Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label SAINS. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SAINS. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Mac 2016

Salah Faham Hadith Habbatus Sauda Ubat Segala Penyakit






Habbatus sauda (black seed), jintan hitam atau apa sahaja nama baginya merupakan herba yang terkenal dan digunakan sejak zaman Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam lagi. Ianya mengandungi pelbagai khasiat dan sering digunakan untuk tujuan perubatan. Hal ini diperkuatkan lagi dengan adanya hadith-hadith yang menyebutkan tentang kelebihan habatus sauda itu sendiri disisi Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Cuma yang menjadi isu ialah salah faham sebahagian masyarakat yang mengatakan habbatus sauda merupakan ubat bagi apa sahaja jenis penyakit hingga ada yang memburuk-burukkan perubatan moden dan mendakwa berpada dengan mengambil habbatus sauda untuk menyembuh apa jua penyakit.

Saya ditanya oleh Doktor Rafidah daripada Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh yakni salah seorang ahli dalam team MedTweetMy yang merupakan pakar buah pinggang berkenaan isu ini. Tulisan ini cuba untuk menjelaskan aspek hadith, maksud hadith menurut pandangan ulama’ silam dan menjernihkan salah faham yang berlaku.





Tulisan ini sama sekali tidak ada kena mengena dengan isu habbatus sauda memudharatkan apa jua jenis penyakit tertentu sebaliknya hanya ingin fokus kepada makna dan syarahan para ulama' mengenai hadith habbatus sauda yang disalah fahami.


            Hadith yang paling masyhur dalam masyarakat berkaitan kelebihan habbatus sauda ialah riwayat daripada Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

فِي الْحَبَّةِ السَّوْدَاءِ شِفَاءٌ مِنْ كُلِّ دَاءٍ إِلَّا السَّامَ
“Pada habbatas sauda itu ada penawar/ubat bagi semua penyakit kecuali mati.” [Riwayat Al-Bukhari dalam Sahihnya, kitab Al-Tibb no. 5687; Riwayat Muslim no. 2215]

Dari sudut kesahihan hadith ini, maka tidak ada sebarang keraguan ianya memang hadith sahih. Maka inilah yang menjadi konflik bahkan mungkin “perang” antara masyarakat dan doktor. Bagi doktor, habbatus sauda boleh memberikan kemudharatan bagi beberapa jenis penyakit dan tidak sesuai digunakan, atau mungkin boleh digunakan dengan pemantauan, dos yang ditentukan dan sebagainya. Sedangkan disisi masyarakat pula, habbatus sauda merupakan antara ubat yang paling baik tambahan pula Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sendiri mengatakan ianya penawar bagi segala penyakit. Tidak mungkin kita menolak perubatan Nubuwwah dan mengutamakan perubatan moden daripada apa yang Nabi amalkan sendiri.

            Maka berlakulah perkara yang tidak elok yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat seperti label-melabel, merendahkan, memaki-hamun dan mengutuk doktor. Ada yang mengatakan doktor menolak hadith Nabi, doktor agen yahudi/kafir, doktor terpengaruh ilmu perubatan sains barat dan tidak arif perubatan Islam, doktor jahil dan sebagainya gelaran yang bagi saya tidak patut dilemparkan sebegitu.

            Saya bukanlah ingin membela para doktor dan menentang perubatan Nubuwwah walaupun saya sebahagian daripada keluarga MedTweetMy. Tulisan ini untuk menjelaskan dari sudut Islam menurut pandangan ulama’ silam apakah maksud sebenar hadith itu agar kita semua jelas mengenainya dan mudah-mudahan tidak ada lagi perbalahan antara masyarakat dengan doktor.


Salah Faham Makna Hadith

            Ya, inilah yang berlaku dalam masyarakat.Walaupun hadith itu sahih, namun kefahaman kita terhadap hadith itu belum tentu sahih. Salah faham terhadap makna hadith sering kali menjadi punca perbalahan bukan sahaja masyarakat awam malah golongan agama sendiri. Dalam hal ini, masyarakat awam tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka sendiri tidak terdedah dengan syarahan ulama’ apatah lagi mengkaji perbahasan mengenainya. Tambahan pula, lafaz hadith itu sendiri menggunakan lafaz “ kullu daa’ ” (semua penyakit) maka sudah pasti bagi sesiapa yang memahami secara literal akan berpegang sedemikian rupa.

Mari kita lihat makna sebenar hadith ini dan perbahasan ulama’ mengenainya.

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) berkata:

“Disebutkan bahawa sesungguhnya ucapan baginda “Seluruh penyakit” itu maksudnya ianya boleh dijadikan ubat dengannya (yakni habbatus sauda). Sesungguhnya ia bermanfaat bagi penyakit-penyakit sejuk sedangkan penyakit panas maka tidak (berkesan).”
            [Fath Al-Bari 10/144]

Imam Ibn Jauzi (wafat 597H) berkata:

“Sebahagian ulama’ mengatakan bahawa lafaz “kullu” (semua –penyakit-) disini ialah lafaz umum yang membawa makna khusus sebagaimana firman Allah (tentang burung yang berkata kepada Nabi Sulaiman) “Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan yang memerintah mereka dan telah diberikan kepadanya semua benda dan dia juga mempunya singgahsana/istana yang agung. ” [An-Naml:23]...” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]

Ayat ini berkaitan seekor burung Hud-hud yang mengkhabarkan kepada Nabi Sulaiman tentang Ratu/Puteri Balqis di negara Saba'. Makna lafaz kullu (semua) dalam surah An-Naml tersebut bukanlah bermakna seluruh benda yang ada di dunia telah dimiliki oleh Raja Balqis sebaliknya ia bermaksud dia mempunyai kemewahan dunia yang diperlukannya untuk memerintah sesebuah kerajaan. [Tafsir Ibn Kathir 6/186]

Imam Al-Qurtubi dalam tafsirnya mengatakan bahawa lafaz kullu (semua) yang dimiliki oleh Puteri Balqis tersebut ialah lafaz mubalaghah  iaitu semua yang diperlukannya sebagai pemerintah kerajaan. [Tafsir Al-Qurtubi 13/184]

Mubalaghah ialah lafaz hiperbola yakni ucapan kiasan yang yang berlebih-lebihan untuk memperoleh kesan tertentu [kamus dewan edisi-4]

            Inilah yang dimaksudkan dengan lafaz umum tetapi membawa makna khusus. Ianya uslub lafaz yang dibincangkan dalam ilmu usul fiqh. Jika ingin memahami lebih lanjut mengenai lafaz sebegini, sila membaca karya-karya usul fiqh, insyaAllah.

Apakah yang dimaksudkan dengan penyakit sejuk yang diucapkan oleh Imam Ibn Hajar Al-Asqalani sebelumnya? Ianya bermaksud penyakit yang berkaitan dengan cuaca sejuk atau lembab yang mana sesuatu dirawat dengan habbatus sauda kerana sifatnya yang panas.

Imam Ibn Jauzi juga menyebutkan:

“Yang dimaksudkan dalam hadith itu ialah penawar/ubat bagi penyakit-penyakit berkaitan lembab, berkahak yang mana habbatus sauda’ itu sifatnya panas dan kering (berlawanan).” [Kasyf Al-Mushkil 3/364]


Begitulah yang disebutkan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) ketika membahaskan hadith ini bahawa habbatus sauda tidak sesuai pada penyakit tertentu seperti penyakit berkaitan sejuk. Katanya lagi:

“Sesungguhnya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menggambarkan sebegini berdasarkan apa yang disaksikannya pada kebiasaan keadaan para sahabatnya radhiallahu ‘anhum” [Syarh An-Nawawi ‘ala Muslim 14/196]


Kesimpulan

            Hadith ini merupakan hadith yang mengandungi lafaz umum namun maksudnya khas. Habbatus sauda sememangnya baik untuk menyembuhkan banyak penyakit namun bukanlah semua penyakit yang ada dimuka bumi ini. Semua penyakit yang dimaksudkan disitu ialah penyakit yang berlawanan sifatnya dengan habbatus sauda’ yakni sakit yang berkait dengan elemen sejuk seperti demam sejuk, selsema dan sebagainya. Itulah yang disebutkan oleh para ulama’ silam.

            Adapun apa yang dikatakan oleh para doktor bahawa habbatus sauda mampu memberikan kesan/ menambah mudharat atau tidak sesuai dengan penyakit-penyakit tertentu, maka ianya bukanlah bertentangan dengan hadith diatas. Nasihat saya, ikutlah nasihat doktor pakar. Jika benar habbatus sauda tidak sesuai dengan penyakit yang dihidapi bahkan boleh memberikan mudharat, maka ianya bukan lagi menjadi keperluan untuk diamalkan kerana mengelak mudharat yang lebih besar itulah yang lebih utama yang telah diajarkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
“Tidak boleh membuat bahaya dan menimbulkan bahaya” [Riwayat Ibn Majah no. 2430]


Ini juga bertepatan dengan kaedah syarak yang disebutkan oleh para usuliyyin:

در المفاسد مقدم على جلب المصالح
“Menghalang kerosakan didahulukan daripada mengambil maslahat”

كل سبب يفضي إلى الفساد نهى عنه إذا لم يكن فيه مصلحة راجحة
“Setiap sebab yang membawa kepada kerosakan dilarang daripadanya jika ianya tidak mempunyai maslahat yang kukuh.”

Tambahan pandangan daripada Doktor #MedTweetMy:

Jika ingin mengamalkan habbatus sauda, pastikan ianya habbatus sauda yang asli (dalam bentuk serbuk yang 100% tulen), tidak diproses/bercampur dengan bahan lain dan dalam kuantiti yang sedikit. Jika mengambil habbatus sauda dalam bentuk pil/kapsul, pastikan ianya telah mendapat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ada pil-pil habbatus sauda yang telah dicampur dnegan bahan-bahan lain yang boleh memudharatkan.

Habbatus sauda tidak bersalah, yang bersalah mungkin kefahaman dan cara pengambilan kita.

Wallahua’lam
_____________
Ad-Dien Abdul Kadir

Ad-Hoc MedTweetMy
Jumaat _ 25/03/2016


Selasa, 31 Januari 2012

Fenomena Ribut Matahari


السلام عليكم



Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Lepas Amerika Syarikat telah mengesahkan ribut solar paling kuat dalam tempoh lebih 7 tahun akan mengenai Bumi dan pancaran radiasi akan berlaku. Ribut matahari berlaku akibat peningkatan suhu matahari daripada kadar normal. Suhu panas itu menyebabkan ia mengeluarkan gas yang sebahagiannya akan masuk semula ke dalam matahari. Bagaimanapun, sebahagian gas itu berlegar di ruang angkasa dan memasuki atmofera bumi. Fenomena itulah yang digelar ribut matahari,

Seorang pakar astronomi tempatan, Shahrin Ahmad berpendapat ribut matahari tidak akan memusnahkan bumi. Malah, kejadian ribut matahari sampai ke bumi jarang berlaku kerana ia dihalang oleh lapisan atmosfera dan medan magnet bumi. Ribut itu akan termusnah sendiri sebelum sampai ke daratan. Tetapi jika ia menembusi lapisan atmosfera dan medan magnet bumi dengan saiz dua atau tiga kali ganda melebihi saiz bumi, kerosakan besar boleh berlaku. Apa pun, ia terhad kepada kerosakan peralatan elektrik dan sistem telekomunikasi seperti satelit, sistem penerbangan dan Internet.

Ribut elektromagnet matahari boleh menjejaskan sistem tenaga elektrik selain membahayakan angkasawan. Pertambahan tenaga magnetik dalam atmosfera dijangka mengeluarkan radiasi yang mampu menyebabkan kuasa janakuasa elektrik meningkat mendadak.

sumber : kosmo online


A solar flare is a sudden brightening observed over the Sun surface or the solar limb, which is interpreted as a large energy release of up to 6 × 1025 joules of energy (about a sixth of the total energy output of the Sun each second). The flare ejects clouds of electrons, ions, and atoms through the corona into space. These clouds typically reach Earth a day or two after the event.[2] The term is also used to refer to similar phenomena in other stars, where the term stellar flareapplies.
Solar flares affect all layers of the solar atmosphere , when the medium plasma is heated to tens of millions of kelvins and electrons, protons, and heavier ions are accelerated to near the speed of light. They produce radiation across the electromagnetic spectrum at all wavelengths, from radio waves to gamma rays, although most of the energy goes to frequencies outside the visual range and for this reason the majority of the flares are not visible to the naked eye and must be observed with special instruments. Flares occur in active regions around sunspots, where intense magnetic fields penetrate the photosphere to link the corona to the solar interior. Flares are powered by the sudden (timescales of minutes to tens of minutes) release of magnetic energy stored in the corona. The same energy releases may produce coronal mass ejections (CME), although the relation between CMEs and flares is still not well established.
wikipedia.org


This image taken by SDO’s AIA instrument at 171 Angstrom shows the current conditions of the quiet corona and upper transition region of the Sun. Ribut solar memberi kesan kepada penerbangan di sekitar kutub kerana medan magnet bumi tertumpu di kawasan tersebut. Pesawat yang melalui kawasan tersebut tidak boleh menggunakan komunikasi berasaskan satelit dan mereka bergantung kepada komunikasi radio tradisional. Bagaimanapun, semasa berlakunya radiasi ribut solar, gangguan kepada sistem radio kemungkinan juga akan kerap berlaku.

Disamping segala langkah berjaga-jaga yang diambil oleh syarikat-syarikat penerbangan, ribut solar ini sebenarnya dianggap sederhana dan dijangka tidak akan menyebabkan gangguan utama kepada ground- or space-based assets.



والله أعلمُ بالـصـواب

Khamis, 15 Disember 2011

Ikan Paus Unicorn, Ikan Unik Ciptaan Ilahi



Hari ini kita melihat kebesaran Ilahi melalui penciptaan haiwan. Jika sebelum ini kita mengenal burung unik bernama Black Heron, kali ini kita akan mengenal haiwan yang jarang dikenali dan dijumpai. Ia adalah seekor ikan paus bertanduk seperti kuda Unicorn yang selalu kita dengar dan lihat di kaca televisyen. Ikan paus unicorn tersebut digelar ikan paus narwhal.  ia hidup di sekitar perairan Kutub Utara, dan tidak terdapat di lautan selainnya. 

Paus narwhal adalah jenis paus bergigi (toothed whale) namun uniknya ia tidak memiliki gigi di dalam mulutnya. Sebaliknya, ia memiliki tanduk yang tumbuh di rahang atas dengan panjang mencapai 1,8-2  meter.  Tanduk tersebut hanya dimiliki oleh paus jantan sahaja. Fungsi taringnya, yang mirip dengan tanduk kuda Unicorn dalam mitos tidak banyak diketahui dan ia masih dalam penyelidikan para saints dan ilmuan. Sejauh ini, para saintis baru mengetahui bahwa tanduknya dipakai untuk mengukur salinitas air dan mencari makanan. 


Taring paus narwhal merupakan salah satu benda yang diperkirkan melahirkan mitos kuda Unicorn. Tanduk tersebut mungkin dibawa bangsa Viking ke Eropa hingga Timur Jauh di zaman pertengahan. Karena asal-usulnya tidak diketahui para pembelinya, muncullah mitos Unicorn di beberapa kebudayaan, seperti China dan India, yang digambarkan sebagai kuda bertanduk.

Sesungguhnya ia adalah tanda kekuasaan Allah yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa. Ia hanya boleh ditemui di tempat-tempat tertentu. Mungkn ada hikmahnya.


p/s- rupa-rupanya yang wujud adalah paus unicorn bukan kuda unicorn. Mungkin anda boleh mengkaji lanjut haiwan unik ciptaan Allah ini, insyaAllah



Selasa, 15 November 2011

Penternakan Cacing dan Lintah disisi Islam


Penternakan cacing dan lintah bukanlah suatu yang asing lagi. Ia semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk Malaysia bahkan tidak kurang juga menjadikannya sebagai sebuah bentuk perniagaan tetap. Kebanyakkannya adalah untuk dikomersil kan bagi sektor perubatan dan kecantikan. Sejauh manakah kebenarannya disisi Islam dan fatwa yang berkaitan dengannya di Malaysia?


Jawatankuasa Fatwa (JKF) Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bermuzakarah bagi kali ke-81 pada 31 Mac 2007 telah memutuskan bahawa hukum menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan kosmetik adalah diharuskan. Berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut juga adalah diharuskan oleh Islam.

Muzakarah kali ini juga turut memutuskan bahawa buat masa ini belum ada keperluan untuk menggunaan satelit bagi mencerap hilal dalam menentukan bulan-bulan qamariah khususnya Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah memandangkan kaedah hisab dan rukyah yang digunakan masih sesuai. Walaubagaimanapun untuk tujuan penyelidikan dan merakam pergerakan bulan penggunaan satelit adalah diharuskan.

Muzakarah kali ini turut merakamkan ucapan tahniah kepada Sahibus Samahah Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Osman yang baru dilantik sebagai Mufti Kerajaan Negeri Pahang berkuatkuasa pada 15 Disember 2007 yang lalu dan Jawatankuasa juga mengalu-alukan kehadiran kembali Sahibus Samahah Datu Haji Loling Othman bin Haji Alwi yang telah dilantik semula sebagai Mufti Negeri Sarawak.


Sebanyak empat(4) kertas kerja telah dibincangkan pada muzakarah kali ini dan juga taklimat daripada Prof. Dr. Zhari bin Ismail, pakar dalam bidang sains farmasi Universiti Sains Malaysia. Sementara itu, Pengerusi JKF, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Hj. Husin dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa perpaduan dan kesatuan umat Islam amat penting dan beliau berharap semua ahli Jawatankuasa dapat sama-sama membimbing dan mendidik masyarakat khususnya umat Islam supaya memberi keutamaan kepada kepentingan dan kedaulatan ummah dan meninggalkan polemik serta isu-isu yang boleh menghalang dan melemahkan perpaduan umat Islam.



Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pula telah memutuskan seperti berikut.
 
i. Mesyuarat bersetuju menyokong keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-81 yang memutuskan bahawa menggunakan lintah dan cacing dalam perubatan dan sebagai bahan dalam kosmetik adalah harus. Begitu juga hukum menternak atau berjual beli atas dasar manfaat yang diperolehi daripada kedua-dua haiwan tersebut adalah harus.
 
ii. Mesyuarat turut berpandangan tidak timbul sebarang unsur penderaan atau penyeksaan terhadap haiwan lain dalam proses pembiakan lintah dan cacing. Namun, mesyuarat melarang sama sekali penggunaan bahan-bahan makanan daripada najis jenis mughalazah dalam apa jua ternakan sama ada lintah atau cacing.

Jadi, bagi penternak lintah dan cacing, perniagaan anda adalah diharuskan selagi tiada unsur-unsur haram di dalamnya. wallahua'lam


- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Khamis, 9 Jun 2011

Kaitan Solat Dan Sains


Solat ialah ibadah yang difardhukan keatas setiap muslim. Selain tanda ketaatan dan patuh kepada Allah SWT, solat juga punya hikmah dan kebaikan lain dari sudut sains yang kita kadang-kala tidak sedar wujudnya.

 Kajian-kajian sains menunjukkan meditasi mendatangkan banyak kebaikan kepada manusia. Mereka yang bermeditasi menggunakan oksigen 17% lebih rendah daripada biasa. Di samping itu, jantung mereka berdenyut dengan kadar yang lebih rendah daripada biasa dan gelombang theta dalam otak meningkat dengan jelasnya. Gelombang theta ialah gelombang otak yang wujud apabila seseorang berada di saat yang amat menenangkan terutamanya ketika hampir terlena. Meditasi mampu meredakan stress dan menjadikan seseorang lebih tenang dan ceria. Tambahan pula, mereka yang bermeditasi didapati lebih bertenaga dan kurang mengalami sakit jantung serta masalah pada sistem penghadaman.


Jadi apa kaitannya solat dengan meditasi ??

Solat yang dilakukan secara khusyuk boleh diibaratkan sebagai meditasi yang melebihi meditasi biasa. Maksudnya, dalam solat yang dilakukan secara khusyuk, memang terdapat unsur-unsur meditasi, tetapi ia berbeza dengan meditasi yang biasa kerana solat yang dilakukan oleh umat Islam ialah satu ibadah. Kalimah-kalimah dalam solat adalah pilihan Allah SWT dan Rasul, bukannya pilihan manusia biasa, dan ketenangan yang diperolehi adalah ketenangan kurniaan Allah SWT. Lebih daripada itu, mereka yang bersolat akan mendapat rahmat daripada Allah SWT. 
solat tidak sama dengan yoga

Solat dan Yoga,ada orang yang mengatakan solat ialah yoga. Sebenarnya solat bukanlah senaman ataupun yoga. Bagi orang Islam, solat lebih agung daripada sebarang senaman termasuk yoga. Solat ialah zikir yang paling mulia. Berhubung dengan yoga, yoga mempunyai kedudukan serta gerak badan tertentu yang dikenali sebagai asanas. Ketika mengamalkan yoga, seseorang akan duduk pada kedudukan tertentu dengan melafazkan kalimat-kalimatmantra yang tertentu di samping bernafas secara teratur. Salah satu kedudukan yoga atau asanas yang terpenting ialah Sirshasana (headstand). Ia dikenali juga sebagai King of Yoga.


 Di kedudukan ini, seorang pengamal yoga akan meletakkan kepalanya ke bumi dan diperingkat kemuncaknya akan meluruskan badan agar kakinya berada di atas. Sayangnya kedudukan sebegini tidak dapat dilakukan oleh semua orang. Jika dilihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga di dalam solat. Solat merupakan ibadah yang merangkumi "jasad, roh dan akal". Ia mempunyai kedudukan serta gerak hati yang sentiasa ikhlas kepada Allah dan ini dikaitkan dengan rukun qalbi. Ia juga mempunyai kalimat-kalimat tertentu yang perlu dilafazkan dan ini dikaitkan dengan rukun qauli serta zikir.


sujud membantu peredaran darah dalam tubuh


Salah satu kedudukan yang terpenting dalam solat ialah sujud. Di kedudukan ini seseorang akan meletakkan kepalanya di bumi dan di kedudukan ini, darah dari jantungnya akan turun ke otak dengan mudah sekali. Berbeza denagn sirshasana, sujud dapat dilakukan oleh hampir semua orang. Namun solat ialah lebih daripada yoga kerana ia ialah ibadah yang berdasarkan wahyu. Ia adalah aktiviti penyembahan kepada Yang Maha Pencipta yang memerlukan disiplin kerana ia terikat dengan waktu. Seseorang yang hendak bersolat mestilah menyucikan jiwanya terlebih dahulu. Tekanan jiwa atau stress sering melanda manusia dan solat mempunyai penawar yang mampu meredakannya. Hal ini disebabkan solat mengandungi zikir dan zikir jika diamalkan dengan khusyuk mampu mendamaikan hati.


mudah-mudahan dengan perkongsian ini
akan memberikan kita semua
akan hikmah disebalik solat
dan menaikkan semangat kita
untuk solat..insyaAllah


- Amal Dengan Ilmu -




WADi

Selasa, 24 Mei 2011

Jangan Cuba-Cuba Ramal Kiamat

Sejak akhir-akhir ini, sains semakin membangun dengan pesat dan cepat. Kadang kala hingga ia cuba menandingi dan melakukan perkara yang mustahil pada hukum akal manusia. Salah satunya ialah meramal Hari Kiamat. Jika kita lihat memang banyak cubaan dari para saintis atau pengkaji bebas yang cuba hendak meramal bila berlakunya kiamat, hari kehancuran manusia dan alam semesta, dan hari pengadilan. 


Betul ke apa yang mereka buat ni?
Nak ramal hari kiamat??

Tidak boleh bagi kita, umat Islam ataupun sesiapa jua manusia untuk meramal hari kiamat kerana ia adalah ghaib dan ia adalah urusan Allah SWT. Hari kiamat hanya Allah saja yang tahu. Ini kerja Allah. Sesiapa jua sama ada malaikat, sekalian rasul malah Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri tidak tahu bila kiamat akan berlaku.

Jadi WAJAR ke kita hamba yang dhoif ni nak ramal kiamat??

Allah berfirman (mafhumnya): “Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: ‘Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Allah.’ Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? – boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi.” (Surah al-Ahzab, ayat 63)


 “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.”  (Surah Luqman, ayat 34)

banyak filem dan artikel yang ramal tentang kiamat seperti filem 2012


tak salah tonton untuk datangkan rasa takut pada kiamat
tapi jangan beriqtiqad atau percaya pula
2012 akan berlakunya kiamat

bimbang kita Syirik pada Allah

itu urusan Allah bukan urusan kita
cukuplah kita tahu akan gambaran kiamat
tugas kita hanyalah mempersiapkan diri
untuk ke "SANA" kelak

insyaAllah

- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Khamis, 23 Disember 2010

Black Heron; burung unik ciptaan Allah

Assalamualaikum semua sahabat Ad-Dien di luar sana..pe khabar semua?mudah-mudahan semua sihat dan sentiasa dalam redha Allah hendaknya,Insyaallah. Entri kali ni saya nak share dan kongsi serba sedikit mengenai
sejenis burung ciptaan Allah SWT yang unik dan mempunyai keistimewaannya tersendiri. Sebelum tu saya mohon maaf kerana entri ruangan sains ni dah lama tak update kerana kebelakangan ni sibuk dengan bacaan agama dan lain-lain. namun saians tetap menjadi minat saya dan x pernah diabaikan begitu saja.


ok, pertama sekali nak tanya anda semua, tahu tak burung yang bernama Black Heron ni?pernah dengar?
saya yakin ada yg pernah dengar dan ada juga yg xpernah tahu kewujudan makhluk Allah ni kan.

Ahad, 21 November 2010

Teleportation Dalam Al-Quran

Teleportation Dalam Al-Quran


Berkatalah seorang yang mempunyai ilmu dari Al Kitab "Aku akan membawa singgasana itu kepadamu sebelum matamu berkedip." Maka tatkala Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di hadapannya, iapun berkata: "Ini termasuk kurnia Tuhanku untuk mencoba aku apakah aku bersyukur atau mengingkari (akan nikmat-Nya). Dan barangsiapa yang bersyukur maka sesungguhnya dia bersyukur untuk (kebaikan) dirinya sendiri dan barangsiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Mulia." [An-Naml : 40]




Dalam ayat di atas 'seorang yang mempunyai pengetahuan dari Al-Kitab' telah berkata bahawa dia mampu untuk membawa singgahsana Ratu Balqis dari negeri Saba ke singgahsana Nabi Sulaiman di Palestin pada masa yang sangat singkat. Hal ini nampak seperti mustahil akan tetapi yakinlah bahawa sekiranya Al-Qur'an yang membicarakannya, maka tiada apa pun yang mustahil. Penemuan terkini telah membuktikan bahawa suatu hari nanti, manusia mampu memindahkan objek dari satu tempat ke satu tempat lain yang jauh dalam beberapa saat sahaja. Teknologi ini dinamakan teleportation.

Teleportation
 ialah perpindahan objek atau zarah asas dari satu tempat ke tempat yang lain dengan serta-merta tanpa bergerak melalui ruang. Sehingga kini saintis telah berjaya melakukan teleportation ke atas foton dan atom. Teleportation ini berbeza dariteleportation seperti yang digambarkan dalam fiksyen sains. Dalam fiksyen sains, teleportation boleh memindahkan satu objek ke tempat yang lain. Secara realiti,teleportation sebenarnya tidak memindahkan objek tersebut sebaliknya apa yang dipindahkan sebenarnya ialah maklumat yang terkandung dalam atom objek tersebut dan disusun semula atom-atom itu menjadi replika yang sama dengan objek asal.

Teleportation secara mudahnya boleh dibayangkan sebagai permainan snuker. Dalam fiksyen, teleportation dianalogikan seperti sebiji bola yang berputar lenyap dari satu sudut meja dan muncul semula bola yang sama pada satu sudut yang lain. Sebaliknya dalam quantum teleportation, bola yang berputar tadi tetap pada tempatnya 
manakala sifat putaran itulah yang dipindahkan ke atas bola lain di atas meja.

Perkembangan Terkini

Pada 1993, enam orang saintis termasuk seorang dari IBM, Charles H. Bennet mengesahkan bahawa teleportation seperti yang digambarkan dalam fiksyen sains secara prinsipnya boleh dilakukan dengan syarat objek asal perlulah dimusnahkan.

Pada 1998, beberapa ahli fizik di California Institute of Technology
 (Caltech) bersama dua kumpulan dari Eropah menjadikan idea IBM satu kenyataan apabila mereka berjaya melakukan teleportation ke atas foton iaitu partikel tenaga yang mengandungi cahaya. Kumpulan ini berjaya membuat bacaan pada struktur atom foton kemudian menghantar maklumat tersebut sejauh 3.28 kaki (kira-kira 1 meter) melalui kabel dan membina replika foton tersebut. Seperti yang dijangkakan, foton yang asli tidak lagi wujud setelah foton replika dibina.

Pada 2002, beberapa orang penyelidik dari Australian National University (ANU) telah berjaya membuat pancaran cahaya lenyap di satu tempat dan muncul semula di tempat lain pada jarak yang dekat. Kejayaan ini meyakinkan lagi mereka bahawa secara teori teleportation tidak mustahil walaupun melibatkan hanya partikel sub-atom.

Paling terkini iaitu pada 2006, satu eksperimen yang dikatakan paling berjaya telah dijalankan di Niels Bohr Institute di Copenhagen, Denmark. Dr. Eugene Polzik dan kumpulannya telah melakukan teleportation maklumat yang tersimpan di dalam pancaran laser kepada kepulan atom. Menurut Dr. Polzik, eksperimen ini melangkah setapak jauh ke hadapan kerana buat pertama kali ia melibatkan teleportation antara dua objek yang berbeza iaitu cahaya dan jirim. Satu berfungsi sebagai pembawa maklumat manakala satu lagi medium penyimpanan. Maklumat tadi telah diteleportkan sejauh 1.6 kaki (setengah meter).

Teleportation Manusia

Kita masih lagi terlalu jauh untuk dapat membina mesin teleport seperti di dalam filem. Untuk membolehkan seseorang dipindahkan ke satu tempat yang lain dalam sekelip mata, pergerakan mestilah dengan kelajuan cahaya. Hal ini menurut hukum fizik adalah mustahil.

Membina mesin yang boleh menjalankan teleport manusia bukan mudah. Mesin itu mestilah mampu mengenal pasti dan menganalisa dengan tepat kesemua 1028 atom pada badan manusia. Kemudian, mesin ini perlu menghantar maklumat ke lokasi yang lain di mana badan seseorang itu akan dibina semula dengan tepat mengikut tubuh asal. Molekul yang dibina tidak boleh tersasar meskipun hanya beberapa milimeter kerana hal ini boleh menyebabkan kecacatan yang parah pada sistem neuro atau fisio.

Katakanlah mesin ini berjaya dicipta, manusia yang dipindahkan itu pada hakikatnya tidak "dipindahkan". Mesin teleport ini lebih mirip kepada mesin faks, cumanya salinan manusia tersebut mempunyai ketepatan yang lebih berbanding mesin faks. Namun begitu, apa yang terjadi pada manusia yang asal? Teori mencadangkan supaya menggabungkan pengklonan genetik (genetic cloning) dan pendigitan (digitization) dengan teleportation.

Dalam pengklonan biodigital ini, manusia asal yang hendak dipindahkan itu secara asasnya akan mati. Minda dan tubuh yang asal tidak lagi wujud. Sebaliknya, struktur atom seseorang itu akan dibina semula di lokasi yang lain, manakala pendigitan pula akan membina semula memori, emosi, harapan dan impian. Dengan kata lain, seseorang itu wujud dengan badan baru yang diprogramkan dengan maklumat yang sama dengan tubuh asal.

Rujukan

1. Wikipedia - Teleportation
2. IBM - Quantum Teleportation
3. CNN.com - Beam me up: Just how close are we to teleportation?
4. BBC News - Teleportation breakthrough made
5. BBC News - Australian teleport breakthrough
6. Howstuffworks - How Teleportation Will Work
7. BBC News - Q&A: Teleportation

Jumaat, 12 November 2010

Adakah Sains Membawa Kepada Fahaman Atheist?

oleh: Hassan Mohamed*



Semasa berada di dalam perjumpaan Malaysia Student Association(MSA), seorang sahabat saya masuk dengan berpakaian lawa tetapi bermuka masam. Dengan nada tidak berpuas hati, dia berkata, 
" Bengang betul masa pegi jamuan journalist tadi, rata-rata speakernya cuba nak condemn agama-agama lain."
"Habis semua agama nak dikutuknya, dan yang peliknya, tetamu-tetamu lain tepuk macam memberi sokongan."
Dia tambah, "Nasib baik aku terus keluar bila dia nak sentuh Islam." " Tak tahan duduk lama-lama!"

Begitulah lebih kurang apa yang dikatakan oleh sahabat saya (setelah diterjemahkan ke Bahasa Melayu) yang sebenarnya baru saja lari dari jamuan makan malam bersama 'journalist science' yang lain. Dia cerita kepada kami yang ada dalam meeting hari itu, yang kawan-kawan journalist science-nya ramai yg berfahaman Atheist; tidak percaya kepada Tuhan. Memang tak dinafikan, tempat saya ini (MIT, Amerika Syarikat), memang ramai saja yang tidak percaya Tuhan. Meraka berpegang lebih kepada fakta atau teori nyata yang telah dibuktikan kesahihannya melalui eksperimen dan kajian.



Itulah yang menyebabkan saya terfikir, adakah Sains ini mebawa kepada ajaran Atheist? Bagi menilai soalan ini, mari kita pergi balik ke zaman para saintis dahulukala. Ambil satu contoh saintis termahsyur Albert Einstein, tokoh relativity yang terkenal. Einstein satu masa berkata,


"I see a pattern, but my imagination cannot picture the maker of that pattern. I see a clock, but I cannot envision the clockmaker. The human mind is unable to conceive of the four dimensions, so how can it conceive of a God, before whom a thousand years and a thousand dimensions are as one?" (The Expanded Quotable Einstein, Princeton University Press, 2000 p. 208). (dipetik daripada www.spaceandmotion.com)



Kata-kata beliau seolah-olah memaparkan yang beliau susah untuk menerima dan mempercayai konsep ketuhanan. Walaupun ada satu ketika beliau pernah menafikan kesamaanya dengan Atheist, saya masih berasa beliau adalah sama seperti Atheist yang lain kerana pokok utamanya ialah beliau tidak berjaya memahami konsep ketuhanan.

Namun begitu, masih ada para saintis yang berpegang dengan kepercayaan pada Tuhan. Contohnya Johannes Kepler, seorang ahli astronomi, matematik, dan astrology German yang telah meperkenalkan "law of planetary motion". Semasa sedang pening memikirkan masalah pergerakan planet (planetry motion), beliau selalu beranggapan yang alam semesta yang teratur ini sentiasa dicipta oleh Satu Kuasa atau Suata Pencipta. Beliau mengutarakan hujah yang mana beliau merasakan alam semesta ini tidak mustahil untuk terjadi dengan sendirinya secara tiba-tiba kerana alam ini berfungsi dengan satu pattern yang cukup indah dan logik yang memerlukan Kebijaksanaan Pencipta. Dengan cara pemikiran inilah yang membuatkan beliau berjaya menyelesaikan teka-teki 'planetary motion'. (Sumber daripada 21 Great Scientists)
Ada banyak lagi contoh saintis yang berpegang kepada kewujudan Tuhan dan yang tidak percaya kepada Tuhan. Boleh dikatakan jumlah bilangan mereka adalah lebih kurang sama, hampir sama kebarangkaliannya. Jadi , adakah Sains yang harus dipersalahkan jika sesorang itu tidak mempercayai Tuhan? Timbul lagi soalan lain kan..kompleks juga sebenarnya perbincangan ini.

Bagi saya, apa yang membuatkan mereka ini boleh terima Tuhan atau tidak, masih terpaut pada pembolehubah-pembolehubah (faktor-faktor) yang lain. Contohnya ialah bagaimana cara penerimaan mereka kepada Sains , sikap mereka kepada penemuan-penemuan Sains, masyarakat persekitaran, latar belakang, dan lain-lain lagi yang InsyaAllah saya akan cuba huraikan dengan lebih terperinci, ringkas dan padat dalam entri yang lain. Apa pandangan anda??



 Hassan Mohamed merupakan pelajar kejeruteraan mekanikal di salah satu universiti terbaik di dunia; Massachusetts Institute of Technology(MIT), USA. Berhajat melanjutkan pelajaran ke Masdar Institute of Science and Technology , Dubai. Menulis di blog beliau, hassan-im.blogspot.com


Selasa, 2 November 2010

Al-Quran, Hadis dan Sains

Mauduk kali ini saya ingin menyentuh secara ringkas mengenai Sains. Sebelum kita membicarakan tentang Sains seharusnya kita menyedari terlebih dahulu bahawa seluruh alam ini adalah ciptaan Allah.

Bumi, langit, manusia, bulan, bintang, nyamuk, kuman, semut dan segala-galanya adalah ciptaan Allah. Lantas manusia ingin mengetahui asal usul kejadian tersebut, rasa ingin tahu itu datangnya dari akal merek
a yang juga ciptaan Allah. Oleh itu manusia membuat berbagai kajian untuk mengetahui hakikatnya, kajian yang terhasil ada yang benar dan tepat , disamping itu banyak juga yang tersasar dari kebenaran dan hakikat. Aktiviti kajian itulah dinamakan ilmu Sains.

Sesungguhnya Ilmu Sains itu datang kemudian berbanding dengan makhluk yang disebutkan tadi. Ketika kita mempelajari Ilmu Sains di sekolah dahulu tidak pernah disebut apa yang telah disebutkan di dalam Al.Quran dan Hadis mengenai Sains atau apa yang dipelajari di dalam subjek tersebut, berbeza dengan situasi pada masa sekarang kerana kini Pendidikan Islam telah mulai merentas kurikulum, itupun terpulanglah sejauh mana penguasaan pengetahuan tersebut dan minat para pengajarnya.

Pendidikan Islam merentas kurikulum bermaksud suatu pengajaran dan pembelajaran yang sentiasa merujuk kepada ajaran Islam yang mana sumber ambilannya adalah dari Al.Quran , Hadis, Qias dan Ijmak Ulamak, walaupun rujukannya dibuat secara tidak serius tetapi asas tersebut digunapakai di dalam pengajaran supaya pengajaran tidak merosakkan aqidah para pelajar.

Mengenai perkara ini, marilah kita renung dan fikirkan kenyataan yang terdapat di dalam Al.Quran dan Hadis di bawah ini. Mungkin renungan tersebut akan dapat mengukuhkan lagi keimanan kita kepada Allah yang Maha Pencipta.
Penulis sendiri sebenarnya tidak mampu menghuraikan mengenai Ilmu Sains ini, penulisan ini hanyalah sebagai pembuka minda kepada mereka yang lebih menguasainya supaya diserapkan dan diadunkan dengan wahyu Allah yang terdapat di dalam Al.Quran dan Hadis, paparan ini hanyalah petikan sebahagian kecil sahaja.







1 - Dari Surah al.Mukminun.



Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah;
23:12



Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; 23:14










Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta. 23:15



















Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik