Cari Entri WADi

Ahad, 18 Disember 2011

Asma' binti 'Umais, Rela Berhijrah Kerana Allah


Nama penuhnya ialah Asma' binti 'Umais bin Ma'ad bin al-Harith bin Taym bin Ka'ab bin Malik bin Quhafah bin 'Amir bin Rabi'ah bin 'Amir bin Muawiyah bin Zaid bin Malik Bin Bishr bin Wahabullah bin Syahran bin'Afras bin Khalaf bin Aftal. Ibunya pula bernama Hind binti 'Auf bin Zuhair. Asma juga dikenali sebagai ummu Abdillah.  Beliau antara golongan terawal yang memeluk Islam bersama-sama dengan suami tercinta Ja'afar bin Abi Talib. Sebagai golongan terawal yang memeluk Islam maka sudah semestinya beliau dan suami menghadapi cubaan dan tentangan yang hebat dari golongan msuyrikin Makkah. Bukan sahaja dihina malah merek juga dipukul dan disakiti oleh penduduk setempat. Disebabkan itu, Rasulullah s.a.w mencadangkan agar Asma' dan suaminya berhijrah sementara untuk mendapatkan perlindungan di Habsyah. 

Selepas Baginda mencadangkan penghijrahan kepada Asma', suaminya dan sahabat yang lain ke Habsyah, mereka semua beretuju dengan cadangan tersebut kerana raja yang memerintah Habsyah ketika itu ialah Raja Najasyi merupakan seorang raja yang baik, adil dan tidak kejam. Oleh itu mereka boleh meminta perlindungan daripada raja tersebut agar tidak diseksa dan dicederakan lagi oleh penduduk musyrikin Makkah. Dianggarkan hampir 80 orang yang berhijrah ke Habsyah. (Fiqh al-Sirah : Dr Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti)

Melihat keadaan itu, penduduk Musyrikin Makkah menghantar utusan ke Habsyah untuk bertemu dengan Raja Najasyi. Mereka meminta agar penduduk yang berhijrah itu diusir daripada Habsyah. Untuk menjayakan rancangan kotor itu, mereka menawarkan pelbagai hadiah kepada raja sebagai imbuhan atau rasuah kepadanya. Raja Najasyi merupakan seorang raja yang bijak dan tidak mudah dipengaruhi begitu sahaja. Beliau tidak terus membuat keputusan namun sebaliknya beliau ingin mendengar penjelasan daripada rombongan Islam terlebih dahulu mengenai tujuan penghijrahan mereka dan perihal agama yang baru mereka anuti iaitu Islam. 

Suami Asma' iaitu Ja'afar bin Abi Talib merupakan ketua rombongan lantas bangun seraya berucap dihadapan Raja Najasyi. 

" Sebenarnya kami sewaktu masa dahulu menyembah patung berhala, makan bangkai, berperang, menindas, melakukan kejahatan dan kezaliman sehinggalah Allah s.w.t mengutuskan seorang rasul dalam kalangan kami juga. Rasul yang diutuskan olehNya memang sudah terkenal dalam kalangan kami sebagai seorang insan yang jujur, amanah, bercakap benar, berakhlak mulia dan bersifat dengan sifat yang terpuji. Beliau menyeru kepada kami semua agar meninggalkan penyembahan berhala yang tidak mempunyai apa-apa kuasa, berbuat baik kepada jiran tetangga, meninggalkan kejahatan dan peperangan lantas seruannya menyedarkan kami dan kami menerimanya dengan berlapang dada dan hati yang terbuka. Namun kaum kami sering jali  menyakiti dan menyeksa kami agar kami kembali kepada ajaran penyembahan patung berhala dan membuat kejahatan seperti sebelumnya. Disebabkan itu kami datang berhijrah ke negara Tuanku untuk mencari perlindungan dengan harapan kami diterima disini dari seksaan dan kezaliman mereka semua.

Ja'afar kemudian membaca ayat-ayat awal dari surah Maryam kepada Raja Najasyi. Apabila beliau mendengar bacaan itu, maka bergegarlah hatinya dan bercucuran air mata membasahi pipi dan janggutnya lalu berkata : Sesungguhnya apa yang engkau baca tadi adalah sama dengan apa yang dibawa oleh Isa a.s. Raja Najasyi kemudian mengucap syahadah dan memeluk agama Islam. Beliau kemudian mengusir wakil musyirikin Makkah dan membenarkan rombongan Islam itu untuk berlindung di negaranya. Asma' dan suaminya Ja'afar tinggal di Habsyah selama 15 tahun dan sepanjang tempoh itu mereka dikurniakan Allah dengan tiga orang cahaya mata iaitu Abdullah, Muhammad dan 'Aun. Abdullah merupakan bayi Muslim pertama yang lahir di Habsyah. (Nisa' Hawla al-Rasul; Muhammad Ali Qutb ms 213)

Setelah keadaan mengizinkan dan aman damai, Umat Islam yang berada di Habsyah pun berhijrah ke Madinah al-Munawwarah. Mereka menghadapi cubaan dan dugaan yang amat sukar untuk merentasi padang pasir yang panas dengan jarak yang jauh untuk kali keduanya selepas hijrah mereka yang pertama ke Habsyah. Semua itu ditempuhi dengan tenang dan sabar semata-mata kerana Allah s.w.t. Namun, setelah mereka selamat tiba di Madinah, ada suara-suara kecil yang memperlekehkan mereka kerana mereka bukanlah golongan awal atau pertama yang berhijrah ke Madinah sebagaimana golongan yang turut serta dengan Rasulullah s.a.w. Mereka berasa sedih kerana hijrah mereka diperkecilkan sedemikian rupa dan tidak dihargai setelah mengharungi penat lelah merentas padang pasir dari Habsyah. 

Asma' turut berasa sedih lalu mengadu kepada Rasulullah s.a.w perihal tersebut. Baginda berkata kepada Asma': "Bagi orang lain hanya satu hijrah tetapi bagi kamu semua dua Hijrah iaitu ke Habsyah dan Madinah". Bukan itu sahaja malah Baginda turut berasa gembira dan menyambut kehadiran mereka semua. Kebetulan ketika mereka sampai di Madinah, Baginda dan yang lain-lainnya sedang meraikan kemenangan dalam perang Khaibar. Oleh kerana berasa gembira dengan kehadiran mereka dari Habsyah, baginda bersabda: 

"Aku sendiri pun tidak tahu yang mana satukah yang aku lebih gembira, sama ada pembukaan Khaibar ataupun kedatangan Jaafar (ketua rombongan dari Habsyah)"

Asma' kemudian diuji Allah dengan kematian suaminya Ja'afar dalam peperangan Mu'tah dimana dia menjadi ketua penglima perang tersebut. Asma' berasa luluh dan sedih sekali kerana dia amat menyayangi suaminya itu. Mereka telah menempuh suka duka dan dugaan bersama-sama sejak di Makkah, Habsyah dan Madinah. Namun begitu Asma' tetap bersabar dan menerima ketentuan Ilahi dengan redha. Ketika keluarga Asma' diselubungi kesedihan, Rasulullah s.a.w bersabda :

"Buatlah makanan untuk keluarga Jaafar, sesungguhnya telah mendatangi mereka sesuatu yang menyibukkan mereka daripada menyediakannya "

Anjuran ini bermaksud seharusnya jiran tetanggalah yang menyediakan makanan dan meringankan beban keluarga si mati kerana mereka baru sahaja ditimpa musibah dan ujian Allah s.w.t disamping dalam kesedihan. Hari ini sebaliknya dimana keluarga si mati pula yang menjamu orang ramai. Sudahlah berada dalam kesedihan dan musibah kemudian terpaksa menjamu orang lain pula. Bukankah itu bertentangan dengan Islam dan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah dan para sahabat? Bukankah itu membebankan keluarga si mati dan dibimbangi memakan harta anak yatim?. Tidak kah anda berfikir..?

Selepas Peristiwa Hunain, Rasulullah s.a.w mengahwinkan Asma'  dengan sahabat baik baginda yang terkenal iaitu Abu Bakar as-Siddiq kerana ketika itu Abu Bakar kehilangan isterinya bernama Ummu Ruman. Mereka berdua pun hidup bahagia dan dikurniakan anak bernama Muhammad bin Abu Bakar. Mereka berdua saling sayang menyayangi sehingga ketika Abu Bakar hampir wafat, beliau mewasiatkan agar Asma' yang memandikan jenazahnya. Asma' kemudian menerima lamaran Sayyidina Ali r.a. selepas beliau kematian isterinya iaitu Fatimah al-Zahra. Maka mereka berdua pun berkahwin dan hidup berbahagia bersama anak-anak tercinta. 

Asma' dikhabarkan meninggal sebelum tahun 65H kerana ulama tidak bersepakat akan tarikh sebenar kewafatannya. Imam al-Zahabi menyatakan bahawa Asma' meninggal selepas kewafatan Ali r.a manakala al-Zarkali pula berpendapat Asma' meninggal pada tahun 40H. Ada juga berpendapat beliau meninggal tahun 60H. Walaubagaimanapun, perjalanan hidupnya amat mengagumkan dan seharusnya menjadi suri tauladan dan iktibar kepada muslimat, wanita Islam diluar sana, insyaAllah.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik