Habbatus
sauda (black seed), jintan hitam atau apa sahaja nama baginya merupakan herba
yang terkenal dan digunakan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lagi.
Ianya mengandungi pelbagai khasiat dan sering digunakan untuk tujuan perubatan.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan adanya hadith-hadith yang menyebutkan tentang
kelebihan habatus sauda itu sendiri disisi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi
wasallam.
Cuma yang menjadi isu ialah salah faham sebahagian masyarakat yang mengatakan habbatus sauda merupakan ubat bagi apa sahaja jenis penyakit hingga ada yang memburuk-burukkan perubatan moden dan mendakwa berpada dengan mengambil habbatus sauda untuk menyembuh apa jua penyakit.
Cuma yang menjadi isu ialah salah faham sebahagian masyarakat yang mengatakan habbatus sauda merupakan ubat bagi apa sahaja jenis penyakit hingga ada yang memburuk-burukkan perubatan moden dan mendakwa berpada dengan mengambil habbatus sauda untuk menyembuh apa jua penyakit.
Saya ditanya oleh Doktor Rafidah daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS),
Temerloh yakni salah seorang ahli dalam team MedTweetMy yang merupakan pakar buah pinggang berkenaan isu ini. Tulisan
ini cuba untuk menjelaskan aspek hadith, maksud hadith menurut pandangan ulama’
silam dan menjernihkan salah faham yang berlaku.
Tulisan ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan isu habbatus sauda memudharatkan apa jua jenis penyakit tertentu sebaliknya hanya ingin fokus kepada makna dan syarahan para ulama' mengenai hadith habbatus sauda yang disalah fahami.
Hadith
yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus sauda
ialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah
sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
فِي
الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ
“Pada
habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat
Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]
Dari sudut kesahihan hadith ini, maka tidak
ada sebarang keraguan ianya memang hadith sahih. Maka inilah yang menjadi
konflik bahkan mungkin “perang” antara masyarakat dan doktor. Bagi doktor,
habbatus sauda boleh memberikan kemudharatan bagi beberapa jenis penyakit dan tidak sesuai digunakan, atau mungkin boleh digunakan dengan pemantauan, dos yang ditentukan dan sebagainya. Sedangkan disisi masyarakat pula, habbatus sauda
merupakan antara ubat yang paling baik tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi
wasallam sendiri mengatakan ianya penawar bagi segala penyakit. Tidak mungkin
kita menolak perubatan Nubuwwah dan mengutamakan perubatan moden daripada apa
yang Nabi amalkan sendiri.
Maka
berlakulah perkara yang tidak elok yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat
seperti label-melabel, merendahkan, memaki-hamun dan mengutuk doktor. Ada yang
mengatakan doktor menolak hadith Nabi, doktor agen yahudi/kafir, doktor
terpengaruh ilmu perubatan sains barat dan tidak arif perubatan Islam, doktor
jahil dan sebagainya gelaran yang bagi saya tidak patut dilemparkan sebegitu.
Saya
bukanlah ingin membela para doktor dan menentang perubatan Nubuwwah walaupun
saya sebahagian daripada keluarga MedTweetMy. Tulisan ini untuk menjelaskan
dari sudut Islam menurut pandangan ulama’ silam apakah maksud sebenar hadith
itu agar kita semua jelas mengenainya dan mudah-mudahan tidak ada lagi
perbalahan antara masyarakat dengan doktor.
Salah Faham Makna Hadith
Ya,
inilah yang berlaku dalam masyarakat.Walaupun hadith itu sahih, namun kefahaman
kita terhadap hadith itu belum tentu sahih. Salah faham terhadap makna hadith
sering kali menjadi punca perbalahan bukan sahaja masyarakat awam malah
golongan agama sendiri. Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan
sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah
lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri
menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi
sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa.
Mari kita lihat makna sebenar hadith ini
dan perbahasan ulama’ mengenainya.
Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H)
berkata:
“Disebutkan
bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ianya boleh
dijadikan ubat dengannya (yakni habbatus sauda). Sesungguhnya ia bermanfaat
bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).”
[Fath
Al-Bari 10/144]
Imam Ibn Jauzi (wafat 597H) berkata:
“Sebahagian
ulama’ mengatakan bahawa lafaz “kullu” (semua –penyakit-) disini ialah lafaz
umum yang membawa makna khusus sebagaimana firman Allah (tentang burung yang
berkata kepada Nabi Sulaiman) “Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan
yang memerintah mereka dan telah diberikan kepadanya semua benda dan dia juga mempunya singgahsana/istana yang
agung. ” [An-Naml:23]...” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]
Ayat ini
berkaitan seekor burung Hud-hud yang mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman tentang Ratu/Puteri Balqis di negara Saba'. Makna lafaz kullu (semua) dalam surah An-Naml tersebut bukanlah bermakna
seluruh benda yang ada di dunia telah dimiliki oleh Raja Balqis sebaliknya ia bermaksud dia
mempunyai kemewahan dunia yang diperlukannya untuk memerintah sesebuah
kerajaan. [Tafsir Ibn Kathir 6/186]
Imam
Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan bahawa lafaz kullu (semua) yang dimiliki
oleh Puteri Balqis tersebut ialah lafaz mubalaghah iaitu semua yang diperlukannya sebagai pemerintah kerajaan. [Tafsir
Al-Qurtubi 13/184]
Mubalaghah ialah lafaz hiperbola yakni ucapan kiasan
yang yang berlebih-lebihan untuk memperoleh kesan tertentu [kamus dewan
edisi-4]
Inilah
yang dimaksudkan dengan lafaz umum tetapi membawa makna khusus. Ianya uslub
lafaz yang dibincangkan dalam ilmu usul fiqh. Jika ingin memahami lebih lanjut
mengenai lafaz sebegini, sila membaca karya-karya usul fiqh, insyaAllah.
Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit
sejuk yang diucapkan oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sebelumnya? Ianya
bermaksud penyakit yang berkaitan dengan cuaca sejuk atau lembab yang mana
sesuatu dirawat dengan habbatus sauda kerana sifatnya yang panas.
Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan:
“Yang
dimaksudkan dalam hadith itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit
berkaitan lembab, berkahak yang mana habbatus sauda’ itu sifatnya panas dan
kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]
Begitulah yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi
(wafat 676H) ketika membahaskan hadith ini bahawa habbatus sauda tidak sesuai
pada penyakit tertentu seperti penyakit berkaitan sejuk. Katanya lagi:
“Sesungguhnya
Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan sebegini berdasarkan apa
yang disaksikannya pada kebiasaan keadaan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum” [Syarh
An-Nawawi ‘ala Muslim 14/196]
Kesimpulan
Hadith
ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus
sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua
penyakit yang ada dimuka bumi ini. Semua penyakit yang dimaksudkan disitu ialah
penyakit yang berlawanan sifatnya dengan habbatus sauda’ yakni sakit yang
berkait dengan elemen sejuk seperti demam sejuk, selsema dan sebagainya. Itulah
yang disebutkan oleh para ulama’ silam.
Adapun
apa yang dikatakan oleh para doktor bahawa habbatus sauda mampu memberikan
kesan/ menambah mudharat atau tidak sesuai dengan penyakit-penyakit tertentu,
maka ianya bukanlah bertentangan dengan hadith diatas. Nasihat saya, ikutlah
nasihat doktor pakar. Jika benar habbatus sauda tidak sesuai dengan penyakit
yang dihidapi bahkan boleh memberikan mudharat, maka ianya bukan lagi menjadi keperluan untuk diamalkan kerana mengelak mudharat yang lebih besar itulah yang lebih utama yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith yang
diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu:
لاَ
ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat bahaya dan menimbulkan bahaya”
[Riwayat Ibn Majah no. 2430]
Ini juga bertepatan dengan kaedah syarak
yang disebutkan oleh para usuliyyin:
در المفاسد مقدم على جلب المصالح
“Menghalang kerosakan didahulukan daripada mengambil
maslahat”
كل سبب يفضي إلى الفساد نهى عنه إذا لم يكن فيه مصلحة راجحة
“Setiap sebab yang membawa kepada kerosakan
dilarang daripadanya jika ianya tidak mempunyai maslahat yang kukuh.”
Tambahan pandangan daripada Doktor #MedTweetMy:
Jika ingin mengamalkan habbatus sauda, pastikan ianya habbatus sauda yang asli (dalam bentuk serbuk yang 100% tulen), tidak diproses/bercampur dengan bahan lain dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika mengambil habbatus sauda dalam bentuk pil/kapsul, pastikan ianya telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada pil-pil habbatus sauda yang telah dicampur dnegan bahan-bahan lain yang boleh memudharatkan.
Habbatus sauda tidak bersalah, yang bersalah mungkin kefahaman dan cara pengambilan kita.
Wallahua’lam
_____________
Ad-Dien Abdul Kadir
Ad-Hoc MedTweetMy
Jumaat _ 25/03/2016