Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Perubatan Islam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perubatan Islam. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Mac 2016

Salah Faham Hadith Habbatus Sauda Ubat Segala Penyakit






Habbatus sauda (black seed), jintan hitam atau apa sahaja nama baginya merupakan herba yang terkenal dan digunakan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Ianya mengandungi pelbagai khasiat dan sering digunakan untuk tujuan perubatan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan adanya hadith-hadith yang menyebutkan tentang kelebihan habatus sauda itu sendiri disisi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Cuma yang menjadi isu ialah salah faham sebahagian masyarakat yang mengatakan habbatus sauda merupakan ubat bagi apa sahaja jenis penyakit hingga ada yang memburuk-burukkan perubatan moden dan mendakwa berpada dengan mengambil habbatus sauda untuk menyembuh apa jua penyakit.

Saya ditanya oleh Doktor Rafidah daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh yakni salah seorang ahli dalam team MedTweetMy yang merupakan pakar buah pinggang berkenaan isu ini. Tulisan ini cuba untuk menjelaskan aspek hadith, maksud hadith menurut pandangan ulama’ silam dan menjernihkan salah faham yang berlaku.





Tulisan ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan isu habbatus sauda memudharatkan apa jua jenis penyakit tertentu sebaliknya hanya ingin fokus kepada makna dan syarahan para ulama' mengenai hadith habbatus sauda yang disalah fahami.


            Hadith yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus sauda ialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ
“Pada habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]

Dari sudut kesahihan hadith ini, maka tidak ada sebarang keraguan ianya memang hadith sahih. Maka inilah yang menjadi konflik bahkan mungkin “perang” antara masyarakat dan doktor. Bagi doktor, habbatus sauda boleh memberikan kemudharatan bagi beberapa jenis penyakit dan tidak sesuai digunakan, atau mungkin boleh digunakan dengan pemantauan, dos yang ditentukan dan sebagainya. Sedangkan disisi masyarakat pula, habbatus sauda merupakan antara ubat yang paling baik tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengatakan ianya penawar bagi segala penyakit. Tidak mungkin kita menolak perubatan Nubuwwah dan mengutamakan perubatan moden daripada apa yang Nabi amalkan sendiri.

            Maka berlakulah perkara yang tidak elok yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat seperti label-melabel, merendahkan, memaki-hamun dan mengutuk doktor. Ada yang mengatakan doktor menolak hadith Nabi, doktor agen yahudi/kafir, doktor terpengaruh ilmu perubatan sains barat dan tidak arif perubatan Islam, doktor jahil dan sebagainya gelaran yang bagi saya tidak patut dilemparkan sebegitu.

            Saya bukanlah ingin membela para doktor dan menentang perubatan Nubuwwah walaupun saya sebahagian daripada keluarga MedTweetMy. Tulisan ini untuk menjelaskan dari sudut Islam menurut pandangan ulama’ silam apakah maksud sebenar hadith itu agar kita semua jelas mengenainya dan mudah-mudahan tidak ada lagi perbalahan antara masyarakat dengan doktor.


Salah Faham Makna Hadith

            Ya, inilah yang berlaku dalam masyarakat.Walaupun hadith itu sahih, namun kefahaman kita terhadap hadith itu belum tentu sahih. Salah faham terhadap makna hadith sering kali menjadi punca perbalahan bukan sahaja masyarakat awam malah golongan agama sendiri. Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa.

Mari kita lihat makna sebenar hadith ini dan perbahasan ulama’ mengenainya.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) berkata:

“Disebutkan bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ianya boleh dijadikan ubat dengannya (yakni habbatus sauda). Sesungguhnya ia bermanfaat bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).”
            [Fath Al-Bari 10/144]

Imam Ibn Jauzi (wafat 597H) berkata:

“Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa lafaz “kullu” (semua –penyakit-) disini ialah lafaz umum yang membawa makna khusus sebagaimana firman Allah (tentang burung yang berkata kepada Nabi Sulaiman) “Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan yang memerintah mereka dan telah diberikan kepadanya semua benda dan dia juga mempunya singgahsana/istana yang agung. ” [An-Naml:23]...” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]

Ayat ini berkaitan seekor burung Hud-hud yang mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman tentang Ratu/Puteri Balqis di negara Saba'. Makna lafaz kullu (semua) dalam surah An-Naml tersebut bukanlah bermakna seluruh benda yang ada di dunia telah dimiliki oleh Raja Balqis sebaliknya ia bermaksud dia mempunyai kemewahan dunia yang diperlukannya untuk memerintah sesebuah kerajaan. [Tafsir Ibn Kathir 6/186]

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan bahawa lafaz kullu (semua) yang dimiliki oleh Puteri Balqis tersebut ialah lafaz mubalaghah  iaitu semua yang diperlukannya sebagai pemerintah kerajaan. [Tafsir Al-Qurtubi 13/184]

Mubalaghah ialah lafaz hiperbola yakni ucapan kiasan yang yang berlebih-lebihan untuk memperoleh kesan tertentu [kamus dewan edisi-4]

            Inilah yang dimaksudkan dengan lafaz umum tetapi membawa makna khusus. Ianya uslub lafaz yang dibincangkan dalam ilmu usul fiqh. Jika ingin memahami lebih lanjut mengenai lafaz sebegini, sila membaca karya-karya usul fiqh, insyaAllah.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit sejuk yang diucapkan oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sebelumnya? Ianya bermaksud penyakit yang berkaitan dengan cuaca sejuk atau lembab yang mana sesuatu dirawat dengan habbatus sauda kerana sifatnya yang panas.

Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan:

“Yang dimaksudkan dalam hadith itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit berkaitan lembab, berkahak yang mana habbatus sauda’ itu sifatnya panas dan kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]


Begitulah yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) ketika membahaskan hadith ini bahawa habbatus sauda tidak sesuai pada penyakit tertentu seperti penyakit berkaitan sejuk. Katanya lagi:

“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan sebegini berdasarkan apa yang disaksikannya pada kebiasaan keadaan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum” [Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 14/196]


Kesimpulan

            Hadith ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua penyakit yang ada dimuka bumi ini. Semua penyakit yang dimaksudkan disitu ialah penyakit yang berlawanan sifatnya dengan habbatus sauda’ yakni sakit yang berkait dengan elemen sejuk seperti demam sejuk, selsema dan sebagainya. Itulah yang disebutkan oleh para ulama’ silam.

            Adapun apa yang dikatakan oleh para doktor bahawa habbatus sauda mampu memberikan kesan/ menambah mudharat atau tidak sesuai dengan penyakit-penyakit tertentu, maka ianya bukanlah bertentangan dengan hadith diatas. Nasihat saya, ikutlah nasihat doktor pakar. Jika benar habbatus sauda tidak sesuai dengan penyakit yang dihidapi bahkan boleh memberikan mudharat, maka ianya bukan lagi menjadi keperluan untuk diamalkan kerana mengelak mudharat yang lebih besar itulah yang lebih utama yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat bahaya dan menimbulkan bahaya” [Riwayat Ibn Majah no. 2430]


Ini juga bertepatan dengan kaedah syarak yang disebutkan oleh para usuliyyin:

در المفاسد مقدم على جلب المصالح
“Menghalang kerosakan didahulukan daripada mengambil maslahat”

كل سبب يفضي إلى الفساد نهى عنه إذا لم يكن فيه مصلحة راجحة
“Setiap sebab yang membawa kepada kerosakan dilarang daripadanya jika ianya tidak mempunyai maslahat yang kukuh.”

Tambahan pandangan daripada Doktor #MedTweetMy:

Jika ingin mengamalkan habbatus sauda, pastikan ianya habbatus sauda yang asli (dalam bentuk serbuk yang 100% tulen), tidak diproses/bercampur dengan bahan lain dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika mengambil habbatus sauda dalam bentuk pil/kapsul, pastikan ianya telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada pil-pil habbatus sauda yang telah dicampur dnegan bahan-bahan lain yang boleh memudharatkan.

Habbatus sauda tidak bersalah, yang bersalah mungkin kefahaman dan cara pengambilan kita.

Wallahua’lam
_____________
Ad-Dien Abdul Kadir

Ad-Hoc MedTweetMy
Jumaat _ 25/03/2016


Isnin, 26 Ogos 2013

Persoalan Batasan Aurat Yang Boleh Dilihat Ketika Berubat



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Perubatan telah mengalami evolusi dan perkembangan yang maju dari masa ke semasa selari dengan perkembangan zaman. Perubatan secara asasnya boleh dibahagikan kepada dua iaitu perubatan secara tradisional dan perubatan moden. Islam tidak pernah melarang Ummatnya berubat melalui kedua-dua jenis bidang perubatan tersebut asalkan ianya mematuhi syariat Islam. Timbul persoalannya bagaimanakah dengan keadaan pesakit dengan pengamal perubatan/ Doktor yang merawat? Apakah batasan aurat antara mereka? Bagaimana bahagian yang sakit itu melibatkan aurat pesakit?


Berikut ini akan saya nyatakan beberapa kaedah dan batasan tentang masalah batasan aurat yang boleh dilihat ketika pengubatan.

1. Aurat lelaki adalah anggota tubuh antara pusat dan lutut, berdasarkan sabda Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam :

ما بين السُّرَّة والركبة عورة 

"Apa-apa yang berada diantara pusat dan lutut adalah aurat"
(Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Daraquthni, hadith hasan) dan ini merupakan pendapat jumhur ulama.


2.  Tubuh wanita seluruhnya aurat bagi lelaki bukan mahramnya. Berdasarkan firman Allah:


 وإذا سألتموهنّ متاعا فاسألوهن من وراء حجاب 

Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah dari belakang tabir."  ( An-Nuur :53)


Dan berdasarkan sabda Nabi Salallahu 'Alaihi Wassalam :

 المرأة عورة
"Tubuh wanita itu seluruhnya aurat."(Riwayat Tirmidzi dengan sanad hasan gharib)

Inilah pendapat yang benar dalam madzhab Hambali dan salah satu pendapat dalam madzhab Maliki serta salah satu pendapat juga dalam madzhab Syafi'i.


3. Sengaja melihat aurat yang dilarang dilihat merupakan perkara yang sangat diharamkan, wajib menundukkan pandangan darinya, berdasarkan firman Allah:


 قل للمؤمنين يغضوا من أبصارهم ويحفظوا فروجهم ذلك أزكى لهم إن الله خبير بما يصنعون . وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن 

Katakanlah kepada laki-laki yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat". Katakanlah kepada wanita yang beriman:"Hendaklah mereka menahan pandangan mereka, dan memelihara kemaluan mereka,. (An-Nur:30-31)

Rasulullah Salallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:

لا ينظر الرجل إلى عورة الرجل ، ولا المرأة إلى عورة المرأة 

"Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki lainnya dan janganlah juga seorang wanita melihat aurat wanita lainnya." (Riwayat Muslim)

Beliau juga pernah berkata kepada Ali bin Abi Talib:

لا تنظر إلى فخذ حيّ ولا ميّت

"Janganlah melihat kepada paha orang yang masih hidup ataupun yang sudah mati."
(Riwayat Abu Daud, isnadnya diperselisihkan kesahihannya)


4.  Setiap aurat yang tidak boleh dilihat maka tidak boleh juga disentuh walaupun memakai penghalang. Rasulullah Shalallahu 'Alaihi Wassalam bersabda:

 إني لا أصافح النساء   

"Sesungguhnya aku tidak pernah bersalam dengan  wanita." (Riwayat Malik dan Ahmad, hadith ini shahih)

Beliau juga berkata:

لأن يُطعن في رأس أحدكم بمِخْيَط من حديد خير له من أن يمسّ امرأة لا تحلّ له 

"Sekiranya kepala salah seorang kamu ditusuk dengan jarum besi lebih baik daripada menyentuh wanita yang tidak halal baginya." (Riwayat Ath-Thabrani , perawi hadith ini sahih menurut Al-Haithami dalam Majma' Zawaid)

Imam An-Nawawi berkata: 

 وحيث حَرُم النظر حَرُم المسّ بطريق الأَوْلى ، لأنه أبلغ لذّة 

Menurut keutamaan hukum, menyentuh wanita yang bukan mahram haram hukumnya sebagaimana juga haram melihatnya. Sebab menyentuh tentunya lebih nikmat daripada sekadar melihatnya.


5.  Ada beberapa jenis dan tingkatan aurat, diantaranya aurat yang major seperti qubul (kemaluan) dan dubur. Dan aurat yang tidak major, seperti paha (antara sesama lelaki). Aurat kanak-kanak yang masih berusia dibawah tujuh tahun tidak termasuk dalam hukum. Adapun aurat anak kecil yang telah mumayyiz (baligh) -antara tujuh sampai sepuluh tahun- adalah kemaluannya. Aurat anak perempuan yang masih kecil dan sudah baligh auratnya dari pusat sampai ke lutut. Demikian pula dalam keadaan aman. Aurat mayat sama seperti aurat orang yang masih hidup. 

6.  Kaedah Fiqh: Keadaan darurat membolehkan perkara yang terlarang.( الضرورات تبيح المحظورات)

Para ulama sepakat bahwa seorang dokter boleh melihat bahagian tubuh wanita yang sakit untuk keperluan pemeriksaan dan pengubatan dengan memperhatikan batasan-batasan syar'inya. Demikian pula para ulama membolehkan para doktor melihat bahagian tubuh lelaki yang sakit. Ia boleh melihat bagian tubuh yang sakit sekadar keperluannya sahaja. Dalam hal ini doktor wanita sama halnya dengan doktor lelaki. Hukum ini di dasarkan atas kaedah fiqh:

 حفظ النفس على مصلحة ستر العورة عند التعارض 
Mendahulukan maslahat menyelamatkan nyawa daripada maslahat menjaga aurat jika kedua maslahat itu bertentangan. 

Ini bermaksud jika seseorang perawat itu menghadapi dua situasi ini iaitu antara menyelamatkan nyawa dengan menjaga aurat, maka didahulukan menyelamatkan nyawanya kerana itu untuk maslahat dan memelihara maqasid yang utama. Namun perlu diingat bahawa yang boleh dilihat hanyalah sekadar tempat yang perlu dirawat sahaja. 

7.  Kaidah fiqh seterusnya : Darurat harus diukur sesuai batasnya. ( الضرورة تُقدَّر بقدرها)


Meskipun melihat, menyingkap, menyentuh dan sebagainya dibolehkan karena darurat dan keperluan yang sangat mendesak, tetapi tidak dibolehkan melampau dan melanggar batasa-batas syariat. Batas-batas itu sebagai berikut:


a) Pengubatan kaum lelaki hendaklah ditangani oleh doktor lelaki, dan pengubatan kaum wanita hendaklah ditangani doktor wanita. Jika seorang wanita terpaksa menyingkap auratnya untuk keperluan pengubatan, maka dianjurkan agar ditangani oleh dokter wanita muslimah. Jika tidak ada maka ditangani oleh doktor non muslimah, jika tidak ada maka ditangani oleh doktor lelaki muslim, jika tidak ada maka ditangani oleh doktor pria non muslim. 

Demikian pula jika boleh ditangani oleh doktor umum wanita muslimah maka tidak perlu ditangani oleh dokter pakar lelaki. Jika diperlukan doktor pakar wanita dan ternyata tidak ada, maka boleh ditangani oleh doktor pakar lelaki. Jika doktor pakar wanita tidak mencukupi dan sangat perlu ditangani oleh doktor pakar lelaki yang mahir maka boleh ditangani oleh doktor lelaki tersebut.

Jika terdapat doktor pakar lelaki yang lebih mahir daripada doktor pakar wanita, maka tetap tidak boleh ditangani oleh doktor pakar lelaki kecuali jika kepakaran doktor lelaki itu sangat diperlukan. Demikian pula halnya dalam proses pengubatan lelaki, iaitu tidak boleh ditangani oleh doktor wanita jika masih ada doktor lelaki yang mampu menanganinya.

b) Tidak diperkenankan melampaui batas aurat yang lazim untuk dibuka. Cukup membuka anggota tubuh yang perlu diperiksa saja. Dan hendaknya berusaha menundukkan pandangan semampunya. Dan hendaknya ia sesalu merasa melakukan sesuatu yang pada dasarnya diharamkan dan senantiasa minta ampun kepada Allah atas perbuatan melampaui batas yang mungkin terjadi.

c) Jika pengubatan boleh dilakukan hanya dengan mengesan penyakit saja (tanpa harus membuka aurat), maka tidak dibolehkan membuka aurat. Jika hanya diperlukan melihat tempat yang sakit saja maka tidak perlu menyentuhnya, jika cukup menyentuh dengan memakai penghalang saja maka tidak perlu menyentuhnya tanpa penghalang.

d) Jika yang menangani pesakit wanita terpaksa doktor lelaki maka disyaratkan tidak dalam keadaan khalwat. Pesakit wanita itu harus disertai suaminya, atau mahramnya atau wanita lain yang dapat dipercayai.

e) Hendaklah doktor yang mengurusnya ialah seorang yang dipercayai, tidak cacat akal dan agamanya. Dalam hal ini cukuplah menilainya secara zahir.

f) Makin major aurat tersebut makin keras pula larangan melihat dan menyentuhnya. Penulis buku Kifayatul Akhyar berkata: 

 واعلم أن أصل الحاجة كان في النظر إلى الوجه واليدين ، وفي النظر إلى بقية الأعضاء يُعتبر تأكّد الحاجة ، وفي النظر إلى السوأتين يُعتبر مزيد تأكُّد الحاجة . ولذلك لا بدّ من التشديد البالغ في مثل حالات التوليد وختان الإناث اليافعات 

"Ketahuilah bahwa keperluan yang sangat mendasar untuk dilihat adalah wajah dan dua telapak tangan. Adapun bagian-bagian tubuh lainnya hanya boleh dilihat sesuai dengan kadar keperluan, terutama alat kelamin vital. Oleh sebab itu hal ini sangat perlu dijaga, terutama pada saat membantu kelahiran dan mengkhatan anak perempuan yang mula dewasa.

g)  Keperluan pengubatan memang sangat mendesak. Seperti penyakit yang tidak dapat ditahankan lagi atau penurunan stamina dikhawatirkan akan membahayakan nyawanya. Adapun jika tidak begitu sakit atau tidak begitu mendesak maka janganlah membuka aurat (hanya untuk pengubatannya), sebagaimana dalam perkara-perkara yang bersifat dugaan dan perkara-perkara lainnya (yang mana tidak mesti membuka aurat).

h) Seluruh perkara di atas berlaku jika tidak menimbulkan fitnah dan tidak membangkitkan syahwat kedua belah pihak (yakni pesakit dan doktornya).

Akhirnya, segala sesuatunya harus didasari ketakwaan kepada Allah. Kerana syariat telah menggariskan hukum-hukum yang jelas dan tegas bagi perkara-perkara sensitif seperti ini. Salah satu penyebab timbulnya musibah pada zaman ini adalah memandang remeh masalah membuka aurat di tempat-tempat terbuka dan hospital. Sepertinya para doktor tersebut boleh melakukan segala sesuatu dan dihalalkan baginya segala yang terlarang. Demikian pula yang berlaku dalam program-program pendidikan yang 100% ditiru dari program-program pendidikan yang ada di negara-negara kafir. Hal ini termasuk kelemahan dalam pelbagai pola pendidikan, latihan dan ujian.

Kaum muslimin wajib mengajarkan pelbagai keterampilan khusus bagi kaum wanita agar mereka dapat memenuhi keperluan mereka sendiri. Dan hendaknya menyusun jadual yang rapi dan teratur di klinik-klinik dan hospital agar wanita-wanita muslimah tidak jatuh dalam kesusahan. Dan hendaklah tidak menelantarkan wanita-wanita muslimah yang sakit atau merasa keberatan jika mereka meminta di tangan oleh dokter wanita.



 والله أعلم بالـصـواب 

Ahad, 10 Mac 2013

Hukum Dan Permasalahan Berkaitan Pembedahan Plastik


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Fenomena bedah plastik merupakan suatu isu yang hangat di masa kini. Para ahli medik mendefinisikan  bedah plastik atau pembedahan kecantikan sebagai pembedahan yang dilakukan untuk mempercantik bentuk dan rupa atau bahagiah tubuh seseorang. Kadang-kala ia dilakukan atas kemahuan yang  sendiri seperti kecantikan, trend, dan kadang-kala karena darurat (terpaksa).

Operasi kecantikan yang dilakukan karena darurat atau semi-darurat adalah pembedahan yang terpaksa dilakukan, seperti menghilangkan cacat, menambah atau mengurangi organ tubuh tertentu yang rosak dan buruk. Melihat pengaruh dan hasilnya, pembedahan tersebut sekaligus memperindah bentuk dan rupa tubuh.

Cacat dapat dibahagikan kepada ada dua jenis:
1. Cacat yang sediakala sejak dari lahir.
2.  Cacat yang timbul akibat sakit yang dideritai.

Cacat yang terhasil sejak dari lahir misalnya, bibir sumbing, bentuk jari-jemari yang bengkok dan lain-lain. Cacat akibat sakit misalnya cacat yang timbul akibat penyakit kusta , akibat kemalangan dan luka kesan terbakar dan sebagainya. Dalam kes ini, sudah tentu cacat tersebut sangat mengganggu penderita secara fizikal mahupun mental penghidapnya. Dalam keadaan sedemikian syariat membolehkan si penderita menghilangkan kecacatan, memperbaiki atau mengurangi kesan akibat kecacatan tersebut melalui pembedahan. 

Ini kerana kecacatan tersebut mengganggu si penderita secara mental mahupun fizikal sehingga dia boleh mengambil keringanan untuk melakukan pembedahan. Dan juga karena hal itu sangat diperlukan oleh si penderita. Keperluan yang mendesak juga termasuk dalam perkara darurat. Ia sebagai salah satu sebab keluarnya rukhsah (keringanan) dalam hukum. Setiap pembedahan yang tergolong sebagai pembedahan kecantikan yang memang diperlukan untuk menghilangkan gangguan, hukumnya boleh dilakukan dan tidak termasuk mengubah ciptaan Allah.

Berikut merupakan penjelasan Imam An-Nawawi untuk membezakan antara pembedahan kecantikan yang dibolehkan dan yang diharamkan:

Dalam menjelaskan hadith Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam:


لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ 

"Allah melaknat wanita-wanita yang mentatu dan yang meminta untuk ditatukan, yang mencukur (menipiskan) alis (bulu kening) dan yang meminta dicukur, yang mengikir gigi supaya kelihatan cantik dan merubah ciptaan Allah." [Riwayat Muslim No:3966.]

Imam An-Nawawi rahimahullah menjelaskan sebagai berikut:


 أما ( الواشمة ) ففاعلة الوشم , وهي أن تغرز إبرة أو مسلة أو نحوهما في ظهر الكف أو المعصم أو الشفة أو غير ذلك من بدن المرأة حتى يسيل الدم , ثم تحشو ذلك الموضع بالكحل .. فيخْضرّ .. وهو حرام على الفاعلة والمفعول بها باختيارها .. وأما ( النامصة ) فهي التي تزيل الشعر من الوجه , والمتنمصة التي تطلب فعل ذلك بها , وهذا الفعل حرام إلا إذا نبتت للمرأة لحية أو شوارب , فلا تحرم إزالتها .. وأما ( المُتفلِّجات ) أن تبرد ما بين أسنانها ( فتجعل ) فرجة بين الثنايا والرباعيات , وتفعل ذلك العجوز ومن قاربتها في السِنّ إظهارا للصغر وحسن الأسنان , لأن هذه الفرجة اللطيفة بين الأسنان تكون للبنات الصغار , فإذا عجزت المرأة كبرت سنها وتوحشت فتبردها بالمبرد لتصير لطيفة حسنة المنظر , وتوهم كونها صغيرة .. وهذا الفعل حرام على الفاعلة والمفعول بها لهذه الأحاديث , ولأنه تغيير لخلق الله تعالى , ولأنه تزوير ولأنه تدليس . وأما قوله : ( المتفلجات للحسن ) فمعناه يفعلن ذلك طلبا للحسن , وفيه إشارة إلى أن الحرام هو المفعول لطلب الحسن , أما لو احتاجت إليه لعلاج أو 
عيب في السن ونحوه فلا بأس والله أعلم

"Al-Washimah" adalah wanita yang mentatu. Iaitu melukis belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau anggota tubuh lainnya dengan jarum atau sejenisnya sehingga mengeluarkan darah lalu diletakkan dengan tinta/ dakwat untuk diwarnai. Perbuatan tersebut haram hukumnya bagi yang mentatu ataupun yang minta untuk ditatukan. Sementara "An-Naamishah" adalah wanita yang menghilangkan atau mencukur bulu wajah. 

Adapun "Al-Mutanammisah" adalah wanita yang meminta dicukurkan. Perbuatan ini juga haram hukumnya, kecuali jika tumbuh janggut (seperti lelaki- pent.) atau misai pada wajah wanita tersebut, dalam hal ini dia boleh mencukurnya. Sementara "Al-Mutafallijat" adalah wanita yang menjarangkan giginya, biasa dilakukan oleh wanita-wanita tua atau dewasa supaya kelihatan muda dan lebih indah. Karena jarak renggang antara gigi-gigi tersebut biasa terdapat pada gadis-gadis kecil. Apabila seorang wanita sudah beranjak tua giginya akan membesar, sehingga ia menggunakan kikir untuk mengecilkan bentuk giginya supaya lebih indah dan agar kelihatan masih muda.

Perbuatan tersebut jelas haram hukumnya baik yang mengikir ataupun yang dikikirkan giginya berdasarkan hadith tersebut di atas. Dan tindakan itu juga termasuk merubah ciptaan Allah, pemalsuan dan penipuan. Adapun sabda nabi: "Yang mengikir giginya supaya kelihatan cantik" maknanya adalah yang melakukan hal itu untuk mempercantik diri. Sabda nabi tersebut menunjukkan bahawa yang diharamkan adalah yang meminta hal itu dilakukan atas dirinya dengan tujuan untuk mempercantik diri. Adapun bila hal itu perlu dilakukan untuk tujuan perubatan atau karena cacat pada gigi atau sejenisnya maka hal itu dibolehkan, wallahu a'lam. [Syarh Shahih Muslim karangan Imam An-Nawawi XIII/107]


Suatu permasalahan yang perlu ditekankan di sini ialah para ahli medik yang melakukan pembedahan kecantikan tersebut biasanya tidak membezakan antara keperluan yang menimbulkan bahaya dengan keperluan yang tidak menimbulkan bahaya. Yang menjadi kepentingan mereka hanyalah mencari keuntungan harta, dan memberi kepuasan kepada pesakit dan pengikut hawa nafsu, materialistik dan penyeru kebebasan. Mereka beranggapan setiap orang bebas melakukan apa sahaja terhadap tubuhnya sendiri. Ini jelas sebuah penyimpangan. Karena pada hakikatnya jasad ini adalah milik Allah, Dia-lah yang menetapkan ketentuan-ketentuan berkenaan dengannya sekehendakNya. Allah telah menjelaskan kepada kita cara-cara yang telah diikrarkan Iblis untuk menyesatkan bani Adam, di antaranya adalah firman Allah:


وَلآمُرَنَّهُمْ فَلَيُغَيِّرُنَّ خَلْقَ اللَّهِ ۚ وَمَن يَتَّخِذِ الشَّيْطَانَ وَلِيًّا مِّن دُونِ اللَّهِ فَقَدْ خَسِرَ خُسْرَانًا مُّبِينًا

"Dan aku akan suruh mereka (mengubah ciptaan Allah), lalu mereka benar-benar mengubahnya. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata." [An-Nisa' 4:119]


Ada beberapa pelaksanaan pembedahan kecantikan yang diharamkan karena tidak memenuhi ketentuan-ketentuan syariat yang disepakati dan kerana termasuk mempermainkan ciptaan Allah serta bertujuan mencari keindahan dan kecantikan semata, misalnya memperindah payu dara dengan mengecilkan atau membesarkannya atau pembedahan untuk menghilangkan kesan ketuaan, kedutan kulit, mencantikkan bentuk wajah dan anggota tubuh lain tanpa sebarang sebab yang selari dengan syariah. 

Dalam hal ini syariat tidak membolehkannya. Karena tidak ada keperluan yang darurat untuk melakukan hal itu. Hal itu dilakukan semata-mata untuk mengubah dan mempermainkan ciptaan Allah sesuai dengan hawa nafsu dan syahwat manusia. Hal itu jelas haram dan terlaknat pelakunya. Dan juga karena termasuk dalam dua perkara yang disebutkan dalam hadith di atas, iaitu hanya ingin mempercantik diri dan mengubah ciptaan Allah.

Dr.Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Asy-Syinqiithi menyebutkan: 


ويُضاف إلى ذلك أن هذه الجراحات تتضمن في عدد من صورها الغش و التدليس والحقن بمستخلصات مأخوذة من الأجنّة المُجهَضة بالطرق المحرّمة احتيالا وشراء - وهذا من أكبر الجرائم - وكذلك ما ينتج عن كثير من عمليات التجميل من الآلام المستمرّة والأضرار و المضاعفات . كما يقول الأطباء المختصون

Ditambah lagi pembedahan kecantikan sperti itu banyak mengandungi unsur penipuan dan pemalsuan. Demikian juga suntikan dengan zat-zat yang diambil secara haram dari janin yang gugur, yang mana perbuatan tersebut merupakan kejahatan yang besar, dan kesan samping serta mudharat lainnya yang timbul akibat operasi kecantikan sebagaimana dijelaskan oleh pakar-pakar perbuatan.

[Dr.Muhammad Muhammad Al-Mukhtar Asy-Syinqiithi,  Ahkamul Jirahah]


Berdasarkan penjelasan ini, dapat kita simpulkan bahawa apabila kecacatan atau kekurangan yang ada pada diri termasuk dalam kategori darurat (seperti karena kemalangan dan penyakit) yang menyukarkan diri atau menyebabkan kesukaran yang lain yang mungkin terjadi, bukan dilakukan untuk mempercantik diri semata-mata tanpa sebarang alasan yang selari dengan syara', maka pembedahan plastik/ kecantikan tersebut boleh dilakukan inysa Allah. 


والله أعلم بالـصـواب 

Jumaat, 13 Januari 2012

Bekam, Perubatan Terbaik Mengikut Sunnah

السلام عليكم



Gambar Hiasan

Berbekam adalah suatu kaedah perubatan yang sudah bertapak lama di bumi ini. Bekam yang juga dikenali sebagai Hijamah dalam bahasa Arab dan cupping dalam bahasa Inggeris merupakan suatu kaedah perubatan untuk mengeluarkan toksin, darah kotor, bendalir yang tidak diperlukan, mengurangkan luka, meningkatkan penyambungan tisu, pengaliran darah dan merangsang sistem saraf. Amalan ini bukanlah sesuatu yang baru malah ia sudah pun wujud sejak 400 tahun sebelum Masihi iaitu pada zaman Mesir. Kaedah yang digunakan ketika itu adalah dengan menggunakan tanduk sebagai alatan utama, berbeza dengan kini yang sudah didatangi dengan alatan yang lebih moden dan baik.

Kehidupan manusia sehari-hari terdedah kepada pelbagai pencemaran dan kotoran tanpa mengira masa dan zaman. Ini akan menyebabkan badan manusia terancam kepada pelbagai penyakit yang akan menyerang tubuh badan. Ditambah pula dengan pemakanan kita yang tidak begitu terjaga serta gaya hidup yang tidak sihat, maka perubatan berbekam ini amat sesuai untuk diamalkan. Itulah saranan Rasulullah s.a.w bahawa perubatan berbekam ini amat bermanfaat, dan mendatangkan kebaikan kepada kesihatan tubuh. 

وقال ( إن أفضل ما تداويتم به الحجامة . أو هو من أمثل دوائكم ) .
الراوي: أنس بن مالك المحدث: مسلم - المصدر: صحيح مسلم - الصفحة أو الرقم: 1577

Dari Anas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

Baginda bersabda," sesungguhnya cara perubatan yg paling efektif (Baik) ialah dgn berbekam atau cara perubatan yg paling utama ialah berbekam." (HR Bukhori-Muslim, ini adalah lafaz Muslim)

Berbekam merupakan suatu perubatan yang Istimewa kerana ia sebenarnya adalah berasal daripada amalan malaikat di langit yang berkongsi ilmu kesihatan terbaik ini kepada Rasulullah s.a.w ketika peristiwa Israk dan Mi'raj. Amalan ini dapat membantu Baginda dan umatnya memperoleh kesihatan yang baik agar mudah untuk beribadah kepada Allah s.w.t. di dunia ini. 


حدث رسول الله صلى الله عليه وسلم عن ليلة أسري به: أنه لم يمر على ملإ من الملائكة إلا أمروه: أن مر أمتك بالحجامة
صحيح سنن الترمذي 1672

Nabi s.a.w telah bersabda: "Sesungguhnya aku telah melalui sekumpulan malaikat pada malam aku di Isra' oleh Allah Taala dan mereka telah berkata, 'Wahai Muhammad suruhlah umatmu berbekam'." (Riwayat al-Tirmizi, Dinilai sahih menurut al-Albani)

Secara ringkasnya berbekam terbahagi kepada beberapa kaedah seperti bekam kering/angin dan bekam darah/basah. Bekam kering (Hijamah Jaafah) adalah penghisapan daripada permukaan kulit tanpa mengeluarkan darah kotor untuk melegakan sakit reumatik atau sakit pada urat-urat. Bekam basah/darah (Hijamah Rothbah) yang juga dikenali dengan bekam sunnah ini dilakukan dengan mengerluarkan darah pada tempat yang bermasalah dengan menores/ melukai sedikit lapisan kulit mengunakan jaraum atau pisau yang tajam. Kemudian ia akan disedut dengan alat khas dan moden menggunakan hand pump dan dibiarkan darah kotor itu mengalir keluar selama 5-10 minit.

 Contoh alatan untuk berbekam moden


Kebaikan Berbekam

Begitu banyak hikmah dan kebaikan yang diperolehi dengan amaln sunnah ini. Oleh kerana itulah Rasulullah menggalakkan umatnya untuk berbekam bagi memperoleh kesihatan tubuh badan yang sememangnya suatu nikmat besar dalam hidup. Antara kebaikannya adalah :

  1. Membuang angin di dalam badan.
  2. Menghilangkan rasa sakit dan lenguh-lenguh.
  3. Melancarkan peredaran darah.
  4. Membetulakn urat sarah yang tersumbat.
  5. Membuang racun dan toksik yang terkumpul di dalam badan.
  6. Mencegah penyakit kronik pada tubuh badan.
  7. Mengurangkan luka dan sebagainya. 
Mengikut penyelidikan sains, tubuh badan manusia akan menghasilkan sel-sel darah yang rosak atau abnormal. Ia kemudian akan terperangkan atau terenap/mendap di bahagian bawah kulit lalu mengganggu peredaran darah seterusnya melemahkan dan menggagalkan fungsinya. Disebabkan itu, berbekam merupakan rawatan yang terbaik kerana rawatan ini mengeluarkan darah yang berkumpul di kawasan kulit sahaja. Tidak ada rawatan saintifik selain bekam yang mengeluarkan darah pada kawasan kulit, inilah salah satu kebesaran dan kelebihan rawatan sunnah Rasulullah s.a.w.

Sebagai umat Islam, kita tidak seharusnya meragui dan merasa sangsi dengan rawatan ini sebaliknya harus memandang tinggi akan keberkesanannya. Imam al-Ghazali dalam kitabnya menyebut bahawa berbekam adalah fardhu kifayah. Oleh itu dalam setiap kawasan perlu ada umat Islam yang mempu menjalankan rawatan ini untuk kemaslahatan ummah. (Tasyrul Fiqh lil Muslimil Mua'shir oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qardhawi)


والله أعلمُ بالـصـواب



و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى

والسلام عليكم و رحمة الله و بركاته
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik