بسم الله الرحمن الرحيم
Dalam solat Jahriyah (yakni solat yang bacaannya dibaca dengan kuat iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak-pen) setelah imam membaca Al-Fatihah, dia diam untuk memberikan kesempatan kepada makmum membaca surah Al-Fatihah. Adakah perkara itu disunnahkan bagi Imam untuk saktah (diam) dengan diam yang sebenar-benarnya atau adakah ketika itu dia membaca surah dalam Al-Quran atau bertasbih secara sir (perlahan)?
Adakah perbuatan ini berdasarkan daripada syara’ atau adakah ulama’ yang menyebutkan pendapat ini?
Imam An-Nawawi rahimahullah menjawab:
Dalam keadaan saktah (imam diam) ini bagi Imam untuk berzikir, berdoa, atau membaca Al-Quran secara sir (diam). Menurut pendapatku, membaca Al-Quran pada ketika itu lebih utama kerana memang ketika itulah tempatnya (untuk membaca Al-Quran).
Adapun alasan yang menunjukkan bahawa sebaiknya imam melakukan hal yang demikian yakni membaca Al-Quran, berdoa atau berzikir dan bukannya diam yang sebenar-benar diam kerana tidak ada waktu diam bagi Imam (ketika waktu solat berdasarkan syara’).
Begitu juga hujah diatas berdasarkan qiyas iaitu diqiyaskan dengan keharusan Imam membaca Al-Quran sewaktu makmum menunggu untuk solat Khauf. Jika orang bertanya: “Mengapa ianya disebut saktah (diam) sedangkan disitu Imam diperintahkan untuk membacakan Al-Quran atau berzikir?”
Jawab: Ianya (istilah diam) tersebut tidaklah terlarang (tidak salah) sebagaimana halnya sesudah takbiratul ihram juga dinamakan saktah (diam) padahal ketika itu disunnahkan untuk membaca doa iftitah.
Diriwayatkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari dan Sahih Muslim:
Daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku bertanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, Wahai Rasulullah, engkau diam seketika di antara takbiratul ihram dengan Al-Fatihah itu, apakah yang engkau baca?”
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Aku membaca
اللَّهُمَّ
بَاعِدْ بَيْنِى وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ
وَالْمَغْرِبِ ، اللَّهُمَّ نَقِّنِى مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ
الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ
وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Ya Allah, jauhkanlah antara aku dan dosaku sebagaimana engkau menjauhkan antara timur dan barat. Ya Allah sucikanlah aku dari dosa-dosaku sebagaimana sucinya kain putih dari kotoran. Ya Allah besihkanlah kesalahanku dengan air, salji dan air sejuk” [Riwayat Al-Bukhari no. 744 dan Muslim no. 1382]
Ianya
dinamakan saktah (diam) padahal Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam membaca
doa iftitah. Memang ketika itu merupakan waktu diam jika dibandingkan dengan
bacaan jahr (secara kuat) sebelum dan sesudah doa iftitah.
Ulama’
yang menyebutkan masalah ini ialah As-Syaikh Abul Faraj As-Sarkashi rahimahullah
di dalam kitabnya Al-Amaali. Dia berkata di dalam kitab itu:
“Di dalam waktu diam (diam sejenak selepas Imam membaca Al-Fatihah) disunnahkan berdoa dengan doa yang disebutkan di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu: “Allahumma baa’id…hingga akhir ayat.”
Pendapat As-Sarkashi
rahimahullah ini bagus namun pendapat yang rajah ialah pada ketika saktah
(diam) Imam iaitu setelah membaca Al-Fatihah maka hendaklah dia membaca ayat
Al-Quran dengan sir seperti yang telah kami sebutkan sebelumnya.
Jika ada orang bertanya
bahawa berdoa dan membaca Al-Quran pada ketika itu tidak disebutkan di dalam
riwayat yang bersumberkan daripada Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, maka
bagaimanakah hal tersebut?
Jawabnya ialah sebagaimana
tidak adanya dalil yang menetapkan sedikian maka tidak ada pula dalil yang
meniadakan atau dalil yang melarangnya. Oleh kerana itu masalah ini ialah
masalah yang tidak ada nasnya dan terhadap masalah yang tidak mempunyai nas
maka dilakukan qiyas seperti yang kami sebutkan tadi.
Wallahua’lam.
[ Fatawa Al-Imam An-Nawawi Al-Musamma bi Masaail
al-Manthuurah bab
الحديث على السكتة بعد الفاتحة في حق الإمام ]
والله أعلم بالـصـواب