Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Fikrah Dan Manhaj. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikrah Dan Manhaj. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Mac 2014

Pengertian Engkau Yang Kami Sembah Dan Meminta Pertolongan



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Ayat ini tidak asing lagi bagi ummat Islam. Ia merupakan ayat ke 5 dalam surah Al-Fatihah yang dibaca berulang-ulang kali dalam solat. Ayat yang dimaksudkan ialah

إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.

       Ulama' Bahasa Arab menyatakan bahawa ayat ini didahului dengan maf'ul bih (objek) iaitu ayat (Kepada Engkau, Allah) kemudian barulah fi'il (kata kerja) iaitu perkataan (kami sembah) dan ayat (kami meminta pertolongan). Ayat ini mengandungi erti yang jelas, kuat dan tepat maksudnya iaitu ummat Islam beribadah dan meminta pertolongan khusus kepada Allah subhanahu wa ta'ala semata-mata, tidak kepada selainNya. 

           Ayat ini dibaca berulang-ulang kali bagi seorang Muslim sekurang-kurangnya sebanyak 17 kali sehari iaitu sebanyak jumlah rakaat dalam solat fardhunya. Bahkan mungkin lebih banyak lagi jika seseorang Muslim itu mengerjakan solat sunat dan berdoa dengannya. Ayat ini merupakan intisari surah Al-Fatihah bahkan merupakan intisari atau tema utama daripada Al-Quran keseluruhannya. 

            Perkataan (Kami menyembah atau beribadah) yang dimaksudkan di dalam ayat ini mencakupi pengertian ibadah yang luas sebagaimana luasnya Islam itu sendiri. Ibadah yang dimaksudkan termasuklah solat, zakat, puasa, membaca Al-Quran, berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran, bahkan berdoa juga dikira sebagai ibadah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ

Doa itu ialah Ibadah. [Riwayat Al-Tirmizi, Beliau mengatakan hadith ini darjatnya Hasan Sahih]

Semua ummat Islam maklum bahawa asasnya semua ibadah yang dilakukan hanyalah untuk Allah subhanahu wa ta'ala. Ikhlas kepadaNya dan hanyalah untukNya. Bukan untuk orang lain atau kerana sesiapa pun. Begitulah juga konsepnya dalam berdoa atau meminta pertolongan. Meminta pertolongan, doa, harapan dan sebagainya semestinya kepada pemilik segala kekuasaan iaitu Allah subhanahu wa ta'ala, bukan kepada bomoh, wali, tokoh atau manusia tertentu hanya kerana ketinggian dan kemuliaan darjatnya. Allah ta'ala berfirman:

قُلْ إِنَّمَا أَدْعُو رَبِّي وَلَا أُشْرِكُ بِهِ أَحَدًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah beribadat kepada Tuhanku semata-mata, dan aku tidak mempersekutukanNya dengan sesiapapun". [Al-Jinn 72:20]
Jika kita beribadah hanya kepada Allah subhanahu wa ta'ala kenapa berdoa dan meminta tidak kepadanya? Kenapa berdoa kepada para bomoh, wali atau tokoh tertentu? Adakah kerana kemuliaan dan kedudukan mereka yang tinggi? Jika begitu apakah Allah ta'ala lebih rendah kedudukannya berbanding mereka? Adakah Allah ta'ala tidak mendengar doa orang lain selain mereka? 




Jawabnya tentu sekali tidak. Allah mendengar semua permintaan hamba-hambanya. Bahkan syaitan yang terkutuk lagi dilaknat itu juga didengar dan dimakbulkan permintaannya untuk ditangguhkan kematian untuk menyesatkan anak adam. Syaitan yang paling keji dan jahat dimakbulkan doa oleh Allah, maka sudah tentu doa orang-orang Islam didengari dan dimakbulkanNya. 


Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ

Doa yang dibaca oleh Nabi Zinn Nun (Nabi Yunus) ketika berada di dalam perut ikan ialah: Tidak ada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau (Ya Allah), Sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri. Tidaklah sesekali seorang Muslim membaca doa ini untuk meminta sesuatu melainkan Allah akan mengabulkannya (menerimanya). [Riwayat Al-Tirmizi, Al-Hakim, dan An-Nasai dalam Sunan Al-Kubra, Ibn Hajar Al-Asqalani menilai hadith ini Hasan (baik) dalam Al-Futuhat Al-Rabbaniyyah 4/11 dan Takhrij Misykat Al-Masobih 2/431]


Di dalam hadith lain, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menjelaskan hakikat tauhid dan doa sebagaimana yang diajarkannya kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma


يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ رُفِعَتْ الْأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ

"Wahai anak, sesungguhnya aku akan mengajarkanmu beberapa kalimat; Jagalah Allah nescaya Dia akan menjagamu, jagalah Allah nescaya kau menemuiNya dihadapanmu, bila kau meminta, mintalah kepada Allah dan bila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah, ketahuilah sesungguhnya seandainya ummat manusia bersatu untuk memberikanmu manfaat (kebaikan), mereka tidak akan dapat memberi manfaat apa pun selain yang telah ditakdirkan Allah untukmu dan seandainya bila mereka bersatu untuk membahayakanmu, mereka tidak akan dapat membahayakanmu sama sekali kecuali yang telah ditakdirkan Allah padamu, pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering. (maksudnya takdir telah ditetapkan) " [Riwayat Al-Tirmizi no. 2516, Berkata Abu Isa (Al-Tirmizi): Hadits ini hasan shahih]


 والله أعلم بالـصـواب 


Ahad, 2 September 2012

Memohon Pertolongan Hanya Kepada Allah


السلام عليكم



Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas radhiallahu 'anhu:

إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله
Apabila kamu hendak meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu hendak memohon pertolongan, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. (Riwayat Al-Tirmizi, beliau menilainya hasan sahih)


Imam An-Nawawi dan Al-Haithami menjelaskan maksud hadith ini secara ringkas:

Jika engkau memohon pertolongan dalam sesuatu urusan, baik urusan duniawi atau urusan akhirat, maka mohonlah pertolongan kepada Allah. Lebih-lebih lagi dalam sesuatu urusan yang tidak seorang pun dapat membantunya kecuali Allah seperti menyembuhkan penyakit, masalah rezeki dan urusan petunjuk kepada manusia. Perkara-perkara seperti ini berada dalam lingkungan kekuasaan yang khusus untuk pertolongan dari Allah subhanahu wa ta'ala sahaja. 

Firman Allah subhanahu wa ta'ala

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al-An'am 6:17)

Barangsiapa yang inginkan hujjah, maka cukuplah berhujjah dengan Al-Quran dan Hadith. Barangsiapa inginkan penolong, cukuplah Allah sebagai penolongnya. Barangsiapa yang inginkan nasihat, cukuplah kematian dan mengingatinya itu menjadi penasihat baginya, dan barangsiapa yang merasa tidak cukup dengan semua itu, maka cukuplah neraka sebagai tempat untuknya kembali. Firman Allah subhanahu wa ta'ala


أَلَيْسَ اللَّهُ بِكَافٍ عَبْدَهُ ۖ وَيُخَوِّفُونَكَ بِالَّذِينَ مِن دُونِهِ ۚ وَمَن يُضْلِلِ اللَّهُ فَمَا لَهُ مِنْ هَاد

Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hambaNya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya. (Az-Zumar 39:36)

Berkara Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani dalam Fath Al-Rabbani:

Mintalah kepada Allah dan janganlah meminta selain dariNya! Mohonlah pertolongan kepada Allah dan jangan memohon pertolongan kepada selainNya! Celakalah kamu, dimana akan engkau letakkan mukamu di hadapan Allah di akhirat kelak jika kamu berani menentang Allah di dunia ini. Kamu memalingkan wajah dariNya dan meminta pertolongan kepada makhlukNya dan menyekutukanNya. Engkau keluhkan segala hajatmu dan engkau pasrahkan segala nasibmu kepada makhluknya itu. Buangkanlah perantara-perantara yang menghubungkan dirimu dengan Allah! Kerana kebergantungan kepada para perantara itu adalah suatu kebodohan. Tidak ada kerajaan, kekuasaan, kekayaan dan kemulian kecuali semuanya itu milik Allah. Jadilah kamu orang yang selalu bersama Allah tanpa dengan makhluk! (Bersama Allah dalam berdoa dan begantung harap tanpa perantaraan dari makhluk-makhluknya.)

Memohon pertolongan yang disyariatkan adalah memohon pertolongan secara terus kepada Allah subhanahu wa ta'ala agar Dia melepaskan segala beban kesulitan yang dihadapi. Adapun memohon pertolongan yang boleh membawa kepada syirik seperti memohon pertolongan kepada orang yang telah meninggal, memuja kuburan dan patung atau kepada orang yang hidup namun tidak berhadapan dengannya. Ini kerana mereka semua tidak mampu memberi sedikitpun manfaat baik mudharat bahkan tidak mendengar pun permintaan orang yang meminta kepadanya. Dan jika mereka mendengar, mereka tetap tidak mampu mengabulkan permintaan kerana hanya Allah sahaja yang berkuasa melakukannya. 

Adapun meminta pertolongan kepada orang yang masih hidup sementara orang itu ada dihadapannya ketika permintaan tersebut seperti meminta pertolongan dalam perkara bersifat material, mendirikan masjid atau keperluan manusia sesama manusia yang lainnya, maka itu dibolehkan. Firman Allah azza wa jalla


وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ 

Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. (Al-Maidah 5:2)

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 

والله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه

Allah akan memberikan pertolongan kepada seseorang hamba selama mana hamba itu mahu memberikan pertolongan kepada saudara seagamanya. (Riwayat Muslim)

Diantara contoh bentuk pertolongan yang dibolehkan sesama manusia adalah sebagaimana yang dinyatakan dalam Al-Quran al-Karim melalui Firman Allah subhanahu wa ta'ala


هَٰذَا مِن شِيعَتِهِ وَهَٰذَا مِنْ عَدُوِّهِ ۖ فَاسْتَغَاثَهُ الَّذِي مِن شِيعَتِهِ عَلَى الَّذِي مِنْ عَدُوِّهِ

Seorang dari golongannya sendiri dan yang seorang lagi dari pihak musuhnya. Maka orang yang dari golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang yang dari pihak musuhnya (Al-Qasas 28:15)


فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا

oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (Al-Kahfi 18:95)




والله أعلم بالـصـواب 

Isnin, 5 Mac 2012

Makna Muhammad Rasulullah محمد رسول الله


السلام عليكم




Berikut adalah perbahasan atau bab seterusnya dalam penulisan bagi topik Fikrah dan Manhaj. Pada siri sebelumnya telah dijelaskan serba sedikit perihal Pengertian Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله). Adapun entri yang lainnya bagi topik ini boleh dibaca disini: Fikrah Dan Manhaj

Kalimah Muhammad Rasulullah (محمد رسول الله) juga cukup sinonim bagi umat Islam diseluruh dunia sama seperti kalimah Lailahaillallah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله. Mengimana Nabi Muhammad s.a.w sebagai utusan dan hamban Allah s.w.t bermaksud membenarkan apa yang dikhabarkan oleh Baginda, mentaati apa yang diperintahkan, meninggalkan segala larangan dan tegahan dan apa yang Baginda ingatkan serta beribadah kepada Allah s.w.t seperti mana yang telah Baginda ajarkan melalui sunnah-sunnahnya.

Firman Allah s.w.t. kepada Rasulullah s.a.w:

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ ۚ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman". (al-A'raf,7:118)


Perlu difahami bahawa perintah untuk mentaati dan mematuhi Rasulullah s.a.w ini bukanlah bermaksud mematuhi Baginda sehingga meletakkan taraf baginda itu seperti Allah s.w.t, Tuhan Semesta Alam. Kerana itu Rasulullah s.a.w sendiri telah berpesan agar tidak mengikut kaum Nasrani yang berlebih-lebihan menyanjung Isa a.s. Rasulullah s.a.w bersabda:

لا تطروني كما اطرات النصارى ابن مريم، فانما انا عبده، فقولو عبدالله ورسوله. رواه البخري
"Janganlah kalian terlalu berlebih-lebihan menyanjungku sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan menyanjungi Isa ibn Maryam. Sesungguhnya aku hanyalah seorang hamba. Maka katakanlah, Muhammad seorang hamba dan utusan Allah" (Riwayat al-Bukhari)

Berkata Syeikh Abu Hasan An-Nadwi:

"Para Nabi di awal dakwah mereka dan tujuan utama mereka adalah meluruskan keyakinan kepada Allah s.w.t, meluruskan hubungan para hamba kepada sang Penciptanya, mengajak manusia untuk beribadah dengan ikhlas kepadaNya, memurnikan segala bentuk ibadah hanya kepadaNya semata-mata serta meletakkan keyakinan bahawa Allah s.w.t sahajalah yang boleh memberi manfaat dan mudarat, yang berhak disembah, diminta pertolongan, perlindungan." (An-Nubuwwah)

Kecintaan kepada Rasulullah s.a.w diterjemahkan dengan mengikuti perintah Rasulullah, meninggalkan larangan yang dinyatakan Rasulullah, berselawat dan mendoakan Baginda, dan menegakkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w yang mulia. Dan apabila berdoa, maka berdoalah kepada Allah s.w.t, bukan kepada Rasulullah dan bukan pula kepada para wali dan sesiapa jua sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:


إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللهَ، وَ إِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِااللهِ
"Apabila engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah dan bila engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah." (Riwayat al-Tirmizi, beliau menilainya hasan sahih)


Rasulullah s.a.w turut berdoa kepada Allah s.w.t walaupun Baginda adalah Rasul yang mulia dan maksum dari dosa dan sudah terjamin ke syurga. Apabila ditimpa kesedihan dan kedukaan, Baginda berdoa:


يَاحَيُّ يَا قَيُّوْمُ بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
"Wahai Zat yang hidup kekal dan terus menerus mengurus makhlukNya, dengan rahmatMu aku meminta pertolongan" (Riwayat al-Tirmizi, hadith ini hasan)


Semoga hati kita senantiasa mencintai Rasulullah s.a.w dengan mencintai sunnah-sunnahnya. Bukan semata-mata mengungkap kalimah cinta namun dalam masa yang sama memusuhi sunnah Rasulullah dan menyenangi bid'ah yang menyalahi sunnah. 


والله أعلمُ بالـصـواب

Sabtu, 18 Februari 2012

Pengertian Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله)



السلام عليكم

sambungan daripada siri Fikrah Dan Manhaj




Kalimah Lailahaillallah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله) adalah kalimah yang besar ertinya disisi Islam. Ia adalah suatu kalimah yang mengandungi makna yang menafikan terhadap segala bentuk penyembahan selain daripada Allah s.w.t dan ia juga menetapkan bahawa penyembahan itu wajib ditujukan kepada Allah s.w.t semata-mata. Firman Allah s.w.t


فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ 
"Maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" (Muhammad:19)

Rasululullah s.a.w bersabda:

مَنْ قَالَ لاَإِلَهَ إِلاَّالله مُخْلِصًا دَخَلَ الْجَنَّةَ

"Barangsiapa yang berkata 'tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah (لاَ إِلَهَ إِلَّاالله)' dengan ikhlas, maka Allah akan memasukannya ke dalam syurga '" (Riwayat Ahmad: Sahih)




Maksud ikhlas di dalam hadith diatas adalah orang yang benar-benar memahami dengan sebenar-benarnya pengertian kalimah  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله itu, kemudian mengamalkannya lalu mendahulukan erti dan maksud kalimah ini dalam mentauhidkannya. Ini kerana kalimah ini mengandungi pengesaan kepada Allah s.w.t, yang juga tujuan diciptakan seluruh manusia, jin dan alam ini.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah menyeru kepada ayah saudaranya, Abu Thalib saat dia sedang nazak:


يَا عَمَّ قُلْ لاَإِلَهَ إِلَّااللهُ كَلِمَةً أُحِجُّ لَكَ بِهَا عِنْدَاللهِ، وَأَبَى أَنْ يَقُولَ: لَاإِلَهَ إِلَّااللهُ

"Wahai ayah saudaraku, katakanlah  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله sebuah kalimah yang kelak akan menjadi hujjah atas keislamanmu di hadapan Allah s.w.t. Namun ayah saudaranya itu enggan menucapkannya" (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Rasulullah s.a.w tinggal di Makkah selama tiga belas tahun dan dalam tempoh masa itu, Baginda senantiasa menyeru kepada kaumnya agar mengucap kalimah tauhid ini. "Katakanlah لاَ إِلَهَ إِلَّاالله , namun mereka menjawab "Kami disuruh untuk menyembah kepada satu Tuhan sahaja? Sungguh ini adalah suatu perkataan yang aneh yang belum pernah kami dengar sebelum ini! ". Ini kerana mereka sebenarnya mengetahui dengan sebenarnya makna kalimah ini bererti mereka tidak akan  menyembah sesuatu selain Allah Tuhan Yang Esa memandangkan tuhan mereka sebelumnya begitu banyak sekali. Ini menyebabkan mereka tidak mahu mengikut seruan Rasulullah s.a.w.  Sikap mereka ini telah disebut oleh Allah dalam firmanNya dalam surah As-Saffat ayat 35-37: 


إِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا إِلَٰهَ إِلَّا اللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ

"Sebenarnya mereka dahulu apabila dikatakan kepadanya;" (ketahuilah, bahawa) tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah" - mereka bersikap takbur mengingkarinya, "

وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُو آلِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَّجْنُونٍ

"Serta mereka berkata: " Patutkah kami mesti meninggalkan tuhan-tuhan yang kami sembah, kerana mendengar ajakan seorang penyair gila?""

بَلْ جَاءَ بِالْحَقِّ وَصَدَّقَ الْمُرْسَلِينَ

(Tidak! Nabi Muhammad bukan penyair dan bukan pula seorang gila) bahkan ia telah membawa kebenaran (tauhid), dan mengesahkan kebenaran (tauhid) yang dibawa oleh Rasul-rasul (yang terdahulu daripadanya).

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: 

مَنْ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلَّااللهُ وَكَفَرَ بِمَا يُعْبَدُ مِنْ دَوْنِ اللهِ حَرُمَ مَالُهُ وَدَمُهُ

"Barang siapa mengucap kalimah  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  dan mengingkari adanya sembahan lain selain daripada Allah, maka harta dan darahnya haram untuk dirampas  " (Riwayat Muslim)


Hadith ini bermaksud bahawa mengucapkan kalimah syahadah itu bermakna kita menginkari semua bentuk ibadah selain kepada Allah s.w.t seperti meminta kepada kubur, berhajat dan meminta kepada bomoh dan dukun dan sebagainya. Realitinya umat Islam kini walaupun telah mengucap kalimah syahada namun sebahagiannya masih menyampaikan hajat dan meminta kepada selain daripada Allah s.w.t sedangkan mereka sudah pasti tidak mampu memberi sebarang manfaat dan mudharat kepada kita disebabkan mereka juga makhluk ciptaanNya. 

Kalimah ini adalah landasan tauhid yang utama dalam Islam dan pedoman yang besar serta sempurna bagi kehidupan seluruh muslim kerana dengan meyakini dan beriman dengannya maka akan wujudlah satu keyakinan (I'tiqad) untuk menyembah hanya kepada Allah s.w.t, hanya tunduk kepada Allah s.w.t sahaja, hanya berdoa kepadaNya dan hanya berhukum dengan syariat-syariat yang telah ditetapkan olehNya.

Menurut Ibn Rajab, kalimah لااله bermakna Zat yang ditaati dan dipatuhi dengan penuh rasa pengharapan (raja'), cemas, pengagungan, pasrah, dan disertakan dengan permohonan dan permintaak hanya kepadaNya. Barang siapa yang menempatkan selain Allah s.w.t , padahal itu mutlak merupakan milik Allah s.w.t, maka bererti dia telah merosakkan kemurniaan dan kesucian kalimah  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله kerana dia telah menunjukkan ibadahnya kepada makhluk.

Sesungguhnya kalimah ini memberi manfaat kepada mereka yang mengucapkannya selagi dia tidak membatalkan ucapannya itu dengan sesuatu perkara yang boleh mendatangkan syirik sebagaimana hadas yang membatalkan wudhuk seseorang itu. Rasulullah s.a.w bersabda:


مَنْ كَانَ أَخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّااللهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ


"Barangsiapa yang akhir ucapannya adalah  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله , maka dia akan dimasukkan kedalam syurga" (Riwayat al-Hakim)




والله أعلمُ بالـصـواب




Rabu, 8 Februari 2012

Tauhid Dan Pembahagiannya




السلام عليكم




Tauhid adalah mengesakan Allah s.w.t dengan beribadah dan menunaikan kefardhuan kepadaNya semata-mata. Wujudnya ibadah kepada manusia adalah tujuan Allah s.w.t menciptakan alam semesta dan seluruh isinya baik manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan segala sesuatu. Semuanya difardhukan bertauhid kepada Allah azzawajalla. Allah s.w.t berfirman :


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ 
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Zariyat: 56)

Berdasarkan dalil yang mahsyur ini, ia menyanggah pendapat yang mengatakan bahawa alam semesta ini diciptakan kerana adanya Nabi Muhammad s.a.w. Melalui firmanNya ini, apa jua ibadah dari manusia mahupun jin itu adalah ditujukan semata-mata kepada Allah s.w.t tanpa menyekutukannya dengan sesuatu apapun. 


Tauhid Dan Pembahagiannnya


Tauhid dapat dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu:

1. Tauhid Rububiyah iaitu meyakini bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan yang menciptakan dan mewujudkan alam semesta dan seluruh yang ada di langit dan dibumi. Tauhid ini bukan sahaja diyakini dan diimani oleh umat Islam khususnya, bahkan golongan kafir turut mengakui secara umumnya. Namun begitu, pengakuan dari Tauhid Rububiyah semata-mata masih belum cukup untuk menjadikan mereka tergolong dalam kalangan orang-orang Islam. Orang-orang eties yang tidak meyakini wujudnya Tuhan adalah lebih jahil dan teruk berbanding kafir jahiliyyah. Firman Allah s.w.t :


وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ ۖ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ
Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (Jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan (dari menyembah dan mengesakanNya)? (az-Zukhruf:87)


2. Tauhid Uluhiyyah iaitu ditujukan kepada Allah s.w.t semata-mata dalam apa jua bentuk ibadah, ketaatan, keyakinan, permintaan, pemyembahan dan sebagainya. Tauhid inilah yang ditolak dan tidak diyakini oleh golongan kafir dan seruan tauhid inilah yang dimusuhi oleh kaum kafir dari dahulu lagi. Ia lah menjadi penyebab permusuhan antara Rasulullah s.a.w dengan musyrikin makkah, madinah, dan sebagainya dalam usaha dakwah baginda mengajak kepada menyembah Tuhan yang Maha Esa.

Dalil-dalil yang menunjukkan akan tauhid Uluhiyyah cukup banyak di dalam al-Quran. Salah satunya yang mahsyur adalah dalam surat al-Fatihah yang kita baca dan ulang setiap kali dalam solat. Paling kurang bagi seseorang Muslim wajib mengulanginya sebanyak 17 kali sehari. Ayatnya adalah:


إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Kepada Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. (al-Fatihah:5)

Dan dalil lain antaranya : 


إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. (Taha:14)

3. Tauhid Asma' wa Sifat iaitu beriman dengan semua sifat-sifat yang ada pada Allah s.w.t melalui dalil-dalil dan nas-nas yang terdapat dalam al-Quran dan hadith-hadith yang sahih. Beriman dengannya adalah suatu kefardhuan kepada umat Islam tanpa menyertakan dan mempersoalkan dengan cara takwil, ta'thil, takyif, tamsil dan tawfidh. Firman Allah s.w.t:


قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الأسْمَاءُ الْحُسْنَى

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", Yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama Yang baik serta mulia"... (al-Isra’: 110)

Glosari :

1. Takwil : Menukar ayat dan maknanya dari makna asal menjadi suatu makna yang lain.

2. Ta'thil : Mengingkari dan menolak sebahagian daripada nama dan sifat-sifat Allah s.w.t

3. Takyif : Menggambarkan atau mengvisualkan bagaimana zat dan wujudnya Allah s.w.t seperti menggambarkan bagaimana Allah itu bersemayam, duduk, berkata-kata dan sebagainya. 

4. Tamsil : Menyerupakan sifat Allah s.w.t dengan sifat-sifat makhluk.

5. Tawfidh : Tidak mahu menetapkan pengertian bagi sifat-sifat Allah s.w.t 



والله أعلمُ بالـصـواب





Isnin, 23 Januari 2012

Ahlul Hadith, Golongan Yang Mendapat Petolongan Allah


السلام عليكم


Kali ini kita akan bersambung dalam bab Siapakah golongan yang mendapat pertolongan dan bantuan daripada Allah s.w.t ? Untuk merungkai persoalan ini, mari kita sama-sama merenung hadith berikut. Rasulullah s.a.w bersabda: 


لَا تَزَالُ طَاىِٔفَةٌ مِنْ أُمَّتِيْ ظَاهِرِيْنَ عَلَى الْحَقَّ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ 
حَتَّى يَأْ تِيَ اَمْرُاللهِ


"Akan sentiasa ada di kalangan umatku yang memperjuangkan kebenaran, yang tidak akan membahayakan mereka sedikitpun orang-orang yang hendak menghinakannya hingga datang keputusan Allah (hari kiamat)" (Riwayat Muslim)

Dalam Hadith lainnya, Rasulullah s.a.w bersabda :

إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلَا خَيْرَفِيْكُمْ، وَلَا يَزَالُ أَنَاسٌ مِنْ أُمَّتِيْ مَنْصُوْرُوْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقَوْمَ السَّاعَةُ

"Apabila penduduk Syam telah rosak, maka tidak ada lagi kebaikan pada kalian. Dan akan sentiasa ada di kalangan umatku yang mendapat pertolongan (dari Allah), dimana penghinaan orang-orang tidak akan membahayakan mereka sedikitpun hingga hari kiamat" (Riwayat Ahmad, sahih)

Ibnu Mubarak mengulas mengenai siapakah mereka yang dimaksudkan dalam hadith ini. Katanya "Menurutku mereka adalah para ahlulhadith (ahli hadith)". Imam Al-Bukhari pula berkata : "Ibnul Madini berpendapat mereka adalah para ahli hadith". Menurut pandangan imam Ahmad dalam pendapatnya : "Jika golongan yang mendapat pertolongan dari Allah tu bukan para ahli hadith, maka saya tidak tahu lagi siapa mereka."

Maksud yang ingin disampaikan oleh Imam Ahmad, Al-Bukhari dan lain-lainnya adalah golongan yang mendapat pertolongan dan bantuan yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah s.a.w ialah para ahli hadith atau mereka yang berpegang teguh dengan hadith dan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka secara khusus mendalami dan mempelajari hadith-hadith dan sunnah-sunnah Nabi s.a.w dan perkara yang berhubung kait dengannya. Kerana itu, mereka menjadi orang yang arif mengenai sunnah, akhlak, kehidupan dan hal-hal lain berkaitan dengan sunnahnya.

Imam Syafie pernah berkata kepada Imam Ahmad bin Hambal:

"Engkau lebih mahir tentang hadith daripadaku. Maka bila sampai kepadamu hadith yang sahih, maka beritahulah kepadaku sehinggalah aku bermazhab dengannya, baik itu mazhab Hijaz, Kufah atau Basrah."

Para ahli hadith tidak pernah sama sekali taksub dan fanatik kepada orang tertentu walaupun darjat orang tersebut tinggi di sisi masyarakat umumnya. Ini kerana tiada siapa pun yang benar dan tepat keseluruhan ucapan, perilaku dan sifatnya sebagaimana Rasulullah s.a.w. Maka dengan itu adalah tidak wajar untuk merasa taksub kepada sesiapa jua atas dasar kepercayaan yang tidak sempurna seperti Rasulullah s.a.w. Ini berbeza dengan golongan yang bukan ahli hadith dimana mereka mudah untuk taksub atau bersikap fanatik kepada individu tertentu hingga melebihi Rasulullah s.a.w itu sendiri. Hal ini boleh kita lihat dimana ketaksuban itu menular baik kepada para ustaz, ilmuan, tokoh dan sebagainya. 

Al-Khatib Al-Baghdadi dalam kitabnya yang berjudul Syarf Ashabi Al-hadith berkata :

"Jika orang-orang yang suka mendahulukan ra'yunya (akalnya) dalam memahami agama itu mahu menyibukkan diri dalam mempelajari hadith-hadith Rasulullah s.a.w, nescaya mereka akan mendapati sesuatu yang mana mereka tidak memerlukan apa jua lagi selain hadith-hadith Nabi s.a.w. Ini kerana hadith-hadith itu sendiri mengandungi unsur tauhid/akidah, sifat-sifat Tuhan, Perihal Syurga dan Neraka, janji dan ancaman dariNya dan semua yang telah Allah ciptakan baik dilangit atau dibumi.

Di dalamnya terkandung kisah-kisah para Nabi dan Rasul, mereka yang zuhud, kekasih Allah, nasihat-nasihat, perkataan para ahli fiqh, khutbah dan kemukjizatan Baginda. Terkandung juga perihal al-Quran, khabar-khabar, dan apa jua berkaitan hukum. Allah s.w.t menjadikan ahli hadith sebagai tiang syariat untuk dihancurkan segala bentuk bid'ah melalui mereka.  Mereka adalah orang yang diberi amanah, yang menghubungkan antara Nabi s.a.w dengan para umatnya. Mereka adalah penjaga agama dan hadith Rasulullah s.a.w.

Setiap golongan akan sentiasa mendahului nafsu dan akal fikirannya melainkan ahli hadith, kerana mereka menjadikan al-Quran sebagai bekalan hidup mereka dan hadith sebagai hujah dalam kehidupan mereka. Mereka berusaha mengikut jalan Rasulullah, para sahabat, tabi'in, tabiit tabi'n dan para generasi salafussoleh. Mereka yakin akan pertolongan Allah dan barang siapa yang memusuhi para ahlul hadith, nesaya Allah akan membuatkannya terhina."

Ya Allah, sesungguhnya engkau melindungi akan setiap para ahlul hadith. Jadikanlah kami termasuk dalam kalangan para ahlul hadith, para pengikut jalan Rasulullah dan salaful ummah. Berilah kami kekuatan, kecintaan, kemahiran untuk mengamalkannya dan menyebarkannya. 



والله أعلمُ بالـصـواب






Isnin, 9 Januari 2012

Tanda-Tanda Golongan Yang Selamat


Dalam penulisan yang lepas telah diterangkan perihal asas Al-Firqatun Najiyyah, Jalan Hidup Golongan Selamat. Ia juga turut menyentuh dan menjawab beberapa persoalan asas seperti Siapakah Al-Firqotun Najiyah (Golongan yang selamat)?Manhaj golongan yang selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 1) dan Manhaj Golongan Yang Selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 2). Kali ini penulis memetik perbahasa yang ketiga dari kitab ini iaitu berkaitan tanda-tanda al-Firqotun Najiyyah atau tanda-tanda golongan yang selamat.

1. Golongan yang selamat, jumlah mereka tidaklah ramai dan boleh dikatakan amat sedikit ditengah-tengah ramainya manusia di akhir zaman. Hal ini sebagaimana yang pernah Rasulullah s.a.w bersabda :

"Berbahagialah orang-rang yang asing. Iaitu mereka yang soleh yang berada di antara sekalian orang-orang yang buruk, dimana orang-orang yang tidak sejalan dengan mereka lebih ramai dari orang-orang yang sejalan" (Riwayat Ahmad: Sahih)

Allah s.w.t turut menggambarkan malah memuji mereka di dalam al-Quran dalam firmanNya:



وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ 

"Dan sedikit sekali diantara hamba-hambaKu yang bersyukur" (al-Saba':13)



2. Golongan yang selamat banyak dimusuhi oleh manusia, difitnah, dan diberi gelaran-gelaran yang buruk. Nasib yang ditempuhi oleh mereka adalah sama seperti yang ditempuh oleh Nabi dan mereka yang beriman terdahulu sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al-Quran:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَا لِكُلِّ نَبِيٍّ عَدُوًّا شَيَاطِينَ الْإِنسِ وَالْجِنِّ يُوحِي بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ زُخْرُفَ الْقَوْلِ غُرُورًا ۚ وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ مَا فَعَلُوهُ ۖ فَذَرْهُمْ وَمَا يَفْتَرُونَ



"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. Dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu." (al-An'am:112) 

Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w ketia mendakwah dan menyeru kepada tauhid kepada Allah, kaumnya malah memberi jolokan atau gelaran pembohong dan tukang sihir kepada Baginda. Padahal sebelum menjadi Rasul, mereka sendiri mengakui dan menggelarnya dengan gelaran "As-Sodiq al-Amin" iaitu yang benar lagi boleh dipercayai

3. Syeikh Abdul Aziz bin Baz ketika ditanya tentang siapakah golongan yang selamat, beliau menjawab : "Mereka adalah para salaful soleh dan setiap mereka yang mengikut dan menempuh jalan mereka."

Itulah beberapa perkara yang menjadi manhaj dan tanda-tanda mereka yang tergolong dalam golongan yang selamat. Penulisan yang berikut dalam bab ini akan menyentuh isu Aqidah al-Firqotun Najiyyah, insyaAllah.

wallahua'lam bissowab


و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Rabu, 21 Disember 2011

Manhaj Golongan Yang Selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 2)



siri ini adalah sambungan daripada siri  satu

7. Golongan yang selamat ialah para ahli hadith. Rasulullah s.a.w pernah bersabda :
“Akan sentiasa ada di kalangan umatku hingga datang keputusan Allah (kiamat) kelak, sekelompok orang yang memperjuangkan kebenaran, di mana penghinaan orang-orang tidak akan membahayakan mereka sedikitpun“ (Riwayat Muslim)

Seorang penyair pernah berkata dalam bait syairnya:
“Para ahli hadith adalah termasuk orang yang dekat dengan Nabi s.a.w kerana sekalipun jasad mereka tidak bertemu dengan Baginda, tetapi jiwa mereka selalu dekat dengan Rasulullah s.a.w“

8. Golongan yang selamat menghormati imam Mujtahid terdahulu namun tidak pernah taksub dan fanatik kepada salah seorang daripada mereka semua. Golongan yang selamat mengambil pemahaman fiqh dari al-Quran, hadith-hadith sahih, dan pendapat imam mujtahid yang sejalan dengan hadith sahih. Ini kerana mereka (imam mujtahid) telah mewasiatkan bahawa pengikut mereka mengambil hadith yang sahih dan meninggalkan pendapat mereka jika bertentangan dengan hadith sahih itu.

9. Golongan yang selamat mengajak kepada kebaikan dan melarang perbuatan mungkar. Mereka melarang segala bidaah dalam ibadah dan memerangi golongan lain yang memecahkan ummah, yang membuat bidaah atau perkara yang diada-adakan daam ibadah dan yang menjauhkan diri daripada sunnah Rasulullah s.a.w  dan para sahabat.

10. Golongan yang selamat menolak peraturan-peraturan yang bertentangan dengan hukum Islam kerana sesungguhnya hukum itu dibuat oleh manusia yang tidak mengikut syariat Islam. Mereka mengajak manusia agar berhukum dengan kitabullah yang diturunkan untuk kemaslahatan ummah. Ini kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya di dunia dan diakhirat. Hukum Allah juga adalah diyakini, sesuai da releven sepanjang zaman dan keadaan. Sesungguhnya hancurnya kaum-kaum dan peradaban dunia apabila mereka menolak hukum-hukum dan syariat Allah s.w.t dan tidak ada kejayaan buat umat Islam melainkan mereka kembali kepada Jalan Allah s.w.t sebagaimana firman Allah :

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubah keadaan yang ada pada diri mereka“ (ar-Ra’d:11)

11. Golongan yang selamat ialah mereka yang mengajak seluruh muslimin berjihad di jalan Allah s.w.t dimana ia telh menjadi kewajiban mereka sesuai dengan kekuatan dan kemampuan masing-masing.
Adapun jihad itu terbahagi kepada tiga bahagian iaitu:

Pertama: Jihad dengan lisan dan tulisan. Iaitu mengajak umat Islam dan selainnya untuk berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Islam yang benar, menyeru agar bertauhid dengan sebenar-benar tauhid, membebaskan diri dari segala kesyirikan yang banyak tersebar dalam negara Islam kini sebagaimana yang telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w beribu tahun dahulu dalam sabdanya:

“Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum kelompok-kelompok dari umatku mengikuti orang-orang musyrik dan menyembah berhala-berhala“
(Riwayat Abu Dawud, sahih)

Kedua: Jihad dengan harta iaitu dengan menginfakkan harta ke jalan Allah sama ada dengan cara memberi bantuan kepada orang-orang Islam yang lemah dan memerlukan, membuat atau membeli senjata dan peralatan perang untuk menghadapi ancaman dan serangan muuh Islam, memberi bekalan kepada para mujahidin seperti makanan, pakaian dan sebagainya.

Ketiga: Jihad dengan jiwa iaitu dengan turun ke berjuang dalam peperangan menegakkan Islam atau membela Islam andai Islam diancam oleh musuh agar kalimah Allah sentiasa tertegak dimuka bumi.
Berikut adalah jihad yang dinyatakan sebagaimana hadith Rasulullah s.a.w :
“Perangilah orang-orang musyrik itu dengan harta, jiwa dan lisan kalian!“
(Riwayat Abu Dawud, sahih)

Adapun hukum berjihad itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu:

Pertama: Fardhu ain. Jihad yang dihukum fardhu ain ialah jihad menentang musuh-musuh Islam yang mengganggu atau mengancam negara Islam seperti mana Yahudi yang ingin merampas Palestin. Orang Islam yang punya kemampuan dan upaya namun tidak turun berjihad maka akan menanggung dosa.

Kedua: Fardhu kifayah iaitu kewajiban yang apabila dilakukan oleh sebahagian umat Islam maka tidak menjadi kewajiban lagi bagi Umat Islam yang lainnya. Jihad seperti ini adalah jihad misalnya berdakwah menyebarkan Islam ke serata tempat, menyebarkan ilmu Islam, menceburi pelbagai bidang ilmu yang menguntungkan umat Islam dan sebagainya.

wallahua’lam.




Selasa, 20 Disember 2011

Manhaj golongan yang selamat : Manhaj al-Firqotun Najiyyah (Siri 1)




1. Golongan yang selamat adalah mereka yang setia mengikut jalan hidup seagaimana Rasulullah s.a.w dan para sahabat, baik ketika mereka masih hidup mahupun setelah meninggal dunia. Golongan ini mengikut Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya yang kemudian dijelaskan pula dalam hadith-hadithnya yang sahih. Sebagaimana wasiatnya agar berpegang teguh kepada al-Quran dan Hadithnya.

“Aku tinggalkan di tengah-tengah kalian dua perkara yang kalian tidak akan sesat apabila berpegang kepada keduanya iaitu Kitabullah (al-Quran) dan Sunnahku. Dan keduanya tidak akan terpisahkan sehingga keduanya menghantar aku ke telaga syurga”
(Muttafaq alaih. Al-Albani menilai sahih dalam kitabnya sahih al-Jami’)

2. Golongan yang selamat akan merujuk kepada firman Allah dan hadith Rasulullah tatkala terjadi perselisihan dan perbezaan pendapat antara mereka sebagaimana firman Allah :
“Dan apabila kalian berselisih dalam suatu perkara, maka kembalilah kepada Allah dan Rasul, jika kalian benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu adalah lebih utama untuk kalian dan yang paling baik akibatnya(an-Nisa’:59)

“Maka demi Tuhanmu, mereka pada hakikatnya tidak beriman sebelum mereka menjadikan kamu hakim dalam perkara-perkara yang mereka perselisihkan; tidak ada keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang telah engkai tetapkan dan mereka pun menerima keputusanmu dengan sepenuh hati” (an-Nisa:65)

3. Golongan yang selamat ialah mereka yang tidak mendahului perkataan seseorang atas firman Allah s.w.t dan sabda Nabi s.a.w sebagaimana firman Allah s.w.t :
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kalian mendahului Allah dan RasuluNya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-Hujurat:1)

Ibnu Abbas berkata:
“Aku kira mereka akan binasa. Aku berkata Nabi s.a.w telah bersabda namun mereka mengatakan Abu Bakar, dan Umar berkata”
 (Riwayat Ahmad. Dinilai sahih oleh Ahmad Syakir)

4. Golongan yang selamat sentiasa menjaga kemurnian tauhid. Iaitu mentauhidkan Allah dalam beribadah seperti berdoa, meminta pertolongan saat sukar atau senang, penyembelihan korban, bernazar, bertawakal, berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan dalam pelbagai ibadah lain yang kesemua itu menjadi dasar bagi tertegaknya Daulah islamiyyah yang sebenar. Menjauhkan diri daripada pelbagai bentuk kesyirikan yang banyak ditemui di Negara-negara Islam kini.

5. Golongan yang selamat suka menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah s.a.w  baik dalam ibadah, tingkah laku, dan seluruh kehidupannya. Disebabkan itu, mereka yang mengamalkan sunnah ini akan dipandang asing, dan pelik oleh masyarakat kerana tidak sama dengan amalan mereka yang tidak jelas sumbernya atau amalan yang diada-adakan. Rasulullah s.a.w telahpun menyebut tentang hal ini:
“Sesungguhnya Islam itu pada awalnya asing dan kembali menjadi asing seperti pada awalnya. Maka beruntunglah orang yang asing”(Riwayat Muslim)

“Dan beruntung besarlah bagi orang-orang yang asing iaitu orang-orang yang tetap membuat kebaikan ditengah-tengah rosaknya kehidupan masyarakat.”
(Diriwayatkan oleh Abu Amru ad-Dani, dinilai sahih sanadnya oleh al-Albani)

6. Golongan yang selamat akan memegang teguh kepada Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnah Rasulullah s.a.w yang maksum yang tidak pernah berkata mengikut nafsunya. Adapun manusia selain baginda akan tetap tidak sempurna dan melakukan kesalahan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :

“Setiap Bani Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah mereka yang bertaubat” (Diriwayatkan oleh Ahmad dengan sanad hasan)

Imam Malik berkata “Tidak ada seorang pun di dunia ini yang boleh dipercayai sepenuhnya perkataannya kecuali Rasulullah s.a.w”



bersambung, insyaAllah..

Selasa, 13 Disember 2011

Siapakah Al-Firqotun Najiyah (Golongan yang selamat)?




1. Golongan yang selamat adalah mereka yang sentiasa berpegang dengan Agama Allah dengan teguh dan tidak berpecah belah. Mereka juga adalah golongan yang tidak menyekutukan Allah dari segala sesuatu atau dengan erti kata lain mereka baik dari segi akidahnya sebagaimana firman Allah s.w.t

Berpeganglah kalian kepada tali (agama) Allah dan janganlah bercerai-berai (al-Imran:103)

Janganlah kalian mnjadi golongan orang-orang yang menyekutukan Allah (ar-Rum: 31-32)

2. sabda Rasulullah s.a.w:

"Aku wasiatkan kepada kalian agar bertakwa kepada Allah, patuh, dan taat, sekalipun yang memerintah kalian seorang budak Habsyi. Kerana, barang siapa di antara kalian yang ditakdirkan hidup lama, nescaya akan menyaksikan banyak perselisihan. Kerana itu berpegang teguhlah kalian kepada sunnahku dan sunnah para khalifah penggantiku yang terbimbing lagi telah mendapat hidayah. Pegang teguhlah dengan kuat-kuat!. Berhati-hatilah terhadap segala perkara yang diada-adakan, kerana segala perkara yang diada-adakan itu adalah bidaah, sedangkan setiap bidaah itu adalah sesat dan setiap yang seat tempatnya adalah di dalam neraka."

(Hadith riwayat An-Nasaie dan At-Tirmizi : Hasan sahih menurut at-Tirmizi)

3. Rasulullah s.a.w bersabda

"Ketahuilah, sesungguhnya umat-umat sebelum kamu dari kalangan ahli kitab telah berpecah menjadi tujuh puluh dua golongan. Dan sesungguhnya agama kita ini (Islam) akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan ; yang tujuh puluh dua golongan akan ke neraka dan yang satu golongan itu iaitu al-Jamaah akan ke syurga"
(Hadith riwayat Ahmad dan selainnya: Hasan menurut al-Hafiz)

4. Dari Ibnu Mas’ud dia berkata:

Rasulullah s.a.w pernah membuat garisan dengan tangannya, lalu bersabda ‘Ini jalan yang lurus!‘ Kemudian baginda membuat beberapa garisan di kanan dan krinya lalu bersabda ‘Ini semua adalah jalan-jalan yang sesat! Di setiap jalan itu ada syaitan-syaitan yang akan menyeru supaya masuk ke situ.‘ Kemudian Baginda membaca firman Allah ‘Sesungguhnya ini adalah jalan Ku yang lurus, oleh itu ikutilah. Janganlah kalian mengikuti jalan-jalan yang lainnya, kerana jalan-jalan tersebut akan mencerai-beraikan kalian dari jalanKu (yang lurus itu). Begitulah Allah menyuruh kalian agar kalian bertakwa.
(Diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasaie: Sahih)

5.  Syaikh Abdul Qadir al-Jailani di dalam kitabnya al-Ghunyah berkata:
Adapun golongan yang selamat adalah ahlus sunnah wal jamaah. Dan tidak ada nama lain bagi ahlus sunnah kecuali satu sahaja iaitu ashabul hadith.

Sesungguhnya apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah adalah benar sekali. Lihat sahaja hari ini umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak. Benar juga bahawa umat Islam lebih ramai berpecah daripada Yahudi dan Nasrani.  Oleh itu hendaklah kita mengikut jalan yang sama yang telah ditempuh oleh Raulullah, para sahabat dan salafussoleh kerana jalan mereka lah jalan yang benar dan selamat. 

Rabu, 7 Disember 2011

Al-Firqatun Najiyyah, Jalan Hidup Golongan Selamat


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua pembaca dan semua Muslimin dan muslimat di luar sana. Penulisan untuk kali ini dalam ruangan Fikrah dan Manhaj adalah dimulakan dengan kandungan dari kitab Minhajul Firqatin Najiyah wat Tha'ifah al-Manshurah. Kitab ini mengupas dan membahaskan pelbagai perkara berkaitan tauhid, akidah, al-Quran dan as-Sunnah Rasulullah s.a.w.

Siri ini akan mengupas sedikit sebanyak berkaitan golongan yang digelar golongan hidup yang selamat (firqotun Najiyah) dengan cara bantuan daripada Allah s.w.t. Turut berkongsi kaedah-kaedah dan bagaimana cara yang ideal untuk mendapat pertolongan Allah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, para sahabat dan ulama terdahulu ketika berhadapan dengan orang kafir baik ketika di medan perang atau sebaliknya.

Turut dimuatkan juga beberapa realiti dan hakikat syirik dan kekufuran yang semakin berleluasa dalam kalangan umat Islam itu sendiri. Apakah syirik dan kekufuran yang sering dilakukan? Bagaimana ia membawa kepada kehanuran Ummah dan Agama serta persoalan-persoalan lain yang mungkin timbul. Selain daripada membicarakan akan bahaya dan mudaratnya di tengah-tengah masyarakat Islam khususnya, siri ini juga akan mengupas bagaimana langkah atau metod yang sesuai dan yang selari dengan syara' untuk membendung gejala ini. Seperti yang sedia maklum, kesyirikan adalah antara penyebab utama munculnya musibah,bala bencana, peperangan dan kerosakan yang lainnya.

Dengan adanya sedikit perkongsian dari kitab ini, diharap ia dapat menjelaskan sedikit sebanyak perihal manhaj atau prinsip/jalan hidup golongan yang selamat (al-firqatun najiyah). Melalui penulisan ini juga, anda akan didedahkan sedikit sebanyak dengan perkongsian hadith-hadith yang berkaitan yang mungkin belum pernah anda baca atau dengan sebelum ini, wallahua'lam.

Selain itu, pembaca juga akan didedahkan dengan jawapan pada persoalan yang timbul berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Ini kerana memberi jawapan tanpa adanya dalil yang menguatkan sesuatu hujah tampak seperti tidak lengkap. Kerana setiap persoalan ada dalil dan nas yang berkaitan dengannya. Oleh keran itu, penulis akan sedaya upaya untuk memuatkan dalil-dalin dan nas untuk memberikan kepuasaanserta keyakinan kepada setiap kenyataan dan persoalan yang timbul,insyaAllah.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik