Cari Entri WADi

Memaparkan catatan dengan label KISAH TAULADAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KISAH TAULADAN. Papar semua catatan

Isnin, 22 Ogos 2016

Nasihat Emas Fudhail bin Iyadh Berkaitan Beban Jawatan



Fudhail bin Iyadh pernah memberikan nasihat kepada Harun Al-Rashyid sewaktu beliau dilantik menjadi Khalifah ummat Islam. Khalifah Harun Al-Rasyid berkata:

“Ketika Umar bin Abdul Aziz r.a. menjadi khalifah (Bani Abbasiyah), dia pernah mengundang Salim bin Abdullah bin Umar r.a., Muhammad bin Kaab Al-Qurzhi, dan Raja’ bin Haiwah. Umar bin Abdul Aziz berkata kepada mereka, “Sesungguhnya aku sedang diuji dengan musibah ini (jabatan kekhalifahan). Oleh itu, berilah saranan dan nasihat kepada saya!”

Berkata Fudhail ibn Iyadh kepada Khalifah Harun al-Rasyid, “Dahulu, Umar bin Abdul Aziz menganggap jawatan khalifah sebagai musibah. Sementara kamu dan para pegawaimu menganggapnya sebagai nikmat dan anugerah.”

Berkata Fudhail bin Iyadh, “wahai Amirul Mukminin (Harun Al-Rasyid) ! Ketika Abbas bin Abdul Mutthalib radhiallahu 'anhu.,iaitu bapa saudara Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menghadap baginda meminta jawatan seraya berkata, “Wahai Rasulullah, berikanlah jawatan kepadaku!”

Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud :“Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah! Nyawa yang kamu selamatkan adalah lebih baik daripada jawatan yang tidak dapat kamu pertanggungjawabkan. Sesungguhnya, jawatan itu akan menjadi bahan penyesalan dan kerugian besar pada hari kiamat kelak. Jika kamu mampu untuk tidak menjadi pemimpin terhadap seseorang, maka lakukanlah!”

Harun Ar-Rasyid pun lalu menangis dengan teruk sekali semahu-mahunya.

Berkata sebahagian salaffussoleh:

"Manusia di akhirat kelak akan dihisab tentang diri mereka, tetapi kamu wahai pemimpin, akan dihisab tentang diri kamu dan semua yang berada dibawahmu! ".

Kisah ini dimuatkan di dalam Tarikh Ad-Dimasyq oleh Imam Ibn Asakir rahimahullah dan Tarikh Al-Bagdad oleh Imam Khatib Al-Baghdadi.

Dalam keghairahan duduk di jawatang yang tinggi, ingatlah beban yang berat di akhirat sedang menanti.


Tulisan asal di Facebook:

Selasa, 19 April 2016

Kisah Ibn Mahdi Membetulkan Gurunya Ubaidillah bin Hasan Al-Anbari




|| Mengaku Salah Lebih Disukai Daripada Terus Membela Kesalahan ||

Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani (wafat 852H) menaqalkan kisah menarik antara Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari (wafat 168H) dengan muridnya, Abdul Rahman ibn Mahdi (faqih, Imam Hadith, Guru Imam Ahmad ibn Hanbal, wafat 198H)

 وقال ابن مهدى كنا في جنازة فسألته عن مسألة فغلط فيها فقلت له اصلحك الله أتقول فيه كذا وكذا فاطرق ساعة ثم رفع رأسه فقال إذا ارجع وأنا صاغر لان أكون ذنبا في الحق أحب إلي من أن أكون رأسا في الباطل
Telah berkata Abdul Rahman ibn Mahdi: Suatu hari kami ketika kami sedang menghadiri solat jenazah, kami bertanya kepadanya tentang sebuah masalah, lalu beliau salah ketika menjawabnya. Maka saya katakan kepadanya:
“Semoga Allah menjagamu, jawapan yang benar mengenainya adalah begini dan begini.”
Lalu beliau (Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari) terdiam seketika kemudian mengangkat kepalanya seraya berkata:

“Jika begitu, saya tarik kembali pandangan saya tadi dan saya mengaku salah, kerana menjadi ekor (kerdil) dalam kebenaran lebih saya cintai daripada menjadi kepala (pemimpin) dalam kebatilan (terus-menerus dalam kesalahan).” [Tahzib Al-Tahzib 7/7]

Selain seorang Ulama’ besar dan seorang Salafussoleh, yang hebat, tahukah apa anda kedudukan Ubaidillah ibn Hasan Al-Anbari pada ketika itu?

Beliau seorang Qadhi di Basrah, Faqih dan Hujjah ummat ketika itu. Mencari pemimpin yang bertaraf ulama’ sahaja sudah hampir mustahil di zaman ini, apatah lagi yang sanggup menarik pandangannya dan mengaku salah.

Menariknya, beliau tak rasa terhina pun dibetulkan kesilapannya oleh muridnya atau orang yang lebih muda darinya. Hari ini sebahagian orang jika murid menegur guru, dikatakan pula tidak menghormati guru. Diajar untuk terima sahaja tanpa mempersoalkan.

Orang yang ikhlas dengan ilmu tidak akan malu mengaku salah dan membenarkan orang lain apabila dia sedar dirinya telah tersilap. Ianya bukanlah suatu aib, bahkan bukti jelas betapa luasnya pemikiran dan hebatnya peribadi seseorang.

Kita zaman ini, walaupun telah terbukti salah namun kerana ego yang menebal sanggup menegakkan benang yang basah daripada mengaku salah.

wallahua'lam.



Jumaat, 20 Julai 2012

Kisah Abu Jandal dan Abu Basyir Dalam Perjanjian Hudaibiyah


السلام عليكم





Pada tahun ke enam Hijrah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ingin berumrah  dan berziarah ke Makkah. Khabar ini kemudiannya diketahui oleh orang-orang kafir Makkah dan ini membuatkan mereka berasa terhina sehingga mereka merangcang untuk menghalang perjalanan Rasulullah di suatu tempat bernama Hudaibiyyah. Ketika itu Baginda bersama para sahabat telah bersiap sedia untuk mengorbankan jiwa dan raga ke jalan Allah subhanahu wa ta'ala. Namun demi kebaikan penduduk Makkah, Rasulullah tidak mahu terjadinya peperangan. Baginda berusaha mengadakan perjanjian dengan penduduk Makkah. Walaupun para sahabat telah bersedia untuk berperang, Nabi tetap mengadakan perjanjian dan menerima baik syarat-syarat yang mereka nyatakan. Hakikatnya para sahabat amat tertekan dengan perjanjian itu termasuklah Umar al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang gagah dan berani. Namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana jiwa dan raga mereka telah diserahkan untuk mentaati perintah Allah dan RasulNya. Mereka akur dengan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan umat Islam ketika itu. 

Antara isi kandungan perjanjian itu ialah orang-orang kafir yang telah memeluk Islam dan berhijrah harus kembali semula ke Makkah dan orang Islam yang murtad tidak akan dikembalikan kepada kaum Muslimin. Belum sahaja selesai perjanjian itu, seorang sahabat bernama Abu Jandal radhiallahu 'anhu yang telah ditahan, diseksa dan dirantai oleh orang kafir lantaran keislamannya tiba-tiba rebah saat mendengar isi perjanjian tersebut. Dia berharap dapat bersama kaum Muslimin dan bebas dari musibah yang dialaminya dahulu. Ayahnya yang bernama Suhail , ketika saat perjanjian itu masih belum memeluk Islam menampar Abu Jandal lalu memaksanya agar kembali ke Makkah. Beliau merupakan wakil orang kafir dalam perjanjian Hudaibiyah. 

Rasulullah lalu berkata, "Perjanjian belum diputuskan, maka belum ada apa-apa peraturan yang akan berlaku." Namun Suhail tidak mempedulikannya dan terus memaksa Jandal agar pulang ke Makkah. "Aku meminta agar ada seorang yang diserahkan kepadaku" kata Baginda. Namun kaum kafir menolak permintaan itu. Abu Jandal kemudian berkata kepada kaum Muslimin, "Aku datang untuk Islam kerana banyak penderitaan yang telah aku alami. Sayang sekarang aku akan dikembalikan lagi kepada kaum kaffir." Hanya Allah sahaja yang mengetahu betapa sedihnya sahabat ketika mendengar ucapa Abu Jandal itu. Atas nasihat Rasulullah, Abu Jandal kemudian bersedia untuk kembali ke Makkah. Baginda berusaha menghiburkan hatinya dan menyuruhnya agar tetap bersabar atas ujian itu kemudian bersabda: "Dalam waktu terdekat, Allah akan membuka jalan buatmu."

Setelah perjanjian Hudaibiyah selesai, seorang sahabat bernama Abu Basyir radhiallahu 'anhu melarikan diri ke Madinah setelah keislamannya. Kaum kuffar Makkah mengutus dua orang ke Madinah untuk membawanya pulang ke Makkah. Sebagaimana yang telah terkandung dalam perjanjian Hudaibiyah, maka Baginda memulangkan semula Abu Basyir kepada mereka lalu Abu Basyir berkata, "Ya Rasulullah, aku datang setelah menjadi Muslim, dan engkau mengembalikan aku kepada kaum kuffar?". Rasulullah menasihatinya agar bersabar lantas bersabda, "InsyaAllah, sebentar nanti Allah akan membukakan jalan bagimu." Akhirnya Abu Basyir dikembalikan ke Makkah bersama dua orang utusan tersebut.

Di tengah perjalanan, Abu Basyir berkata kepada seorang utusan tersebut, "Hai kawan, pedangmu bagus sekali." Disebabkan pujian tersebut, utusan itu merasa bangga lalu mengeluarkan pedangnya, "Ya. aku sudah membunuh ramai orang dengan pedang ini." sambil menunjukkan pedang tersebut kepada Abu Basyir. Apabila pedang itu berada di tangannya, dia lantas menebas pemilik pedang tersebut. Ketika utusan lain melihat temannya telah terbunuh, dia ketakutan dan berasakan bahawa dirinya juga akan menerima nasib yang sama lalu melarikan diri ke Madinah. Setibanya di hadapan Rasulullah utusan tersebut berkata, "Temanku telah dibunuh dan sekarang dia (Abu Basyir) ingin membunuhku pula."

Ketika itu juga Abu Basyir tiba di hadapan Baginda seraya berkata, "Ya Rasulullah, engkau telah memenuhi janjimu dengan mereka dan aku pun telah dipulangkan, namun aku tidak memiliki janji apa pun yang menjadi tenggungjawabku ke atas mereka. Ku lakukan semua ini kerana mereka berusaha mencabut agama Islam dariku." Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, "Kamu telah menyalakan api peperangan, kalaulah ada yang dapat membantumu.." Atas sabda itu, Abu Basyir dapat memahaminya iaitu jika ada kaum kafir yang mahu membawanya kembali ke Makkah selepas ini, ternyata dia akan dikembalikan. Akhirnya dia memutuskan untuk pergi ke sebuah tempat yang dekat dengan pantai. Berita ini sampai kepada penduduk Makkah termasuk Abu Jandal yang dikembalikan ke Makkah sebelumnya. Beliau kemudian melarikan diri ke tempat Abu Basyir termasuk dengan orang-orang Islam yang lain yang berada di Makkah. Mereka semua bergabung lalu menjadi sebuah kabilah kecil.

Kawasan disitu langsung tidak ada penghuni dan dikelilingi hutan sahaja. Hanya Allah sahaja yang mengetahui keadaan sebenar mereka disana. Namun mereka membuktikan bahawa mereka berjaya menenteng kaum kuffar yang menzalimi umat Islam dan bergabung membentuk suatu kumpulan yang kuat. Mereka berjaya mematahkan serangan dari kaum kafir yang cuba menyerang sehingga kaum kuffar itu berasa ketakutan yang akhirnya membawa kepada kelancaran perjanjian Hudaibiyyah. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam memanggil mereka kembali pulang melalui surat dan ketika surat itu sampai ke tangan Abu Basyir, beliau sedang menderita sakit parah lalu wafat bersama-sama surat Rasulullah di tangannya. (Diriwayatkan dalam Fath al-Bari fi Syarh Sahih Bukhari, Ibn Hajar al-Asqalaini)

Pelajaran

Jika agama yang kuat berada pada diri seseorang dengan syarat agamanya benar, maka kekuatan apa pun yang menghalang tidak akan mampu melepaskan pegangan agama pada dirinya kerana Allah subhanahu wa ta'ala berjanji untuk menolong hamba-hambanya yang benar-benar beriman dan bertakwa.

[Hayatus Sahabah lil Syeikh Maulana Muhammad Zakariyya al-Khandalawi rahimahullah




والله أعلم بالصواب

Jumaat, 9 Disember 2011

10 Sahabat Yang Dijamin ke Syurga



Syurga merupakan suatu destinas terakhir yang diimpikan oleh umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Pelbagai kisah, gambaran dan perumpamaan akan hakikat syurga yang telah 'terbongkar' baik dari Al-Quran mahupun hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Namun begitu, untuk memperolehinya bukanlah semudah mengimpikannya. Ia memerlukan pengorbanan yang tinggi, ketaqwaan yang jitu dan keimanan yang tidak berbelah bagi kepada Allah s.w.t dan Rasulnya. Ini telahpun dibuktikan oleh para sahabat Baginda yang benar-benar menginginkan syurga Allah s.w.t hingga telah dijamin nama mereka sebagai penghuni syurga. Siapakah mereka?. Berikut adalah 10 orang sahabat Rasulullah s.a.w yang telah memdapat jaminan ke syurga.

1. Abu Bakar As-Siddiq
Abu Bakar as-Siddiq r.a adalah salah seorang daripada empat sahabat baginda yang utama. Beliau adalah sahabat paling rapat dengan Rasulullah s.a.w. Setelah kewafatan baginda, beliau merupakan khalifah Islam yang pertama yang dilantik untuk memimpin umat Islam ketika itu. Seorang sahabat yang sentiasa denkat dengan baginda kemana sahaja baginda pergi, Abu Bakar pasti menyertainya. Ini termasuk ketika Nabi dalam perjalanan hijrah dari Makkah ke Madinah, iaitu suatu perjalanan yang sangat merbahaya dan berisiko serta penuh ancaman musuh.

Sejak remaja, Abu Bakar telah bersahabat baik dengan Baginda malah beliau adalah orang yang pertama yang memeluk agama Islam yang dibawa oleh Baginda. Ini kerana beliau mempercayai sepenuhnya Rasulullah s.a.w kerana ketinggian akhlak dan sifat baginda. Ini dibuktikan ketika Baginda menceritakan pengalaman Isra' dan Mikraj nya. Ketika itu ramai sahabat yang kebingungan dan tidak kurang juga yang sangsi serta ragu. Namun begitu Abu Bakar orang pertama yang dengan pantasnya membenarkan peristiwa tersebut. Oleh kerana itulah beliau digelar sebagai as-Siddiq. Beliau dikhabarkan meriwayatkan hampir 142 hadith Rasulullah s.a.wAbu Bakar wafat ketika berusia 63 tahun bersamaan 13 Hijrah. Beliau dikuburkan di Madinah bersebelahan dengan makam Rasulullah s.a.w.

2. Umar bin Khattab
Umar r.a merupakan khalifah yang kedua iaitu selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq. Beliau adalah salah seorang daripada sahabat yang dikasihi oleh Nabi Muhammad s.a.w. Sebelum beliau memeluk Islam, Umar terkenal dengan sifatnya yang suka bergusti, mengganggu kaum Muslimin dan suka minum minuman keras. Seluruh penduduk Makkah takut dengannya. Umar memeluk Islam setelah terdengar bacaan surah Taha yang dibacakan oleh saudara perempuannya. Selepas mengakui keilamannya, beliau sangat tegas dalam membela agama Allah. Beliau merupakan salah satu benteng Islam yang mampu mnyurutkan perlawanan kaum Quraisy dengan Baginda dan para sahabat yang lain.

Ketika beliau diangkat menjadi Khalifah yang ke dua, beliau meluaskan pengaruh dan jajahan Islam dengan begitu luas. Umar juga dapat menakluk kerajaan Parsi dan Rom Timur dalam masa satu tahun sahaja. (636-637H). Beliau merupakan seorang pemimpin yang sangat berserdahana dan mengambil berat akan rakyatnya. Umar wafat pada 23Hijrah akibat dibunuh oleh Abu Lukluk ketika beliau ingin mengimamkan solat. Makamnya berhampiran dengan makam Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a

3. Uthman bin Affan
Beliau merupakan khalifah Islam yang ketiga selepas Abu Bakar dan Umar. Pada waktu kepimpinannya, beliau berjaya mengumpul dan menyusun al-Quran dalam bentuk mushaf. Uthman memeluk Islam hasil daripada ajakan Abu Bakar a.s. Beliau mendapat gelaran Dzun Nur Ain (Pemilik Dua Cahaya) kerana menikahi dua puteri Rasulullah s.a.w iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalsum. Uthman terkenal sebegai seorang saudagar yang kaya serta dermawan. Beliau selalu menafkahkan hartanya ke jalan Allah s.w.t. Ketika berlakunya perang Tabuk, Uthman menyumbangkan lebih 940 ekor unta, kmudian membawa 60 ekor kuda untuk menggenapkannya menjadi 1000 ekor binatang. Uthman wafat pada tahun 35 Hijrah.

4. Ali bin Abi Talib
Beliau dilahirkan di Makkah pada tahun 598M. Beliau merupakan suami kepada Fatimah ini merupakan orang pertama yang memeluk Islam dari kalangan kanak-kanak. Sebahagian riwayat menyebut ketika itu usianya adalah 10 tahun. Ali terkenal sebagai seorang yang berani, ahli siasah perang dan cerdas. Pada peristiwa Hijrah, Ali merelakan diri untuk tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w untuk mengalihkan perhatian tentera Quraisy yang menyangka bahawa Baginda masih berada di dalam rumah. Beliau wafat pada tahun 40H, setelah ditikam oleh Abdurrahman bin Muljam dengan pedang yang beracun setelah beliau solat subuh. Beliau meninggal ketika berumur 63 tahun dan menjawat jawatan sebagai khalifah selama 4 tahun 9 bulan. Makam beliau di Kufah, Iraq.



5.  Thalhah bin Abdullah
Beliau dikenali sebagai salah seorang pembantu kanan Rasulullah s.a.w dari suku Quraisy. Ketika perang Uhud meletus, Talhah dengan berani turut menyertai perang tersebut. Dalam perang itu, beliau mendapat cedera dan luka yang parah. Ini kerana beliau menjadikan tubuhnya sebagai benteng untuk melindungi Baginda daripada panah-panah dari tentera musuh. Disebebkan itu tubuhnya luka manakala jarinya putus. Thalhah wafat pada 36H sewaktu syahid dalam perang Jamal.

6. Zubair bin Awwam
Beliau adalah salah seorang daripada as-sabiqun al-awwalun (golongan yang pertama memeluk Islam). Ketika beliau memeluk Islam, umurnya baru sahaja mencecah 15 tahun. Beliau begitu cintakan Islam. Buktinya, beliau dengan berani membela agama Allah hingga tidak pernah sekalipun tertinggal dalam peperangan. Malah beliau juga sentiasa berada di barisan hadapan dalam peperangan.  Seluruh tubuhnya terdapat bekas-bekas kesan luka dari peperangan yang disertainya. Zubair amat mencintai Rasulullah s.a.w. Ketika berlaku pertelingkahan antara kaum Muslimin, beliau sentiasa mendamaikan mereka tanpa memihak kepada mana-mana pihak. Beliau wafat pada 36H akibat ditikam ketika solat.

7. Sa’ad bin Abi Waqqas
Beliau memeluk Islam sewaktu berusia 17 tahun. Seorang yang mahir menunggang kuda dan memanah. Dikhabarkan bahawa jika Sa’ad memanah, maka ia pasti tepat mengenai sasaran. Oleh kerana itu ia memainkan peranan yang penting dalam peperangan hingga semua peperangan turut disertainya. Keteguhannya terhadap Islam terbukti ketika ibunya mengancam untuk mogok makan dan minum sewaktu di awal keislamannya dengan harapan anaknya itu akan kembali kepada ajaran agama nenek moyangnya. Namun, meskipun sewaktu ibunya hamper menemui ajal, Sa’ad langsng tidak terpengaruh dengan ancaman tersebut. Beliau tidak sedikit pun menjual keyakinannya walaupun dengan nyawa ibunya sendiri. Begitu hebat keteguhan beliau dan kecintaan beliau terhadap Islam melebihi kecintaan terhadap ibunya sendiri. Ketika Umar al-Khattab menjadi khalifah, Sa’ad dilantik sebagai gabenor tentera di Iraq untuk mengatur pemerintahan dan ketenteraan di sana.  Beliau wafat ketika berusia 70 tahun.

8. Said bin Zaid
Beliau adalah antara sahabat yang bertuah kerana memeluk Islam memeluk Islam bersama-sama dengan adik Umar al-Khattab yang juga isteri Said bernama Fathimah binti al-Khattab. Ketika memeluk Islam usianya baru sahaja 20 tahun. Beliau mengabdikan dirinya kepada Islam dengan sepenuh hati. Beliau juga antara sahabat yang turut serta dalam setiap peperangan bersama Rasulullah s.a.w. Beliau turut bersama kaum Muslimin ketika mencabut singgahsana Kisra Parsi. Said pernah menjadi mata-mata kepada kegiatan musuh selepas disuruh oleh baginda. Beliau wafat pada 51H ketika berusia 70 tahun.

9. Abdurrahman bin Auf
Beliau termasuk salah seorang daripada tujuh orang terawal memeluk Islam. Abdurrahman diberi kelebihan oleh Allah dengan memiliki kekayaan dan harta yang melimpah ruah melalui hasil perniagaannya. Kekayaan dan kemewahan sedikit pun tidak membuatkannya lupa diri. Beliau sentiasa menafkahkan hartanya ke jalan Allah s.w.t. Ketika dikhabarkan yang beliau adalah antara sahabat yang dijamin syurga, beliau lebih berkobar-kobar untuk bersedekah dan memberikan hartanya di jalan Allah. Dikharbarkan Abdurrahman menafkahkan 40,000 dirham emas, 40,000 dirham perak, 500 ekor kuda dan 1500 ekor unta untuk keperluan perjuangan menegakkan Islam. Beliau sempat berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali. Wafat pada 32H sewaktu berusia 72 tahun.

10. Abu Ubaidah bin Jarrah
Beliau adalah antara sahabat yang paling dipercayai oleh Rasulullah. Baginda pernah membuat penyataan dan pujian terhadap Abu Ubaidah. “Sesungguhnya setiap umat mempunyai orang kepercayaan, dan sesungguhnya keperayaan umat ini adalah Abu Ubaidah.” Beliau adalah seorang yang jujur lagi amanah. Beliau memeluk Islam melalui perantaraan Abu Bakar as-Siddiq di awal kerasulan Baginda. Abu Ubaidah juga pernah beberapa kali memimpin peperangan. Wafat pada tahun 18H.


Rabu, 30 November 2011

Kisah Nabi Membakar Sarang Semut




السلام عليكم




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa seekor semut telah menggigit seorang Nabi. Kemudian Nabi tersebut telah memerinahkan supaya sarang semut itu dibakar. Lalu terbakarlah sarang semut itu berserta dengan semua semut-semut yang berada di dalam semut dan yang berhampiran dengannya. Selepas kejadian itu, turunlah wahyu Allah kepada Nabi tersebut "Adakah hanya kerana seekor semut yang menggigitmu, lalu engkau binasakan suatu umat yang sentiasa bertasbih kepada Tuhannya?"
(riwayat al-Bukhari, 3219; Muslim,2241; Abu Daud,5265; Ahmad 2/313; al-Nasa'i,7/211; Ibn Hibban 7/463; al-Baghawi,12/197)

Berdasarkan kisah diatas, adalah dilarang membunuh semut begitu juga dengan haiwan yang lainnya tanpa sebab. Perlu kita ingat bahawa seluruh haiwan dan serangga bertasbih kepada Allah s.w.t sentiasa. Kadang kala kita pun tidak mampu menandingi haiwan dalam bertasbih kepada Allah s.w.t. Dalam syariat sebelum Nabi Muhammad, adalah dibenarkan untuk membakar binatang namun selepas Baginda menjadi Nabi dan Rasul, umat Baginda dilarang untuk membakar sarang haiwan atau pun membakar haiwan itu sendiri melainkan dalam keadaan darurat atau dalam keadaan yang mesti dibakar demi mengelakkan bahaya yang lebih besar sebagimana dalam kaedah fiqh yang telah sedia ada. 



والله أعلمُ بالـصـواب

Ahad, 20 November 2011

Kisah Ahli Ibadah Masuk Neraka dan Ahli Maksiat masuk Syurga



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

Pada zaman Bani Israil dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama suka berbuat dosa sementara yang kedua rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah itu melihat temannya berbuat dosa, ia meminta rakannya itu untuk berhenti daripada perbuatan dosanya itu.

Suatu hari, ketika rakannya itu sedang melakukan suatu dosa, ahli ibadah itu berkata "Berhentilah daripada membuat dosa." Rakan nya itu menjawab "Jangan pedulikan aku, terserah Allah untuk menilai perbuatan ku. Adakah engkau diutuskan oleh Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?".


Ahli ibadah itu menjawab"Demi ALLAH, dosamu tidak akan diampuni oleh Nya dan kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah."



Setelah kedua-duanya meninggal dunia, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-duanya dihadapanNya. Allah menyoal lelaki ibadah itu " Adakah kamu lebih mengetahui daripada Ku? atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang telah berada dalam kekuasaan Ku?"



Kemudian kepada ahli maksiat itu Allah s.w.t berkata "Masuklah kamu kedalam syurga berkat rahmat Ku". Sementara kepada ahli ibadah itu "masuklah orang ini kedalam Neraka"



* Hadith riwayat Ahmad 2/323;Abu Daud. 4901;Ibn Mubarak dalam kitab al-Zuhd, 314; Ibn Abi Duniya dalam Husnuzh Zhan,45; al-Baghawi dalam syarh al-Sunnah; 14/385.



Pengajaran.



1. Sentiasalah menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran



2. Setiap individu hendaklah berusaha meninggalkan maksiat dan kemungkaran



3. Jangan berputus asa daripada memohon keampunan kepada allah Yang Maha Penyayang



4. Jangan sewenang-wenangnya menggunakan nama Allah semberono tanpa ilmu



5. Allah s.w.t mengasihi para hambaNya dan Dia memberikan rahmat keampunanNya kepada sesiapa yang diinginiNya.



6. Seseorang itu tidak berhak menentukan kedudukan seseorang manusia lain sama ada masuk syurga atau nereka, kerana hanya Allah s.w.t yang mengetahui dan menetapkannya.

Wallahua'lam



Jumaat, 22 Julai 2011

10 Sifat Tauladan Dari Anjing



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat semua. Segala syukur dan puji-pujian kepada Allah tuhan semesta alam. Tuhan yang berhak disembah, dipuji dan dicintai. Kami berlindung kepada Allah dari segala macam kejahatan dan tipu daya syaitan. Dari segala dosa dan noda yang telah kami lakukan. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah semata-mata dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhamad adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya barang siapa yang diberikan oleh Allah petunjuk, maka tiada siapa yang dapat menyesatkannya dan barang siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada siapa yang dapat memberikannya petunjuk.

Entri kali ini saya ingin kongsikan kepada semua perihal kisah mulia yang boleh kita contohi dari seekor anjing. Kita sering merasakan anjing adalah haiwan yang kotor kerana telah tersebut akan hakikat najisnya ia dalam syara'. Namun begitu terdapat sifat mulia yang ada pada anjing yang ramai daripada kita tidak tahu. Sesudah anda membaca entri ini, mungkin anda boleh berfikir dan mengambil ibrah (pengajaran) daripadanya. Mungkin juga sifat pada anjing ini lebih baik dari kita sebagai seorang Muslim. ! Anda tidak akan mempercayainya sehingga anda membaca nukilan ini. Sungguh wahai saudaraku, tidaklah Allah menciptakan sesuatu makhluk melainkan tiada suatu pun yang sia-sia dan ia menjadi pelajaran buat mereka yang berfikir.


Kisah ini diceritakan dari Hassan Al-Basri r.a mengatakan bahwa pada anjing ada sifat mulia yang perlu diteladani oleh setiap orang mukmin.

Pertama : Anjing itu sentiasa lapar,dia jarang makan sampai kenyang. Sifat ini adalah sifat orang-orang soleh dimana mereka tidak berada dalam keadaan terlalu kenyang. Malah sering pula berpuasa.

Kedua :Anjing tidak mempunyai tempat yang tetap.Dia selalu berpindah randah mengikut keperluannya. Sifat ini adalah sifat orang-orang yang bertawakkal kepada Allah. Sering berhijrah ke tempat atau arah yang lebih baik baginya dan Rabbnya.

Ketiga :Anjing tidak tidur pada waktu malam,melainkan sedikit sahaja.Dia selalu berjaga-jaga. Sifat ini sama seperti sifat orang-orang yang cintakan Allah, sentiasa renggang punggungnya dari tempat tidur kerana bermunajat kepada Allah. Di saat orang dibuai mimpi indah, dia bangun bersengkakng mata bermunajat dan mencari redha Khaliq.

Keempat : Jika anjing mati,dia tiada barang yang diwariskan dan tidak ada pula yang mewaris. Sifat ini adalah sifat hamba-hamba Allah yang zuhud. Tidak terikat dengan kesenangan dunia. Apa yang ada digukan dengan sederhana. Tidak pernah tergila-gilakan mencari harta dunia seperti kita semua.

Kelima :Anjing tidak suka meninggalkan tuannya, tidak merajuk atau melarikan dirinya daripada tuannya sekalipun dipukul dan dimarah. Sifat inilah tanda-tanda yang dimiliki oleh para murid yang siddiqin yang sedang belajar dengan Gurunya. idak marah dan tidak merajuk walaupun dia diuji dengan berbagai-bagai ujian. Sabar itu menjadi tunjang atau tulang belakang dirinya.

Keenam :Dia lebih redha dan lebih suka bertempat di tanah,tidur di tanah atau tempat-tempat yang lebih rendah daripada tempat manusia. Ini adalah tanda-tanda orang yang tawadu’, orang-orang yang suka merendah diri dan tidak menyombong. Tidak berharap kepada kemewahan semata-mata, tidak pula mencela dengan kemiskinan dan kesusahan.

Ketujuh :Jika tempatnya diambil alih oleh orang lain atau ditempati oleh benda lain, dia pindah ke tempat lain tanpa merasa marah atau berdendam. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang redha akan bahagiannya.

Kelapan :Jika ia dipukul,dihalau atau dibaling dengan benda-benda yang menyakitkan,dia menerimanya.Tidak ada perasaan dendam kesumat terhadap perkara-perkara yang lepas. Inilah tanda-tanda hamba Allah yang kusyuk.

Kesembilan :Jika anjing melihat orang makan,dia melihat saja dari jauh, tidak meminta-minta atau menganggu.Jika diberi makan atau tidak diberi,dia diam sahaja. Inilah sifat orang miskin yang redha akan pemberian Allah s.w.t. Bersyukur apa yang dikurniakan Allah kepadanya.

Kesepuluh :Jika dia berjalan atau pergi dari tempat asalnya, tidak menoleh-noleh ke belakang. Inilah tanda-tanda orang yang susah. Tidak terikat dengan kesenangan, dan tidak pula memandang tinggi pada kesenangan duniawi.


Bagaimana dengan kita 
semua wahai saudaraku?
Fitrahnya kita adalah khalifah ..
di muka bumi Allah
Namun adakah sifat mulia 
pada makhluk Allah
bernama Anjing ini
dimiliki oleh kita???
fikirlah sejenak, dan ambil lah pelajaran
buat orang-orang yang berfikir..



- Amal Dengan Ilmu -

WADi

Khamis, 21 Julai 2011

Menangislah Wahai Saudaraku



Menangislah Wahai Saudaraku…


Tangisan adalah suatu fitrah bagi setiap makhluk bergelar manusia. Sejak dari awal kelahirannya, hinggalah ke akhir hayat setiap manusia, pasti tangisan akan menghiasi kamar hidupnya. Banyak punca yang menyebabkan air mata berlinangan namun berapa ramaikah dari kita yang tangisnya adalah kerana takutnya ia akan Allah s.w.t?. Berapa ramaikah dari kita yang menangis akibat menghitung setiap inci dosa dan noda yang telah kita lakukan?.

Wahai saudaraku, ketahuilah olehmu bahawa tangisan yang jatuh ke bumi kerana takutkan Allah membawa makna bahawa kita termasuk dalam golongan orang yang beriman kepada Allah sebagaimana firman Allah s.w.t

Dan takutlah kepadaKu, jika kamu benar-benar orang yang beriman (Surah Al-Imran : 175)

Wahai saudaraku yang kukasihi, menangis kerana Allah akan mengangkat martabat diri hingga termasuk dalam golongan penghuni syurga Allah yang penuh dengan segala kenikmatan yang tiada tolok bandingnya. Bahkan darjat juga akan ditinggikan oleh Allah selaras dengan janjiNya yang berbunyi

Dan bagi orang yang takut akan saat menghadap Tuhannya ada dua syurga (Surah Ar-Rahman : 46)

Seorang khalifah yang agung dimuka bumi Allah ini tidak pernah asing dengan tangis dan hiba saat meratapi akan segala dosanya kepada Al-Ghafur. Lihat sahaja mereka yang dekat dengan Tuhan sekalian alam seperti kekasih Allah, Rasulullah s.a.w, para sahabat r.a, para tabi’in dan tabi’tabi’in , semuanya bercucuran air mata kerana takutnya mereka kepada Allah.

Rasulullah s.a.w sendiri menangis kerana takutkan Allah. Seorang Nabi dan kekasih Allah yang dijanjikan syurga dan maksum. Pernah suatu ketika sedang Rasulullah s.a.w duduk bersama-sama dengan para sahabat, tiba-tiba baginda menoleh pandangannya kearah sekumpulan manusia seraya bersabda “ Apakah yang sedang mereka lakukan?”.

Salah seorang dari sahabat menjawab, “Mereka sedang menggali kubur untuk mengebumikan seorang yang telah meninggal dunia.” Sebaik mendengar jawapan itu, Baginda berganjak dari tempat duduknya dan berjalan pantas mendahului para sahabatnya. Akhirnya baginda tiba di tanah perkuburan itu dan mencangkung berhampiran kubur tersebut. Para sahabat mengambil tempat dihadapan Baginda Rasulullah agar dapat melihat apa yang akan dilakukan oleh Baginda. Mereka melihat Rasulullah s.a.w menangis sehingga air mata menitis ke pipinya kemudian berkata kepada sahabat, “Wahai saudara-saudaraku, kalian harus mempersiapkan diri untuk menghadapi peristiwa seperti hari ini (kematian).”Bagitulah ketakutan Kekasih Allah yang mulia. Bagaimanakah dengan kita sebagai umatnya?.  

Menangis kerana takutkan Allah akan menyelamatkan kita dari seksaan dan azab Allah yang pedih, menempatkan kita didalam syurgaNya dan menikmati segala kenikmatan yang tidak dapat dibayang oleh akal fikiran.

Ubay bin Ka’ab berkata, “kalian harus memegang ajaran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Bukan termasuk orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringat seksaan Allah, namun dia tidak menitiskan air mata kerana takut kepada seksaNya. Maka orang seperti ini akan bersama-sama api neraka untuk selama-lamanya”. Orang yang memegang ajaran dan sunnah Nabi ketika teringatkan Allah, maka pasti akan ketakutan dan bergetar jantungnya kerana takut pada siksaan Al-Muntaqim. Dosa-dosa orang seperti ini akan berguguran seperti mana gugurnya daun-daun dari pohon yang ditiup angin.

Hisaplah diri kita sejenak, bermuhasabahlah dan berfikirlah perihal kehidupan di negeri yang kekal abadi. Adakah kita pernah menangisi dosa-dosa kita?. Bilakah kali terakhir pipi dibasahkan dengan linangan air mata keinsafan?. Hanya Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Melihat segala sesuatu perbuatan. Moga dikurniakan Allah dengan perasaan ketakutan terhadap dosa.


Menangislah, Wahai Saudaraku…

Khamis, 16 Jun 2011

Kisah Pembunuhan Pertama Manusia


Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca WADi sekalian. Entri kali ini saya ingin berkongsi sebuah kisah tauladan yang penuh makna dan ibrah yang tersembunyi. Tambahan pula sudah lama siri kisah tauladan dibiarkan sepi. Jadi selain dengan bacaan ilmiah dan agama, mari sama-sama rehatkan minda di WADi dengan membaca kisah tauladan kali ini yang bertajuk Kisah Pembunuhan Pertama Manusia. Pada yang sudah mengetahui anggap lah anda sedang refresh semula dan kepada yang belum tahu, mari sama-sama kita hayati dan kongsikan bersama. 

Dikisahkan tatkala keempat-empat anak Nabi Adam a.s. telah memasuki alam remaja, maka Nabi Adam a.s. berfikir cara yang harus dilakukan demi untuk kebaikan anak-anaknya dan juga supaya terhindar dari perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t.. Anak-anak Nabi Adam a.s. terdiri dari dua orang lelaki dan dua orang perempuan.Untuk menyelesaikan masalah ini Allah s.w.t. telah mengilhamkan kepada Nabi Adam a.s. supaya kedua puteranya itu dikahwinkan dengan kedua puterinya.

Setelah mendapat ilham dari Allah s.w.t. maka Nabi Adam a.s. pun memutuskan bahawa anaknya yang lelaki bernama Qabil dikahwinkan dengan Lubuda, yakni adik Habil (Anak-anak Nabi Adam ini dilahirkan berkembar, Habil dan Lubuda sepasang kembar,Semantara Qabil dan Iqlima, yakni adik Qabil.Setelah keputusan dibuat Qabil dengan tegas menentang keputusan ayahnya atas alasan bahawa Lubuda tidak cantik sementara adiknya Iqlima lebih cantik dan Qabil berpendapat ia hendaklah dikahwinkan dengan Iqlima.


Oleh kerana Qabil tetap dengan pendirian tegasnya untuk berkahwin dengan Iqlima, maka nabi Adam a.s. tidak mahu perpecahan keluarga berlaku maka Nabi Adam a.s. pun menyerahkan masalah itu kepada Allah s/w.t memutuskan bahawa Habil dan Qabil hendaklah menyerahkan Qurban kepada Allah s.w.t.



Apabila Nabi Adam a.s menyampaikan apa yang Allah s.w.t. mengilhamkan kepadanya, maka kedua-duanya pun bersetuju untuk melakukan seperti apa yang diberitahu oleh ayah mereka,(Habil mempunyai ternakan yang banyak atas usahanya, sementara Qabil pula mempunyai hasil yang banyak atas usahanya).habil telah keluar memilih kambing yang paling baik untuk dijadikan qurban, sementara Qabil pula memilih gandum yang paling buruk lalu mengisikan kedalam sebuah karung.


Apabila kedua mereka membawa hasil masing-masing untuk dijadikan qurban maka nabi Adam a.s. pun memerintahkan kedua-duanya meletakan qurban masing-masing diatas sebuah bukit. Setelah diletakan diatas sebuah bukit, maka Nabi Adam a.s. berserta keluarganya melihat dari jauh akan hal yang akan berlaku terhadap qurban anak-anaknyaitu. Tidak berapa lama kemudian, turunlah api dari langit menyambar kambing Habil hingga musnah kesemuanya sementara qurban dari Qabil tidak sedikitpun disentuh oleh api tersebut.


Apibila Nabi Adam a.s. melihat akan hal tersebut maka ketahuilah oleh Nabi Adam a.s. bahawa Habil telah menang dalam hal ini, dengan itu musnahlah harapan Qabil untuk mendapatkan Iqlima.Akhirnya Qabil membuat keputusan untuk membalas dendam pada Habil dengan niat hendak membunuhnya.


Tatakala Nabi Adam a.s. hendak berjalan jauh, beliau menyerahkan segala tanggungjawab kepada Qabil dengan pesanan supaya ia menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama sepeninggalannya dan jangan sampai merosakan hubungan keluarga yang begitu rapat dan kukuh.Tidak berapa laama setelah Nabi Adam meninggalkan keluarganya, Qabil menggunakan peluang untuk memenuhi hajatnya untuk pergi ke tempat penternakan Habil sambil berkata:" Kamu tahu tak mengapa aku datang ke mari, aku datang ke mari untuk menamatkan riwayatmu di muka bumi ini." Apabila Habil mendengar kata-kata saudaranya itu, ia pun berkata:" Kenapa kamu hendak membunuh aku? apa salah aku? lalu Qabil berkata:"Aku hendak membunuh mu kerana qurban mu diterima Allah s.w.t. sedangkan qurban aku ditolak, maka ini sudah tentu kamu akan berkahwin dengan adik aku Iqlima dan aku pula dikahwinkan dengan adikmu Lubuda yang hodoh."


Kemudian Habil berkata:" Apakah aku berdosa disebabkan Allah menerima qurban aku dan menolak qurban mu?, bukankah kamu telah menyetujui usul yang dibentangkan oleh ayah kita itu? Dengarlah saudaraku, jangan kanu terburu-buru nenurut ajakan nafsu syaitan,sabar dan tenangkan fikiran mu.Ketahuilah Allah s.w.t hanya menerima qurban dari orang-orang yang ikhlas dan bertakwa kepadanya, kemungkinan qurbanmu ditolak kerana kamu memilih gandum yang paling buruk dan kamu berikan dengan cara terpaksa yang mana bertentangan dengan hatimu, sehingga qurban mu ditolak.Tentang qurban yang aku berikan, aku pilih dari kambing yang paling sihat dan yang sangat ku sayang, lalu aku serahkan qurban itu dengan penuh ikhlas berserta dengan doa supaya Allah s.w.t. menerimanya"


Habil berkata lagi:" Wahai saudaraku, kamu fikirkan lah baik kata-kataku ini dan buangkan lah bisikan Iblis kepada mu, musuh yang telah menurunkan ayah dan ibu kita dari syurga.Dan ingatlah jika kamu tetap berkeras untuk membunuh aku, aku tidak akan sekali-kali menentang mu dengan tangan ku, kerana aku sangat takut kepada Allah s.w.t. Aku berserah diri kepadanya dan kepada apa yang ditakdirkan bagiku." Oleh kerana Qabil tetap dengan dendamnya itu,maka segala kata-kata yang diucapkan oleh Habil tidak sedikitpun dapat melembutkan hatinya.Akhirnya Qabil membunuh habil dengan batu seperti yang ditunjukan oleh iblis dalam mimpinya sebelum ini.


Apabila Qabil telah membunuh Habil maka ia tidak tahu apa yang harus dibuat terhadap mayat tersebut, ia meletakan mayat Habil dalam peti lalu membawa ke sana kemari sehingga busuk, dan burung-burung pula berterbangan diatas hendak memakan tubuh Habil.Oleh itu Allah s.w.t. memberikan contoh dengan mengirim dua ekor burung gagak yang sedang berkelahi,dalam perkelahian itu mati salah seekor darinya dan yang seekor lagi mengali tanah dengan paruhnya sehingga dalam dan memasukan burung yang telah mati dan menimbusnya kembali.Setelah melihat hal yang demikan Qabil pun mengali tanah sehingga dalam kemudian ia memasukkan mayat \habil dan menimbusnya.


Setelah Nabi adam a.s kembali dari perjalanan jauhnya, ia dapati ada sesuatu kekurangan pada keluarganya, lalu ia bertanya kepada Qabil:" Di manakah Habil, aku tidak melihatnya?" Lalu berkata Qabil dengan suara yang agak lantang:" Entah, aku tidak tahu di mana dia, aku bukan orang suruhannya yang harus mengikuti kemana saja dia pergi" Dengan kata-kata itu tahulah Nabi Adam bahawa ada sesuatu yang terjadi pada Habil, anaknya yang salih dan yang berbakti kepada kedua orang tuanya.


Akhirnya Nabi Adam a.s. dapat mengetahui bahawa anaknya itu dibunuh oleh Qabil, maka Nabi adam pun memohon kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan kesabaran dan keteguhan iman baginya dan beristigfar bagi puteranya Qabil.


Suatu kisah yang mempunyai makna yang mendalam yang harus kita mengambil iktibar atas peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam seharah ini yang mana mungkin akan menimpa diri kita.Oleh yang demikian kepada Allah swt kita mohon pertolongan supaya kita dijauhi dari hal-hal yang membawa kepada kemusnahan. Sekian sahaja kisah ini, mungkin anda pernah baca yang lebih lengkap, saya sekadar berkongsi. 


Dah siap baca kan? 
Jom sama-sama bincangkan pengajaran
dari kisah ini
di ruangan komen
insyaAllah




WADi

Rabu, 11 Mei 2011

Islam VS Sains dan Atheist- bukti kehebatan Islam

Entri ini ada kisah menarik dari seorang sahabat di BADAR.. insyaAllah, semoga kita dapat sama-sama ambil iktibar dan pengajaran, mungkin pernah berlaku dalam hidup kita atau mungkin juga bakal berlaku kelak. Selamat membaca...





Seorang atheist yang juga professor falsafah bercerita dalam kuliahnya mengenai masalah yang dihadapi oleh sains berkenaan dengan Tuhan. Dia meminta seorang pelajarnya bangun dan beliau bertanya…

Prof: Kamu percayakan Tuhan?

Pelajar: Sudah semestinya professor.

Prof: Adakah Tuhan itu baik?

Pelajar: Ya

Prof: Adakah Tuhan itu amat berkuasa?

Pelajar: Ya

Prof: Saudara saya meninggal kerana kanser walaupun dia berdoa kepada Tuhan agar dia boleh sembuh. Kebanyakan kita akan cuba membantu mereka yang sedang sakit tetapi Tuhan tidak. Jadi macamana Tuhan itu baik? Hmmm?

(Pelajar berdiam diri)

Prof: Kamu tidak boleh menjawabnya ya? Mari kita teruskan lagi anak muda. Adakah Tuhan baik?

Pelajar: Ya.

Prof: Adakah syaitan baik?

Pelajar: Tidak.

Prof: Siapa yang mencipta syaitan?

Pelajar: Tuhan.

Prof: Tepat sekali, beritahu saya anak muda, wujudkah kejahatan didunia ini?

Pelajar: Ya.

Prof: Kejahatan ada dimana-mana bukan? Dan Tuhan mencipta semuanya, betul?

Pelajar: Ya.

Prof: Jadi siapa yang mencipta kejahatan?

(Pelajar tidak menjawab)

Prof: Bukankah terdapat penyakit? Keruntuhan moral? Kebencian? Keburukan? Semua perkara yang dasyat ini wujud didunia ini bukan?

Pelajar: Ya professor.

Prof: Siapa yang menciptanya?

(Pelajar tiada jawapan untuknya)

Prof: Science menyatakan yang kamu ada 5 deria untuk mengenalpasti dan melihat dunia disekeliling kamu, beritahu saya anak muda, pernahkah kamu melihat Tuhan?

Student: Tidak pernah professor.

Prof: Sila beritahu jika kamu pernah mendengar akan Tuhan itu?

Pelajar: Tidak pernah professor.

Prof: Pernahkah kamu perasankan akan Tuhan itu? rasaiNya, menghiduNya? Adakah pada kamu itu apa-apa deria yang boleh membuat kamu kenal akan Tuhan itu?

Pelajar: Tiada professor, saya tidak pernah mengalaminya.

Prof: Dan kamu masih percayakan Tuhan itu?

Pelajar: Ya professor.

Prof: Berdasarkan kepada pemerhatian, pada kajian, pada suatu yang boleh didemonstrasikan, sains menyatakan yang Tuhan itu tidak wujud. Apa pendapat kamu mengenainya?

Pelajar: Saya tidak boleh berkata apa2 professor, saya hanya ada kepercayaan dan keimanan kepada Tuhan itu sendiri.

Prof: Ya.. percaya.. iman, itulah dia masalah yang dihadapi oleh sains.


(Pelajar termenung dan berfikir lantas bersuara..)


Pelajar: Professor, wujudkan apa yang dipanggil panas?

Prof: Ya.

Pelajar: Dan juga apa yang dipanggil sejuk?

Prof: Ya.

Pelajar: Tidak professor, tidak ada sebenarnya apa yang di panggil sejuk itu.

(Semua didalam dewan kuliah terdiam)

Pelajar: Professor, kita boleh ada banyak haba kepanasan, panas yang teramat sangat, yang sedikit atau pun tiada kepanasan. Sebenarnya kita tiada apa yang dipanggil sejuk. Kita boleh mencapai 458 darjah dibawah takat beku tetapi kita tidak boleh pergi rendah daripada itu. Sebenarnya tiada apa yang dipanggil sejuk. Kepanasan itu adalah tenaga, sejuk bukanlah lawan kepada panas, hanya ketiadaan panas itu sendiri.

(Dewan kuliah menjadi sunyi sepi)

Pelajar: Bagaimana pula dengan kegelapan? Adakah wujud apa yang dipanggil gelap itu?

Professor: Apalah malam jika tiada kegelapan?

Pelajar: Sekali lagi professor silap. Kegelapan hanyalah ketiadaan sesuatu. Kita boleh ada cahaya yang malap, cahaya normal, cahaya terang, cahaya berkilau… tetapi jika kita tiada cahaya, itu yang dipanggil kegelapan. Realitinya "gelap" itu tidak wujud. Kita tidak boleh membuatkan gelap itu menjadi semakin bertambah gelap bukan?

Prof: Jadi apa sebenar yang kamu ingin sampaikan disini?

Pelajar: Apa yang saya ingin nyatakan adalah, falsafah professor itu salah.

Prof: Salah? Bolehkah kamu jelaskannya?

Pelajar: Profesor membuat perhitungan menggunakan konsep yang berlawan, antara hidup dan mati, Tuhan yang baik dan tidak. Professor melihat konsep ketuhanan itu pada suatu yang nyata, sesuatu yang boleh kita ukur. Professor, sains masih tidak boleh menjelaskan dari mana datangya "ruh atau nyawa" dan apakah "minda" atau "fikiran" itu sendiri. Sains menggunakan elektrik dan magnetism tetapi ianya suatu yang tidak kelihatan dan nyata, malah kita masih tidak memahaminya secara keseluruhan. Untuk melihat mati itu sebagai lawan kepada kepada hidup adalah sesuatu yang tidak tepat kerana sebenarnya mati tidak wujud sebagai suatu bentuk yang nyata. Mati itu bukan lawan kepada hidup, mati hanyalah ketiadaan apa yang memberi kehidupan itu sendiri iaitu nyawa.

Sekarang beritahu saya professor, adakah kamu mengajar bahawa manusia asalnya dari monyet?

Prof: Jika kamu rujuk kepada proses evolusi semulajadi, ya.

Pelajar: Pernahkah professor melihat evolusi itu sendiri?

(Professor menggeleng kepala dan tersenyum kerana mula merasakan perbincangan ini semakin hebat)

Pelajar: Disebabkan tiada siapa pernah melihat proses evolusi itu sendiri sedang berjalan dan tidak boleh membuktikan yang ianya adalah suatu proses yang berlaku secara berterusan, adakah professor mengajar pendapat professor sahaja? Adakah professor saintis atau penceramah?

(Dewan kuliah menjadi gempar)

Pelajar: Ada tak sesiapa didalam dewan ini pernah melihat otak professor?

(Pelajar lain tertawa)

Pelajar: Ada tak sesiapa yang perasan akan otak professor itu? Rasainya, menghidunya? Saya pasti tiada siapa yang pernah berbuat demikian… jadi berdasarkan kepada pemerhatian, pada kajian, pada suatu yang boleh didemonstrasikan, sains menyatakan yang otak professor tidak wujud. Maaf saya katakan, bagaimana kami semua boleh percayakan kuliah2 professor selama ini?

(Seluruh dewan menjadi senyap.. Professor merenung lama kepada pelajar tersebut)

Prof: Saya rasa kamu semua hanya perlu percayakan kepadanya.

Pelajar: Itulah dia professor, hubungan antara manusia dan Tuhan adalah kepercayaan dan keimanannya dan itulah yang membuatkan kita dan seluruh alam ini hidup dan berfungsi sepertinya.



* Cerita ini saya dapat dari rakan dan ianya didalam bahasa English, saya terjemahkan sebaik mungkin untuk bacaan dan renungan rakan2. Dari email tersebut ia menyatakan ini adalah cerita benar dan pelajar tersebut adalah Muhammad Ali Jinnah, bapa Pakistan.
via kopaste

anda bebas untuk berkongsi kepada sesiapa sahaja. Tiada halangan dari pemilik blog kerana ilmu itu milik Allah dan bukan pula milik pemilik blog ini. Juz klik the share button via fb or else,insyaAllah sahabat. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik