Cari Entri WADi

Ahad, 21 Mac 2010

LAUT MERAH YANG TERBELAH & SAINS ARKEOLOGI




Dan (ingatlah), ketika Kami belah laut untukmu, lalu Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan (Fir'aun) dan pengikut-pengikutnya sedang kamu sendiri menyaksikan [Al-Baqarah:50]



Nabi Allah Musa AS dikurniakan Allah sebanyak 9 mukjizat sebagaimana yang direkodkan dalam Al-Qur'an. Antara mukjizat yang dikurniakan itu ialah berupa tongkat yang boleh berubah menjadi ular dan membelah Laut Merah.Adapun bukanlah kuasa tongkat itu yang menyebabkan mukjizat dan bukan juga kuasa Nabi Musa, akan tetapi hakikatnya mukjizat itu didatangkan dari Allah SWT lalu disandarkan ke atas Nabi-Nya sebagai bukti kenabian.













Kisah Nabi Musa membelah Laut Merah untuk menyelamatkan kaumnya dari kezaliman Firaun (dikatakan Ramses II) bukan saja dicatatkan di dalam Al-Qur'an bahkan ada disebut di dalam Taurat orang Yahudi dan Perjanjian Lama (Old Testament) orang Kristian. Para saintis Barat sangat berminat untuk mengkaji peristiwa mukjizat ini dan beberapa teori telah dikemukakan sebagai membuktikan kebenaran mukjizat tersebut.

Jambatan Bawah Laut


Ron Wyatt, seorang ahli arkeologi amatur (bermakna beliau tidak menjalani sebarang disiplin ilmu arkeologi) yang telah membuat dakwaan menemukan tempat-tempat dan artifak seperti yang disebutkan di dalam Bible. Salah satu dakwaan beliau ialah tempat sebenar penyeberangan Laut Merah oleh Nabi Musa dan Bani Israel. Beliau membuat kenyataan dengan mengatakan kawasan sebenar berlaku peristiwa mukjizat tersebut adalah di Teluk Aqabah dan bukannya di Teluk Suez.

Dakwaan ini adalah kesimpulan beliau dari beberapa penemuan yang dilakukan ketika melakukan kajian di Timur Tengah. Antaranya ialah penemuan 'the chariot wheel' yang dikatakan adalah roda kereta kuda tentera Firaun (Ramses II). Beliau juga mendakwa kedudukan Gunung Sinai sebenar adalah di Arab Saudi iaitu di Jabal AL-Lawz kerana di sana terdapat beberapa penemuan yang selari dengan Bible seperti lukisan lembu Samiri di batu-batu, batu besar yang terbelah dua, dan lain-lain lagi.

Wyatt yang mengasaskan Wyatt Archaeological Research (WAR) telah menemukan satu penemuan yang mengejutkan ketika mengkaji Teluk Aqabah, tempat yang didakwanya sebagai tempat peristiwa tersebut. Beliau mendapati bahawa di Teluk Aqabah, terdapat satu kawasan yang airnya jauh lebih cetek dari sekeliling. Kawasan tersebut bermula dari Nuweiba, Mesir. Kelihatan di situ seolah-olah ada jambatan bawah laut yang menghubungkan antara Mesir dan pesisiran Arab Saudi.

Kawasan cetek ini lebih kurang 11 hingga 16 km lebar. Di kawasan yang dalam pula kedalamannya sehingga 3000 kaki di sebelah utara dan 5000 kaki di sebelah selatan. Walaubagaimana pun, Wyatt tidak pula memberi keterangan tentang bagaimana Nabi Musa AS membelah air laut.

Meskipun berjaya melaksanakan banyak penemuan, idea dan dakwaan beliau tidak diterima ahli arkeologi yang tulen. Dakwaan Wyatt dikatakan skeptikal kerana berat sebelah dengan melebihkan Bible dari kajian sains sebenar. Beliau juga melakukan ekskavasi secara tidak sah kerana disyaratkan seseorang itu mestilah sekurang-kurangnya memiliki BA(ijazah) dalam arkeologi. Hal ini menyebabkan dakwaan beliau langsung dicampak ke dalam tong sampah.

Pergerakan Kerak Bumi


Saintis berpendapat mungkin berlakunya pergerakan pada kerak Bumi ketika berlakunya peristiwa Nabi Musa AS membelah Laut Merah. Hal ini berikutan dengan kajian tentang rekahan pada kerak Bumi berhampiran laut di Ethiopia pada September 2005 yang merupakan rekahan yang terbesar sejak satelit digunakan untuk pemerhatian. Rekahan ini berpunca dari pergerakan plat tektonik Arab dan plat Afrika yang saling menjauhi lalu meregangkan kerak Bumi dan melebarkan lagi hujung selatan Laut Merah.

Pemerhatian ini dapat menjelaskan bagaimana plat Bumi terpisah dan bagaimana kerak yang baru terbentuk. Menurut kajian, pemisahan tersebut tidak berpunca dari gempa bumi pada tektonik akan tetapi ia berlaku kerana magma yang berada di bawah tanah mengalir ke tempat rekahan. Tim Wright, saintis dari University of Leeds mengatakan bahawa peningkatan magma pada plat mampu memisahkan benua Arab dan benua Afrika.

Sejak 30 juta tahun lalu, benua Afrika dan Arab telah sekian lama mengalami proses rekahan yang kini membentuk Laut Merah. Dalam tempoh yang lama tersebut, 298 km (186) lebar lekukan Afar (Afar depression) terbentuk. Wright mengatakan bahawa pergerakan plat yang sentiasa berlaku ini lebih kerap setelah munculnya rekahan. Secara puratanya, dua plat tersebut bergerak menjauhi satu sama lain kira-kira 2 cm setiap tahun.
 



Terumbu Karang Dan Tiupan Angin


Naum Volzinger, ahli matematik dari St. Petersburg, Russia dan Alexei Androsov dari Hamburg, Germany telah mengeluarkan kenyataan bahawa peristiwa Nabi Musa AS membelah Laut Merah adalah munasabah menurut sains dan tidak bercanggah dengan hukum fizik. Volzinger yang merupakan penyelidik di St. Petersburg's Institute of Oceanology dan Androsov menggunakan sistem persamaan bezaan (differential equation) untuk menerangkan kemungkinan bagaimana air laut itu terbelah.

Teori mereka menyatakan bahawa terdapat terumbu karang di Laut Merah betul-betul pada tempat yang diseberangi Nabi Musa dan Bani Israil. Zaman dahulu kira-kira 1500 BC, terumbu karang ini masih elok dan lebih hampir dengan permukaan laut berbanding sekarang. Bible menyatakan bahawa ketika berlaku peristiwa itu, angin dari timur bertiup dengan kuat sepanjang malam. Berdasarkan kenyataan itu, mereka membuat persamaan yang mengambil kira kelajuan dan kekuatan angin sehingga mendedahkan dan mengeringkan terumbu karang ketika air surut serta tempoh masa sebelum air laut kembali ke keadaan asal dan kadar kelajuannya.

Menurut pengiraan, Volzinger mengatakan bahawa angin perlu bertiup pada 108 km sejam (67 batu sejam) dengan kelajuan yang sekata membolehkan terumbu karang terdedah di permukaan laut. Beliau menyatakan lagi penyeberangan sepanjang 7 km (4.2 batu) dengan seramai 600,000 orang Bani Israel itu memakan masa selama 4 jam dan setengah jam kemudian air laut kembali ke keadaan asal. Hasil penemuan ini meyakinkan beliau bahawa Tuhan mengatur alam ini tidak lari dari hukum fizik (sunnatullah).

Tiada Bukti Penemuan

Namun begitu, terdapat juga saintis yang menolak peristiwa terbelahnya Laut Merah. Dr Zahi Hawwas, pakar arkeologi Mesir menyatakan bahawa peristiwa ini cuma mitos semata kerana beliau tidak menemukan sebarang bukti ketika menjalankan ekskavasi di utara Sinai. Menurutnya, meskipun perkara ini boleh mengecewakan orang ramai, sebagai ahli arkeologi beliau perlu menyatakan kebenaran.

Beliau juga berteori, sekiranya peristiwa tersebut benar-benar berlaku, maka seharusnya peristiwa Ramses II dan seluruh bala tenteranya ditenggelami Laut Merah direkodkan di dalam dokumen kerajaan Mesir Kuno kerana hal ini merupakan krisis yang besar terhadap kerajaan Mesir. Akan tetapi tiada sebarang dokumen yang ditemui yang merakamkan perkara ini.

Penutup

Suka saya memetik tulisan Sayyid Ahmad Khan, Muslim modernis di India,




For truth cannot contradict truth: therefore there cannot be any discrepancy between the truth of God (of the Qurâan) and of science. Further, the word of God and the work of God (as we get to know it better by the advance of science) cannot contradict each other or be at variance.

Kebenaran itu tidak saling bercanggah: Dengan itu, pastinya tiada sebarang percanggahan antara kebenaran dari Tuhan (Al-Qur'an) dan sains. Justeru, adalah mustahil berlaku percanggahan dan pertentangan antara perkataan Tuhan (Al-Qur'an) dan kerja Tuhan (sains).


Wallahua'lam.

Khamis, 11 Mac 2010

KISAH SAHABAT SEJATI



Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.

"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.

"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.

Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah."
Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"

"Rumah, err.. rumah.. Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke 3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yan gmempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.

Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"

Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.

"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.
Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.
Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"
Zuraida sengih lagi.

"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.

Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang di kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.


semua hati manusia adalah putih pada awalnya



"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan suatu suara kuat.

"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"
"Kami nak ke North Melbourne, are you heading that way as well?" tanya Hayati.

Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.

"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne." Kata Sufiah.

Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.

Zuraidah memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,

"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"

Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.

Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.

Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"

Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.

Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."

Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.

Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.

"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.
Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius.
Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.

Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."
Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."

Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat.
"Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.

Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda.

Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."


The image “http://www.haagen-dazs.com/img_db/pro/pro_vcc_101.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.


Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."
Zuraida tersenyum sahaja.
Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."

Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.

"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.
Hayati mengangguk, "Cakaplah.."
"Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.

Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.


Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.

"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.

"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.

Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."
Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"

"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.

"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.

"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.

"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.

Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. Itulah doa mereka berdua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik