Cari Entri WADi

Rabu, 10 April 2013

Bab 4: Bid'ah Dalam Adat Istiadat dan Kebiasaan

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته





Orang-Orang Timur mempunyai tradisi yang tidak dikenal di negara-negara lain. Segolongan manusia terkeliru bila menyaksikan sebahagian orang Islam yang memegang teguh tradisi ini. Sehingga dianggapnya tradisi tersebut tumbuh dari prinsip-prinsip agama dan syariat Allah. Atau paling tidak, tradisi itu dianggapnya sesuai dengan perasaan-perasaan yang sudah dikenal dalam agama kita. Anggapan ini tidak benar, kerana tradisi-tradisi bangsa timur bukan prinsip-prinsip agama, dan amal perbuatan manusia bukanlah perintah-perintah Allah.


Firman Allah subhanahu wa ta'ala:


إِنَّهُمْ أَلْفَوْا آبَاءَهُمْ ضَالِّينَ [٦٩] فَهُمْ عَلَىٰ آثَارِهِمْ يُهْرَعُونَ [٧٠] وَلَقَدْ ضَلَّ قَبْلَهُمْ أَكْثَرُ الْأَوَّلِينَ [٧١] وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا فِيهِم مُّنذِرِينَ [٧٢] فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُنذَرِينَ [٧٣] إِلاَّ عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ

Ertinya: “Sesungguhnya nenek moyang mereka itu dalam keadaan sesat. Kemudian mereka dengan segera (meniru) jejak-jejak mereka itu. Padahal sesungguhnya kebanyakan orang-orang dulu sebelum mereka telah sesat dan kepada mereka telah kami utus beberapa nabi yang bertugas untuk menyedarkan (munzirin). Kerana itu, lihatlah betapa akibatnya orang-orang yang diancam itu! Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan”. [As-Saffat 37: 69-74]

Kita hendaklah ittiba’ (mengikut) dalam hal ibadah dan masalah duniawi hendaklah kita permoden dan majukan. Ini saja sudah cukup untuk dapat memimpin kehidupan kita. Tetapi sebahagian kaum muslimin ada yang membuat sebaliknya, dia bersikap jumud (sempit) dalam hal yang seharusnya dia mesti bergerak. Dia bertindak mengubah dan menambah sewenang-wenangnya dalam hal yang seharusnya membatasi diri.

Kesalahan seperti ini dapat membawa kaum muslimin pada hidup yang tidak menentu. Urusan keduniaannya menjadi sempit dan urusan agamanya menjadi kabur. Sesungguhnya perjuangan untuk membersihkan tradisi-tradisi ibadat dari segala macam bid’ah yang telah bersarang itu tidak boleh ditangguhkan.


4.1. Bid’ah Dalam Urusan Jenazah

Saya sudah sering menyaksikan beberapa orang miskin yang kekurangan makan, tetapi dia berani berhutang untuk menghidupkan tradisi-tradisi yang menyimpang sebagai ketentuan agama atau lebih dari agama. Diupah pembaca-pembaca al-Quran untuk satu atau dua malam, dilanjutkan seminggu atau dua minggu. Pengorbanan berupa moral mahupun material ini diulang pada hari ke 40, satu tahun, dua tahun dan seterusnya.

Tradisi-tradisi ini sama sekali tidak dapat diterima oleh orang-orang yang mempunyai kefahaman yang baik terhadap dunia ini, apalagi oleh orang-orang yang mempunyai pemahaman yang baik terhadap agama. Berapa banyak tempat berhimpun yang harus kita sediakan untuk para tetamu yang ke kubur? Berapa banyak perayaan untuk minggu pertama, hari ke empat puluh dan ulang tahunnya yang pertama.

Tidak diragukan lagi, bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang Islam seperti ini menunjukkan kebodohannya. Tetapi sayangnya ramai dari kalangan orang awam, termasuk juga ulama-ulama, yang mempertahankan kebodohan ini dalam bentuk-bentuk keagamaan yang mengaburkan.

Setiap muslim lelaki atau perempuan tidak boleh memakai pakaian khusus untuk berkabung atau membuat membuat tanda-tanda pada badannya, keadaannya, rumahnya dan pekerjaannya. Sebabnya pemergian seseorang ke akhirat, tidak bererti mencetuskan suasana krisis dan duka dalam percaturan hidup ini. Persoalannya cukup seperti apa yang dikatakan oleh seorang ahli hikmah, “Di mana ada orang mati, di situ ada juga yang hidup”.

Tidak ada tempat dalam Islam untuk berteriak-teriak untuk mengiringi jenazah. Mengeraskan suara walaupun dengan membaca Al Quran tetap tidak boleh.

Semua ini bertentangan dengan apa yang terjadi terhadap jenazah orang-orang salaf. Mereka melakukannya dengan penuh khusyuk sehingga keluarga yang ditinggal mati itu tidak diketahui mereka diliputi kesusahan dan kesedihan walaupun oleh orang-orang yang menghantar jenazah. Sedikit pun mereka tidak termenung dan cemas ketika mengingat pada mayat itu. Mereka bergantung kepadaNya, sebab mereka juga datang dariNya.

Takziah (Belasungkawa) yang digariskan Islam cukup mudah. Tidak perlu orang yang kesusahan itu menyediakan sesuatu dan mempersiapkan tempat khusus untuk para tetamu yang datang untuk bertakziah. Kini prinsip-prinsip akhlak itu telah goncang. 

Sudah menjadi kebiasaan, bahawa orang yang kesusahan, mesti pula menyediakan tempat khusus untuk bertakziah dan menghidangkan makanan-makanan dan minuman-minuman kepada para tetamunya. Padahal menurut Sunnah Nabi, keluarga yang kesusahan itu harus dibantu, misalnya dengan menyiapkan makanan untuk keluarganya. Bukan sebaliknya yang ditimpa kesusahan pula mesti menyediakan makanan dan minuman.

Sedangkan Imam Ahmad berkata, “Cara semacam ini adalah cara-cara jahiliah”. Kerana itu dia sangat membencinya.

Dengan kefahaman yang tersasar bahawa si mayat memperoleh faedah daripada perbuatan orang hidup, ramai orang awam yang mengupah pembaca Al Quran untuk membacakan Al-Quran kepada si mayat atau dengan membahagi-bahagikan makanan kepada orang yang menziarahi jenazah.


4.2. Bid’ah Dalam Majlis Perkahwinan


Kebanyakan majlis perkahwinan dilakukan dengan berlebih-lebihan dan memaksakan diri. Jarang sekali mereka yang mengadakan pesta perkahwinan itu dengan sederhana sahaja. Di antaranya mereka berlebih-lebihan dalam perkara yang hanya berstatus harus (mubah) sahaja. Mereka perluas ruangnya dan sehingga berlebih-lebihan, melebihi cara yang dilakukan oleh penganut agama-agama lain.

Perempuan-perempuan agama lain cukup berpakaian sederhana tapi kemas, sedangkan perempuan muslimah tidak mahu kalau tidak memakai kain yang termahal.

Seharusnya umat Islam mempermudahkan amalan tradisi yang menyebabkan pesta-pesta perkahwinan mereka itu hanya penuh dengan nafsu makan, riya’ dan perbuatan-perbuatan yang sia-sia dan tidak bererti itu.

Walimatul urus (pesta perkahwinan) merupakan satu tradisi yang baik dan perlu pengorbanan dan keringanan. Tetapi di sebalik tradisi yang baik itu, Islam tidak merestui adanya berlebih-lebihan dan bermewah-mewahan dalam makanan.

Isteri dan anak-anak Nabi sallallahu 'alaihi wasallam kahwin , dengan suatu majlis yang tidak memberat-beratkan diri dan tidak berhutang. Kemudian lihatlah apa yang dilakukan oleh kaum muslimin dalam merayakan perkahwinan mereka. Berapa banyak belanja yang disediakan untuk membuat walimah sehingga tidak habis dimakan oleh yang lapar dan papa.


4.3. Perkahwinan Dan Ikatan Keluarga

Umat Islam dewasa ini terbahagi kepada dua bahagian. Yang sebahagian tidak memberi tempat kepada kaum wanita, seperti yang terjadi di Yaman dan Hijaz. Sedangkan yang sebahagian lagi memberikan tempat kaum wanita tetapi terkeliru. Kedudukan wanita sangat membingungkan seperti yang kini berlaku di Mesir.

Umat kita mendiamkan kemungkaran yang diperbuat oleh para ‘play boy’. Mereka membiarkan para pemuda bertahun-tahun bergelumang dengan maksiat seperti bersekedudukan dan bercinta sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

Perempuan yang dibiarkan untuk melacur dan menjadi permainan hawa nafsu akan dapat menggoncangkan umat seluruhnya dan akan dipermainkan oleh syaitan.

Umat kita dapat menerima kemungkaran ini tetapi mereka tidak dapat menerima untuk meringankan pesta besar-besaran yang diadakan ketika akad nikah.

Saya pernah menyaksikan di Hijaz dan Palestin (dan juga di Malaysia – pent) adanya berlebih-lebihan dalam masalah mahar. Sehingga orang lelaki tidak akan dapat berdampingan dengan seorang perempuan, kecuali bila dia dapat membawa beratus-ratus dan beribu-ribu wang.

Kemudian apa yang terjadi akibat dari itu semua? Kemungkaran bermaharajalela di sana sini.

Tidak layak orang-orang jahil itu berbicara tentang dibolehkan berlebihan dalam hal mahar menurut syarak. Walaupun dianggap sebagai suatu perbuatan yang baik, hal tersebut tidak patut diamalkan. Sebabnya sunnah Nabi tidak membolehkannya kecuali sesudah sempurnanya yang wajib. Jika hal yang wajib itu telah dipijak-pijak, di mana letak yang sunat?

Dan kalau kehormatan diri sudah tidak ada lagi dan perbuatan sundal sudah merata, apakah perlu berbicara soal dibolehkannya berlebihan dalam masalah mahar? Ramai orang Islam yang menjadikan masalah perkahwinan syari’ sebagai suatu hal yang sangat sukar dan payah, sehingga menyebabkan berleluasanya maksiat di dalam masyarakat.

Alangkah baiknya jika kaum muslimin mempelajari bagaimana cara mengatur hubungan antara lelaki dan wanita dengan cara yang benar dan bagaimana caranya agar setiap anggota keluarga dapat berhimpun di halaman masjid pagi dan petang dan sebahagian waktu malam.

Bahkan bagaimana caranya supaya lelaki dan perempuan dengan serentak mahu berjuang untuk menegakkan kalimatullah. Dari sekian banyak yang kita saksikan, ada sebahagian ahli masyarakat yang memberikan kebebasan seluas-luasnya kepada anak-anaknya.

Di segi mencari nafkah seluruh masyarakat Eropah telah sampai pada suatu batas di mana suami isteri sama-sama aktif dalam berbagai pekerjaan dan lupa mengurus rumahtangga.


4.4. Peringatan Hari Ulang Tahun Nabi, Hari Asyura Dan Hari Cuti Mingguan


Orang pertama yang mengadakan perayaan maulid Nabi di Kota Erbel ialah Raja Al Mudhaffar Abu Sa’id pada abad ketujuh. Kemudian peringatan ini meluas ke mana-mana dan banyak penggemarnya.

Manakala hari peringatan lain yang bid’ah ialah sambutan hari Asyura (pada 10hb Muharram) yang dirayakan oleh golongan Syiah dan golongan ahli sunnah.

Golongan Syiah pada hari tersebut mereka memukul tubuh mereka dengan apa saja yang ada di tangannya, sebagai tanda berduka cita atas kematian Husain. Manakala golongan Ahlus Sunnah adalah sebaliknya iaitu merayakan hari tersebut dengan membuat kenduri dengan beraneka makanan dan kuih.

Apa yang diperbuat oleh kedua golongan tersebut sama sekali tidak bersumber dari ajaran Islam .

Di antara perbuatan bid’ah ialah peringatan maulid Nabi, Israk Mikraj, Nisfu Syaaban, Lailatul Qadar dan awal tahun Hijrah.

Kota-kota besar sekarang ini hampir tidak bergerak pada hari minggu (hari Ahad) , kerana tempat-tempat pekerjaan semua bercuti. Sebaliknya pada hari Jumaat tidak ada kesempatan bagi seorang buruh untuk berhias, bersenang-senang atau beristirehat. Kini kita dapati kemenangan tradisi Eropah , (yang sebenarnya tradisi Kristian) ke atas tradisi Islam.


[ Kitab Bid'ah wa al-Syirk karya Dr Yusuf Qardhawi dan Syeikh Muhammad Al-Ghazali ]


Rujuk: Maulana Asri, Darulkautsar.net.



والله أعلم بالـصـواب 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik