Isu perancang kehamilan adalah sesuatu yang tidak asing lagi di zaman ini sekalipun di negara-negara Islam seperti di Malaysia. Dalam era serba moden ini manusia semakin bijak menyelusuri kehidupan dalam apa jua perkara termasuklah merancang keluarga sama ada untuk kebaikan atau untuk keburukan. Seperti yang hangat diperkatakan, kehamilan seseorang wanita boleh dirancang dengan menggunakan kaedah moden seperti pil perancang, suntikan, implanon dan sebagainya. Timbul persoalan apakah hukum merancang kehamilan bagi wanita?
Terlebih dahulu meneliti apakah pandangan Islam terhadap perkara tersebut, marilah kita sama-sama memahami beberapa definasi dan pengenalan berikut :
1 - TANZIM AL-USRAH ( تنظيم الاأسرة ) : Ertinya : Merancang Keluarga , seperti dengan cara berjimak dengan isteri pada tarikh dan masa yang tertentu , ataupun dengan cara selainnya dengan tujuan untuk menyusun jadual kehamilan mengikut kehendak sepasang suami – isteri . Nama lain bagi Tanzim Al-Usrah ini ialah “ Tanzim An-Nasal “ ( تنظيم النسل ) yang bererti : Merancang Kelahiran . Ianya dilakukan menurut tempoh tertentu , bukannya secara kekal.
2 – TAHDID AN-NASAL ( تحديد النسل ) : Ertinya : Membatasi Kelahiran , seperti alat kelamin lelaki ataupun perempuan dimatikan fungsinya , sehingga tidak boleh menghasilkan sperma yang boleh menyebabkan seseorang zuriat itu lahir. Nama lain bagi proses ini ialah “ Tahdid Al-Usrah “ ( تحديد الأسرة ) yang bermakna : Membatasi Keluarga . Di dalam kitab-kitab Fiqh klasik , istilah untuk proses yang sama seperti ini dinamakan sebagai “ At-Taa’qim “ ( التعقيم ) ertinya : Proses Pemandulan . Kalau untuk binatang diertinkan sebagai : Proses Pengkasian . Proses pemandulan ini @ membatasi keturunan ini dilakukan untuk jangka masa yang kekal-abadi.
3 - ‘AZAL ( العزل ) : Proses menahan ataupun menghalang mani lelaki daripada masuk ke dalam rahim wanita , samada dengan cara menumpahkannya , ataupun dengan memakai kondom dan seumpamanya. Dilakukan agar wanita tersebut tidak hamil.
..............................................................................................................
TANZIM AL-USRAH ( تنظيم الاأسرة ) : MERANCANG KELUARGA
Walaupun Islam sememangnya mahukan umat yang ramai akan tetapi di dalam beberapa ketika, dibenarkan bagi sepasang suami-isteri itu untuk merancang keluarganya iaitu dengan menggunakan sistem di atas.
Tanzim Al-Usrah ini dibenarkan di atas sebab-sebab berikut :
1 – Agar si ibu mempunyai tempoh masa yang cukup untuk menghadapi anak yang akan datang dan tempoh untuk menyusui anak yang pertama itu sempurna selama dua tahun sebagaimana menurut ajaran Al-Quran Al-Karim. Selain itu, dengan menyusun jadual kehamilan bagi tempoh 2-3 tahun bagi setiap kehamilan , lebih memberikan kekuatan dan tenaga kepada si ibu.Lihat dan pelajari Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Al-Baqarah , ayat 233.
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ لَا تُكَلَّفُ نَفْسٌ إِلَّا وُسْعَهَا ۚ لَا تُضَارَّ وَالِدَةٌ بِوَلَدِهَا وَلَا مَوْلُودٌ لَّهُ بِوَلَدِهِ ۚ وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذَٰلِكَ ۗ فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ وَإِنْ أَرَدتُّمْ أَن تَسْتَرْضِعُوا أَوْلَادَكُمْ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِذَا سَلَّمْتُم مَّا آتَيْتُم بِالْمَعْرُوفِ ۗ وَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya. Tidaklah diberatkan seseorang melainkan menurut kemampuannya. Janganlah menjadikan seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan yang tersebut (jika si bapa tiada). kemudian jika keduanya (suami isteri mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). Dan jika kamu hendak beri anak-anak kamu menyusu kepada orang lain, maka tidak ada salahnya bagi kamu apabila kamu serahkan (upah) yang kamu mahu beri itu dengan cara yang patut. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, serta ketahuilah, sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu lakukan. (al-Baqarah:233)
2 – Jika si ibu itu lemah fizikalnya , tidak berupaya untuk selalu bersalin.
3 – Jika si ibu itu ataupun si bapa mempunyai “ penyakit keturunan “ yang boleh menjangkiti si anak yang bakal dilahirkan.
4 – Terdapatnya sebab-sebab ekonomi bagi sesebuah keluarga itu , seperti keadaan susah dan miskin . Perkara ini diistilahkan oleh ulama’ , khasnya oleh Hujjatul Islam , Imam Al-Ghazali (rh) sebagai : “ الخوف من الوقوع في الضيق بسبب كثرة الأولاد “ yang bermaksud : Bimbang terjerumus ke dalam lembah kesusahan disebabkan ramainya anak.
5 – Si ibu itu sememangnya mempunyai penyakit , dan jika dia beranak lagi, penyakit yang dideritai itu akan lambat sembuh , ataupun tidak sembuh ataupun anak yang bakal dilahirkan itu dalam keadaan yang amat sukar.
Apabila terdapatnya salah-satu daripada sebab-sebab di atas , dan ianya disememangnya disahkan oleh orang yang ‘alim di dalam agama , dengan kerjasama daripada seorang pakar perubatan yang amanah , maka Tanzim Al-Usrah ini harus dilakukan menurut pandangan Islam.
............................................................................................
TAHDID AN-NASAL ( تحديد النسل ) MEMBATASI KELAHIRAN :
Proses membatasi kelahiran ini dilakukan dengan cara memandulkan si suami ataupun si isteri agar mereka tidak lagi boleh menghasilkan zuriat di masa yang akan datang. Sama ada ianya dilakukan secara proses pembedahan , ataupun dengan mengambil jenis-jenis makanan tertentu dan seumpamanya.
Walaupun tiada nas yang jelas di dalam Al-Quran , mahupun Al-Hadits yang menyatakan mengenai HARAMNYA MEMBATASI KELAHIRAN ( PROSES PEMANDULAN ) seperti ini , akan tetapi majoriti ulama’ Islam menyatakan perkara itu sebagai HARAM dan DITEGAH OLEH SYARAK .
Namun minoriti ulama’ pula menyatakan bahawa ianya DIBENARKAN OLEH SYARAK berdalilkan firman Allah Ta’ala di dalam Surah Asy- Syura , ayat 50 :
أَوْ يُزَوِّجُهُمْ ذُكْرَانًا وَإِنَاثًا وَيَجْعَلُ مَن يَشَاء عَقِيمًا إِنَّهُ عَلِيمٌ قَدِيرٌ
Ertinya : “ Atau Dia menganugerahkan kedua jenis laki-laki dan perempuan (kepada sesiapa) yang dikehendaki-Nya, dan Dia menjadikan mandul siapa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa “ .
Daripada ayat di atas, maka minoriti ulama’ ini pun mengatakan : “ Jika Allah Ta’ala sendiri memang menciptakan sebahagian manusia itu ada yang mandul disebabkan ada hikmahnya, maka tidaklah salah jika sebahagian manusia itu juga boleh jadi mandul disebabkan ada maslahahnya ( kebaikannya ) “.
Dan sebahagian ulama’ Fiqh membenarkan proses pemandulan ini jika ada penyakit yang berhubungan dengan seks , akal ataupun diri , yang mana telah dikenal-pasti sebagai sakit yang berbahaya lagi tiada ubatnya dan penyakit itu pula boleh menjangkiti anak yang bakal dilahirkan lagi berbahaya.
Namun , setelah diambil-kira semua pendapat ulama’ di dalam hal ini , maka PENDAPAT YANG PALING MENEPATI KEHENDAK SYARIAT ISLAM ITU SENDIRI IALAH : HENDAKLAH DILAKUKAN PROSES PEMANDULAN INI BUAT SEMENTARA WAKTU SAHAJA , BUKANNYA UNTUK SELAMA-LAMANYA . KERANA INSYA-ALLAH ADA PENYAKIT BAGI SETIAP UBAT ITU – KECUALI PENYAKIT AS-SAM : MATI – Dan apabila ditemui ubat tersebut , maka proses pemandulan seperti ini sudah tidak lagi diperlukan. Dan kemungkinan juga , jika sesebuah keluarga itu susah , barangkali di kemudian hari kelak , setelah mereka dikurniakan rezeki daripada Allah Ta’ala secara berlimpah-ruah , di saat itu sudah tentu mereka sangat berhajat kepada zuriat yang ramai . Dan kalaulah mereka melakukan proses pemandulan yang kekal , sudah pasti mereka tidak akan memperolehi zuriat sendiri di kemudian hari. Apatah lagi , proses pemandulan yang bersifat kekal ini adalah satu kezaliman ke atas makhluk Allah Ta’ala yang mana kezaliman merupakan satu perkara yang sangat ditentang dan dilarang oleh Islam !.
................................................................................................
‘AZAL ( العزل ) : MENAHAN SPERMA DARIPADA MASUK KE DALAM RAHIM
Perkara ini sendiri pernah berlaku di masa hidupnya Baginda Rasulullah s.a.w .
عَنْ جَابِرٍ قَالَ كُنَّا نَعْزِلُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَبَلَغَ ذَلِكَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ يَنْهَنَا
Ertinya : “ Daripada Jabir r.a beliau berkata : Kami pernah melakukan Al-‘Azal di zaman Rasulullah s.a.w dan perkara itu sampai ke pengetahuan baginda s.a.w , tetapi Baginda s.a.w tidak pula menegah kami daripada melakukan perkara tersebut “ ~ ( Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Muslim – Kitab An-Nikah – 2610 ) .
Dan bagi seseorang suami tidak dibenarkan melakukan perkara tersebut melainkan dengan redha isterinya , dan tentulah sebuah kebahagian rumahtangga yang diimpikan itu tidak akan menjadi realiti andainya tiada kesefahaman dan redha-meredhai di antara anggota rumahtangga itu.
Wallahu A’alam Bissowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad
RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN :
1 – YASALUNAKA ‘ANID DIN WAL HAYAH – JILID I
‘Allamah Dr. Ahmad Ash-Syarbasi ( Profesor Universiti Al-Azhar )
ms 234 – 243 . Terbitan Darul Jil , Beirut.
2 – FATWA WA AHKAM LIL MARAH AL-MUSLIMAH
‘Allamah Syeikh Atiah Saqr ( Bekas Pengerusi Fatwa Al-Azhar )
ms 221 , Terbitan : Maktabah Wahbah , Cairo.
3 – AL-FATAWA AL-ISLAMIYYAH
‘Allamah Dr. Nasr Farid Wasil ( Bekas Mufti Republik Arab Mesir )
ms 304 . Terbitan : Al-Maktabah At-Tawfiqiah , Cairo.
4 – KATA BERJAWAB 1-5
Al-Fadhil Ustaz Abdul Qadir Hassan ( Guru Pesantren PERSIS Bangil )
Terbitan : Yayasan Al-Muslimun , Bangil, Indonesia.
و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته