Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label Hayatus Sahabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hayatus Sahabah. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Mei 2014

Benarkah Umar Al-Khattab Menanam Anaknya? Satu Kajian Semula

بسم الله الرحمن الرحيم

Seperti yang semua sedia maklum, kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu menanam anaknya ketika beliau masih jahiliyyah sering diceritakan daripada mulut ke mulut, zaman berzaman. Sirah (Sejarah) Islam bukanlah terbina daripada khayalan dan mistik melainkan ianya ialah sebuah fakta yang diriwayatkan dan direkodkan di dalam kitab-kitab sirah sejak dahulu lagi. 

Jika sebelum ini saya pernah menulis tentang semakan terhadap kisah Abdul Rahman bin Auf masuk syurga merangkak dan kisah Hindun memamah hati Hamzah, kali ini saya akan menulis sedikit semakan dan kajian semula terhadap kisah Umar Al-Khattab radhiallahu 'anhu sewaktu jahiliyyahnya. 

Kisah ini bukan sahaja tersebar meluas di Malaysia bahkan dikhabarkan ianya turut tersebar di negara-negara Arab. Sudah tentu ianya disebarkan meluas melalui ceramah-ceramah para agamawan yang tidak mengkaji sumber sejarah ataupun riwayat sesebuah kisah. Walaupun kitab sirah para Imam terdahulu tidak mensyaratkan syarat yang ketat dalam riwayat sirah seperti mana riwayat hadith, namun sirah-sirah yang tidak berasas dan meragukan boleh dikaji dan ditolak. 

Adapun di negara kita, tidak ramai yang mempunyai kemampuan untuk menyemak kesahihan sesuatu riwayat meskipun sebahagian para ustaz dan ustazah. Jangankan kemampuan menyemak riwayat, kesedaran tentang kepentingan menyemak sumber asal sesebuah riwayat pun tidak tertanam dalam masyarakat kita. 

Jadi tidak hairan kisah-kisah yang meragukan boleh tersebar luas dan menjadi modal ceramah di negara kita. Lebih menyedihkan, bukan sekadar kisah-kisah, hadith-hadith palsu dan tersangat lemah juga sering kali disebut-sebut untuk menyedapkan lagi ceramah dan kuliah agama. Disebabkan sebahaian golongan agamawan yang tidak mempunyai disiplin ilmu yang mendalamlah, masyarakat hanyut dalam lautan perkara yang tidak jelas dan tidak benar dalam Islam. 



Permulaan Kisah Umar Al-Khattab Menanam Anak 


Kisah ini dikaitkan dengan sifat Umar  radhiallahu 'anhu  sewaktu zaman jahiliyyahnya yakni sebelum memeluk Islam. Saya sendiri telah mencari dalam kitab-kitab biografi dan sejarah para Imam Ahl Sunna wal Jamaah terdahulu namun tidak ditemukan kisah ini. Kisah ini ditemui dalam sebuah kitab karya ‘Abbas Mahmud Al-‘Uqqad yang bertajuk ‘Abqariyah ‘Umar halaman 221. Disebutkan: 


يقول عباس محمود العقاد في كتابه " عبقرية عمر "ص/221 عن وأد عمر لابنته فقال  

أنه رضي الله عنه كان جالساً مع بعض أصحابه ، إذ ضحك قليلاً ، ثم بكى ، فسأله مَن حضر ، فقال : كنا في الجاهلية نصنع صنماً من العجوة ، فنعبده ، ثم نأكله ، وهذا سبب ضحكي ، أما بكائي ، فلأنه كانت لي ابنة ، فأردت وأدها ، فأخذتها معي ، وحفرت لها حفرة ، فصارت تنفض التراب عن لحيتي ، فدفنتها حية

Bahawa Umar sedang duduk bersama teman-temannya. Ketika itu beliau tertawa sedikit kemudian menangis. Lalu teman-temannya pun bertanya (mengapa Umar menangis)?. Lalu Umar berkata: Ketika kita diwaktu jahiliyyah, kita membuat sebuah berhala daripada tamar Al-Ajwah lalu kita menyembahnya. Kemudian kita makannya (Tuhan yang kita buat dan sembah). Kerana itu aku tertawa. Adapun sebab aku menangis kerana aku pernah mempunyai anak perempuan. Lalu aku ingin menanamnya hidup-hidup. Maka aku bawa dia bersamaku kemudian aku gali lubang untuknya. Kemudian dia menyapu tanah yang ada di janggutkan lalu aku menanamnya hidup-hidup. 



Para muhaqqiq dalam bidang sejarah telah mengkaji kisah ini dan mendapati beberapa kecacatan yang bercanggah dengan fakta yang lebih kuat. Antaranya ialah: 



Hujjah 1: 

Umum diketahui bahawa Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  memiliki anak perempuan sulung bernama Hafsah. Disebabkan itu beliau digelar Abu Hafs (Bapa Kepada Hafsah). Hafsah inilah menjadi isteri kepada Rasulullah ﷺ sebagaimana yang telah tercatat dalam lembaran sejarah. Ini telah menjadi ijmak seluruh kaum Muslimin dan tiada siapa pun yang menafikannya. 

Jika kisah Umar  radhiallahu 'anhu  menanam anak itu benar, mengapa Hafsah sendiri tidak menjadi mangsanya? Sedangkan Hafsah adalah anak pertamanya dan seorang perempuan yang dilahirkan di Makkah, 14 tahun sebelum peristiwa Hijrah lagi. Bahkan jika benar dakwaan bahawa sejak zaman jahiliyyah amalan menanam anam perempuan telah diamalkan, mengapa masih ramai sahabiah (sahabat nabi yang wanita- yakni yang pernah bertemu dan beriman) yang hidup sejak zaman jahiliyyah di Makkah masih hidup? Kenapa mereka masih ada hingga peristiwa Hijrah? Jika benar menanam anak perempuan menjadi amalan dan tradisi kaum jahiliyyah Mekah, pasti tidak akan wujud lagi sahabat perempuan. 



Tambahan Kajian Keluarga Umar Al-Khattab 


Para Imam terdahulu telah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  dan para sahabat yang lainnya. Imam Ibnu al-Jauzi dan lain-lain telah menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar   radhiallahu 'anhu  dan anak-anaknya serta hamba sahayanya. Beliau menulis, “Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah: 


  1. Zainab binti Maz’un. Zainab adalah saudara perempuan Uthman bin Maz’un yang terkenal antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan, juga merupakan saudara susuan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dikurniakan tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.
  2. Atikah binti Zaid bin Amar bin Nufail. Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu mendapat seorang anak lelaki bernama ‘lyadh. 
  3. Isteri yang ketiga ialah Jamilah binti Thabit bin Aflah. Beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim.
  4. Ummul Hakam binti al-Harits bin Hisyam. Mereka mendapat anak perempuan bernama Fatimah. 
  5. Ummul Kulthum binti Jarwal bin Malik. Dengannya beliau mendapat dua orang anak bernama Ubaidullah dan Zaid al-Akbar. 
  6. Ummul Kulthum binti Ali bin Abi Talib. Umar beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid al-Ashghar dan Ruqayyah. 
  7. Daripada hambanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina Umar telah dikurniakan anak. Anak peremuan daripada Fukayyah bernama Zainab dan dengan Luhayyah anaknya bernama Abdul Rahman al-Ausath dan Abdul Rahman al-Ashghar. 



Jadi anak-anak Sayyidina Umar  radhiallahu 'anhu  adalah seperti berikut: 



Lelaki: 

1) Abdullah bin Umar (Ibn Umar) 

2) Abdul Rahman al-Akbar 

3) Abdul Rahman al-Ausath 

4) Abdul Rahman al-Ashghar 

5) ‘lyadh 

6) Aasim 

7) Ubaidullah 

8) Zaid al-Akbar 

9) Zaid al-Ashghar 



Perempuan: 

1) Hafsah 

2) Ruqayyah 

3) Fatimah 

4) Zainab 



Daripada isteri pertamanya Zainab binti Maz’un, Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   hanya mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman al-Akbar. Hafsah adalah anak sulungnya dengan Zainab binti Maz’un, sebab itulah beliau dikuniahkan dengan Abu Hafs. 

Pada ketika beliau memeluk Islam, beliau mempunyai 3 orang anak ini sahaja. Kalau dakwaan Umar Al-Khattab   radhiallahu 'anhu  menanam anak perempuannya, maka anak yang manakah yang ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar itu? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu   betul-betul tidak suka atau bencikan anak perempuan, kenapa pula beliau sanggup memakai kuniah Abu Hafs? 

Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, ada dakwaan mengatakan anak itu tidak diketahui jantinanya lelaki atau peremuan ketika ia ditanam. Adakah logik Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  baru mengetahui jantina sebenar anaknya hanya setelah anak itu berumur 4 tahun? 



Hujjah 2:

Sebahagian pihak mendakwa bahawa amalan menanam anak perempuan ini terkenal dalam kalangan Bani ‘Adi iaitu kaum Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri. Dakwaan ini sama sekali tidak berasas kerana saudara perempuan Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  sendiri bernama Fathimah masih hidup dan berkahwin dengan sepupunya bernama Said bin Zaid. Jika amalan itu benar menjadi adat Bani ‘Adi sudah tentu Fathimah akan ditanam hidup-hidup ketika masih kecil. Tapi mengapa beliau tidak menjadi mangsa bahkan sihat membesar dan berkahwin pula? Ini menunjukkan bahawa amalan kejam itu tidak wujud dalam kalanga Bani ‘Adi. 



Hujjah 3: 

Kisah ini tidak memiliki sanad atau rantaian periwayatan daripada mana asal usulnya. Para Imam terdahulu mereka meriwayatkan kisah-kisah dengan bersanad walaupun ianya lemah atau tertolak. Sedangkan kisah ini tidak diketahui daripada mana sanad periwayatannya daripada mana-mana kitab sirah para imam terdahulu. Tidak mungkin para imam terlepas pandang atau sengaja tidak memuatkannya untuk menjaga nama Umar Al-Khattab. Sesebuah sirah diriwayatkan dengan bersanad dan daripada sanadlah dapat diketahui kebenaran melalui kajian yang dilakukan oleh sejarawan. Tapi kisah yang tiada sanad direkodkan seperti ini, daripada mana asal usulnya? 

Bahkan penulis kitab ‘Abqariyyah Umar sendiri tidak menyebut daripada mana kisah ini diambilnya. Sebahagian para muhaqqiqin dalam bidang sejarah berpendapat bahawa kisah ini direka oleh golongan Syiah al-Rafidhah yang terkenal begitu membenci Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  dan kibar sahabat yang lain. 



Hujjah 4: 

Kajian ini telah disahkan oleh pengkaji sirah mutaakhirin (kontemporari) antaranya As-Syaikh Abdussalam bin Muhsin Ali Isa. Katanya: 

وأما عمر رضي الله عنه فقد ذكر عنه أنه وأد ابنة له في الجاهلية. ولم أجد من روى ذلك عن عمر فيما اطلعت عليه من المصادر ، ولكني وجدت الأستاذ عباس محمود العقاد أشار 
إليها في كتابه عبقرية عمر
Dan aku tidak menemui siapakah yang meriwayatkan kisah sedemikian daripada Umar sepanjang kajianku daripada sumber-sumber rujukan (sejarah zaman-berzaman). Namun, aku mendapati Ustaz ‘Abbas Mahmud Al-Uqqad telah mengisyaratkan kisah itu dalam kitab beliau, ‘Abqariyyah Umar. 

Persoalannya, bagaimana kisah yang tidak diketahui asal usulnya, daripada mana ia datang dan wujud dapat dikatakan benar? Jika benar, tentu ada sahabat atau tabi’in yang meriwayatkan daripada Umar Al-Khattab  radhiallahu 'anhu  . Atau setidak-tidaknya tentu ada Sahabat atau tabi’in yang menceritakan kisah hidup Umar Al-Khattab . Ibnu Umar sendiri tidak meriwayatkan hal ini. Tidak mungkin anaknya yang juga sahabat Nabi yang agung tidak mengetahui perihal ayahnya sendiri. Satu persoalan yang perlu difikirkan. 

Kisah ini juga telah dibincangkan dan dipersetujui ianya tidak benar oleh Multaqa Ahl Hadith. 





Kesimpulan 

Kisah ini tidak benar dinisbahkan kepada Umar Al-Khattab . Dakwaan ini berkemungkinan datang daripada mereka yang memusuhi Umar Al-Khattab itu sendiri. Sebagai ummat Islam, kita hendaklah lebih berhati-hati sebelum menyebarkan riwayat hadith mahupun sirah para sahabat. Apatah lagi jika ianya melibatkan maruah seorang sahabat yang utama. 


Baca juga kajian sejarah yang pernah saya tulis sebelum ini


 والله أعلم بالـصـواب 

Isnin, 24 Februari 2014

Hadith Abdul Rahman bin Auf Masuk Syurga Merangkak



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Telah tersebar di laman maya sebuah kisah yang menceritakan sahabat yang mulia, Abdul Rahman bin Auf masuk ke dalam syurga dalam keadaan merangkak. Ini disebabkan oleh wujudnya beberapa riwayat hadith mahupun athar yang menceritakan perkara sedemikian. Mungkin juga kisah ini tersebar luas menerusi buku-buku, majalah, artikel blog, ceramah para agamawan dan sebagainya hingga ia menjadi pegangan sebahagian masyarakat negara ini. 

Adakah dakwaan ini benar? Adakah ia punya sumber asas dan sandarannya? Jika ada, adakah sandarannya itu benar, kuat dan sahih hingga ia boleh menjadi sumber rujukan dan pegangan? 

Benar kisah ini ada riwayat yang menyebutkannya dan ia bukanlah kisah dongeng yang baru direka-reka masyarakat kita. Kisah ini disebutkan dalam beberapa kitab hadith antaranya di dalam Musnad Imam Ahmad rahimahullah dalam sebuah kisah yang panjang.


حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ بْنُ حَسَّانَ ، قَالَ : أَخْبَرَنَا عُمَارَةُ ، عَنْ ثَابِتٍ ، عَنْ أَنَسٍ ، قَالَ : بَيْنَمَا عَائِشَةُ فِي بَيْتِهَا إِذْ سَمِعَتْ صَوْتًا فِي الْمَدِينَةِ ، فَقَالَتْ : مَا هَذَا ؟ قَالُوا : عِيرٌ لِعَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَدِمَتْ مِنَ الشَّامِ تَحْمِلُ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ ، قَالَ : فَكَانَتْ سَبْعَ مِئَةِ بَعِيرٍ ، قَالَ : فَارْتَجَّتِ الْمَدِينَةُ مِنَ الصَّوْتِ ، فَقَالَتْ عَائِشَةُ : سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، يَقُولُ : قَدْ رَأَيْتُ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ حَبْوًا ، فَبَلَغَ ذَلِكَ عَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ عَوْفٍ ، فَقَالَ : إِنْ اسْتَطَعْتُ لأَدْخُلَنَّهَا قَائِمًا ، فَجَعَلَهَا بِأَقْتَابِهَا ، وَأَحْمَالِهَا فِي سَبِيلِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ.
وفي رواية قال: إن استطعت لأدخلنها قائمًا فجعلها بأقتابها وأحمالها في سبيل الله وكانت سبعمائة بعير فارتجت المدينة من الصوت

Ketika ‘Aisyah radhiallahu ‘anha sedang berada di rumahnya, tiba-tiba dia terdengar suara yang menggoncangkan Madinah. ‘Aisyah pun berkata, “Suara apa itu?”Orang-orang menjawab, “Itu suara kafilah dagang ‘Abdurrahman bin ‘Auf yang baru datang dari Syam sebanyak tujuh ratus ekor unta.” ‘Aisyah radhiallahu ‘anha berkata:

Adapun aku pernah mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Aku melihat ‘Abdurrahman bin ‘Auf memasuki syurga dengan merangkak.”

Ucapan itu sampai ke telinga ‘Abdurrahman bin ‘Auf, lalu ‘Abdurrahman bin ‘Auf mendatangi ‘Aisyah untuk menanyakan hal itu. ‘Aisyah pun menceritakan hadits tersebut. ‘Abdurrahman bin ‘Auf berkata, “Sesungguhnya kupersaksikan kepadamu, bahawa semua unta ini beserta beban yang dibawanya, juga semua pelana dan barang-barangnya, aku berikan untuk perjuangan di jalan Allah.”

-dan dalam riwayat lain, ‘Abdurrahman bin ‘Auf berkata, “Seandainya aku mampu, nescaya aku akan masuk syurga dengan berjalan,” lalu dia pun memberikan semua unta beserta pelana-pelana dan muatannya untuk perjuangan di jalan Allah. Dan itu sebanyak tujuh ratus ekor unta yang suaranya mengguncangkan Madinah [Musnad Ahmad 1/15 no. 24280]

Takhrij dan Kedudukan Hadith:

Selain itu, riwayat ini juga dimuatkan dalam kitab-kitab lain antaranya di dalam Mu'jam Al-Kabir Al-Thabarani ( no. 267, 5269); Ma'rifah Al-Sohabah Abi Nu'aim Al-Asbahani ( no. 466); Majma' Zawaid Al-Haithami (no. 14592); Kanz Al-Ummal Syaikh Muttaqi Al-Hindi (no. 33500).

Berikut merupakan penilaian para ulama' hadith berkaitan kedudukan hadith ini:

هذه القصة واهية وعلتها:

عمارة بن زاذان الصيدلاني أبو سلمة البصري:

 أورده الحافظ في “التهذيب” (۷/٣٦٥) وقال:

أ- قال الأثرم عن أحمد: يروي عن ثابت عن أنس أحاديث مناكير.

ب- وقال الآجري عن أبي داود: ليس بذاك.

ج- وقال الساجي: فيه ضعف ليس بشيء ولا يقوى في الحديث.

Kisah di atas rapuh, dan yang menjadi cacat (penyakit)nya adalah ‘Umarah bin Zadzan ash-Shidalani Abu Salamah al-Bashri …

Pertama: al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani menyebutkan ‘Umarah bin Zadzan di kitab at-Tahdzib (7/365), dan beliau mengatakan:

(1) telah berkata al-Atsram dari Ahmad, “Yang diriwayatkan dari Tsabit dari Anas adalah hadits-hadits mungkar.”

(2) dan berkata al-Ajurri dari Abu Dawud, “Laisa bi dzaka.”

(3) dan as-Saji berkata, “Padanya terdapat kelemahan, tidak ada apa-apanya dan tidak kuat dalam hadits.”


 وأورده الإمام الدارقطني في “الضعفاء والمتروكين” رقم (٣۸۲) وقال: “عُمارة بن زاذان الصيدلاني بصري روى عن ثابت وأبي غالب فَزَوَّر”. اهـ.

قلت: وقد يُظن بكتاب الدارقطني هذا: أن الدارقطني باقتصاره على ذكر اسم الراوي فقط أنه سكت عنه. ولكن مجرد ذكر الاسم يكون الراوي متروكًا كما هو مبين في القاعدة المذكورة في أول الكتاب.

قال الإمام البرقاني: “طالت محاورتي مع ابن حمكان للإمام أبي الحسين علي بن عمر -عفا الله عني وعنهما- في المتروكين من أصحاب الحديث فتقرر بيننا وبينه على ترك من أثبته على حروف المعجم في هذه الورقات.” اهـ.

قلت: من هذه القاعدة يتبين أن عمارة بن زاذان متروك.

Kedua: dan Imam ad-Daraquthni menyebutkan ‘Umarah bin Zadzan di kitab adh-Dhu’afa wa al-Matrukin (382) lalu mengatakan, “’Umarah bin Zadzan ash-Shidalani, orang Basrah, dia meriwayatkan dari Thabit al-Bunani dan Abu Ghalib lalu memalsukannya.”

Aku katakan, dan orang telah menyangka melalui kitab ad-Daraquthni ini  ( iaitu kitabadh-Dhu’afa wa al-Matrukin), bahawa Imam Ad-Daraquthni dengan hanya mencukupkan penyebutan nama perawi saja, itu bererti beliau diam darinya (tidak melakukan jarh/celaan). Padahal dengan hanya sekadar menyebutkan nama perawi (di kitab itu pun) sudah membawa maksud bahawa keadaan perawi tersebut matruk sebagaimana kelihatan jelas dalam kaedah yang disebutkan di awal kitab (adh-Dhu’afa wa al-Matrukin).

Imam al-Barqani berkata, “Aku bertanya panjang bersama Ibn Himkan kepada Abu al-Hasan ‘Ali bin ‘Amr (iaitu Ad-Daraquthni –pent) –semoga Allah memaafkanku dan mereka berdua- mengenai orang-orang matruk dari kalangan perawi hadith, lalu menjadi tetaplah di antara kami atas kematrukan nama-nama perawi yang telah ditetapkannya di dalam kitabnya.”

Aku katakan, dari kaedah (yang terdapat di awal kitab) ini, menjadi jelaslah bahwa ‘Umarah bin Zadzan itu perawi yang matruk.



٣- قال ابن الجوزي في “الموضوعات” (۲/١٣(:

أ- قال أحمد بن حنبل: هذا الحديث كذب منكر، قال: وعمارة يروي أحاديث مناكير.

ب- قال أبو حاتم الرازي: عمارة بن زاذان لا يحتج به.

ج- وقد روى الجراح بن منهال إسنادًا له عن عبد الرحمن بن عوف أن النبي صلى الله عليه وسلم قال: “يابن عوف إنك من الأغنياء، وإنك لا تدخل الجنة إلا زحفًا فاقرض ربك يطلق قدميك”.

قال النسائي: هذا حديث موضوع، والجراح متروك الحديث، وقال يحيى: ليس حديث الجراح بشيء، وقال ابن المديني لا يكتب حديثه، وقال ابن حبان: كان يكذب، وقال الدارقطني: روى عنه ابن إسحاق فقلب اسمه فقال منهال ابن الجراح وهو متروك.” اهـ.


Ketiga: Imam Ibn al-Jauzi di kitab al-Maudhu’at (2/13):

(1) Imam Ahmad bin Hanbal berkata, “Hadith ini dusta dan mungkar.” Dia berkata,“’Umarah bin Zadzan tidak boleh dijadikan hujjah.”

(2) Imam Abu Hatim ar-Razi berkata, “’Umarah bin Zadzan tidak bisa dijadikan hujjah.”

(3) al-Jarah bin Minhal meriwayatkan dengan sanad miliknya dari ‘Abdurrahman bin ‘Auf bahawa Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Wahai Ibn ‘Auf, sesunggunya kamu termasuk kalangan orang kaya, dan sesungguhnya kamu tidak memasuki syurga kecuali dengan merangkak. Maka berikan pinjaman untuk Rabb-mu (dari hartamu), nescaya Allah akan melepaskan kedua kakimu (hingga boleh berjalan).”

-----------------------------


Matan penuh hadith bagi point  (3) yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Jauzi rahimahullah diatas ialah seperti berikut:

 يا عبد الرحمن إنك من الأغنياء لا تدخل الجنة إلا زحفا فأقرض الله تعالى يطلق قدميك فقال عبد الرحمن ما الذي اقرض وخرج عبد الرحمن فبعث إليه رسول الله صلى الله عليه وسلم فقال مر عبد الرحمن فليضف الضيف وليطعم المسكين وليعط السائل فإن ذلك يجزيه عن كثير مما هو فيه وفي هذا السند ضعف

[Al-Qaul Al-Musaddad (1/25); Dur Al-Sahabah Al-Syaukani (no. 192); 'Adah As-Sobirin (1/243)]

Imam an-Nasa’i berkata, “Hadith ini palsu. Al-Jarah bin Minhal matruk al-hadits.” Yahya berkata, “Hadith al-Jarah tidak ada apa-apa.” Ibn al-Madini berkata, “Haditsnya jangan ditulis.” Ibn Hibban berkata, “Dia biasa berdusta.” Ad-Daraquthni berkata, “Ibn Ishaq meriwayatkan darinya lalu membalikkan namanya menjadi Minhal bin al-Jarah, dan dia itu matruk.”





 ثم قال الإمام ابن الجوزي: “وبمثل هذا الحديث الباطل تتعلق جهلة المتزهدين ويرون أن المال مانع من السبق إلى الخير، ويقولون: إذا كان ابن عوف يدخل الجنة زحفًا لأجل ماله كفى ذلك في ذم المال، والحديث لا يصح، وحاشا عبد الرحمن المشهود له بالجنة أن يمنعه ماله من السبق لأن جمع المال مباح، وإنما المذموم كسبه من غير وجهه، ومنع الحق الواجب فيه، وعبد الرحمن بن عوف منزه عن الحالين، وقد خلف طلحة الذهب وخلف الزبير وغيره، ولو علموا أن ذلك مذموم لأخرجوا الكل، وكم قاصٍ يتشدق بمثل هذا الحديث يحث على الفقر، ويذم الغنى فيالله در العلماء الذين يعرفون الصحيح ويفهمون الأصول.” اهـ.


Keempat: kemudian Imam Ibn al-Jauzi berkata: Hadith batil seperti ini terkait dengan kejahilan orang-orang yang zuhud (zuhud yang tidak berlandaskan syarie). Mereka memandang bahawa harta itu merupakan penghalang dari kesegeraan menuju kebaikan. Mereka juga mengatakan, “Jika Ibn ‘Auf (iaitu Abdul Rahman bin Auf) masuk syurga sambil merangkak dengan sebab hartanya, maka itu sudah cukup menjadi alasan tentang keburukan harta.” Padahal hadith ini tidaklah sahih, dan ‘Abdurrahman bin ‘Auf  ialah sahabat yang telah dijanjikan baginya syurga- terlepas dari (anggapan) bahwa dia terhalang oleh hartanya dari kesegeraan (menuju surga), karena mengumpulkan harta itu memang mubah, yang tercela itu adalah cara mendapatkannya yang tidak benar dan tidak mengeluarkan kewajiban atas harta itu di dalamnya (zakat dan sedekah), sedangkan ‘Abdurrahman bin ‘Auf itu terlepas dari kedua hal itu. Thalhah pun telah mewariskan emas, demikian juga az-Zubair dan para shahabat lain. Jika mereka mengetahui bahawa mengumpulkan harta itu buruk, niscaya mereka akan mengeluarkan semuanya. Dan berapa banyak tukang cerita yang menyebarluaskan hadith seperti ini yang menganjurkan kepada kefakiran dan mencela kekayaan, maka semoga Allah membanyakkan ulama' yang mengetahui yang sahih dan memahami usul.


 وقال الحافظ ابن حجر في “القول المسدد” (ص ۲٥): والذي أراه عدم التوسع في الكلام عليه فإنه يكفينا شهادة الإمام أحمد بأنه كذب، وأولى مجاملة أن نقول: هو من الأحاديث التي أمر الإمام أحمد أن يضرب عليها، فإما أن يكون الضرب ترك سهوًا، وإما أن يكون بعض من كتبه عن عبد الله كتب الحديث وأخل بالضرب والله أعلم.” اهـ.


 Al-Hafizh Ibn Hajar al-Asqalani berkata di kitab al-Qaul al-Musaddad (halaman 25):

Aku melihatnya tidak meluaskan pembicaraan atas kisah ini, maka cukuplah bagi kita persaksian Imam Ahmad bahawa kisah itu dusta. Lebih utama kita katakan, “Kisah ini termasuk di antara hadith-hadith yang diperintahkan oleh Imam Ahmad untuk ditinggalkan/dibuang, boleh jadi dari yang seharusnya ditinggalkan itu tertinggal karena lupa atau boleh jadi sebagian lagi dari yang (ditambahkan) oleh ‘Abdullah (bin Ahmad bin Hanbal) dan luput disingkirkan, wallahua'lam.


٦- قلت: لقد اكتفى الحافظ ابن حجر على كذب القصة بشهادة الإمام أحمد لأن الحافظ رحمه الله يعرف مكانة الصحابي عبد الرحمن بن عوف رحمه الله. حيث قال في “الإصابة في تمييز الصحابة” (٤/٣٤٦( ترجمة )٥١۸٣(: عبد الرحمن بن عوف بن عبد الحارث بن زهرة بن كلاب القرشي الزهري أبو محمد، أحد العشرة المشهود لهم بالجنة، وأحد الستة أصحاب الشورى الذين أخبر عمر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم أنه توفي وهو عنهم راضٍ، وأسند رفْقته أمرهم إليه حتى بايع عثمان ثبت ذلك في الصحيح. اهـ.

ثم قال: ولد بعد الفيل بعشر سنين، وأسلم قديمًا قبل دخول دار الأرقم، وهاجر الهجرتين، وشهد بدرًا وسائر المشاهد.


Keenam: aku katakan, al-Hafiz Ibn Hajar telah merasa cukup dengan persaksian Imam Ahmad atas kedustaan kisah tersebut karena al-Hafiz rahimahullah mengenal kedudukan sahabat ‘Abdurrahman bin ‘Auf radhiallahu 'anhu. Al-Hafizh berkata dalam kitab al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah (4/346; 5183), “’Abdurrahman bin ‘Auf bin ‘Abd al-Harith bin Zuhrah bin Kilab al-Qurasyi az-Zuhri Abu Muhammad, salah seorang dari sepuluh sahabat yang dijamin masuk syurga, juga salah seorang dari enam sahabat ahli musyawarah yang telah dikabarkan oleh ‘Umar dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawasanya beliau sallallahu ‘alaihi wa salllam wafat dalam keadaan redha terhadap mereka, dan ahli syura menyerahkan urusan mereka kepadanya hingga akhirnya dibai’atlah ‘Uthman bin ‘Affan (sebagai khalifah), hal ini terdapat di dalam ash-Sahih.”

Kemudian al-Hafiz berkata, “’Abdurrahman bin ‘Auf lahir sepuluh tahun setelah tahun gajah, masuk Islam awal-awal sebelum (kaum muslimin) memasuki Dar al-Arqam, dan melakukan hijrah dua kali. Dia mengikuti perang Badar dan semua peperangan (bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam).”

 [Qasas al-Wahiyah li Syaikh ‘Ali Hasyisy al-Mishri (2/85-88)]



Syaikh al-Islam Ibn Taimiyah –rahimahullah- berkata di kitab Majmu’ al-Fatawa(11/128):

قال الشيخ الإسلام ابن تيمية -رحمه الله- في مجموع الفتاوى (١١/١۲۸(: “… وما روي: أن ابن عوف يدخل الجنة حبواً، كلام موضوع لا أصل له

… dan apa yang diriwayatkan, “Bahawa ‘Abdurrahman bin ‘Auf memasuki syurga dengan merangkak,” merupakan ucapan yang palsu tidak ada asalnya …

قال الحافظ الهيثمي في مجمع الزوائد: “رواه أحمد والبزار بنحوه والطبراني وفيه عمارة بن زاذان ضعفه النسائي والدارقطني. وقد شهد عبد الرحمن بن عوف رضي الله عنه بدراً والحديبية وشهد له رسول الله صلى الله عليه وسلم بالجنة وصلى خلفه.”

قال الحافظ الهيثمي في كشف الأستار: قلت: هذا منكر، وعلته (عُمارة بن زاذان) : قال الإمام أحمد: له مناكير. وقال أبو حاتم: لا يحتج به. وضعفه الدارقطني.”


Al-Hafiz al-Haithami berkata di kitab Majma’ az-Zawa-id, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Bazar seperti itu, juga At-Thabarani dan di dalam sanadnya ada ‘Umarah bin Zadzan yang dilemahkan oleh an-Nasa’i dan Ad-Daraquthni. Dan sungguh ‘Abdurrahman bin ‘Auf  radhiyallahu ‘anhu itu mengikuti perang Badar dan perjanjian Hudaibiyah, dan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mempersaksikan baginya surga serta pernah pula beliau shalat di belakang ‘Abdurrahman bin ‘Auf.”

Dan telah berkata al-Hafiz al-Haithami di kitab Kasyf al-Astar:

Aku katakan, “Ini mungkar, dan penyakitnya adalah ‘Umarah bin Zadzan. Imam Ahmad mengatakan ‘Umarah memiliki riwayat-riwayat munkar, Abu Hatim mengatakan, ‘Umarah tidak boleh dijadikan hujjah. ‘Umarah dilemahkan oleh Ad-Daraquthni.”


قال الشوكاني في الفوائد المجموعة -بتحقيق المعلمي: رواه أحمد، وفي إسناده: عمارة، وهو يروي المناكير، وقد قال أحمد: هذا الحديث كذب منكر. قال ابن حجر: لم يتفرد به عمارة بن زاذان، فقد رواه البزار من طريق أغلب بن تميم، وأغلب شبيه عمارة بن زاذان في الضعف، لكن لم أر من اتهمه بالكذب، وقد روى من طريق أخرى فيها متروك.


Imam asy-Syaukani berkata di kitab al-Fawa-id al-Majmu’ah –dengan tahqiq Syaikh ‘Abdurrahman bin Yahya al-Mu’allimi, “Diriwayatkan oleh Ahmad dan di dalam sanadnya ada ‘Umarah, seorang perawi yang meriwayatkan hadith-hadith mungkar. Imam Ahmad mengatakan hadith ini dusta dan mungkar. Ibn Hajar mengatakan, ‘Umarah bin Zadzan tidak menyendiri dengan hadits ini (kerana) al-Bazzar telah meriwayatkan dari jalan Aghlab bin Tamim yang menyamai kelemahan ‘Umarah bin Zadzan, namun tidak tertuduh sebagai pendusta, dan diriwayatkan juga dari jalan lain namun di dalamnya ada perawi matruk.”

Kesimpulan:

Sesungguhnya dakwaan bahawa sahabat yang mulia Abdul Rahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak adalah dakwaan yang salah dan tidak benar sama sekali. Beliau ialah sahabat yang mulia, yang telah dijanjikan syurga, termasuk dalam 10 orang sahabat utama yang dijanjikan syurga, salah seorang ahli Badar dan banyak menyumbang harta dan nyawanya ke jalan Islam. Dakwaan seperti ini merupakan suatu penghinaan dan cubaan untuk merendahkan kedudukan sahabat yang mulia. 

Alasan sesetengah 'Ubbad (Ahli Ibadah) dan Zuhhad (Ahli Zuhud) untuk menyeru menjauhi harta, kekayaan dan hidup zuhud bersandarkan riwayat ini tidak boleh diterima pakai. Kenyataan Imam Ibn Jauzi rahimahullah sudah menjawab syubhat-syubhat tersebut. 

Menjadi tanggungjawab kita semua untuk sentiasa berhati-hati dalam menyampaikan hadith-hadith nabi terutama yang berkaitan dengan hukum-hakam dan kelebihan para sahabat agar kita tidak termasuk mereka yang bersubahat mendustakan perkataan Nabi. Sesungguhnya berdusta atas nama Nabi adalah termasuk salah satu dosa besar yang telah dijamin tempat dineraka bagi pelakunya. 





 والله أعلم بالـصـواب 

Jumaat, 20 Julai 2012

Kisah Abu Jandal dan Abu Basyir Dalam Perjanjian Hudaibiyah


السلام عليكم





Pada tahun ke enam Hijrah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ingin berumrah  dan berziarah ke Makkah. Khabar ini kemudiannya diketahui oleh orang-orang kafir Makkah dan ini membuatkan mereka berasa terhina sehingga mereka merangcang untuk menghalang perjalanan Rasulullah di suatu tempat bernama Hudaibiyyah. Ketika itu Baginda bersama para sahabat telah bersiap sedia untuk mengorbankan jiwa dan raga ke jalan Allah subhanahu wa ta'ala. Namun demi kebaikan penduduk Makkah, Rasulullah tidak mahu terjadinya peperangan. Baginda berusaha mengadakan perjanjian dengan penduduk Makkah. Walaupun para sahabat telah bersedia untuk berperang, Nabi tetap mengadakan perjanjian dan menerima baik syarat-syarat yang mereka nyatakan. Hakikatnya para sahabat amat tertekan dengan perjanjian itu termasuklah Umar al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani. Namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana jiwa dan raga mereka telah diserahkan untuk mentaati perintah Allah dan RasulNya. Mereka akur dengan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan umat Islam ketika itu. 

Antara isi kandungan perjanjian itu ialah orang-orang kafir yang telah memeluk Islam dan berhijrah harus kembali semula ke Makkah dan orang Islam yang murtad tidak akan dikembalikan kepada kaum Muslimin. Belum sahaja selesai perjanjian itu, seorang sahabat bernama Abu Jandal radhiallahu 'anhu yang telah ditahan, diseksa dan dirantai oleh orang kafir lantaran keislamannya tiba-tiba rebah saat mendengar isi perjanjian tersebut. Dia berharap dapat bersama kaum Muslimin dan bebas dari musibah yang dialaminya dahulu. Ayahnya yang bernama Suhail , ketika saat perjanjian itu masih belum memeluk Islam menampar Abu Jandal lalu memaksanya agar kembali ke Makkah. Beliau merupakan wakil orang kafir dalam perjanjian Hudaibiyah. 

Rasulullah lalu berkata, "Perjanjian belum diputuskan, maka belum ada apa-apa peraturan yang akan berlaku." Namun Suhail tidak mempedulikannya dan terus memaksa Jandal agar pulang ke Makkah. "Aku meminta agar ada seorang yang diserahkan kepadaku" kata Baginda. Namun kaum kafir menolak permintaan itu. Abu Jandal kemudian berkata kepada kaum Muslimin, "Aku datang untuk Islam kerana banyak penderitaan yang telah aku alami. Sayang sekarang aku akan dikembalikan lagi kepada kaum kaffir." Hanya Allah sahaja yang mengetahu betapa sedihnya sahabat ketika mendengar ucapa Abu Jandal itu. Atas nasihat Rasulullah, Abu Jandal kemudian bersedia untuk kembali ke Makkah. Baginda berusaha menghiburkan hatinya dan menyuruhnya agar tetap bersabar atas ujian itu kemudian bersabda: "Dalam waktu terdekat, Allah akan membuka jalan buatmu."

Setelah perjanjian Hudaibiyah selesai, seorang sahabat bernama Abu Basyir radhiallahu 'anhu melarikan diri ke Madinah setelah keislamannya. Kaum kuffar Makkah mengutus dua orang ke Madinah untuk membawanya pulang ke Makkah. Sebagaimana yang telah terkandung dalam perjanjian Hudaibiyah, maka Baginda memulangkan semula Abu Basyir kepada mereka lalu Abu Basyir berkata, "Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi Muslim, dan engkau mengembalikan aku kepada kaum kuffar?". Rasulullah menasihatinya agar bersabar lantas bersabda, "InsyaAllah, sebentar nanti Allah akan membukakan jalan bagimu." Akhirnya Abu Basyir dikembalikan ke Makkah bersama dua orang utusan tersebut.

Di tengah perjalanan, Abu Basyir berkata kepada seorang utusan tersebut, "Hai kawan, pedangmu bagus sekali." Disebabkan pujian tersebut, utusan itu merasa bangga lalu mengeluarkan pedangnya, "Ya. aku sudah membunuh ramai orang dengan pedang ini." sambil menunjukkan pedang tersebut kepada Abu Basyir. Apabila pedang itu berada di tangannya, dia lantas menebas pemilik pedang tersebut. Ketika utusan lain melihat temannya telah terbunuh, dia ketakutan dan berasakan bahawa dirinya juga akan menerima nasib yang sama lalu melarikan diri ke Madinah. Setibanya di hadapan Rasulullah utusan tersebut berkata, "Temanku telah dibunuh dan sekarang dia (Abu Basyir) ingin membunuhku pula."

Ketika itu juga Abu Basyir tiba di hadapan Baginda seraya berkata, "Ya Rasulullah, engkau telah memenuhi janjimu dengan mereka dan aku pun telah dipulangkan, namun aku tidak memiliki janji apa pun yang menjadi tenggungjawabku ke atas mereka. Ku lakukan semua ini kerana mereka berusaha mencabut agama Islam dariku." Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Kamu telah menyalakan api peperangan, kalaulah ada yang dapat membantumu.." Atas sabda itu, Abu Basyir dapat memahaminya iaitu jika ada kaum kafir yang mahu membawanya kembali ke Makkah selepas ini, ternyata dia akan dikembalikan. Akhirnya dia memutuskan untuk pergi ke sebuah tempat yang dekat dengan pantai. Berita ini sampai kepada penduduk Makkah termasuk Abu Jandal yang dikembalikan ke Makkah sebelumnya. Beliau kemudian melarikan diri ke tempat Abu Basyir termasuk dengan orang-orang Islam yang lain yang berada di Makkah. Mereka semua bergabung lalu menjadi sebuah kabilah kecil.

Kawasan disitu langsung tidak ada penghuni dan dikelilingi hutan sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan sebenar mereka disana. Namun mereka membuktikan bahawa mereka berjaya menenteng kaum kuffar yang menzalimi umat Islam dan bergabung membentuk suatu kumpulan yang kuat. Mereka berjaya mematahkan serangan dari kaum kafir yang cuba menyerang sehingga kaum kuffar itu berasa ketakutan yang akhirnya membawa kepada kelancaran perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memanggil mereka kembali pulang melalui surat dan ketika surat itu sampai ke tangan Abu Basyir, beliau sedang menderita sakit parah lalu wafat bersama-sama surat Rasulullah di tangannya. (Diriwayatkan dalam Fath al-Bari fi Syarh Sahih Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalaini)

Pelajaran

Jika agama yang kuat berada pada diri seseorang dengan syarat agamanya benar, maka kekuatan apa pun yang menghalang tidak akan mampu melepaskan pegangan agama pada dirinya kerana Allah subhanahu wa ta'ala berjanji untuk menolong hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

[Hayatus Sahabah lil Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Khandalawi rahimahullah




والله أعلم بالصواب

Isnin, 26 Disember 2011

Nabi Muhammad Menewaskan Ahli Gusti


Daripada Abu Daud dan al-Timizi, daripada Abi Ja'far bin Muhammad bin Rukanah daripada bapanya mengatakan bahawa Rukanah pernah mencabar Nabi s.a.w untuk beradu kekuatan. Baginda menerima cabaran tersebut dan mereka pun bertarung. Ketika mereka berlawan menguji kekuatan, Nabi s.a.w berjaya menewaskan Rukanah. Dalam riwayat Abu Bakr bin al-Syafi'e dengan sanad yang baik daripada Ibn Abbas r.a, bahawa Yazid bin Rukanah, seorang pendekar yang terkenal dengan kekuatannya. Dia mencabar Nabi s.a.w untuk bergusti dengannya. Beliau mengenakan bayaran 100 ekor kambing kepada sesiapa yang kalah. Lalu mereka pun bertarung dan baginda berjaya mengalahkannya (Rukanah). Baginda menundukkannya sebanyak 3 kali dalam 3 pusingan berturut-turut!

Akhirnya Rukanah akur dengan kekalahannya lantas berkata: 

"Wahai Muhammad! Tiada siapa pun pernah dapat membaringkan aku sehingga jatuh terlentang dalam pertarungan selain darimu! Sebelum ini engkaulah yang paling aku benci. Tapi sekarang aku naik saksi tiada Tuhan yang lebih benar yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w itu RasulNya. " 

Nabi Muhammad s.a.w kemudian telah mengembalikan semula kambing-kambing yang diserahkan oleh Rukanah sebagai pertaruhan itu. 

(Hadith riwayat Abu Daud; 4077, al-Tirmizi; 1844, al-Hakim 3/452)

Ahad, 11 Disember 2011

Kisah Doa Tiga Pemuda Di Dalam Gua


Daripada Abu Abdurrahman, Abdullah bin Umar bin Khattab r.a berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersadba: 

Dahulu ada tiga orang berjalan-jalan kemudian mereka pergi ke sebuah gua untuk berteduh, maka mereka pun masuk ke dalamnya. Kemudian dengan tiba-tiba ada batu dari atas bukit yang bergolek dan menutup pintu gua itu sehingga mereka bertiga tidak dapat keluar dari gua. Salah seorang daripada merek berkata : 'Sesungguhnya tidak ada yang dapat menyelamatkan kamu daripada bencana ini kecuali apabila kamu berdoa kepada Allah s.w.t dengan menyebutkan amalan-amalan soleh yang pernah kamu lakukan'


Kasihkan Ibubapa

Salah seorang daripada mereka kemudian berdoa : 'Ya Allah, saya mempunyai ibu dan ayah yang sangat tua. Saya biasa memberi minuman susu buat mereka dahulu sebelum saya berikan kepada keluarga dan anak-anak saya. Pada suatu hari, saya terlambat balik daripada mencari kayu api dan saya dapati kedua-dua ibubapa saya telah pun tidur. Saya terus memerah susu untuk ibubapa saya minum. Oleh kerana mereka telah tidur, saya tidak mahu mengejutkan mereka supaya bangun kemudian saya berjanji dalam diri tidak akan memberi minum susu itu kepada keluarga mahupun anak-anak saya sehingga ibubapa saya bangun dari tidur.'

'Saya menunggu dengan sabar namun mereka tidak juga terjaga dan bangun. Ketika sedang menunggu mereka, anakku menangis dan datang kepadaku kerana inginkan susu namun aku tetap berpegang kepada janjiku iaitu tidak akan memberi minum kepada sesiapa jua sehingga ibubapaku minum. Setelah mereka berdua bangun, maka ku berikan keduanya minum susu tersebut. Ya Allah, jika saya berbuat begitu kerana mengharapkan wajahMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini.' Maka dengan tiba-tiba bergeraklah sedikit batu tersebut namun masih belum cukup untuk membolehkan mereka keluar dari gua.


Ku Tolak Zina

Orang yang kedua kemudian berdoa pula dengan merayu dan bermunajat kepada Allah sebagaimana orang pertama tadi. 'Wahai Allah, sesungguhnya saya mempunyai sepupu perempuan yang sungguh cantik dan aku mencintainya. Aku seringkali mengajaknya berzina denganku tetapi dia sering menolaknya. Suatu hari dia ditimpa kesusahan dan meminta bantuan kepadaku. Lalu aku berikan kepadanya 120 dinar dengan syarat dia berzina denganku. Oleh kerana terdesak maka dia pun bersetuju. Ketika kami hampir melakukan perbuatan yang terkutuk itu dan aku berada di antara kedua-dua belah kakinya, dia lalu berkata: Takutlah kepada Allah dan janganlah engkau melakukannya melainkan dengan cara yang benar dan halal. 

Aku kemudian tersentak kerana terdengar kalimah Allah darinya. Nafsuku menurun dan aku lantas meninggalkannya dengan wang tersebut padahal dia seorang yang amat aku cintai. Wahai Allah, jika saya meninggalkan zina kerana takut kepadaMu dan mengharap redhaMu maka gerakkanlah batu yang menutupi gua ini. ' Tiba-tiba batu itu bergerak sedikit namun masih belum membolehkan mereka bertiga keluar dari gua itu.


Gajimu Seluruh Harta Ini

Orang yang ketiga pula berdoa: 'Ya Allah, saya telah menggaji beberapa orang pekerja dan  semuanya saya bayar gaji mereka dengan sempurna kecuali ada seorang pekerja yang menghilangkan dirinya, meninggalkan saya dan tidak mengambil gajinya terlebih dahulu. Kemudian gajinya itu saya laburkan dalam penternakan sehingga lama-kelamaan ternakan itu menjadi banyak dan beranak-pinak. Beberapa tahun kemudian bekas pekerja saya itu datang dan menuntut gajinya suatu masa dahulu. Saya pun memberikan segala hasil penternakan berupa lembu, kambing unta dan juga pengembala itu sebagai gajinya tanpa mengurangkan sedikit pun kerana penternakan itu adalah dari gaji asalnya. Ya Allah, sesungguhnya aku lakukan itu kerana mengharapkan redhaMu, maka gerakkanlah batu itu.' Maka batu itu pun bergerak sepenuhnya dan mereka dapat keluar dari gua tersebut. 

(Riwayat al-Bukhari no.2272, Muslim no.2743 dan Ahmad 2/116)


Pengajaran :

1. Kita dituntut supaya memanjatkan doa pada saat-saat genting dan sukar atas dasar melaksanakan perintah Allah.

"Dan Tuhanmu berfirman" Berdoalah kepadaKu nescaya akan Ku perkenankan bagimu"(Ghafir:60)

2. Jalinkanlah hubungan dengan Allah dengan cara yang dianjurkan oleh syariat iaitu dengan amal yang soleh.

3. Taqwa merupakan jalan penyelamat terutama apabila kita berada dalam kesukaran

"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar" (al-Talaq: 2)

4. Keutamaan berbuat baik kepada kedua ibubapa adalah lebih daripada yang lain.

5. Ijarah (upah), merupakan suatu akad yang dituntut dalam Islam untuk memperoleh manfaat tertentu dengan bayaran yang setimpal.

"Kemudia jika mereka menyusukan anak-anakmu untukmu maka berikanlah kepada mereka upahnya" (al-Talaq: 6)

Rasulullah s.a.w bersabda : "Ada tiga golongan yang aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat antaranya : Seeorang yang mengupah manusia namun setelah selesai tidak dibayar upahnya" (riwayat Bukhari no.2227)

6. Menepati janji merupakan tanda kesempurnaan iman.
7. Seseorang Muslim bertanggungjawab menjalankan amanah yang diberikan kepadanya.
8. Amalan berlapang dada dalam urusan pergaulan dengan orang lain

Rabu, 30 November 2011

Kisah Nabi Membakar Sarang Semut




السلام عليكم




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa seekor semut telah menggigit seorang Nabi. Kemudian Nabi tersebut telah memerinahkan supaya sarang semut itu dibakar. Lalu terbakarlah sarang semut itu berserta dengan semua semut-semut yang berada di dalam semut dan yang berhampiran dengannya. Selepas kejadian itu, turunlah wahyu Allah kepada Nabi tersebut "Adakah hanya kerana seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau binasakan suatu umat yang sentiasa bertasbih kepada Tuhannya?"
(riwayat al-Bukhari, 3219; Muslim,2241; Abu Daud,5265; Ahmad 2/313; al-Nasa'i,7/211; Ibn Hibban 7/463; al-Baghawi,12/197)

Berdasarkan kisah diatas, adalah dilarang membunuh semut begitu juga dengan haiwan yang lainnya tanpa sebab. Perlu kita ingat bahawa seluruh haiwan dan serangga bertasbih kepada Allah s.w.t sentiasa. Kadang kala kita pun tidak mampu menandingi haiwan dalam bertasbih kepada Allah s.w.t. Dalam syariat sebelum Nabi Muhammad, adalah dibenarkan untuk membakar binatang namun selepas Baginda menjadi Nabi dan Rasul, umat Baginda dilarang untuk membakar sarang haiwan atau pun membakar haiwan itu sendiri melainkan dalam keadaan darurat atau dalam keadaan yang mesti dibakar demi mengelakkan bahaya yang lebih besar sebagimana dalam kaedah fiqh yang telah sedia ada. 



والله أعلمُ بالـصـواب

Ahad, 20 November 2011

Kisah Ahli Ibadah Masuk Neraka dan Ahli Maksiat masuk Syurga



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.

Suatu hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata "Berhentilah daripada membuat dosa." Rakan nya itu menjawab "Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?".


Ahli ibadah itu menjawab"Demi ALLAH, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah."



Setelah kedua-duanya meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah menyoal lelaki ibadah itu " Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?"



Kemudian kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata "Masuklah kamu kedalam syurga berkat rahmat Ku". Sementara kepada ahli ibadah itu "masuklah orang ini kedalam Neraka"



* Hadith riwayat Ahmad 2/323;Abu Daud. 4901;Ibn Mubarak dalam kitab al-Zuhd, 314; Ibn Abi Duniya dalam Husnuzh Zhan,45; al-Baghawi dalam syarh al-Sunnah; 14/385.



Pengajaran.



1. Sentiasalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran



2. Setiap individu hendaklah berusaha meninggalkan maksiat dan kemungkaran



3. Jangan berputus asa daripada memohon keampunan kepada allah Yang Maha Penyayang



4. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan nama Allah semberono tanpa ilmu



5. Allah s.w.t mengasihi para hambaNya dan Dia memberikan rahmat keampunanNya kepada sesiapa yang diinginiNya.



6. Seseorang itu tidak berhak menentukan kedudukan seseorang manusia lain sama ada masuk syurga atau nereka, kerana hanya Allah s.w.t yang mengetahui dan menetapkannya.

Wallahua'lam



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik