Cari Entri WADi

Isnin, 18 Jun 2012

Adab-Adab Penuntut Ilmu أدب طلب العلم (Siri 1)




السلام عليكم




Mukaddimah


Ilmu merupakan suatu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi kepentingannya. Ilmu bagaikan cahaya yang menyinari pemiliknya. Ia mengangkat darjat dan martabat pemiliknya yang ikhlas dalam mencari, memiliki dan ikhlas kepadanya. Islam sendiri mengakui peri pentingnya peranan ilmu dalam kehidupan ummah di dunia ini. Ilmu yang benar adalah sesuatu yang mulia bahkan ia turut memuliakan orang yang memegangnya. Maka beruntunglah orang-orang yang berilmu.

Dalam mencari dan menguasai lautan khazanah ilmu Ilahi, maka seorang penuntut ilmu hendaklah mengetahui lalu mengamalkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Ia merupakan suatu kewajiban sejak dari dahulu lagi. Dari zaman para sahabat, tabiin, tabiit tabiin, para salafussoleh serta orang yang mengikut jejak langkah mereka sehingga kini. Hari ini adab-adab semakin kurang diberi perhatian, apatah lagi diamalkan. Para pelajar dan pengajar saling tidak mementingkan adab-adab dalam majlis ilmu. Ia bukanlah sesuatu yang bersifat menyeluruh kerana disebalik itu masih ada mereka yang mementingkan adab-adab dan cuba sedaya upaya mengamalkannya meskipun sukar dan tidak sempurna. Namun usaha ini haruslah dipuji dan dijadikan tauladan buat semua.

Jika ilmu merupakan ibadah dalam hati dan sanubari, maka kuncinya seorang tolibul ‘ilm (penuntut ilmu) haruslah menguasai adab-adab kemudian berusaha sedaya mungkin untuk mengamalkannya dalam halakah ilmu yang disertainya. Jika tidak, ilmu itu akan menjauhi para penuntutnya seperti timur yang jauh dari barat sebagaimana yang disebut dalam sebuah syair:

Ia berjalan menuju timur,
Sedangkan aku berjalan menuju barat,
Semakin jauh jarak antara yang menuju ke timur dan ke barat.


Ilmu bukanlah sesuatu yang biasa dan remeh-temeh. Bagi mereka yang diberikan kesedaran, pasti akan mengagungkan ilmu-ilmu yang ada dimuka bumi ini. Apatah lagi ilmu yang berkaitan dengan agama yang memandu kehidupannya di dunia ini untuk dibawa menuju ke negeri yang kekal abadi bernama akhirat. Ilmu merupakan pengetahuan yang memberikan bayan (penjelasan) dan maklumat kepada pemiliknya. Sedangkan tujuan penjelasan dan maklumat itu adalah untuk mentauhidkan Allah serta beribadah kepadaNya dengan penuh ketaatan dan keyakinan.

Barangsiapa yang menyibukkan diri dalam menuntut, mengembangkan, serta menyebarkan ilmu sama ada pelajar mahupun pengajar, maka hendaklah ia mengikuti prinsip-prinsip tauhid dan ibadah yang telah ditekankan oleh syarak secara menyeluruh tanpa mengetepikannya apatah lagi merendah-rendahkan keutamaannya. Disebabkan itu, adab-adab dalam menuntut ilmu ini kekal dan tidak boleh ditinggalkan oleh penuntut ilmu buat selama-lamanya. Ia merupakan asas sebelum menuntut ilmu dan menjadi asas bagi sekalian ilmu.


Ikhlaskan Diri Kerana Allah subhanahu wa ta’ala


Ikhlas merupakan elemen terpenting dalam melakukan segala sesuatu pekerjaan. Bahkan ia juga amalan hati yang utama sebelum sesuatu perkara itu dilakukan. Ikhlas dan niat merupakan dua elemen yang tidak dapat dipisahkan. Melalui niat, seseorang itu akan dinilai perbuatannya oleh Allah azzawa jalla sama ada ikhlas kerananya atau tidak. Disitulah pucuk pangkal segala perbuatan, sama ada baik atau buruknya, ikhlas atau riak, dan seumpamanya.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرئ ما نوى. فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله. ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه.

Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi seseorang ialah apa yang ia niatkan. Barangsiapa hijrahnya kerana Allah dan rasulNya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia atau wanita yang hendak dinikahinya, maka hijrahnya kepada apa yang ia niatkan. (Hadis Sahih,Muttafaq’alaihi)


Berkata Al-Ghazali rahimahullah :

“Ketahuilah bahawa niat, keinginan dan tujuan adalah ungkapan yang muncul dari satu makna, iaitu keadaan dan kecenderungan hati yang dipengaruhi oleh dua perkara iaitu ilmu dan amalan.”

Ilmu itu mendahului amalan kerana ia merupakan asas dan syarat dalam melakukan sesuatu amalan. Sebaliknya amal itu mengikut ilmu kerana amalan adalah buah atau hasil daripada ilmu tersebut. Segala sesuatu pasti tidak akan sempurna melainkan atas tiga perkara ini iaitu ilmu, iradah (keinginan) dan qudrah (kemampuan). Jika salah satu daripadanya tiada, maka cacatlah perbuatan yang ingin dikerjakan. Oleh itu, penggerak utama ialah niat yang juga disebut tujuan sekaligus pendorong dalam melakukan sesuatu perkara. [Tahzib Ihya’ Ulumuddin]

Di dalam syariat Islam, telah dijelaskan bahawa Allah subhanahu wa ta’ala tidak menerima sesebuah amalan itu melainkan dengan niat yang ikhlas keranaNya. Hal ini bersifat menyeluruh termasuklah dalam menuntut ilmu. Kerana ilmu yang benar itu akan hadir pada hati-hati insane yang ikhlas menggapai keredhaanNya seterusnya mengharapkan manfaat yang baik dari ilmu yang dipelajarinya. Apabila niat penuntut ilmu itu ikhlas, maka ia akan mendekatkan diri dengan Allah subhanahu wa ta’ala dan sekiranya ia bukan keranaNya, maka Allah akan menghapuskan atau mengurangkan nilai-nilai di dalam ilmu tersebut sehingga ia lenyap dari hati penuntutnya. [Tazkiratul As-Sami’ wa Al-Mutakallim]

Berkata Abu Yusuf rahimahullah :

“Tunjukkanlah ilmumu kepada keredhaan Allah subhanahu wa ta’ala. Sesungguhnya aku tidak pernah menghadiri suatu majlis ilmu sehinggalah aku berniat untuk bertawadduk (rendah diri) dan memuliakan mereka. Dan aku juga tidak pernah mendatangi majlis yang disana aku berniat untuk memuliakan mereka kecuali aku akan tetap tinggal hingga aibku terbuka.”

Dari Ibnu Umar radhiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa yang menuntut ilmu untuk berdebat dengan ulama’ dan bermegah dengan orang-orang jahil atau pun untuk memalingkan wajah manusia kepada dirinya (mendapat perhatian manusia), maka ia di neraka.” (Riwayat Ibnu Majah, dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Sahih al-Tarhib wa al-Targhib)




والله أعلمُ بالـصـواب

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik