السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Persoalan berkaitan iman merupakan perkara yang penting dan usul (asas/ pokok) yang penting dalam agama Islam. Ia adalah antara bahagian daripada aspek tauhid dan saling berkait rapat dengan ibadah dan juga akhlak. Apakah iman dan bagaimanakah sifat-sifatnya?. Ia merupakan dua isu yang berbeza yang akan dibentangkan dalam penulisan kali ini.
Pengertian Iman Di Sisi Ahlu Sunnah Wa al-Jamaah
Iman menurut Ahlu Sunnah Wa al-Jamaah ialah ketetapan yang ada di dalam hati, pengakuan dan ucapan dengan lidah, dan amalan dengan anggota tubuh badan. Disini terdapat tiga pecahan penting yang saling berkait rapat iaitu:
- Ketetapan di dalam hati
- Pengakuan dan ucapan dengan lidah
- Amalan dengan anggota tubuh badan.
Tiga unsur ini merupakan bahagian-bahagian keimanan seseorang Muslim. Umat Islam yang sempurna imannya bukan sahaja meyakini akan kewujudan dan kekuasaan Allah subhanahu wa ta'ala, bahkan dia turut mengakuinya dengan ucapan lidah melalui kalimah syahadah kemudian beramal dengan amalan-amalan yang telah difardhukan (diwajibkan) serta amalan sunat sebagai penambah baikan. Tidak sempurna iman seseorang Muslim andai hanya membenar dan mengucapkan syahadah semata-mata namun tidak beramal sesuai dengan apa yang telah dituntut keatasnya.
Sifat Iman Bertambah dan Berkurang
Iman merupakan sesuatu yang bersifat ghaib dan tidak boleh diukur semata-mata dengan perbuatan luaran manusia semata-mata. Ahlu Sunnah wa al-Jamaah menetapkan dan mayakini bahawa iman itu boleh bertambah dan berkurang. Ini kerana kemantapan hati seseorang itu bertingkat-tingkat dan tidak sama setiap masa dan keadaan. Sebagai contoh, kemantapan hati terhadap sesuatu berita atau khabar semata-mata kadang-kala tidak sama dengan kenyataan yang belaku di depan mata atau secara langsung pada diri sendiri. Contoh yang lain pula seperti keyakinan hati terhadap sesuatu berita yang dikhabarkan oleh satu orang tidak sama dengan berita yang dikhabarkan oleh sepuluh orang, dan sebagainya.
Maka daripada itu, Nabi Ibrahim 'alaihissalam pernah berkata:
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ
رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِي الْمَوْتَىٰ ۖ
قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَٰكِن
لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي ۖ قَالَ فَخُذْ أَرْبَعَةً
مِّنَ الطَّيْرِ فَصُرْهُنَّ إِلَيْكَ ثُمَّ اجْعَلْ عَلَىٰ كُلِّ جَبَلٍ مِّنْهُنَّ
جُزْءًا ثُمَّ ادْعُهُنَّ يَأْتِينَكَ سَعْيًا ۚ
وَاعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?" Allah berfirman: "Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanku)?" Nabi Ibrahim menjawab: "Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya)". Allah berfirman: "(Jika demikian), ambilah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera". Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." [Al-Baqarah 2:260]
Keimanan akan bertambah bergantung kepada ketetapan dan keyakinan hati, ketenangan dan kesediannya. Manusia akan menemukan kesemua itu di dalam dirinya sendiri. Ketika seseorang itu hadir ke majlis ilmu yang di dalamnya terkandung pengisian seperti nasihat-nasihat, penjelasan tentang syurga dan neraka, hari Qiamat dan akhirat, maka keimanannya boleh jadi bertambah sehingga seakan-akan dia melihatnya secara langsung. Namun ketika dia sedang lalai dan jauh daripada majlis-majlis ilmu agama dan nasihat, maka keyakinan hati dan imannya akan berkurang. Berkurangnya iman juga berlaku ketika dalam keadaan sedang melakukan dosa sebagaimana yang masyhur dalam hadith sahih, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
لا يزني الزَّاني
حينَ يزني وَهوَ مؤمنٌ ولا يشرَبُ الخمرَ حينَ يشرَبُ وَهوَ مؤمنٌ ولا يسرقُ حينَ يسرقُ
وَهوَ مؤمنٌ ولا ينتَهبُ نُهبةً يرفعُ النَّاسُ إليْهِ فيها أبصارَهم حين ينتهِبُها
وَهوَ مؤمنٌ
Seseorang penzina tidak akan berzina jika ketika itu dia berada dalam keimanan. Seorang pencuri tidak akan mencuri ketika dia berada dalam keadaan beriman yang sempurna. Begitu juga seorang peminum arak tidak akan meminum arak jika ketika itu dia berada dalam keimanan. [Riwayat Al-Bukhari (no. 2475, 6772); Muslim (no. 57) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anhu]
Begitu juga keimanan dalam perkataan boleh bertambah dan berkurang. Orang yang menyebut Allah sepuluh kali tidak sama dengan orang yang menyebut Allah seratus kali, keimanan orang yang kedua sudah tentu lebih besar. Keimanan dalam ibadah juga boleh bertambah dan berkurang. Orang yang ibadahnya sempurna imannya bertambah daripada orang yang ibadahnya tidak sempurnah, banyak kesalahan dan tidak istiqamah. Begitu juga dengan amalan dengan anggota badan. Orang yang banyak beramal dengan kebaikan maka imannya boleh bertambah begitu juga sebaliknya. Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:
وَمَا جَعَلْنَا
أَصْحَابَ النَّارِ إِلَّا مَلَائِكَةً ۙ
وَمَا جَعَلْنَا عِدَّتَهُمْ إِلَّا فِتْنَةً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا لِيَسْتَيْقِنَ
الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ وَيَزْدَادَ الَّذِينَ آمَنُوا إِيمَانًا
Dan (ketahuilah bahawa hikmah) Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan (dari kalangan) malaikat, (kerana merekalah sekuat-kuat dan sebenar-benar makhluk yang menjalankan perintah Kami); dan (hikmah) Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya orang-orang yang diberi Kitab (Yahudi dan Nasrani) boleh percaya dengan yakin (akan kebenaran Al-Quran), dan supaya orang-orang yang beriman bertambah imannya. [Al-Mudhathir 74:31]
وَإِذَا مَا أُنزِلَتْ
سُورَةٌ فَمِنْهُم مَّن يَقُولُ أَيُّكُمْ زَادَتْهُ هَٰذِهِ إِيمَانًا ۚ
فَأَمَّا الَّذِينَ آمَنُوا فَزَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَهُمْ يَسْتَبْشِرُونَ. وَأَمَّا
الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ فَزَادَتْهُمْ رِجْسًا إِلَىٰ رِجْسِهِمْ وَمَاتُوا
وَهُمْ كَافِرُونَ
Dan apabila diturunkan sesuatu surah (dari Al-Quran) maka di antara mereka (yang munafik) ada yang bertanya (secara mengejek): "Siapakah di antara kamu yang imannya bertambah disebabkan oleh surah ini?" Adapun orang-orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka, sedang mereka bergembira (dengan turunnya). Adapun orang-orang yang ada penyakit (kufur) dalam hati mereka maka surah Al-Quran itu menambahkan kekotoran (kufur) kepada kekotoran (kufur) yang ada pada mereka; dan mereka mati, sedang mereka berkeadaan kafir. [Al-Taubah 9:124-125]
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr berkata, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda dihadapan para wanita:
وما رأيت من ناقصات
عقل ودين أغلب لذي لب منكن . قالت : يا رسول الله ! وما نقصان العقل والدين ؟ قال
: أما نقصان العقل فشهادة امرأتين تعدل شهادة رجل . فهذا نقصان العقل . وتمكث الليالي
ما تصلي . وتفطر في رمضان . فهذا نقصان الدين
Aku tidak melihat mereka yang kekurangan akal dan agama yang lebih menguasai pemilik akal daripada golongan kamu (para wanita). Wanita itu bertanya: "Wahai Rasulullah, Apakah yang dimaksudkan dengan kekurangan akal dan agama itu?" Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Maksud kekurangan akal ialah kesaksian dua orang wanita sama dengan kesaksian seorang lelaki. Inilah yang dikatakan kekurangan akal. Begitu juga wanita tidak mengerjakan solat pada malam-malam yang dilaluinya kemudian berbuka pada bulan Ramadhan kerana haid. Maka inilah yang dikatakan kekurangan agama." [Riwayat Al-Bukhari (no. 304) sanadnya daripada Abu Said al-Khudri dengan lafaz yang sedikit berbeza; Muslim (no. 79) sanadnya daripada Abdullah bin 'Amr; Abu Daud (no. 4679) juga dari Abu Said Al-Khudri]
Faktor Bertambah dan Berkurangnya Iman
Terdapat beberapa faktor bertambah dan berkurangnya keimanan seseorang Muslim. Antaranya ialah:
1. Ma'rifatullah (mengenal Allah), nama-nama dan sifat-sifatNya. Orang yang mengenal dan beramal dengan Allah, nama dan sifatnya akan bertambah pula keimanan dan keyakinannya. Kerana itu kita akan mendapati bahawa orang yang arif dan yakin dengan sifat-sifat dan nama-nama Allah akan lebih baik keimanannya berbanding orang lain.
2. Melihat tanda-tanda Allah yang ada pada seluruh ciptaanNya di alam semesta serta syariatNya. Setiap kali manusia merenung kekuasaan Allah yang ada di alam semesta, maka akan bertambah keimanannya sebagaimana firman Allah subhanahu wa ta'ala:
وَفِي الْأَرْضِ
آيَاتٌ لِّلْمُوقِنِينَ. وَفِي أَنفُسِكُمْ ۚ
أَفَلَا تُبْصِرُونَ
Dan pada bumi ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan dan kekuasaan Allah) bagi orang-orang (yang mahu mencapai pengetahuan) yang yakin,. Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)?. [Az-Zariyat 51: 20-21]
3. Banyak ketaatan. Manusia yang semakin taat kepada perintah Allah akan semakin bertambah keimananya sama ada ketaatan dari sudut perbuatan mahupun perkataan dan jika berkurang maka dapat menurunkan iman dihati. Zikir dapat menambahkan keimanan begitu juga solat, puasa, haji dan sebagainya baik darisegi kuantiti mahupun kualiti.
[Fatawa Arkanul Islam lil Syaikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin]
والله أعلم بالـصـواب