Cari Entri WADi

Khamis, 22 November 2012

Fiqh Al-Awlawiyyat (Fiqh Keutamaan)



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Sejak kebelakangan ini umat Islam sukar untuk membuat suatu keputusan, melakukan satu pekerjaan dan melaksanakan satu ibadah melainkan pasti dia berhadapan dengan dua atau lebih keadaan yang saling bertembung dari sudut hukum agama. Pertembungan mungkin berlaku antara yang halal dengan yang haram, antara yang halal dengan yang halal, antara yang haram dengan yang haram dan perkara halal yang hanya dapat diperolehi melalui cara yang haram.

Tidak ketinggalan, di kalangan umat Islam pasti ada yang bercita-cita tinggi demi agama dan manusia. Dalam rangka mencapai cita-cita tersebut, tentu saja dia perlu menyusun tindak-tanduknya mengikut tertib kepentingan (prioritize). Justeru apakah panduan yang sepatutnya dia jadikan pedoman untuk menyusun kepentingan tersebut?

Dua perenggan di atas menjadi Kata Pembuka bagi risalah saya ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat. Sebelum meneruskannya, izinkan saya menjelaskan latarbelakang istilah ini terlebih dahulu.


Definisi Fiqh Al-Awlawiyat.


Istilah ini terdiri dari dua perkataan. Pertama ialah “Fiqh” yang bermaksud kefahaman. Lazimnya ia dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud kefahaman terhadap sesuatu hukum. Justeru apabila dikatakan “Fiqh Solat”, bererti subjek yang memberi kefahaman kepada hukum, hikmah dan objektif solat dalam suasana biasa dan tidak biasa. Ada pun kebiasaan silibus tempatan yang menekankan hafalan hukum-hukum berkaitan solat, ia tidak dapat disebut sebagai “Fiqh Solat” tetapi lebih kepada “Hafazan Solat”.

Al-Awlawiyat berasal dari perkataan “Awla” yang bermaksud utama, unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih unggul dan lebih penting. Secara ejaan, Fiqh al-Awlawiyat tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, akan tetapi secara maksud dan konsep, ia wujud secara jelas di dalam kedua-dua sumber mulia tersebut. 

Dalam mebicarakan Fiqh al-Awlawiyat, para pembaca juga perlu beramah mesra dengan dua istilah yang lazim digunakan, iaitu maslahat dan mafsadat. Secara mudah, maslahat ialah kebaikan atau faedah manakala mafsadat ialah keburukan atau kerosakan. Setiap sesuatu yang dilarang oleh syari‘at sebagai haram atau makruh pasti memiliki sesuatu mafsadat yang ingin dijauhkan. Manakala setiap sesuatu yang disuruh oleh syari‘at sebagai harus, sunat atau wajib pasti memiliki sesuatu maslahat yang ingin dicapai.


Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Larangan Yang Saling Bertembung.

Katakanlah kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa, larangan pertama hukumnya makruh manakala larangan kedua hukumnya haram. Maka tindakan yang benar ialah menjauhi kedua-duanya. Seterusnya, katakanlah kita hanya mampu menjauhi salah satu darinya, maka tindakan yang lebih utama ialah menjauhkan larangan yang hukumnya haram. Tentu saja ini mudah untuk kita pertimbang dan utamakan.

Namun bagaimana jika kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa dimana kedua-dua hukumnya adalah haram dan kita hanya mampu menjauhi salah satu darinya? Di sinilah terdapatnya kepentingan Fiqh al-Awlawiyat. Kes seumpama ini pernah disentuh oleh Allah subhanahu wa ta'ala dalam firman-Nya:


يَسْأَلُونَكَ عَنْ الشَّهْرِ الْحَرَامِ قِتَالٍ فِيهِ قُلْ قِتَالٌ فِيهِ كَبِيرٌ وَصَدٌّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ وَكُفْرٌ بِهِ وَالْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَإِخْرَاجُ أَهْلِهِ مِنْهُ أَكْبَرُ عِنْدَ اللَّهِ وَالْفِتْنَةُ أَكْبَرُ مِنْ الْقَتْلِ.

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepada-Nya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid al-Haram (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). (al-Baqarah 2:217)

Dalam ayat di atas, umat Islam berhadapan dengan dua larangan yang saling bertembung dalam satu masa:

1. Berperang dalam bulan-bulan yang dihormati, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Peperangan memiliki mafsadat di sebaliknya seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, maka larangan berperang pada bulan-bulan yang dihormati adalah bagi mengurangi mafsadat tersebut. 
2. Membiarkan musuh-musuh menghalangi umat Islam dari jalan Allah, khasnya menghalang umat Islam dari memasuki Kota Mekah untuk beribadah di Masjid al-Haram sekali pun dalam bulan-bulan yang dihormati. Jika dibiarkan, tindakan musuh ini akan memberi mafsadat kepada Islam dan umatnya.

Antara dua larangan di atas, mafsadah yang kedua lebih berat dari yang pertama. Ini dapat diketahui dengan membandingkan antara mafsadat pertama yang Allah sifatkan sebagai “…berdosa besar” dengan mafsadat kedua yang Allah sifatkan sebagai “…lebih besar dosanya di sisi Allah.” Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menerangkan bahawa fitnah dari membiarkan tindakan musuh menghalangi umat Islam adalah lebih besar kesannya berbanding bunuh-membunuh yang berlaku dalam peperangan, sekali pun dalam bulan-bulan yang dihormati.

Berdasarkan ayat di atas dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu berhadapan dengan dua atau lebih larangan dalam satu masa dan dia tidak mampu menjauhi semua larangan tersebut, maka:


- Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding larangan yang mafsadahnya memberi kesan jangka masa pendek. 
- Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadahnya memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya berbanding larangan yang mafsadahnya memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.

- Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya bersifat pasti berbanding larangan yang mafsadahnya bersifat kemungkinan.


Sebagai contoh katakan seorang wanita telah terlanjur berzina sehingga menyebabkan dia hamil. Lelaki yang menzinainya tidak mahu bertanggungjawab ke atas tindakan mereka dan terus menghilang diri. Wanita tersebut berfikir sama ada untuk terus mengandung, melahir dan membesarkan anak itu atau menggugurkannya. Di sini terdapat dua larangan yang saling bertembung:


- Larangan # 1: Menggugurkan janin (fetus dalam kandungan).

- Larangan # 2: Membiarkan diri dan anak difitnah oleh masyarakat dalam suasana dia mengandung tanpa suami dan anak pula membesar tanpa ayah.

Larangan yang manakah yang patut diutamakan, maksudnya dijauhkan? Individu yang berbeza mungkin memiliki pilihan keutamaan yang berbeza. Bagi wanita yang hidup dalam lingkungan ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang saling memberi sokongan moral, dia akan mengutamakan

Larangan # 1, iaitu tidak menggugurkan anak. Adapun fitnah dari masyarakat terhadap diri dan anaknya, ia adalah mafsadat yang bersifat kemungkinan sementara menggugurkan anak adalah mafsadat yang bersifat pasti. Maka berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, adalah lebih utama menjauhkan larangan yang mafsadatnya bersifat pasti berbanding larangan yang mafsadatnya bersifat kemungkinan.

Berbeza bagi wanita yang hidup dalam lingkungan orang-orang yang tidak lekang dari mencela dan menghina atas keterlanjurannya itu. Maka mengutamakan

Larangan # 2 mungkin menjadi pilihannya, iaitu menggugurkan anak. Dia merasakan tidak sanggup menghadapi fitnah yang berterusan, apatah lagi diyakininya bahawa fitnah itu akan bertambah hebat ketika dalam peringkat membesarkan anak. Maka wanita ini cenderung kepada kaedah Fiqh al-Awlawiyat yang menyatakan adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa pendek.

Di sini ingin dijelaskan, sama ada bagi contoh di atas atau selainnya, bahawa dalam mempertimbangkan apakah tindakan yang lebih utama, individu yang berbeza akan memiliki pilihan yang berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi pilihan tersebut, seperti tahap ilmu, kadar jatidiri, lokasi dan keadaan masyarakat sekeliling. Faktor-faktor ini akan sentiasa berbeza antara individu yang berbeza, maka dengan itu pilihannya tentang apakah yang lebih utama akan berbeza juga.





Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Suruhan Yang Saling Bertembung.

Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya antara harus, sunat dan wajib, maka yang utama ialah melaksanakan yang wajib, kemudian yang sunat dan kemudian yang harus.

Akan tetapi bagaimanakah sikap kita apabila berhadapan dengan dua suruhan yang sama darjat hukumnya dan kita hanya mampu melaksanakan salah satu darinya? Sekali lagi, kemahiran dalam subjek Fiqh al-Awlawiyat akan dapat membantu menyelesaikan persoalan ini. Perhatikan hadis berikut:

Seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan-jalan di satu lembah dan ternampak sebuah mata air yang indah sehingga mengkagumkan dia. Dia berkata: “Andainya aku mengasingkan diri dari manusia (uzlah) dan tinggal di lembah ini, akan tetapi aku tidak akan melakukannya melainkan setelah meminta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” Hajatnya ini dikhabarkannya kepada Rasulullah lalu baginda menjawab:


لاَ تَفْعَلْ فَإِنَّ مُقَامَ أَحَدِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهِ فِي بَيْتِهِ سَبْعِينَ عَامًا. أَلاَ تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ الْجَنَّةَ ؟ اغْزُو فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ قَاتَلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَوَاقَ نَاقَةٍ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.


Jangan melakukannya kerana sesungguhnya kedudukan seseorang kamu di (medan Jihad) di jalan Allah adalah lebih utama daripada bersolat dalam rumah selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga ? Berperanglah di jalan Allah, barangsiapa yang berperang di jalan Allah selama tempoh memerah susu unta (yakni tempoh yang sekejap) maka wajib ke atasnya Syurga. [ Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1650]

Dalam hadis di atas terdapat dua suruhan agama yang saling bertembung:


Suruhan # 1: Mendirikan solat dalam tempoh masa yang lama di tempat yang indah agar dapat memperolehi kekhusyukan yang sempurna. Ia mengandungi maslahat kepada orang yang bersolat. 
Suruhan # 2: Berjuang di medan perang demi menegakkan kalimah Allah dan membela nasib umat Islam. Ia mengandungi maslahat membela nasib agama dan umat Islam manakala orang yang berperang dijamin keampunan Allah dan balasan syurga.

Di antara dua suruhan di atas, yang lebih utama ialah suruhan kedua kerana ia mengandungi kadar maslahat yang lebih besar berbanding suruhan pertama. Ini terbukti dengan perkataan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “…adalah lebih utama daripada bersolat…”.

Berdasarkan hadis di atas dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu berhadapan dengan dua atau lebih suruhan dalam satu masa dan dia tidak mampu melaksanakan semua tersebut, maka:

- Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa pendek. 
- Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya. 
- Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya bersifat pasti berbanding suruhan yang maslahatnya bersifat kemungkinan.


Sebagai contoh bagi Fiqh al-Awlawiyat antara dua suruhan yang saling bertembung ini, ingin saya kongsi persoalan yang agak lazim saya terima daripada para pelajar pusat pengajian tinggi. Mereka lazim bertanya, manakah yang patut diutamakan, pelajaran atau aktiviti agama bersama jamaah masing-masing di kampus? Atau adakah pelajaran dan aktiviti agama diletakkan pada tahap yang sama? Ini kerana dalam persoalan ini kelihatannya ada dua suruhan agama yang saling bertembung:


- Suruhan # 1: Belajar.

- Suruhan # 2: Membela agama.

Antara dua suruhan ini, yang utama ialah pelajaran. Sebabnya:


1. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat jangka masa yang panjang. Empat tahun (purata) di pusat pengajian tinggi akan memberi maslahat kepada dirinya sehinggalah dia meninggal dunia. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar maslahat dalam tempoh empat tahun dia berada di kampus itu. Jarang-jarang ditemui pelajar yang aktif di kampus akan aktif setelah tamat dari kampus dengan aktiviti agama.

2. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat kepada orang yang besar jumlahnya. Kelulusannya cemerlang dalam pelajaran akan membolehkan dia bekerja dan menjadikan kerjayanya sebagai sarana melakukan kerja-kerja dakwah dan islah kepada orang ramai sehinggalah ke akhir hayat. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar mencapai maslahat untuk warga kampus.

3. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat yang bersifat pasti. Ini kerana apa saja yang dilakukan oleh seseorang, kemaslahatan yang hakiki hanya akan tercapai jika ia berdasarkan ilmu yang sahih. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia lebih kepada semangat dan pengisian jiwa yang kosong akibat jauh dari keluarga tersayang. Maka jika ada maslahat, ia adalah maslahat yang bersifat kemungkinan.

Justeru berdasarkan pertimbangan Fiqh al-Awlawiyat, pelajaran adalah lebih utama dari aktiviti agama. Namun saya tidaklah bermaksud seseorang itu meninggalkan aktiviti agama secara keseluruhan. Hanya hendaklah ia disusun mengikut tertib keutamaan. Sekadar cadangan, hendaklah tenaga dan masa dibahagikan pada kadar 40% untuk pelajaran dalam jurusan masing-masing, 40% untuk meningkatkan ilmu agama dan 20% untuk aktiviti agama.

Ilmu agama tidak sama dengan aktiviti agama. Ilmu agama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan penjelasannya oleh para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Aktiviti agama hendaklah bertepatan dengan ilmu agama kerana ilmu memimpin amal dan bukan sebaliknya. Betapa ramai orang yang melakukan aktiviti agama tetapi ia berseberangan dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Renungilah! Anda masih mempunyai masa yang banyak untuk menambah kadar aktiviti agama selepas anda lulus pengajian dan selepas anda memiliki ilmu agama yang secukupnya. Maslahat jangka masa panjang hendaklah diutamakan dari maslahat jangka masa pendek.


Fiqh al-Awlawiyat Antara Suruhan dan Larangan Yang Saling Bertembung.

Bagaimana pula sikap kita apabila berhadapan dengan satu keadaan yang bertembung antara suruhan dan larangan agama? Hadis berikut memberi jawapannya:


فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ.

Apabila aku melarang kalian dari sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu urusan maka laksanakanlah sedaya upaya kamu. [Sahih al-Bukhari, hadis no: 7288]


Hadis di atas menggabungkan antara larangan dan suruhan, iaitu:

- Larangan: Jauhilah ia, sekali pun yang kecil atau sedikit darinya. 
- Suruhan: Laksanakanlah ia sedaya mungkin, sekali pun yang kecil atau hanya sedikit darinya.
Berdasarkan hadis ini dirumuskan kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa apabila bertembung antara larangan dan suruhan dalam satu masa dan seseorang itu hanya mampu melakukan salah satu daripadanya, maka adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan berbanding melaksanakan suruhan.

Di sini timbul persoalan kedua yang lebih penting. Sama-sama diketahui bahawa di sebalik setiap larangan ada mafsadat yang ingin dijauhi oleh agama manakala di sebalik setiap suruhan ada manfaat yang ingin dicapai oleh agama. Lalu bolehkah kita berusaha mencapai satu matlamat yang disuruh oleh agama dengan cara yang dilarang oleh agama?

Lazimnya kita akan menjawab “tidak” kerana “matlamat tidak menghalalkan cara”. Ini ialah jawapan yang selamat namun tidak semestinya tepat. Sebabnya, berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, boleh atau tidak dipertimbangkan antara maslahat di sebalik matlamat yang disuruh dengan mafsadat di sebalik cara yang dilarang. Ia seperti berikut:

- Jika mafsadat di sebalik cara adalah lebih besar berbanding maslahat di sebalik matlamat, maka adalah lebih utama untuk meninggalkan matlamat tersebut.

- Jika maslahat di sebalik matlamat adalah lebih besar berbanding mafsadat di sebalik cara, maka adalah lebih utama untuk melaksanakan matlamat tersebut.

Dalilnya ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku di antara umat Islam dan kaum kafir Mekah. Ringkasnya apabila perjanjian hendak ditulis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepada jurutulisnya, Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh agar surat perjanjian dimulai dengan: “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Wakil kaum kafir Mekah, Suhail bin Amr membantah dengan berkata: “Ada pun al-Rahman, maka demi Allah! Aku tidak tahu apakah itu. Akan tetapi tulislah: “Bismikallahumma”. Kaum muslimin yang hadir ketika itu membantah: “Demi Allah! Kami tidak akan menulisnya melainkan dimulai dengan Bismillahir Rahmanir Rahim”. Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “(Tak mengapa), tulislah Bismikallahumma”.

Kemudian Rasulullah berkata kepada jurutulisnya: “Ini adalah apa yang diputuskan oleh Muhammad, Rasul Allah”. Sekali lagi ia dibantah oleh Suhail: “Sekiranya kami mengetahui bahawa engkau adalah Rasul Allah, nescaya kami tidak akan menghalangi kamu mengunjungi Baitullah dan kami tidak akan memerangi kamu. Akan tetapi tulislah – Muhammad bin Abdullah.”

Rasulullah menjawab: “Demi Allah! Sungguh aku adalah Rasul Allah sekali pun kalian mendustakan aku. (Tak mengapa), tulislah – Muhammad bin Abdullah.”

Seterusnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta: “Maka janganlah menghalangi kami untuk mengunjungi Baitullah agar kami dapat melakukan tawaf di sana.” Dengan permintaan ini perjanjian dipersetujui dan mulai tahun seterusnya, umat Islam dapat masuk ke Mekah dan tawaf di Baitullah dalam Masjid al-Haram. [Sahih al-Bukhari, hadis no: 2731-2732 secara ringkas]


Dalam peristiwa di atas terdapat pertembungan antara matlamat dan cara:

- Matlamat: Melaksanakan umrah di Masjid al-Haram. Ia termasuk suruhan agama.

- Cara: Menafikan dalam surat perjanjian nama Allah “al-Rahman dan al-Rahim” dan menafikan kedudukan Muhammad sebagai seorang Rasul Allah. Ini termasuk larangan agama.

Dalam menghadapi pertembungan di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa melaksanakan umrah memiliki maslahat yang besar kepada umat Islam berbanding penafian nama Allah dan kedudukan baginda yang memiliki mafsadat yang kecil. Ini kerana penafian tersebut hanya berlaku di atas kertas perjanjian dan tidak secara hakiki. Maka atas dasar pertimbangan antara matlamat dan cara, juga antara maslahat dan mafsadat, baginda mempersetujui perjanjian tersebut.

Di sini dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa dibolehkan mencapai matlamat yang disuruh dengan cara yang dilarang dengan syarat:


- Maslahat di sebalik matlamat adalah jauh lebih besar sementara mafsadat di sebalik cara adalah jauh lebih kecil. 
- Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan jangka masa panjang sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan jangka masa pendek. 
- Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya. 
- Maslahat di sebalik matlamat bersifat pasti sementara mafsadat di sebalik cara bersifat kemungkinan.


Walaubagaimanapun penting untuk digariskan di sini bahawa kaedah-kaedah di atas bukanlah untuk diamalkan sesuka hati oleh orang awam dan para penuntut ilmu. Ini kerana tidak ramai yang mampu menilai secara adil dan luas antara matlamat dan cara, antara maslahat dan mafsadat. Sesuatu perkara mungkin dianggap matlamat yang memiliki maslahat padahal ia sebenarnya adalah satu mafsadat. Sesuatu cara mungkin dianggap memiliki kadar mafsadat yang sementara padahal ia sebenarnya memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

Justeru kaedah-kaedah di atas hanyalah layak diamalkan oleh para mujtahid dan ahli fatwa. Ada pun bagi orang awam dan para penuntut ilmu, kaedah yang selamat ialah “Matlamat tidak menghalalkan cara”.


Tidak Termasuk Fiqh al-Awlawiyat.

Ukuran sama ada sesuatu perkara adalah utama atau tidak bukan bergantung kepada semangat atau kecenderungan peribadi, tetapi bergantung kepada dalil dan hujah. Kadangkala kita mendengar orang-orang yang kononnya memiliki “wawasan besar terhadap agama” melaungkan kata-kata “Persoalan wudhu’ dan zikir hal kecil, persoalan negara Islam dan Palestin hal besar! Jangan disibuk-sibukkan dengan hal kecil!”. Kenyataan ini salah paling kurang dari dua sudut:

1. Jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan didapati baginda memberi perhatian yang besar sekalipun terhadap perkara yang mungkin di sisi sebahagian orang dianggap kecil. Ambil saja contoh bab wudhu’, baginda pernah melihat sebahagian sahabat berwudhu’ tetapi mereka tidak membasuh tumit kaki mereka dengan sempurna. Melihat yang sedemikian Rasulullah menegur beberapa kali dengan suara yang tegas lagi tinggi:


وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ

Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api neraka! [Sahih al-Bukhari, hadis no: 60]


Persoalan tumit yang tidak terkena air mungkin dianggap kecil oleh orang yang memiliki “wawasan besar terhadap agama”. Akan tetapi di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia tetap merupakan isu besar yang perlu ditegur serta merta secara tegas.

2. Jika seorang muslim cuai dan jahil dalam persoalan “kecil”, lalu bagaimana mungkin dia dianggap mampu bersikap cemerlang dan bijak dalam persoalan “besar”? Tentu saja tidak. Maka tidak hairanlah kita lazim mendengar atau membaca pandangan-pandangan yang lebih mafsadat dari maslahat dari orang-orang yang konon memiliki “wawasan besar terhadap agama” dalam isu negara Islam, Palestin dan pemulauan barangan negara Barat.


Penutup.

Para tokoh generasi awal umat Islam (al-Salaf al-Shalih) pernah berpesan, seorang muslim yang bijak bukanlah mereka tahu membezakan antara yang halal dan haram. Akan tetapi dia ialah seorang yang mampu membezakan antara dua perkara yang halal, manakah yang lebih utama untuk diambil dan antara dua perkara yang haram, manakah yang lebih utama untuk dijauhkan.

Semoga risalah ringkas ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat mampu membawa kita ke arah ciri-ciri muslim yang bijak. Apatah lagi dalam suasana umat Islam sekarang ini yang mundur dalam serba serbi persoalan, janganlah pula kita menjadi mundur dalam persoalan agama kita sendiri.


Disediakan oleh: Ustaz Kapten Hafiz Firdaus Abdullah
Disunting oleh: WADi



والله أعلم بالـصـواب 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik