Cari Entri WADi

Ahad, 11 Disember 2011

Kisah Doa Tiga Pemuda Di Dalam Gua


Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Khattab r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersadba: 

Dahulu ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian dengan tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka bertiga tidak dapat keluar dari gua. Salah seorang daripada merek berkata : 'Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana ini kecuali apabila kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan'


Kasihkan Ibubapa

Salah seorang daripada mereka kemudian berdoa : 'Ya Allah, saya mempunyai ibu dan ayah yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu buat mereka dahulu sebelum saya berikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari, saya terlambat balik daripada mencari kayu api dan saya dapati kedua-dua ibubapa saya telah pun tidur. Saya terus memerah susu untuk ibubapa saya minum. Oleh kerana mereka telah tidur, saya tidak mahu mengejutkan mereka supaya bangun kemudian saya berjanji dalam diri tidak akan memberi minum susu itu kepada keluarga mahupun anak-anak saya sehingga ibubapa saya bangun dari tidur.'

'Saya menunggu dengan sabar namun mereka tidak juga terjaga dan bangun. Ketika sedang menunggu mereka, anakku menangis dan datang kepadaku kerana inginkan susu namun aku tetap berpegang kepada janjiku iaitu tidak akan memberi minum kepada sesiapa jua sehingga ibubapaku minum. Setelah mereka berdua bangun, maka ku berikan keduanya minum susu tersebut. Ya Allah, jika saya berbuat begitu kerana mengharapkan wajahMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.' Maka dengan tiba-tiba bergeraklah sedikit batu tersebut namun masih belum cukup untuk membolehkan mereka keluar dari gua.


Ku Tolak Zina

Orang yang kedua kemudian berdoa pula dengan merayu dan bermunajat kepada Allah sebagaimana orang pertama tadi. 'Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai sepupu perempuan yang sungguh cantik dan aku mencintainya. Aku seringkali mengajaknya berzina denganku tetapi dia sering menolaknya. Suatu hari dia ditimpa kesusahan dan meminta bantuan kepadaku. Lalu aku berikan kepadanya 120 dinar dengan syarat dia berzina denganku. Oleh kerana terdesak maka dia pun bersetuju. Ketika kami hampir melakukan perbuatan yang terkutuk itu dan aku berada di antara kedua-dua belah kakinya, dia lalu berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah engkau melakukannya melainkan dengan cara yang benar dan halal. 

Aku kemudian tersentak kerana terdengar kalimah Allah darinya. Nafsuku menurun dan aku lantas meninggalkannya dengan wang tersebut padahal dia seorang yang amat aku cintai. Wahai Allah, jika saya meninggalkan zina kerana takut kepadaMu dan mengharap redhaMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini. ' Tiba-tiba batu itu bergerak sedikit namun masih belum membolehkan mereka bertiga keluar dari gua itu.


Gajimu Seluruh Harta Ini

Orang yang ketiga pula berdoa: 'Ya Allah, saya telah menggaji beberapa orang pekerja dan  semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang pekerja yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gajinya itu saya laburkan dalam penternakan sehingga lama-kelamaan ternakan itu menjadi banyak dan beranak-pinak. Beberapa tahun kemudian bekas pekerja saya itu datang dan menuntut gajinya suatu masa dahulu. Saya pun memberikan segala hasil penternakan berupa lembu, kambing unta dan juga pengembala itu sebagai gajinya tanpa mengurangkan sedikit pun kerana penternakan itu adalah dari gaji asalnya. Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan itu kerana mengharapkan redhaMu, maka gerakkanlah batu itu.' Maka batu itu pun bergerak sepenuhnya dan mereka dapat keluar dari gua tersebut. 

(Riwayat al-Bukhari no.2272, Muslim no.2743 dan Ahmad 2/116)


Pengajaran :

1. Kita dituntut supaya memanjatkan doa pada saat-saat genting dan sukar atas dasar melaksanakan perintah Allah.

"Dan Tuhanmu berfirman" Berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan bagimu"(Ghafir:60)

2. Jalinkanlah hubungan dengan Allah dengan cara yang dianjurkan oleh syariat iaitu dengan amal yang soleh.

3. Taqwa merupakan jalan penyelamat terutama apabila kita berada dalam kesukaran

"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar" (al-Talaq: 2)

4. Keutamaan berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah lebih daripada yang lain.

5. Ijarah (upah), merupakan suatu akad yang dituntut dalam Islam untuk memperoleh manfaat tertentu dengan bayaran yang setimpal.

"Kemudia jika mereka menyusukan anak-anakmu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya" (al-Talaq: 6)

Rasulullah s.a.w bersabda : "Ada tiga golongan yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat antaranya : Seeorang yang mengupah manusia namun setelah selesai tidak dibayar upahnya" (riwayat Bukhari no.2227)

6. Menepati janji merupakan tanda kesempurnaan iman.
7. Seseorang Muslim bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan kepadanya.
8. Amalan berlapang dada dalam urusan pergaulan dengan orang lain
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik