Ibn Taimiyyah rahimahullah:

Kitab yang mengandungi riwayat tentang Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam antaranya ialah kitab-kitab tafsir, sirah dan al-Maghazi (peperangan) dan kitab-kitab hadith. Kitab-kitab hadith mencakupi segala sesuatu setelah kenabian secara khas walaupun di dalamnya terdapat perkara-perkara yang berlaku sebelum kenabian. Ini kerana perkara sebelum kenabian tidak dihafaz dan diambil sebagai dalil syara'. Bahkan umat Islam telah sepakat bahawa perkara-perkara yang wajib diimani dan diamalkan ialah apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam setelah kenabian. [Majmu' Fatawa Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah 18/110]


Kategori Al-Hadith dan Contohnya

1. Hadith bersifat Qauliyyah (perkataan) Nabi . Secara mudahnya difahami sebagai apa yang disebut, dikata, dilafazkan dari mulut Nabi dan didengari oleh para sahabat. Hadith dalam kategori ini mempunyai lafaz Qala Rasulullah (Rasulullah berkata/ bersabda) dan yang seumpama dengannya. Contohnya hadith

عَنْ عَلْقَمَةَ بْنَ وَقَّاصٍ اللَّيْثِيَّ يَقُولُ سَمِعْتُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَلَى الْمِنْبَرِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ إِلَى امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Daripada Alqamah bin Waqqas Al-Laithi berkata, saya pernah mendengar Umar bin Al Khathhab diatas mimbar berkata; saya mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Semua perbuatan bergantung atas niatnya, dan (balasan) bagi tiap-tiap orang (tergantung) apa yang diniatkan; Barangsiapa niat hijrahnya karena dunia yang ingin dicapainya atau karena seorang perempuan yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya adalah kepada apa dia niatkan" [Riwayat Al-Bukhari no.1; Muslim no. 1907 dan selain mereka]


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَسِّرُوا وَلاَ تُعَسِّرُوا وَبَشِّرُوا وَلاَ تُنَفِّرُوا

Daripada Anas bin Malik daripada Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Permudahkanlah dan jangan menyulitkan/ menyusahkan, berilah khabar gembira dan jangan buat orang lari menjauh”. [Riwayat Bukhari no.69; Muslim 1734 dan selain mereka]


2. Hadith bersifat Fi'iliyyah (perbuatan) Nabi iaitu apa juga perkara yang dilakukan oleh Rasulullah sama ada berkaitan cara solat, wudhu', haji, sumpah, dan sebagainya. Kebanyakan hadith ini diriwayatkan oleh para sahabat yang melihat Rasulullah melakukan seperti itu lalu diceritakan semula oleh para sahabat. Ianya digelar hadith dan bukannya Athar al-Sahabat sebagaimana yang disebut oleh sebahagian pihak. Ini kerana walaupun ianya disebut oleh Sahabat namun riwayat itu berkaitan dan disandarkan kepada Nabi . Contohnya hadith seperti: 


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ مَرَّتَيْنِ مَرَّتَيْنِ

Daripada Abdullah bin Zaid berkata bahawa Nabi pernah berwudhu’ dua kali-dua kali (basuhan). [Riwayat Al-Bukhari no. 158; Abu Daud no. 136; Al-Tirmizi no. 43]


3. Hadith bersifat Taqririyyah (pengakuan) Rasulullah terhadap sesuatu iaitu kebenaran, pengakuan, pengiktirafan Rasulullah terhadap sesuatu perkara yang dilakukan oleh para Sahabat sekalipun ianya tidak dilakukan oleh Rasulullah. Diamnya Rasulullah terhadap sesuatu perkara yang dilakukan oleh para sahabat termasuk dalam tanda taqririyah Nabi kerana antara salah satu sifat Rasulullah ialah baginda tidak akan diam terhadap perkara maksiat, munkar dan bertentangan dengan syariat. Contoh hadith dalam kategori ini ialah hadith Rasulullah tidak melarang sahabat makan daging Dhab iaitu sejenis biawak padang pasir:


عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ الَّذِي يُقَالُ لَهُ سَيْفُ اللَّهِ أَخْبَرَهُ أَنَّهُ دَخَلَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى مَيْمُونَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهِيَ خَالَتُهُ وَخَالَةُ ابْنِ عَبَّاسٍ فَوَجَدَ عِنْدَهَا ضَبًّا مَحْنُوذًا قَدِمَتْ بِهِ أُخْتُهَا حُفَيْدَةُ بِنْتُ الْحَارِثِ مِنْ نَجْدٍ فَقَدَّمَتْ الضَّبَّ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ قَلَّمَا يُقَدَّمُ إِلَيْهِ طَعَامٌ حَتَّى يُحَدَّثَ بِهِ وَيُسَمَّى لَهُ فَأَهْوَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ إِلَى الضَّبِّ فَقَالَتْ امْرَأَةٌ مِنْ النِّسْوَةِ الْحُضُورِ أَخْبِرْنَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا قَدَّمْتُنَّ لَهُ قُلْنَ هُوَ الضَّبُّ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَهُ فَقَالَ خَالِدُ بْنُ الْوَلِيدِ: أَحَرَامٌ الضَّبُّ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: لاَ وَلَكِنَّهُ لَمْ يَكُنْ بِأَرْضِ قَوْمِي فَأَجِدُنِي أَعَافُهُ قَالَ خَالِدٌ فَاجْتَرَرْتُهُ فَأَكَلْتُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ يَنْظُرُ فَلَمْ يَنْهَنِي



Daripada Abdullah bin Abbas bahwa Khalid bin Walid yang di juluki dengan pedang Allah telah mengkhabarkan kepadanya; bahawa dia bersama dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah menemui Maimunah isteri Nabi sallallahu 'alaihi wasallam -dia adalah ibu saudara (sebelah ibu) Khalid dan juga Ibnu Abbas- lantas dia mendapati daging Dhab (sejenis biawak padang pasir) yang telah di bakar, kiriman dari saudara perempuanya yaitu Hufaidah binti Al-Harith dari Najd, lalu daging Dhab tersebut dihidangkan kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Sangat jarang beliau dihidangkan makanan hingga beliau diberitahu nama makanan yang dihidang itu, ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam hendak mengambil daging Dhab tersebut, seorang wanita dari beberapa wanita yang hadir berkata, "Beritahukanlah kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengenai daging yang kalian hidangkan!" Kami lalu mengatakan, "Itu adalah daging Dhab, wahai Rasulullah!" Seketika itu juga Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengangkat tangannya, Khalid bin Walid pun berkata, "Wahai Rasulullah, adakah daging Dhab (biawak padang pasir) itu haram?" Beliau menjawab: "Tidak, namun di negeri kaumku tidak pernah aku jumpai daging tersebut, maka aku enggan (memakannya)." Khalid berkata, "Lalu aku mendekati daging tersebut dan memakannya, sementara Rasulullah melihatku dan tidak melarangnya." [Riwayat Muslim no. 1946; Ibn Majah no. 3241; An-Nasa’i no. 4316]


4. Hadith yang bersifat Khalqiyyah (Kejadian) Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam merangkumi sifat fizikan serta tubuh badan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Kebiasaan hadith ini diceritakan oleh para sahabat yang pernah menyaksikan sendiri sifat-sifat yang terdapat pada tubuh badan baginda seperti kebanyakan riwayat-riwayat yang terdapat dalam Syamail Muhammadiah karya Imam Al-Tirmizi rahimahullah. Contoh hadith yang menceritakan sifat tubuh badan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ialah: 

عَنْ الْبَرَاءِ قَالَ مَا رَأَيْتُ مِنْ ذِي لِمَّةٍ فِي حُلَّةٍ حَمْرَاءَ أَحْسَنَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَهُ شَعْرٌ يَضْرِبُ مَنْكِبَيْهِ بَعِيدُ مَا بَيْنَ الْمَنْكِبَيْنِ لَمْ يَكُنْ بِالْقَصِيرِ وَلاَ بِالطَّوِيلِ


Daripada Al-Bara’ berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang yang rambutnya berkilat lebih bagus ketika memakai pakaian berwarna merah daripada Rasulullah. Beliau memiliki rambut yang mendekati kedua bahu beliau, tidak panjang dan tidak pendek”. [Riwayat Muslim no. 2337;Al-Tirmizi no. 3635; Abu Daud no. 4183]


5. Hadith yang bersifat Khuliqiyyah (Akhlak) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam seperti sifat bercakap,malu, senyum, berjalan dan sebagainya. Antara hadith dalam kategori ini ialah: 

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعِيدُ الْكَلِمَةَ ثَلاَثًا لِتُعْقَلَ عَنْهُ
Daripada Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sering mengulang perkataannya hingga tiga kali agar dapat difahami."[Riwayat Al-Tirmizi no. 3640]


Definisi Al-Sunnah


Al-Sunnah secara bahasa bermaksud Al-Tariqah atau Al-Sirat iaitu jalan sama ada yang baik mahupun yang buruk. Contohnya dalam hadith ketika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menyeru para sahabat untuk memberikan sedekah kepada Arab Badui :


فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الإِسْلامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ


Kemudian Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Barang siapa dapat memberikan jalan (suri tauladan) yang baik dalam Islam, lalu jalan (suri tauladan) tersebut dapat diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa memberikan jalan (suri tauladan) yang buruk dalam Islam, lalu jalan (suri tauladan) tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikitpun”. [Riwayat Muslim no. 1017]




Sunnah disisi syara’ bermaksud sesuatu yang diperintahkan, dilarang, atau dianjurkan oleh Rasulullah baik sabda mahupun perbuatan. Oleh itu dikatakan bahawa dalil-dalil syara’ itu ialah Al-Quran dan Al-Sunnah bermaksud Al-Quran dan Al-Hadith itu sendiri.

Perbezaan pendapat tentang definisi Sunnah dan hadith terjadi pada segelintir ulama’ sahaja dalam kalangan muhaddithun, fuqaha dan usuliyyin. Jumhur ulama’ berpendapat bahawa Sunnah dan Al-Hadith itu ialah sama sahaja secara dasarnya. [Abu Sahbah, Al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadith]



Al-Sunnah dan Amalan Para Sahabat

Selain daripada pengertian Al-Sunnah yang sedia ada, para ulama’ turut menyebutkan bahawa amalan para Sahabat radhiallahu ‘anhum ajmain turut dinilai sebagai sunnah baik yang diamalkan daripada Al-Quran mahupun hadith Nabi. Ini kerana ia merupakan ijma’ (kesepakatan) dan ijtihad (pendapat berdasarkan kefahaman) para sahabat terhadap sesuatu dalil Al-Quran dan Hadith. [Al-Syatibi, Al-Muwafaqat lil al-Syatibi]

Contohnya sunnah yang diterapkan hasil ijma’ mahupun ijtihad sahabat ialah hukum peminum khamr (Arak), jaminan kerja, pengumpulan Mushaf ketika pemerintahan Khalifah Abu Bakar atas saranan Umar, bacaan satu daripada tujuh ahruf al-Quran dan sebagainya. Ini disebabkan oleh pertimbangan mereka di atas kemaslahatan ummat Islam dan turut diakui oleh para sahabat lain tanpa ada yang menyelisihinya. 

Antara dalil yang menjadi landasan utama amalan sahabat itu sebagai Sunnah ialah sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:


وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلاَفًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ

Dan sepeninggalku (selepas ketiadaanku) nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para Khulafa’ al-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara yang baharu (yang dibuat-buat dalam Agama), karena sesungguhnya semua bid'ah itu adalah sesat." [Riwayat Abu Daud no. 42; Musnad Ahmad 16521]

Dakwaan bahawa sahabat melakukan bid'ah yang dilarang oleh Rasulullah adalah tidak benar sama sekali manakala mereka-reka perkara baharu dalam urusan agama dengan berhujjahkan bahawa sahabat turut melakukan bid'ah merupakan tindakan dan dakwaan yang keterlaluan terhadap sahabat serta wajar dijauhi. 





 والله أعلم بالـصـواب 

Ahad, 9 Jun 2013

Benarkah Terdapat Ganjaran Khas Puasa Di Bulan Rejab




السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Ibadah puasa merupakan ibadah yang begitu dekat di hati Umat Islam baik puasa di bulan Ramadhan mahupun puasa sunat di bulan-bulan yang lain. Puasa sunat sering kali dilakukan sebagai amalan tambahan untuk mendekatkan diri kepada Allah 'azza wa jalla disamping mengharapkan pahala, ganjaran dan kebaikan daripadanya. 

Namun begitu, terdapat segelintir umat Islam yang keliru dengan fadhilat atau ganjaran yang terdapat dalam puasa pada bulan Rejab. Fenomena ini semakin parah dengan tersebarnya riwayat-riwayat dan hadith yang menceritakan pelbagai ganjaran dan kelebihan puasa Rejab dan bulan-bulan lain. Masyarakat awam yang tidak mempunyai kemampuan untuk membezakan antara riwayat atau hadith yang benar atau tidak sudah pasti akan menyangka bahawa semua yang tersebar itu betul. Tambahan ianya baik dan tidak ada apa yang tidak kena dengannya. 

Hakikatnya bukanlah sebegitu. Bukan semua yang kelihatan baik itu benar datangnya dari Islam. Agama Islam merupakan agama yang tertegak di atas dalil-dalil Al-Quran dan Al-Hadith yang tulin keasliannya. Sebagai umat Islam, menjadi tanggungjawab kita untuk meneliti dan menyemak setiap riwayat yang kita temui sama ada ianya benar atau tidak. 

Benarkah puasa di bulan Rejab mempunyai pahala yang khusus? Yang lain dari yang lain? Mari kita perhatikan satu per satu, insyaAllah. 


1. Bulan Rejab adalah salah bulan Haram (suci) 

Firman Allah Ta’ala:


Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa. (At-Taubah 9: 36)


Bulan-bulan Haram adalah Rejab, Zulqaidah, Zulhijjah dan Muharram.

Diriwayatkan oleh  dari Abu Bakrah radhiallahu anhu dari Nabi sallallahu alaihi wa sallam bersabda:


السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ , ثَلاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ : ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ , وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

“Setahun itu ada dua belas bulan, diantaranya (ada) empat bulan Haram, tiga (bulan) berurutan, Dzulqaidah, Dzulhijjah dan Muharam serta Rajab Mudhar yang terdapat di antara (bulan) Jumadi Tsani dan Sya’ban.” [Riwayat Bukhari no. 4662 dan Muslim no.1679]



Bulan-bulan ini dinamakan bulan haram karena dua perkara;

1. Karena pada bulan-bulan ini diharamkan berperang, kecuali musuh memulakannya (perang).

2. Sebagai penghormatan. Maksudnya jika ada perbuatan yang haram dilanggar, maka pada bulan-bulan ini hukumannya lebih berat dibandingkan pada bulan-bulan lainnya.

Oleh karena itu, Allah Ta’ala memperingatkan agar tidak terjerumus dalam kemaksiatan pada bulan-bulan ini, berdasarkan firmanNya: “Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.” QS. At-Taubah: 36, meskipun melakukan kemaksiatan diharamkan dan dilarang pada bulan-bulan ini dan lainnya, akan tetapi pada bulan-bulan ini sangat diharamkan.

ِAs-Syaikh As-Sa’di rahimahullah berkata (dalam tafsirnya) pada hal. 373: “Firman Allah;

فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ


" Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu."


 يحتمل أن الضمير يعود إلى الاثني عشر شهرا، وأن اللّه تعالى بَيَّن أنه جعلها مقادير للعباد، وأن تعمر بطاعته، ويشكر اللّه تعالى على مِنَّتِهِ بها، وتقيضها لمصالح العباد، فلتحذروا من ظلم أنفسكم فيها. ويحتمل أن الضمير يعود إلى الأربعة الحرم، وأن هذا نهي لهم عن الظلم فيها خصوصاً، مع النهي عن الظلم كل وقت، لزيادة تحريمها، وكون الظلم فيها أشد منه في غيرها

Ada kemungkinan dhamir (kata ganti pada ayat tersebut) kembali kepada dua belas bulan. Dengan demikian, Allah menjelaskan bahwa bulan-bulan tersebut telah ditetapkan ketentuannya bagi para hamba-Nya, agar mereka memperbanyakkanya dengan ketaatan (kepadaNya) lalu bersyukur kepada Allah atas rahmat dan kurnia yang Dia berikan kepadanya serta mengarahkannya untuk kebaikan kepada para hamba dan agar tidak melakukan perbuatan aniaya terhadap diri sendiri di dalam bulan tersebut.

Ada kemungkinan dhamir (kata ganti pada ayat tersebut) kembali kepada empat bulan Haram. Ini bererti  ia merupakan larangan khusus bagi mereka untuk berbuat zalim pada bulan-bulan itu, meskipun larangan berbuat zalim berlaku bagi setiap waktu. Karena berat keharamannya (di bulan haram) bertambah dan karena kezaliman pada (bulan-bulan haram) lebih berat dibandingkan dengan bulan-bulan lainnya.”



2. Tiada hadith sahih yang menjelaskan ganjaran khusus puasa Rejab. 

Adapun puasa pada bulan Rajab, tidak ada ketetapan dari hadits yang sahih tentang keutamaan puasa dengan cara khusus atau suatu puasa apapun. 

Maka, apa yang dilakukan sebagian orang dengan mengkhususkan beberapa hari di (bulan rajab) seperti yang tersebar baik dalam masyarakat secara lisan atau internet, contohnya puasa hari pertama ganjaran sekian, puasa hari kedua ganjaran sekian, puasa sepuluh hari, dua puluh hari ganjarannya itu dan ini lalu meyakini keutamaannya dibandingkan dengan (bulan-bulan) lain, adalah tidak ada asalnya dalam agama, dari Al-Quran mahupun hadith yang sahih.

Adapun hadith yang ada ialah tentang saranan berpuasa pada bulan haram dan tidak mengkhususkannya. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:


صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ 

“Berpuasalah di (bulan-bulan) Haram dan tinggalkanlah.” [Riwayat Abu Daud, 2428 dan Dinilai lemah oleh Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Tabyin al-'Ajab تبيين العجب بما ورد في فضل شهر رجب]

Hadith ini sekalipun ia sahih menurut sebahagian ulama' tetap menunjukkan dianjurkannya berpuasa pada seluruh bulan-bulan Haram. Bukan semata-mata pada bulan Rajab. Maka, barangsiapa berpuasa di bulan Rajab ini, lalu dia juga berpuasa di bulan-bulan Haram lainnya, maka itu tidak mengapa. Sedangkan jika dikhusukan berpuasa pada bulan Rajab sahaja dengan fadhilat tertentu, maka tidak dibolehkan.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata:



وأما صوم رجب بخصوصه فأحاديثه كلها ضعيفة، بل موضوعة، لا يعتمد أهل العلم على شيء منها، وليست من الضعيف الذي يروى في الفضائل، بل عامتها من الموضوعات المكذوبات. وفي المسند وغيره حديث عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه أمر بصوم الأشهر الحرم: وهي رجب وذو القعدة وذو الحجة والمحرم. فهذا في صوم الأربعة جميعا لا من يخصص رجبا
“Adapun berpuasa di Bulan Rejab secara khusus, semua hadithnya adalah lemah, bahkan palsu. Sedikitpun tidak dijadikan landasan oleh para ulama'. Dan juga bukan kategori hadith lemah yang dapat diriwayatkan dalam bab amalan utama (fadha'ilul a'mal). Kebanyakannya adalah hadith-hadith palsu dan dusta. Terdapat riwayat yang terdapat dalam Musnad dan (kitab hadits) lainnya dari Nabi sallallahu’alaihi wa sallam, bahawa beliau memerintahkan untuk berpuasa pada bulan-bulan Haram yaitu Rejab, Zulqaidah, Zulhijjah dan Muharram, yang dimaksud adalah anjuran berpuasa pada empat bulan semuanya, bukan khusus hanya pada bulan Rejab.” [‘Majmu’ Fatawa, 25/290]


Ibnu Qayyim rahimahullah berkata: 


كل حديث في ذكر صيام رجب وصلاة بعض الليالي فيه فهو كذب مفترى


“Semua hadith yang menyebutkan puasa Rejab dan solat pada sebahagian malamnya (malam Rejab) adalah kebohongan yang diada-adakan.” [Al-Manar Al-Munif, hal. 96]


Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:

 لم يرد في فضل شهر رجب، ولا في صيامه ولا صيام شيء منه معين، ولا في قيام ليلة مخصوصة فيه حديث صحيح يصلح للحجة  


 “Tidak ada hadits sahih yang layak dijadikan hujjah tentang keutamaan bulan Rajab, tidak juga dalam puasanya atau puasa tertentu , begitu juga (tidak ada) qiyamullail tertentu di dalamnya." [Tabyin al-'Ajab, hal. 11]


Syaikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

وصيام رجب ليس له فضل زائد على غيره من الشهور، إلا أنه من الأشهر الحرم، ولم يرد في السنة الصحيحة أن للصيام فضيلة بخصوصه، وأن ما جاء في ذلك مما لا ينتهض للاحتجاج به 

“Puasa Rejab tidak ada keutamaan tambahan dibandingkan dengan (bulan-bulan) lainnya. Hanya saja ia termasuk bulan Haram. Tidak ada dalam sunnah yang sahih bahawa berpuasa Rejab mempunyai keutamaan khusus. Adapun (hadith) yang ada tentang hal itu, tidak dapat dijadikan hujjah.” [Fiqh Sunnah, 1/383]


Berkata Imam al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali:

فأما الصلاة فلم يصح في شهر رجب صلاة مخصوصة تختص به والأحاديث المروية في فضل صلاة الرغائب في أول ليلة جمعة من شهر رجب كذب وباطل لا تصح وهذه الصلاة بدعة عند جمهور العلماء

“Adapun berkaitan solat, maka tidak sahih sebarang solat yang khusus dilakukan dalam bulan Rejab. Hadith-hadith yang diriwayatkan berkaitan kelebihan puasa solat raghaib pada awal malam jumaat dalam bulan Rejab ialah dusta dan batil. Tidak sahih sama sekali. Solat ini adalah bid’ah menurut majoriti ulama’.”


Kemudian beliau menjelaskan berkaitan puasa Rejab:

وأما الصيام فلم يصح في فضل صوم رجب بخصوصه شيء عن النبي صلى الله عليه وسلم ولا عن أصحابه ولكن روي عن أبي قلابة قال: في الجنة قصر لصوام رجب


“Adapun puasa maka tidak sahih tentang kelebihan puasa Rejab yang dikhususkan sesuatu pun daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, tidak juga daripada para Sahabatnya. Tetapi diriwayatkan daripada Abi Qilabah, dia berkata bahawa di syurga terdapat istana bagi mereka yang berpuasa Rejab.”

Kata-Kata Abi Qilabah ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman dan Fadhail al-Awqat. Al-Baihaqi berkata: “Riwayat ini sekalipun mauquf kepada Abi Qilabah namun dia termasuk dalam kalangan kibar al-Tabi’in dan sesuatu sebegini tidak akan disebut melainkan ianya disampaikan oleh mereka yang berada diatasnya daripada orang yang diturunkan wahyu buatnya. Dan Allah sebaik-baik pemberi taufiq.” [Syu’ab al-Iman 5/337]

Namun begitu, riwayat mauquf ini bercanggah dengan kenyataan majoriti ulama’ dan tidak dijumpai sebarang riwayat daripada sahabat Nabi yang menyatakan apa-apa fadhilat khusus berkaitan puasa Rejab. Kerana itu, tidak boleh dithabitkan secara pasti fadhilat puasa Rejab. 


Dianjurkan Berpuasa


Berpuasa pada bulan Rejab tidaklah salah bahkan dianjurkan syarak. Yang dilarang oleh para ulama’ ialah mengkhususkan puasa pada bulan Rejab sahaja dan mengabaikan puasa pada bulan Haram yang lain. Disunatkan puasa pada bulan Rejab dan Sya’ban serta keseluruhan bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) menurut mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie. [Al-Fiqh 'ala al-Mazahib al-Arba'ah 1/507]

Dianjurkan berpuasa tanpa menyandarkan sebarang fadhilat khusus yang thabit daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.



 والله أعلم بالـصـواب 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik