Cari Entri WADi

Sabtu, 24 Mei 2014

Benarkah Umar Al-Khattab Menanam Anaknya? Satu Kajian Semula

بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti yang semua sedia maklum, kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu menanam anaknya ketika beliau masih jahiliyyah sering diceritakan daripada mulut ke mulut, zaman berzaman. Sirah (Sejarah) Islam bukanlah terbina daripada khayalan dan mistik melainkan ianya ialah sebuah fakta yang diriwayatkan dan direkodkan di dalam kitab-kitab sirah sejak dahulu lagi. 

Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang semakan terhadap kisah Abdul Rahman bin Auf masuk syurga merangkak dan kisah Hindun memamah hati Hamzah, kali ini saya akan menulis sedikit semakan dan kajian semula terhadap kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sewaktu jahiliyyahnya. 

Kisah ini bukan sahaja tersebar meluas di Malaysia bahkan dikhabarkan ianya turut tersebar di negara-negara Arab. Sudah tentu ianya disebarkan meluas melalui ceramah-ceramah para agamawan yang tidak mengkaji sumber sejarah ataupun riwayat sesebuah kisah. Walaupun kitab sirah para Imam terdahulu tidak mensyaratkan syarat yang ketat dalam riwayat sirah seperti mana riwayat hadith, namun sirah-sirah yang tidak berasas dan meragukan boleh dikaji dan ditolak. 

Adapun di negara kita, tidak ramai yang mempunyai kemampuan untuk menyemak kesahihan sesuatu riwayat meskipun sebahagian para ustaz dan ustazah. Jangankan kemampuan menyemak riwayat, kesedaran tentang kepentingan menyemak sumber asal sesebuah riwayat pun tidak tertanam dalam masyarakat kita. 

Jadi tidak hairan kisah-kisah yang meragukan boleh tersebar luas dan menjadi modal ceramah di negara kita. Lebih menyedihkan, bukan sekadar kisah-kisah, hadith-hadith palsu dan tersangat lemah juga sering kali disebut-sebut untuk menyedapkan lagi ceramah dan kuliah agama. Disebabkan sebahaian golongan agamawan yang tidak mempunyai disiplin ilmu yang mendalamlah, masyarakat hanyut dalam lautan perkara yang tidak jelas dan tidak benar dalam Islam. 



Permulaan Kisah Umar Al-Khattab Menanam Anak 


Kisah ini dikaitkan dengan sifat Umar  radhiallahu 'anhu  sewaktu zaman jahiliyyahnya yakni sebelum memeluk Islam. Saya sendiri telah mencari dalam kitab-kitab biografi dan sejarah para Imam Ahl Sunna wal Jamaah terdahulu namun tidak ditemukan kisah ini. Kisah ini ditemui dalam sebuah kitab karya ‘Abbas Mahmud Al-‘Uqqad yang bertajuk ‘Abqariyah ‘Umar halaman 221. Disebutkan: 


يقول عباس محمود العقاد في كتابه " عبقرية عمر "ص/221 عن وأد عمر لابنته فقال  

أنه رضي الله عنه كان جالساً مع بعض أصحابه ، إذ ضحك قليلاً ، ثم بكى ، فسأله مَن حضر ، فقال : كنا في الجاهلية نصنع صنماً من العجوة ، فنعبده ، ثم نأكله ، وهذا سبب ضحكي ، أما بكائي ، فلأنه كانت لي ابنة ، فأردت وأدها ، فأخذتها معي ، وحفرت لها حفرة ، فصارت تنفض التراب عن لحيتي ، فدفنتها حية

Bahawa Umar sedang duduk bersama teman-temannya. Ketika itu beliau tertawa sedikit kemudian menangis. Lalu teman-temannya pun bertanya (mengapa Umar menangis)?. Lalu Umar berkata: Ketika kita diwaktu jahiliyyah, kita membuat sebuah berhala daripada tamar Al-Ajwah lalu kita menyembahnya. Kemudian kita makannya (Tuhan yang kita buat dan sembah). Kerana itu aku tertawa. Adapun sebab aku menangis kerana aku pernah mempunyai anak perempuan. Lalu aku ingin menanamnya hidup-hidup. Maka aku bawa dia bersamaku kemudian aku gali lubang untuknya. Kemudian dia menyapu tanah yang ada di janggutkan lalu aku menanamnya hidup-hidup. 



Para muhaqqiq dalam bidang sejarah telah mengkaji kisah ini dan mendapati beberapa kecacatan yang bercanggah dengan fakta yang lebih kuat. Antaranya ialah: 



Hujjah 1: 

Umum diketahui bahawa Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  memiliki anak perempuan sulung bernama Hafsah. Disebabkan itu beliau digelar Abu Hafs (Bapa Kepada Hafsah). Hafsah inilah menjadi isteri kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah tercatat dalam lembaran sejarah. Ini telah menjadi ijmak seluruh kaum Muslimin dan tiada siapa pun yang menafikannya. 

Jika kisah Umar  radhiallahu 'anhu  menanam anak itu benar, mengapa Hafsah sendiri tidak menjadi mangsanya? Sedangkan Hafsah adalah anak pertamanya dan seorang perempuan yang dilahirkan di Makkah, 14 tahun sebelum peristiwa Hijrah lagi. Bahkan jika benar dakwaan bahawa sejak zaman jahiliyyah amalan menanam anam perempuan telah diamalkan, mengapa masih ramai sahabiah (sahabat nabi yang wanita- yakni yang pernah bertemu dan beriman) yang hidup sejak zaman jahiliyyah di Makkah masih hidup? Kenapa mereka masih ada hingga peristiwa Hijrah? Jika benar menanam anak perempuan menjadi amalan dan tradisi kaum jahiliyyah Mekah, pasti tidak akan wujud lagi sahabat perempuan. 



Tambahan Kajian Keluarga Umar Al-Khattab 


Para Imam terdahulu telah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  dan para sahabat yang lainnya. Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar   radhiallahu 'anhu  dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah: 


  1. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Uthman bin Maz’un yang terkenal antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dikurniakan tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
  2. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh. 
  3. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Thabit bin Aflah. Beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
  4. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Mereka mendapat anak perempuan bernama Fatimah. 
  5. Ummul Kulthum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar. 
  6. Ummul Kulthum binti Ali bin Abi Talib. Umar beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah. 
  7. Daripada hambanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar telah dikurniakan anak. Anak peremuan daripada Fukayyah bernama Zainab dan dengan Luhayyah anaknya bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar. 



Jadi anak-anak Sayyidina Umar  radhiallahu 'anhu  adalah seperti berikut: 



Lelaki: 

1) Abdullah bin Umar (Ibn Umar) 

2) Abdul Rahman al-Akbar 

3) Abdul Rahman al-Ausath 

4) Abdul Rahman al-Ashghar 

5) ‘lyadh 

6) Aasim 

7) Ubaidullah 

8) Zaid al-Akbar 

9) Zaid al-Ashghar 



Perempuan: 

1) Hafsah 

2) Ruqayyah 

3) Fatimah 

4) Zainab 



Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafs. 

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Kalau dakwaan Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  menanam anak perempuannya, maka anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafs? 

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, ada dakwaan mengatakan anak itu tidak diketahui jantinanya lelaki atau peremuan ketika ia ditanam. Adakah logik Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun? 



Hujjah 2:

Sebahagian pihak mendakwa bahawa amalan menanam anak perempuan ini terkenal dalam kalangan Bani ‘Adi iaitu kaum Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana saudara perempuan Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri bernama Fathimah masih hidup dan berkahwin dengan sepupunya bernama Said bin Zaid. Jika amalan itu benar menjadi adat Bani ‘Adi sudah tentu Fathimah akan ditanam hidup-hidup ketika masih kecil. Tapi mengapa beliau tidak menjadi mangsa bahkan sihat membesar dan berkahwin pula? Ini menunjukkan bahawa amalan kejam itu tidak wujud dalam kalanga Bani ‘Adi. 



Hujjah 3: 

Kisah ini tidak memiliki sanad atau rantaian periwayatan daripada mana asal usulnya. Para Imam terdahulu mereka meriwayatkan kisah-kisah dengan bersanad walaupun ianya lemah atau tertolak. Sedangkan kisah ini tidak diketahui daripada mana sanad periwayatannya daripada mana-mana kitab sirah para imam terdahulu. Tidak mungkin para imam terlepas pandang atau sengaja tidak memuatkannya untuk menjaga nama Umar Al-Khattab. Sesebuah sirah diriwayatkan dengan bersanad dan daripada sanadlah dapat diketahui kebenaran melalui kajian yang dilakukan oleh sejarawan. Tapi kisah yang tiada sanad direkodkan seperti ini, daripada mana asal usulnya? 

Bahkan penulis kitab ‘Abqariyyah Umar sendiri tidak menyebut daripada mana kisah ini diambilnya. Sebahagian para muhaqqiqin dalam bidang sejarah berpendapat bahawa kisah ini direka oleh golongan Syiah al-Rafidhah yang terkenal begitu membenci Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dan kibar sahabat yang lain. 



Hujjah 4: 

Kajian ini telah disahkan oleh pengkaji sirah mutaakhirin (kontemporari) antaranya As-Syaikh Abdussalam bin Muhsin Ali Isa. Katanya: 

وأما عمر رضي الله عنه فقد ذكر عنه أنه وأد ابنة له في الجاهلية. ولم أجد من روى ذلك عن عمر فيما اطلعت عليه من المصادر ، ولكني وجدت الأستاذ عباس محمود العقاد أشار 
إليها في كتابه عبقرية عمر
Dan aku tidak menemui siapakah yang meriwayatkan kisah sedemikian daripada Umar sepanjang kajianku daripada sumber-sumber rujukan (sejarah zaman-berzaman). Namun, aku mendapati Ustaz ‘Abbas Mahmud Al-Uqqad telah mengisyaratkan kisah itu dalam kitab beliau, ‘Abqariyyah Umar. 

Persoalannya, bagaimana kisah yang tidak diketahui asal usulnya, daripada mana ia datang dan wujud dapat dikatakan benar? Jika benar, tentu ada sahabat atau tabi’in yang meriwayatkan daripada Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  . Atau setidak-tidaknya tentu ada Sahabat atau tabi’in yang menceritakan kisah hidup Umar Al-Khattab . Ibnu Umar sendiri tidak meriwayatkan hal ini. Tidak mungkin anaknya yang juga sahabat Nabi yang agung tidak mengetahui perihal ayahnya sendiri. Satu persoalan yang perlu difikirkan. 

Kisah ini juga telah dibincangkan dan dipersetujui ianya tidak benar oleh Multaqa Ahl Hadith. 





Kesimpulan 

Kisah ini tidak benar dinisbahkan kepada Umar Al-Khattab . Dakwaan ini berkemungkinan datang daripada mereka yang memusuhi Umar Al-Khattab itu sendiri. Sebagai ummat Islam, kita hendaklah lebih berhati-hati sebelum menyebarkan riwayat hadith mahupun sirah para sahabat. Apatah lagi jika ianya melibatkan maruah seorang sahabat yang utama. 


Baca juga kajian sejarah yang pernah saya tulis sebelum ini


 والله أعلم بالـصـواب 

Jumaat, 2 Mei 2014

Beragama Dengan Berfikir



بسم الله الرحمن الرحيم



Islam agama rahmat yang diturunkan oleh Allah ta'ala buat seluruh alam. Ajaran Islam bukan sekadar mengerjakan ibadah solat dan puasa. Bukan juga sekadar pergi ke haji apabila cukup kemampuan. Islam lebih sekadar itu. Terbatasnya kefahaman dalam beragama muncul disebabkan kejahilan kita sendiri dalam memahami apa ertinya kita beragama. 

Agama Islam bukan hanya mengarah membuta tuli. Jauh sekali dari memaksa ummatnya untuk beriman kepada Tuhan yang Esa tanpa memberikan suatu keyakinan yang utuh di hati. Jadi bagaimana cara memahami Islam? Apakah kaedah terbaik untuk kita kenal Islam, seterusnya menambahkan keyakinan akan wujudnya Allah pemilik alam ini?


Mengenal Tuhan Dengan Ilmu


Islam terbina dengan ilmu yang diturunkan melalui wahyuNya. Dari ilmu itulah kefahaman dan keyakinan terbentuk hingga akhirnya kita tunduk dengan kewujudan zat yang Maha Esa lagi Berkuasa. Zaman berzaman Tuhan mengutuskan wakilNya untuk menjelaskan hakikat KeesaanNya melalui tanda, bukti dan penjelasan yang nyata. Bukan sekadar mendakwa tanpa sebarang asas kukuh yang boleh meyakinkan hati.

Begitulah jua bagi kita, ummat dari Nabi yang terakhir. Diturunkan kepada kita Al-Quran sebagai panduan, rujukan dan kajian. Membaca Al-Quran tanpa berfikir dan mengambil pelajaran darinya seakan tidak sempurna tujuan ia diturunkan. Entah berapa banyak seruan Ilahi yang menyebut tentang berfikir dan merenung secara sihat dengan akal yang waras. Semua ini seruan kearah ilmu. Al-Quran merupakan sebaik-baik kitab yang menggabungkan ilmu berlandaskan wahyu dan akal, agama dan rasional.


Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujjah-hujjah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur. [Al-Furqan 25:50]

Dan Dia lah yang menghidupkan dan mematikan; dan Dia lah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu berfikir? [Al-Mu'minun 23:80]

Asas penting dalam beragama ialah berfikir. Dengan berfikir, manusia akan belajar dan mengenal kebenaran seterusnya membawa kepada iman yang suci lagi kukuh. Kisah kembara Nabi Ibrahim mencari hakikat iman dan ketuhanan tersemat di dalam Al-Quran. Alam yang terbentang luas ini diamati dengan sedalam-dalamnya. Siapakah pemilik dan pencipta alam ini? Siapakah yang berkuasa mengadakan semua ini? Semua ini difikirkannya sehari-sehari hingga hilangnya keraguan dan munculnya keimanan yang suci lagi bersih.


Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi dan (Kami memperlihatkannya) agar dia termasuk orang yang yakin. Ketika malam telah gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: "Inilah Tuhanku", tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: "Saya tidak suka kepada yang tenggelam".Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: "Inilah Tuhanku". Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata: "Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang yang sesat". Kemudian tatkala ia melihat matahari terbit, dia berkata: "Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar". Maka tatkala matahari itu terbenam, dia berkata: "Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. [Al-An'am 6:75-78]

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sendiri sering menghabiskan masanya di Gua Hira'. Ketika penduduk Makkah sibuk menyembah Al-Latta, Al-Uzza dan segala macam berhala rekaan tangan mereka, baginda menyendiri mencari ketenangan dan berfikir tentang kekuasaan Tuhan. Ritual-ritual pelik dan keburukan-keburukan manusia disekelilingnya tidak menjadikannya turut ikut sama tenggelam dalam kebodohan dan tipu daya nafsu dalam memahami makna hidup bertuhan. 


Islam Turun-Temurun

Bagaimana pula kita hari ini? Setelah sekian lama memegang gelaran Islam dek keturunan darah kaum kerabat, kita merasakan kitalah yang paling faham Islam itu apa. Apabila dikatakan melayu, kitalah yang paling kedepan membangga-bangga Islam, membawa slogan seakan-akan Islam itu Melayu dan Melayu Itu Islam. 

Hari ini manusia dari segenap pelusuk dunia mulai berhijrah daripada kegelapan kepada sinaran Islam. Dahulunya mereka datang dari pelbagai latar belakang agama, peribadi dan kehidupan, namun akhirnya mereka kembali kepada cahaya. Keislaman mereka bukan mudah. Bukan hidayah itu tiba-tiba sampai ketika mereka sedang bermaksiat. Bukan dengan mistik dan magik para ahli silap mata yang mengkhayalkan.

Mereka mengkaji dan mencari kebenaran melalui bacaan, pertanyaan dan penyelidikan sendiri. Bahkan ada juga yang membaca terjemahan Al-Quran sepenuhnya dan mendalami makna dan mesejnya, hanya semata-mata untuk mencari kebenaran Islam. Sesuatu yang tidak semua orang Islam dari keturunan mampu buat bukan? Tanyalah diri anda sendiri dengan jujur.

Ketika mereka mengembara dalam kembara ilmu, berjalan mencari Tuhan, kita malah selesa dengan warisan keturunan. Kita malah jadi malas berfikir dan mengkaji kebenaran dan makna Islam, dengan menganggap bahawa Islam warisan itu sudah cukup. Merasakan diri lebih baik keislamannya daripada orang muallaf yang "baru" memeluk Islam, sentimen ini sudah sebati dalam diri sebahagian pewaris Islam turun-temurun. Lihat sahaja jika dia ditegur atau dinasihati oleh saudara agamanya tentang Islam, pasti sahaja membara api berang hingga terkeluar segala macam ungkapan yang tidak enak.

"Engkau nak nasihatkan aku? Aku dah lama Islam dari kau. Kau baru kenal Islam. Jangan nak berlagak alim. Jangan nak memandai-mandai nak nasihatkan orang!"

Mentaliti sebegini hanya menyerlahkan lagi kejahilan dalam beragama. Baik dan dalamnya kefahaman agama dinilai semata-mata kerana telah lama memegang gelaran Islam dalam kad pengenalan. Kebodohan apakah ini? Inilah realiti sebahagian ummat. Selesa dengan gelaran Islam tapi jahil tentang Islam. Jauh dari ajaran Islam tapi cukup marah jika dikatakan tidak berapa "Islam". Ajaib bukan?

Islam bukan milik mana-mana bangsa. Islam untuk semua manusia baik dari bangsa dan keturunan apapun dia. Islam bukan milik orang Arab dan orang Melayu. Sekalipun ia turun di tanah Arab, bukanlah bermakna Islam itu untuk bangsa mereka sahaja. Bangsa ialah salasilah keturunan manusia, bangsa bukan agama. Kita berlainan bangsa namun bersatu dalam satu agama yang sama. Islam bukanlah kepunyaan bangsa tertentu, sekalipun takrifannya dalam perlembagaan persekutuan mengaitkannya dengan Melayu. Itu sekadar takrifan undang-undang buatan insan, bukan wahyu. 

Apabila seseorang itu menjadi Muslim, bangsa apa pun dia bukanlah suatu masalah dan alasan untuk merendah-rendahkannya. Dalam Islam, Manusia tidak mulia dengan latar belakang bangsanya. Orang berkulit putih lebih baik dari orang berkulit hitam, itu bukan ajaran Islam. Orang melayu lebih baik Islamnya dari orang Cina dan India Islam, sudah tentu ia juga bukan ajaran Islam. Naungan di bawah Islam membuatkan manusia sama rata. Orang kaya atau miskin, bangsawan atau hamba, hitam atau putih semuanya tidak membuatkan Tuhan pilih kasih. Hanya amal kebaikan dan taqwa yang membezakan insan dimataNya. 


Beragama Dengan Berfikir 





Belajar dan berfikir tidak mengira sempadan waktu dan usia. Muda atau tua, baru memeluk Islam atau Islam sejak lahir, sudah alim atau baru mahu berubah, semuanya perlu belajar. Islam menuntut kita untuk menggunakan akal fikiran untuk sentiasa berfikir. Itulah fungsi ia dikurniakan kepada kita. Bukan hanya membeku tanpa digunakan. Berfikir bukan hanya untuk hal ehwal duniawi malah dalam urusan agama juga, akal fikiran amat penting untuk digunakan. Bukanlah Islam ini hanya logik semata. Namun, Islam ini terbina atas gabungan ilmu dari wahyu dan rasional. Tidak bertuhankan logik akal dan tidak pula merendahkannya. 

Jika para muallaf mendapat hidayah dan memeluk Islam setelah merentasi pencarian ilmu dan hakikat Tuhan, kita yang telah Islam juga begitu. Tidak cukup dengan ikut-ikutan amalan orang-orang tua terdahulu sebagai tanda kita berilmu. Mentaliti harus diubah dengan kembali membuka dan mengkaji ajaran Islam yang terkandung dalam warisan Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. 

Orang kita sebahagiannya hanya tunduk mengikut apa sahaja amalan orang tua-tua terdahulu. Daripada dirinya kecil hinggalah menjadi tua, ia diwarisi pula kepada generasi seterusnya. Hanya kerana amalan itu diislamisasikan iaitu dihiasi dengan nilai dan ciri-ciri islam, maka kita pun mudah sahaja menerima, mengamal bahkan mewariskanya bulat-bulat. Tidak pernah kah berfikir adakah ianya benar datangnya daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah? 

Tersasar dari Islam yang tulen lantaran kesalahan kita sendiri, ummat Islam sekian lama yang tidak pernah mengkaji dan berfikir daripada khazanah Al-Quran dan As-Sunnah. Peninggalan nenek moyang kita sesuatu yang berharga jika tidak menyelisihi syariat. Tapi bagaimana mungkin untuk kita mengetahui ia mengikut syariat jika kita tidak langsung berfikir dan mengkaji kebenarannya? 

Al-Quran ada menceritakan perihal orang-orang yang tidak mahu mengikut ajaran Islam lantaran amalan itu telah sekian lama diwarisi dari nenek moyang mereka. Sekalipun konteks ayat ini berkaitan orang bukan Islam, namun konsepnya ada persamaan yang boleh difikirkan. Bukankah Al-Quran menyuruh kita berfikir? 

Dan apabila dikatakan kepada mereka" Turutilah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah" mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara ugama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayah (dari Allah)? [Al-Baqarah 2:170]


Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? [Al-Maidah 5:104]


Berfikir dalam beragama akan menambahkan lagi erti sebenar kita sebagai Muslim. Berusahalah semampu mungkin untuk menkaji, mendalami dan mencari hakikat Islam dengan belajar daripada petunjuk yang ditinggalkan untuk kita seperti sabda Nabi yang mulia:

Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekali2 kamu tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah dan sunnah nabinya. [Al-Muwattho’ Malik]


Hari ini jika ditanya kepada ummat Islam yang Islamnya dari lahir apakah sudah membaca terjemahan Al-Quran (sekurang-kurangnya sekali) dalam bahasa mereka, tentu sedikit yang melakukannya. Itu belum lagi dengan Sunnah-sunnah nabi yang telah dimuatkan dalam buku-buku hadith yang dikumpulkan para ulama' terdahulu dengan penat lelah. Tentu sahaja, masih ramai yang belum pernah membukanya.

Persoalan yang harus difikirkan ialah, bagaimana mungkin kita mendakwa kita berpegang dengan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah Nabi? Sedangkan keduanya tidak pernah kita buka, baca, fahami dan tadabbur (kaji)?

Ini tidak menghairankan kerana jika disoalkan kepada kebanyakannya tentang perihal agama (seringkali saya menyoalnya, ini pengalaman sendiri). Kenapa solat wajib membaca Al-Fatihah dan bukan surah lain diawalnya? Atau kenapa perlu membasuh anggota wuduk muka dahulu dan bukan kaki? Atau kenapa berpuasa disiang hari dan bukan malam?

Jawapan kebiasaannya:

Sebab semua orang buat macam tu.. atau
Sebab mak ayah saya cakap macam itu... atau
Sebab ustaz/ustazah cakap macam itu... dan yang semisal dengannya. 


Bukan dengan jawapan yang sepatutnya, iaitu kerana Allah dan Rasul yang memerintahkan seperti itu di dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Kenapa tak dapat menjawab sepontan soalan yang dirasakan mudah ini? Kerana kita tidak pernah mengkaji asal-usul amalan dan cara kita beragama. Hanya ikut-ikutan apa yang orang ramai dan nenek moyang lakukan tanpa berfikir kebenaran tentangnya.

Pendek kata, kerana kita tidak pernah membuka dan mengkaji kalam Allah dan RasulNya. 

Fikir-fikirkanlah sejenak.

Sekian.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik