Cari Entri WADi

Ahad, 23 September 2012

Aman Palestin: Laman Web Pembela Palestin Terbaik Malaysia


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته




Agak lama saya tidak menulis berkaitan dengan isu semasa, perkembangan dunia dan penulisan santai separa ilmiah. Kebelakangan ini masa untuk menulis digunakan sepenuhnya untuk berkongsi ilmu dengan penuh ilmiah dan bermanfaat. Sedaya upaya juga diri ini menulis berdasarkan ilmu, kemampuan diri dan masa yang ada. Tambahan penulisan saya tidaklah terlalu berat untuk difahami kerana seboleh mungkin saya cuba menggunakan struktur ayat yang mudah dan ringkas agar mesej daripada penulisan saya ini dapat difahami sebaiknya. 

  Terpanggil untuk mengimbangi penulisan saya dengan sesuatu yang lebih ringan dan santai, maka saya mendapat idea untuk mewujudkan sebuah topik baru iaitu Jejak Maya dan Palestin. Jejak Maya khusus untuk saya memberi komentar, pandangan, idea, kritikan dan sebagainya terhadap mana-mana laman web atau blog yang saya kunjungi manakala topik Palestin pula khusus untuk saya muatkan pernulisan dan makalah (Artikel) berkaitan dengan Palestin kita. 

  Dan untuk itu, penulisan kali ini menggabungkan kedua-dua topik tersebut kerana kebetulan terlintas di minda saya untuk menulis tentang sebuah laman web yang menurut saya cukup baik, bagus dan bermanfaat. Laman yang saya maksudkan ialah:



Laman ini adalah sebuah web milik sukaralewan Malaysia yang menumpukan kerja-kerja amal seperti menghantar bantuan kewangan, makanan, pakaian dan pelbagai pertolongan yang mampu daripada rakyat Malaysia kepada saudara segama kita di Palestin. 


Profil Aman Palestin


   Pembentukan Negara Haram Israel pada 15 Mei, 1948 di bumi Palestin 64 tahun lalu telah mengundang malapetaka besar di mana dunia mulai menyaksikan kekejaman rejim Zionis memalui pertempuran demi pertempuran yang mengakibatkan beribu-ribu warganegaranya gugur syahid, jutaan pelarian yang meninggalkan tanahairnya sendiri berhadapan masalah pengangguran dan cacat anggota. Tidak kurang juga anak-anak menjadi yatim kerana kehilangan ibubapa dan isteri menjadi janda kerana kehilangan suami yang terkorban mempertahankan Palestin dari terus dijajah dan dicabuli.
Penderitaan dan kesengsaraan berpanjangan yang ditanggung rakyat Palestin menjadi satu keinsafan bagi umat Islam menghulurkan bantuan.
Justeru itu, Aman Palestin sebagai Inisiatif Keamanan Palestin bergerak atas tiga landasan iaitu:
  1. Kemanusiaan
  1. Persaudaraan
  1. Kesucian Baitul Maqdis

Aman Palestin memberi bantuan kecemasan, kebajikan dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin secara berterusan sehingga selesai. Aman Palestin mula beroperasi pada akhir 2004 sebagai inisiatif untuk membantu dan menyalurkan sumbangan serta menjaga kebajikan dan hak kemanusiaan rakyat Palestin. Aman Palestin sentiasa berusaha memastikan setiap ringgit yang didermakan oleh rakyat Malaysia tidak sahaja sampai malah kesemua bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin di Palestin.
Pada 3hb. Januari 2006, pendaftaran Aman Palestin telah diluluskan secara rasmi dibawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dengan nama AMAN PALESTIN BERHAD sebagai sebuah syarikat yang tidak berteraskan keuntungan (non-profit organisation) bagi membantu rakyat Palestin secara kolektif, terancang, berterusan dan berkesan.
Semenjak ditubuhkan, Aman Palestin telah berjaya menyalurkan bantuan dalam bentuk projek-projek kepada rakyat Palestin di Palestin, Lubnan dan Syria hasil kutipan dan sumbangan daripada orang ramai.  Diharapkan agar keperihatinan yang berterusan oleh rakyat Malaysia dalam menyalurkan bantuan dapat memberikan sinar harapan dan membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh rakyat Palestin. 
Dipetik daripada Profil Aman Palestin ; http://www.amanpalestin.net/salam.php?kategori=profil


Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada warga Aman Palestin, anda boleh berbuat demikian dengan menjadi ahli menerusi laman ini. Cuma klik pada ruangan Daftar Ahli, dan anda boleh memilih untuk mendaftar sebagai ahli biasa Aman Palestin mahupun sebagai Sukarelawan Aman Palestin. Kedua-duanya mempunyai perbezaan dari sudut sumbangan keahlian dimana Sukarelawan lebih khusus bantuan dan gerak-kerjanya berbanding ahli biasa. 




Anda juga boleh menyumbang derma dengan mudah melalui Aman Palestin. Tidak perlu lagi ke pejabat Aman Palestin, kini semuanya dihujung jari anda sahaja, insyaAllah. 




Anda juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai isu yang berkaitan dengan konfik yang berlaku di Palestin dengan mengambil sedikit masa membaca buku yang dimuatkan diruangan Maktabah berjudul Eye Of Palestin. InsyaAllah banyak manfaat dan ilmu baru yang akan kita perolehi darinya. 

Akhir kata, marilah kita bersama-sama mengimarahkan dan menjadi ahli berdaftar bersama Aman Palestin sebagai tanda sokongan dan usaha untuk membantu membela nasih saudara mara kita disana. Walaupun ia tampak kecil dan mudah dimata manusia, kita mengharapkan ia menjadi amalan yang besar dan mulia disisi Allah subhanahu wa ta'ala insyaAllah. Saranan saya, luangkan sedikit masa untuk menjenguk dan mengenali lebih dekat dengan Aman Palestin, insyaAllah kita akan mendapati betapa mulianya perjuangan dan usaha mereka ini. Dan kita turut membantu sekadar yang termampu. 

Moga Allah permudahkan usaha kita semua dan meredhainya, amin. 


والله أعلم بالـصـواب 

Ahad, 2 September 2012

Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah


السلام عليكم



Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu:

إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله
Apabila kamu hendak meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu hendak memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. (Riwayat Al-Tirmizi, beliau menilainya hasan sahih)


Imam An-Nawawi dan Al-Haithami menjelaskan maksud hadith ini secara ringkas:

Jika engkau memohon pertolongan dalam sesuatu urusan, baik urusan duniawi atau urusan akhirat, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Lebih-lebih lagi dalam sesuatu urusan yang tidak seorang pun dapat membantunya kecuali Allah seperti menyembuhkan penyakit, masalah rezeki dan urusan petunjuk kepada manusia. Perkara-perkara seperti ini berada dalam lingkungan kekuasaan yang khusus untuk pertolongan dari Allah subhanahu wa ta'ala sahaja. 

Firman Allah subhanahu wa ta'ala

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-An'am 6:17)

Barangsiapa yang inginkan hujjah, maka cukuplah berhujjah dengan Al-Quran dan Hadith. Barangsiapa inginkan penolong, cukuplah Allah sebagai penolongnya. Barangsiapa yang inginkan nasihat, cukuplah kematian dan mengingatinya itu menjadi penasihat baginya, dan barangsiapa yang merasa tidak cukup dengan semua itu, maka cukuplah neraka sebagai tempat untuknya kembali. Firman Allah subhanahu wa ta'ala


أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ ۖ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِن دُونِهِ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَاد

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Az-Zumar 39:36)

Berkara Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam Fath Al-Rabbani:

Mintalah kepada Allah dan janganlah meminta selain dariNya! Mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan memohon pertolongan kepada selainNya! Celakalah kamu, dimana akan engkau letakkan mukamu di hadapan Allah di akhirat kelak jika kamu berani menentang Allah di dunia ini. Kamu memalingkan wajah dariNya dan meminta pertolongan kepada makhlukNya dan menyekutukanNya. Engkau keluhkan segala hajatmu dan engkau pasrahkan segala nasibmu kepada makhluknya itu. Buangkanlah perantara-perantara yang menghubungkan dirimu dengan Allah! Kerana kebergantungan kepada para perantara itu adalah suatu kebodohan. Tidak ada kerajaan, kekuasaan, kekayaan dan kemulian kecuali semuanya itu milik Allah. Jadilah kamu orang yang selalu bersama Allah tanpa dengan makhluk! (Bersama Allah dalam berdoa dan begantung harap tanpa perantaraan dari makhluk-makhluknya.)

Memohon pertolongan yang disyariatkan adalah memohon pertolongan secara terus kepada Allah subhanahu wa ta'ala agar Dia melepaskan segala beban kesulitan yang dihadapi. Adapun memohon pertolongan yang boleh membawa kepada syirik seperti memohon pertolongan kepada orang yang telah meninggal, memuja kuburan dan patung atau kepada orang yang hidup namun tidak berhadapan dengannya. Ini kerana mereka semua tidak mampu memberi sedikitpun manfaat baik mudharat bahkan tidak mendengar pun permintaan orang yang meminta kepadanya. Dan jika mereka mendengar, mereka tetap tidak mampu mengabulkan permintaan kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa melakukannya. 

Adapun meminta pertolongan kepada orang yang masih hidup sementara orang itu ada dihadapannya ketika permintaan tersebut seperti meminta pertolongan dalam perkara bersifat material, mendirikan masjid atau keperluan manusia sesama manusia yang lainnya, maka itu dibolehkan. Firman Allah azza wa jalla


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ 

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Al-Maidah 5:2)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه

Allah akan memberikan pertolongan kepada seseorang hamba selama mana hamba itu mahu memberikan pertolongan kepada saudara seagamanya. (Riwayat Muslim)

Diantara contoh bentuk pertolongan yang dibolehkan sesama manusia adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran al-Karim melalui Firman Allah subhanahu wa ta'ala


هَٰذَا مِن شِيعَتِهِ وَهَٰذَا مِنْ عَدُوِّهِ ۖ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِن شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ

Seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya (Al-Qasas 28:15)


فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (Al-Kahfi 18:95)




والله أعلم بالـصـواب 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik