Cari Entri WADi

Rabu, 7 Februari 2018

Status Hadis Bumi Dilipat Di Malam Hari




Teks Hadis

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. bersabda,


عَلَيْكُمْ بِالدُّلْجَةِ فَإِنَّ الْأَرْضَ تُطْوَى بِاللَّيْلِ
“Hendaklah kalian melakukan perjalanan pada waktu malam kerana sesungguhnya bumi itu dilipatkan di malam hari.”


Sumber Hadis
1. Riwayat Abu Daud no. 2571

2. Riwayat Ahmad no. 15091

3. Riwayat al-Hakim no. 1630

4. Riwayat ibn Khuzaimah no. 2555

5. Riwayat al-Baihaqi no. 10342


Status Hadis
1. Hadis ini dinilai sahih lighairihi menurut Syaikh Syuaib al-Arnauth. Sanad hadis ini asalnya hasan namun dikuatkan dengan sanad daripada jalan periwayatan yang lain. (Sunan Abu Daud 4/217)

2. Berkata al-Hafiz al-Iraqi, “Sanad riwayat Abu Daud itu hasan.” (Takhrij Ahadith Ihya’ Ulumiddin 2/647)


Faedah Hadis
1. Al-Duljah bermaksud perjalanan di waktu malam. Cuma para ulama berbeza pendapat sama ada yang dimaksudkan dengan al-Duljah itu awal malam, akhir malam atau seluruh malam. Pandangan yang terpilih ialah seluruh malam sebagaimana yang disebutkan oleh al-Munawi. (Faidh al-Qadir 4/340)

2. Hadis ini menunjukkan galakan untuk bermusafir pada waktu malam terutama di kawasan padang pasir yang panas atau tempat panas yang lain. Tambahan pula, musafir pada waktu dahulu menggunakan haiwan tunggangan. Berkata ibn Abdil Bar, “Adapun maksud bumi itu dilipatkan pada waktu malam ialah -wallahua’lam- jika haiwan tunggangan berehat pada siang hari, maka ia boleh berjalan di waktu malam dengan lebih tenang berbanding berjalan di siang hari. Kerana itulah Rasulullah s.a.w. menggalakan melakukan perjalanan di malam hari.” (al-Istizkar 8/535)

3. Perjalanan pada waktu malam biasanya terasa lebih cepat dan tenang berbanding waktu siang. Berkata al-Munawi, “Satu per satu halangan berkurang dan jarak perjalanan juga lebih singkat berbanding perjalanan di siang hari yang tidak terasa ianya disingkatkan. Suruhan Nabi ini berbentuk irsyad sahaja (panduan/tip).” (al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir 2/140)

4. Musafir di waktu malam merupakan kebiasaan Rasulullah s.a.w. kerana kelebihan dan suasana yang lebih baik dan sejuk berbanding pada waktu siang yang panas. Ibn Hajar al-Asqalani berkata, “Melakukan perjalanan pada waktu malam lebih baik daripada waktu siang sebagaimana yang berlaku dalam perjalanan Israk dan Mikraj. Kerana itu juga kebanyakan ibadah baginda s.a.w lebih banyak dilakukan di malam hari. Begitu juga dengan musafir baginda s.a.w. lebih banyak di malam hari.” (Fath al-Bari 7/217)

5. Disisi mazhab Syafie, disunatkan musafir pada waktu akhir malam (2/3 malam yakni waktu sahur) dan makruh musafir di awal malam. Namun menurut Imam an-Nawawi, tidak makruh musafir pada awal malam. (al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 4/393)




Selasa, 30 Januari 2018

Wajib Tamakninah Dalam Solat




Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., bahwa Nabi s.a.w. masuk ke dalam masjid. Ada seorang lelaki juga masuk ke dalam masjid lalu solat. Selepas itu, dia datang dan memberi salam kepada Nabi s.a.w. Baginda menjawab salamnya lalu berkata,



ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ، فَصَلَّى، ثُمَّ جَاءَ، فَسَلَّمَ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: ارْجِعْ فَصَلِّ، فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ ثَلاَثًا، فَقَالَ: وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالحَقِّ، فَمَا أُحْسِنُ غَيْرَهُ، فَعَلِّمْنِي، قَالَ: إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ، فَكَبِّرْ، ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ القُرْآنِ، ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا، ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا

“Pergilah, ulangi solatmu kerana kamu masih belum solat.” Lelaki itu kemudian mengulangi solatnya kemudian kembali bertemu dengan baginda dan memberi salam. Baginda kemudian berkata lagi, “Pergilah, ulangi solatmu kerana kamu masih belum solat.” Baginda memerintahkannya sehingga tiga kali lalu lelaki itu berkata, “Demi Zat yang mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak mampu melakukan solat yang lebih baik daripada ini. Ajarlah aku.” Baginda bersabda, “Jika kamu solat, maka bertakbirlah lalu bacalah ayat yang mudah dari al-Quran. Kemudian rukuklah sehingga benar-benar rukuk, lalu bangunlah sehingga kamu berdiri tegak. Selepas itu, sujudlah sehingga kamu benar-benar sujud. Lakukanlah seperti ini dalam seluruh solatmu.” (Riwayat al-Bukhari)

……………

Wajib Tenang Ketika Solat

Biasanya kita mendengar perkara yang wajib dalam solat ialah bertakbir, membaca al-Fatihah, rukuk, sujud dan sebagainya. Namun antara perkara wajib yang sering diabaikan ialah tenang dalam solat!

Dalam istilah teknikalnya, tamakninah dalam solat. Tamakninah ertinya diam, berhenti atau bertenang sebentar ketika rukuk, iktidal, sujud, dan duduk antara dua sujud sehingga solat itu dikerjakan dengan tenang dan khusyuk. Perkara ini yang sering kita abaikan ketika solat bahkan ianya terjadi dalam kalangan sahabat nabi sebagaimana dalam hadis utama sebelumnya.

Menurut imam an-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim, hadis ini menjadi dalil bahawa wajibnya tamakninah dalam solat. Begitu juga ketika iktidal, iaitu bangun selepas rukuk, wajib untuk tamakninah. Ini merupakan pandangan mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali. 

Kerana itu disunatkan membaca tasbih dalam rukuk dan sujud sebanyak tiga kali. Salah satu tujuannya agar dapat mencapai ketenangan dalam pergerakan. Namun, tempoh minima yang disebutkan ulama untuk tamakninah ialah sekurang-kurangnya bacaan sekali tasbih.



Mencuri Sambil Solat

Perbuatan yang sering kali dilakukan sebahagian orang namun mereka tidak sedar akan kesalahannya. Mereka menyangka sedang beribadah, namun dalam waktu yang sama mereka juga ‘mencuri’. Itulah perumpamaan orang yang solat tergesa-gesa sehingga meninggalkan tamakninah ketika solat.

Rasulullah s.a.w. bersabda: 

إِنَّ أَسْوَأَ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ صَلَاتَهُ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَكَيْفَ يَسْرِقُهَا قَالَ لَا يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلَا سُجُودَهَا
“Seteruk-teruk pencuri ialah pencuri dalam solat.” Para sahabat bertanya, wahai Rasulullah, bagaimanakah mencuri ketika solat? Baginda menjawab, “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Ahmad)

Termasuk kesalahan besar yang diremehkan saat solat ialah meninggalkan tamakninah. Kerana itu, meninggalkan tamakninah menurut majoriti ulama, membatalkan solat. Sesungguhnya tidak ada makna sesebuah solat, tanpa tamakninah. Dengannyalah, solat jadi indah, khusyuk dicapai dan kelazatan solat dirasai.



Teknik Khusyuk Dalam Solat

Mencapai khusyuk bukan semudah yang disangka kerana ia merupakan amalan terawal yang hilang dan diangkat oleh Allah sebagaimana yang disebutkan oleh sahabat Nabi bernama Ubadah bin al-Samit yang diriwayatkan oleh imam al-Tirmizi. Hadis yang sama juga diriwatarkan dalam riwayat Ahmad, sahabat Nabi bernama Auf bin Malik berkata,


بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَنَظَرَ فِي السَّمَاءِ ثُمَّ قَالَ هَذَا أَوَانُ الْعِلْمِ أَنْ يُرْفَعَ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ يُقَالُ لَهُ زِيَادُ بْنُ لَبِيدٍ أَيُرْفَعُ الْعِلْمُ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَفِينَا كِتَابُ اللَّهِ وَقَدْ عَلَّمْنَاهُ أَبْنَاءَنَا وَنِسَاءَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنْ كُنْتُ لَأَظُنُّكَ مِنْ أَفْقَهِ أَهْلِ الْمَدِينَةِ ثُمَّ ذَكَرَ ضَلَالَةَ أَهْلِ الْكِتَابَيْنِ وَعِنْدَهُمَا مَا عِنْدَهُمَا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

فَلَقِيَ جُبَيْرُ بْنُ نُفَيْرٍ شَدَّادَ بْنَ أَوْسٍ بِالْمُصَلَّى فَحَدَّثَهُ هَذَا الْحَدِيثَ عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ فَقَالَ صَدَقَ عَوْفٌ ثُمَّ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي مَا رَفْعُ الْعِلْمِ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ ذَهَابُ أَوْعِيَتِهِ قَالَ وَهَلْ تَدْرِي أَيُّ الْعِلْمِ أَوَّلُ أَنْ يُرْفَعَ قَالَ قُلْتُ لَا أَدْرِي قَالَ الْخُشُوعُ حَتَّى لَا تَكَادُ تَرَى خَاشِعًا


Ketika kami duduk-duduk di samping s.a.w. pada suatu hari, beliau memandang ke langit lalu bersabda: "Inilah saatnya ilmu diangkat." Lalu seseorang dari Ansar bernama Ziyad bin Labid bertanya: Adakah ilmu terangkat padahal ditengah-tengah kami ada kitab Allah (al-Quran), kami mengajarkannya kepada anak-anak dan isteri kami?" Rasulullah s.a.w. menjawab: "Dahulu aku menyangka engkau penduduk Madinah yang paling mengerti." Setelah itu beliau menyebutkan kesesatan ahli dua kitab padahal keduanya memiliki kitab Allah azza wajalla. Setelah itu Jubair bin Nufair menemui Syaddad bin Aus di tempat solat lalu menceritakan hadis dari ‘Auf bin Malik ini padanya, ia berkata: ‘Auf benar. Setelah itu ia bertanya: Tahukah kamu apakah diangkatnya ilmu itu? Syaddad menjawab: Aku tidak tahu. Jubair berkata: Hilangnya wadah-wadahnya. Jubair bertanya: Tahukah kamu ilmu apa yang pertama kali terangkat? Syaddad menjawab: Aku menjawab: Aku tidak tahu. Jubair menjawab: Khusyuk. Hingga hampir saja kau tidak akan melihat lagi orang yang khusyuk. (Riwayat Ahmad)


Walaupun tidak mudah, namun sekurang-kurangnya kita berusaha untuk mampu dekat dengan khusyuk. Terdapat pelbagai penafsiran tentang maksud khusyuk yang sebenar. Antara yang disebutkan ulama ialah:

1. Ali bin Abi Talib: Tidak menoleh ke kiri atau kanan.

2. Ibn Abbas: Merasa kerdil dan rendah diri.

3. Qatadah & Hasan al-Basri: Rasa takut kepada Allah.

4. Mujahid: Menundukkan pandangan dan merendahkan suara.

5. Sa‘id bin Jubair: Tidak mengetahui siapa di kanan dan kirinya serta tidak pula menoleh demi khusyuk kepada Allah.

6. Amru bin Dinar: Berdiam tetap dan baik keadaannya ketika solat.

7. Ibn Sirin: Tidak mengangkat pandangan mata daripada tempat sujud.


Jika selama ini kita sering solat ‘patuk ayam’, maka baikilah solat kita. Belajarlah untuk tenang ketika solat. Dengan mempraktikkan tamakninah serta definisi khusyuk yang disebutkan oleh ulama, rasa khusyuk sedikit sebanyak akan mulai hadir dalam solat kita. Apatah lagi jika kita dapat memahami maksud bacaan dalam solat, tentu khusyuk lebih bertambah. Semoga kita rasa seronok dengan solat.

Wallahua'lam.

Khamis, 25 Januari 2018

Status Hadis Mati Syahid Kerana Pendam Cinta







Teks Hadis



مَنْ عَشَقَ وَكَتَمَ وَعَفَّ فَمَاتَ فَهُوَ شَهِيدٌ
Sesiapa yang jatuh cinta lalu dia pendam dan menjauhkan diri darinya kemudian dia mati, maka dia mati syahid.



Sumber Hadis

1. Riwayat al-Khatib al-Baghdadi dari sanad Abdullah bin Abbas (Tarikh Baghdad 5/364 pada biografi Muhammad bin Daud bin Ali Abu Bakr al-Asbahani )

2. Riwayat Ibn Asakir dalam dari sanad Abdullah bin Abbas (Tarikh Dimashq 43/195 pada biografi Ali bin Muhammad bin Ali bin Muhammad bin Al-Husain)

3. Riwayat al-Ghazali (Ihya’ Ulumiddin 3/105)



Status Hadis:
Hadis ini tidak sahih. Sebahagian ulama menilainya dhaif jiddan (sangat lemah) manakala sebahagian yang lain menilainya maudhu’ (palsu).


1. Berkata al-Hafiz ibn Hajar al-Asqalani, “Para ulama hadis mengingkari riwayat hadis Suwaid (bin Said) ini. Begitulah yang dinyatakan oleh Ibn Adi dalam al-Kamil. Demikian juga al-Baihaqi dan ibn Tahir mengingkari kesahihan riwayat ini. Ibn Hibban berkata, sesiapa yang meriwayatkan riwayat seperti ini daripada Ali bin Mushir, maka riwayatnya ditinggalkan (tertolak).” (al-Talkhis al-Habir 2/283)


2. Berkata al-Hafiz ibn Jauzi al-Hanbali, “Hadis ini tidak sahih daripada Rasulullah s.a.w. Suwaid bin Said menjadi madar (paksi hadis) dalam dua jalan riwayat hadis ini.” (al-Ilal al-Mutanahiah 2/285)


3. Berkata al-Ijli; Aku sangat hairan dengan hadis ini (bagaimana suwaid boleh meriwayatkannya) kerana ianya tidak diriwayatkan oleh orang lain selain daripada jalan Suwaid bin Said sedangkan dia seorang thiqah (dipercayai).


Wallahua'lam.

Ahad, 15 Oktober 2017

Benarkah Belakang Tapak Tangan Itu Aurat?



Persoalan mengenai aurat wanita tampak remeh namun saya percaya masih ramai di luar sana yang tidak tahu, salah faham atau mungkin keliru. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan dapatan kajian rawak yang saya lakukan di sosial media. Berikut dapatan kajian tersebut; 


Statistik menunjukkan majoriti SALAH menjawab soalan yang diberikan. Anggaran kasarnya adalah seramai 4400 orang daripada 7042 orang yang mengambil bahagian dalam poll ini. Angka ini menunjukkan bilangan yang serius dan tidak boleh diremehkan. Ternyata persoalan agama yang tampak remeh dan mudah, sentiasa perlu didedah dan diajar kepada masyarakat dari masa ke semasa.


Tidak Aurat

Kita selalu diajar atau didedahkan bahawa aurat wanita ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Ini bermakna belakang telapak tangan ialah aurat yang perlu ditutup. Mungkin kerana itu, kita dapati sebahagian wanita menutup belakang telapak tangan mereka dengan kain. Tambahan, kini sudah ada terjual sarung tangan (hand sock) yang menutup bahagian belakang tapak tangan.

Hakikat yang betul ialah aurat wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan. Ya, seluruh pergelangan tangan tidak aurat. Ini bermakna bukan tapak tangan sahaja tidak aurat malah belakang tapak tangan juga termasuk bukan aurat wanita.

Bagaimana salah faham ini terjadi?

Antata faktornya ialah mungkin kerana pengajar atau penterjemah buku fiqah menterjemahkan secara zahir perkataan al-Kaffain sebagai tapak tangan. Perlu diingati bahawa tersalah menterjemah perkataan bahasa Arab ke dalam bahasa asing sangat memberi kesan besar kepada masyarakat terutama jika melibatkan teks-teks Al-Quran dan Hadith yang mengandungi hukum. Salah satu contoh ialah kes yang sedang dibincangkan ini.

Perkataan al-Kaffain secara zahir memang lah membawa maksud tapak tangan dalam bahasa melayu. Namun begitu, perkataan al-Kaffain menurut ulama' fiqh dan bahasa Arab ialah tapak tangan zahir dan batin. Telapak tangan yang zahir ialah bahagian luar manakalah telapak tangan batin ialah bahagian dalam.

Ini juga menunjukkan betapa pentingnya memahami teks-teks agama berdasarkan bahasa asal ia diturunkan. Untuk memahaminya, kita perlu merujuk pandangan ulama' fiqah dan bahasa Arab.

Had pergelangan tangan pula ialah dari jari sehingga tulang al-ku' (الكوع). Diatas tulang itu maka bukan lagi pergelangan, ia aurat yang perlu ditutup.


Bahagian Telapak Tangan Luar dan Dalam

Had aurat sehingga tulang al-Ku'

Kesimpulan

Aurat wanita ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan.


Berikut 'ibarat daripada kitab fiqah:





واعلم أن للحرة أربع عورات: فعند الأجانب جميع البدن.
وعند المحارم والخلوة ما بين السرة والركبة، وعند النساء
الكافرات ما لا يبدو عند المهنة، وفي الصلاح جميع بدنها ما عدا وجهها وكفيها.
(قوله: ظهرهما وبطنهما) بدل من كفين.
وقوله: إلى الكوعين متعلق بمحذوف، أي وحد الكفين كائن إلى الكوعين

(Al-Dimyati, I'anah al-Talibin 1/134)
............


قال: (ولا ينظر غير الوجه والكفين)؛ لأن غيرهما عورة، ولأنها المواضع التي تظهر من الزينة المشار إليها بقوله تعالى:} ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها {، وعلله الماوردي بأن في الوجه ما يستدل به على الجمال، وفي اليدين ما يستدل به على خصب البدن ونعومته.
ويعم بالنظر ظاهر الكفين وباطنهما، وقيل: ومفصل اليدين..

(Al-Damiri, al-najm al-Hawaj syarh al-Minhaj 7/18)
.....................
  
وهذه العلة تفهمك أن المراد بالكف: من مبتدأ رءوس الأصابع إلى الكوعين ظهراً وبطناً، وهو الذي حكاه جمهور الأصحاب هنا.
وفي "تعليق" القاضي الحسين: أن من أصحابنا من قال: [ظهرهما] عورة كظهر القدمين، وقد حكاه الرافعي في كتاب النكاح.
وقال المزني: ظهر القدمين ليس بعورة كظهر الكفين، ولأنه مكشوف في العادة؛ فلم يلزمها ستره؛ كالوجه والكفين.
وبعض الأصحاب ألحق أخمص القدمين ببطن الكفين حكاه الفوراني وغيره من أصحاب القفال عن روايته.
قال الروياني: ويقال: إنه حكاه قولاً في المسألة.
والمذهب الأول؛ لما ذكرناه؛ فإن من ضرورة ظهور الكف ظهور ظهره، وفي تكليف ستر البطون فقط مشقة أشد من مشقة ستر الجميع، وأما أخمص القدمين فمستوران في الغالب، وكذا ظهر القدمين؛ ولهذا لم يجب على المحرمة كشفهما مع أنه ورد عن أم سلمة أنها قالت: قلت: يا رسول الله، أتصلي المرأة في درع وخمار، وليس عليها إزار؟ فقال: "نَعَمْ، إِذَا كَانَ سَابِغاً يُغَطِّي ظُهُورَ قَدميها". رواه أبو داود.

(Ibn Rif'ah, Kifayah al-Nabih syarh al-Tanbih 2/463)

Rabu, 26 Julai 2017

Yahudi dan Nasrani Jadi Idola



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى تَأْخُذَ أُمَّتِي بِأَخْذِ القُرُونِ قَبْلَهَا شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، كَفَارِسَ وَالرُّومِ؟ فَقَالَ: وَمَنِ النَّاسُ إِلَّا أُولَئِكَ؟
Maksudnya:
“Tidak akan terjadi kiamat sehinggalah umatku mengikut jejak umat terdahulu sebelum mereka, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta.”
Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah seperti orang Parsi dan Rom?”
Baginda menjawab: “Siapa lagi selain mereka?” (Riwayat al-Bukhari)
……….

Jika kita renungi, apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini beribu tahun dahulu dengan realiti kehidupan kita pada masa kini, tentu kita terkejut dengan kebenarannya. Perkara yang Baginda sampaikan kepada sahabatnya, benar-benar terjadi pada zaman kita. Lihatlah sekarang. Lihatlah keadaan umat Islam sebahagiannya begitu mirip cara hidup, pakaian dan tingkah laku mereka dengan orang Yahudi dan Nasrani.

Zaman ini, pengaruh Yahudi dan Barat mencapai kemuncaknya meliputi seluruh aspek kehidupan. Jika kita amati sedalam-dalamnya, kita mendapati bahawa hampir semua aspek kehidupan yang selama ini dipelihara oleh Islam, mula diserap masuk dengan pengaruh buruk mereka.

Sejarah mencatatkan bahawa sulit sekali bagi orang Yahudi dan Nasrani untuk menewaskan umat Islam di medan jihad. Disebabkan itu, mereka cuba meruntuhkan ajaran Islam dari dalam. Musuh Islam sedaya upaya cuba menjauhkan Islam dalam diri penganutnya hingga akhirnya kehidupan umat Islam persis seperti mereka dan keislamannya sekadar pada nama. Mereka merancang sekian lama dan kini mereka telahpun menuai hasilnya.

Islam Dianggap Kolot
Zaman kegemilangan Islam telah lama berlalu. Ketika itu, Islam membawa segala macam pembaharuan baik dari sudut akidah, ibadah, akhlak dan keilmuan. Islam merupakan tamadun yang berjasa besar dalam memodenkan kehidupan umat manusia. Pembaharuan yang dibawa Islam menggabungkan nilai keagamaan dalam seluruh aspek kehidupan, ternyata begitu unik dan tidak pernah wujud dalam tamadun sebelumnya.

Daripada hanya bertapak di Makkah, Islam meluaskan ajarannya ke Madinah hingga berjaya menguasai seluruh jazirah Arab. Lebih menakjubkan, Islam pernah menguasai hampir 2/3 dunia. Ketika Barat mundur dan hanyut dalam kegelapan jahiliah, Islam datang memberikan sinaran hidayah. Itulah sejarah yang hanya boleh dikenang dan dicanang.

Namun hari ini, Islam tidak lagi dipandang hebat seperti dahulu. Islam tidak lagi menjadi solusi terhadap permasalahan umat. Islam wujud namun dianggap kolot. Sebahagian umat Islam lebih cenderung dengan kehidupan ala Barat. Bagi mereka, kehidupan dan trend Barat lebih moden dan sesuai dengan kemajuan masa kini. Jahiliah yang merosakkan umat manusia kembali diangkat oleh umat Islam sendiri setelah dikuburkan oleh Nabi dan para sahabat!

Peristiwa akhir zaman memang menakutkan buat para sahabat. Jika kita yang hidup pada zaman ini berasa biasa sahaja, mungkin kerana begitu kuatnya pengaruh dan corak kehidupan Yahudi dan Nasrani dalam diri kita. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya:

“Kalian pasti akan mengikuti jejak langkah orang yang terdahulu daripada kalian sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun, tentu kalian akan mengikuti mereka.”
Kami bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah mereka itu orang Yahudi dan Nasrani (Kristian)?”  
Baginda menjawab: “Siapa lagi?” (Riwayat al-Bukhari)

Lihatlah betapa miripnya kehidupan umat akhir zaman dengan orang kafir sehingga Nabi mengumpamakan kita seperti orang jahil yang hanya tahu mengikut walaupun sehingga masuk ke lubang biawak. Pepatah Melayu mengatakan, bagai lembu dicucuk hidungnya. Menariknya, segala keburukan yang mereka perkenalkan, umat akhir zaman mahu tiru dan amalkan sedangkan nilai positif masyarakat Barat yang selari dengan syariat tidak pula kita contohi. Ajaib bukan?
           
Beruntung Orang Terasing
Ketika orang kafir menjadi idola dan contoh kehidupan, ajaran Islam mula dilupakan sedikit demi sedikit. Apabila budaya orang kafir dijulang, budaya Islam kembali dagang. Sebagaimana Islam dahulunya datang dalam keadaan asing, begitulah juga akhirnya.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang yang terasing.” (Riwayat Muslim)

Siapakah orang yang terasing? Mereka bukanlah orang yang duduk di pelosok kampung, bukan semestinya orang yang kolot dan bukan juga orang yang tidak bergaul dengan orang lain. Umat akhir zaman yang terasing adalah sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 

“Orang yang memperbaiki sunnahku setelah dirosakkan oleh orang selepas pemergianku.” (Riwayat al-Tirmizi)

Renung-renungkanlah wahai sekalian umat akhir zaman!

Renungan Bersama
Umat Awal Islam
Umat Akhir Zaman
·         Tutup aurat supaya maruah terjaga.
·         Buka aurat untuk tampak bergaya.
·         Islam sesuai diamalkan dalam semua keadaan.
·         Islam sesuai diamalkan di tempat agama dan majlis keagaaman sahaja.
·         Jauhi arak, judi dan zina kerana bertentangan dengan ajaran Islam.
·         Dekati arak, judi dan zina kononnya sekadar hiburan.
·         Solat mendekatkan diri dengan Tuhan dan kejayaan.
·         Solat dikira beban dan melambatkan sesuatu urusan.
·         Sedekah tidak mengurangi harta bahkan menambahkannya.
·         Sedekah mengurangkan harta dan menguntungkan pemintanya.

Sabtu, 10 Jun 2017

Mandi Ketika Puasa Makruh?





Mandi ketika puasa harus, tidak makruh. Orang yang sedang berpuasa boleh mandi, berenang bahkan menyelam di dalam air. Semua itu tidak menjadi masalah selagi air tidak diminum atau masuk ke dalam rongga badan yakni perut.

Imam an-Nawawi mengatakan:

"Dibenarkan bagi orang yang sedang berpuasa masuk ke dalam air dan menyelam di dalamnya atau mengalirkan air ke atas kepalanya sama ada di bilik air atau selainnya. Tidak ada berpezaan pendapat dalam masalah ini."
[Al-Majmu' Syarh al-Muhazzab 6/348]

Ibn Qudamah mengatakan:

"Tidak mengapa mandi bagi orang yang berpuasa....Adapun menyelam dalam air, Imam Ahmad mengatakan tidak mengapa jika tidak dikuatiri air masuk ke dalam telinganya."
[Al-Mughni 3/124]

Dalil bolehnya mandi ketika sedang berpuasa ialah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Bakr bin Abdul Rahman yang meriwayatkan daripada beberapa orang sahabat Nabi berkata:

"Aku melihat Rasulullah s.a.w. memerintahkan orang ramai yang menyertai permusafiran ketika pembukaan kota Mekah agar berbuka puasa."

Baginda mengatakan:

"Perkuatkanlah tubuh kalian untuk menghadapi musuh" sedangkan Baginda sendiri meneruskan puasa.
Sahabat mengatakan:

رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم بالعرج يصب على رأسه الماء وهو صائم من العطش أو من الحر.
"Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-'Arj mencurahkan air ke kepalanya ketika sedang berpuasa kerana terlalu haus dan panas."
[Riwayat Abu Daud]

Sememangnya mandi itu tujuannya untuk mengurangkan rasa penat, haus, lapar atau panas ketika berpuasa dan semua itu tidaklah menjadi suatu kesalahan.

Wallahua'lam.
.............

Dijawab pada;
08/06/2017 bersamaan 13 Ramadhan 1438H.
telegram.me/addien90

Isnin, 29 Mei 2017

Bilakah Waktu Mula Sahur?



Majoriti ulama' berpendapat waktu permulaan sahur ialah pada separuh malam (1/2 malam) dan ia berakhir ketika terbitnya fajar. Ini disebutkan di dalam kitab-kitab fiqh antaranya kata Imam An-Nawawi.

وقت السحور بين نصف الليل وطلوع الفجر
Waktu Sahur ialah diantara separuh malam hingga terbitnya fajar (subuh). [Al-Majmu' 6/360]


Kata Imam Taqiyyuddin Abu Bakar bin Muhammad Al-Husaini ketika menaqalkan ucapan imam An-Nawawi:

ويدخل وقت السحور بنصف الليل
Masuknya waktu sahur itu pada separuh malam. [Kifayah Al-Akhyar 1/2098]

Adapun sebahagian ulama' daripada mazhab Hanafi dan sebahagian ulama' mazhab Syafie yang lainnya berpendapat sahur itu pada 1/6 malam hingga terbit fajar.

..............................

Contoh pengiraan 1/2 malam mengikut waktu solat di KL (Rabu | 08/06/2016):

Waktu masuk maghrib hingga ke subuh / 2

7.22 p.m hingga 5.40 a.m (10 jam 18 minit)

separuh malam secara anggaran kasarnya jam 12.30 a.m

Namun begitu waktu yang disunatkan dan paling afdhal untuk bersahur ialah diakhir-akhir waktu sebelum terbitnya fajar.

Ini berdasarkan hadith daripada Anas bin Malik yang mana Zaid bin Thabit menceritakan pengalaman bersahur bersama Nabi;


تَسَحَّرُوا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ بَيْنَهُمَا قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ أَوْ سِتِّينَ يَعْنِي آيَةً
"Kami bersahur bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kemudian kami bangun untuk solat. Aku (Anas bin Malik) bertanya, berapakah tempoh waktu antara keduanya? Beliau (Zaid bin Thabit) berkata: Lebih kurang lima puluh ayat hingga enam puluh yakni ayat Al-Quran." [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Waktu-waktu akhir sebelum subuh secara kasarnya sekitar 30-40 minit.

Imam Ibn Hajar berkata:

قدر ثلث خمس ساعة
Tempohnya lebih kurang 3/5 jam (±36 minit). [Fath Al-Bari 2/55]

Jika mampu melewatkan lagi sahur itu lebih baik dan sunnah.

Al-Mubarakfuri menaqalkan riwayat daripada Anas bin Malik sebagaimana yang dinuatkan oleh Ibn Asakir dalam Tarikh Dimashq:

من فقه الرجل في دينه تعجيل فطره وتأخير سحوره

Antara tanda faqih (mendalam kefahaman agama) seseorang itu dalam agamanya ialah segera berbuka dan melewatkan sahurnya.
[Tuhfatul Ahwazi 3/315 ]


Kesimpulan

Orang yang makan pada jam 1, 2, 3 pagi lalu tidur dengan niat makan awal itu untuk bersahur tidaklah menjadi suatu kesalahan. Dia dikira sudah bersahur namun perkara itu khilaful aula (bertentangan dengan yang dituntut iaitu mengakhirkan sahur) atau dengan kata lain menyelisihi sunnah. Sebaiknya cubalah untuk bangun di akhir waktu malam dan bersahur. Itu lebih baik dan mendekati makna sahur yang diajar oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam.

Wallahua'lam

Dijawab Pada 08/06/2016 | Rabu

Tulisan Asal:

Ahad, 21 Mei 2017

Benarkah Al-Manna (Gam Arab) Penawar Pelbagai Penyakit?



Allah subhanahu wa ta'ala berfirman:

وَظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَالسَّلْوَىٰ ۖ كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ ۖ وَمَا ظَلَمُونَا وَلَـٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٥٧﴾
Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu "Mann" dan "Salwa", (serta Kami berfirman): "Makanlah daripada makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu." Dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka menganiaya diri sendiri. [Surah al-Baqarah 2:57]


Al-Manna ialah Gam Arab?

Penisbahan al-Mann/al-Manna sebagai gam arab secara mutlak adalah tidak tepat dan tidak dapat dipastikan dengan jelas. Para ulama’ tafsir berbeza pendapat dalam menjelaskan maksud dan ciri-ciri sebenar al-Manna. Berikut dibawakan perbezaan pandangan ulama’ tafsir tentang al-Manna yang disebutkan oleh Imam al-Tabari (wafat 310H) dalam tafsirnya:

1. Berkata Mujahid (wafat 104H): “al-Manna ialah getah/gam.”

2. Qatadah (wafat 118H) mengatakan: “al-Manna diturunkan kepada mereka (orang Bani Israel seperti salji). Sebahagian yang lain mengatakan al-Manna ialah minuman.”

3. Sebahagian ulama’ turut mengatakan al-manna ialah sesuatu yang melekat seperti gam tetapi bukanlah gam itu sendiri. Al-Rabi‘ bin Anas (wafat 139H)mengatakan: “al-Manna ialah minuman yang diturunkan kepada mereka (Bani Israel) seperti madu kemudian mereka mencampurkannya dalam air dan meminumnya.” Berkata sebahagian yang lain, “al-Manna ialah madu.” Pendapat ini juga dipersetuju oleh Ibn Zaid yang mengatakan al-Manna ialah madu yang diturunkan daripada langit.

4. Jabir bin Abdullah meriwayatkan bahawa Amir bin al-Husaib berkata: “Madu kalian ini hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian al-Manna.” 

5. Wahab bin Munabbih (wafat 114H) mengatakan: “Roti yang nipis.”


Tidak Diketahui Secara Pasti

Terdapat pelbagai lagi tafsiran para ulama’ tafsir tentang al-Manna ini seperti yang disebutkan sebelumnya. Kesimpulannya diulas dengan baik oleh Imam Ibn Kathir (wafat 774H) dalam tafsirnya:

“Ucapan-ucapan para ahli tafsir dalam menjelaskan maksud al-Manna saling berdekatan maknanya. Sebahagian daripada mereka menjelaskan al-Manna itu merupakan sejenis makanan. Sebahagian yang lain menjelaskan ia merupakan sejenis minuman. Hakikatnya, wallahua’lam ia merupakan setiap apa yang Allah kurniakan kepada mereka (Bani Israel) daripada makanan dan minuman dan selain daripadanya yang mana mereka tidak perlu mendapatkannya dengan bekerja (mencari/menanam) dan berpenat lelah.

Yang masyhur ialah jika ianya dimakan begitu sahaja, maka ia menjadi makanan dan manisan. Jika ia dicampur dengan air, maka ia akan menjadi minuman yang enak. Jika al-Manna itu dicampur dengan sesuatu yang lain (e.g masakan,adunan etc) maka ia menjadi sesuatu yang lain pula. Namun begitu, tidak ada satu ayat pun yang memberi maksud tertentu baginya (al-Manna).” [Tafsir ibn Kathir 1/267]


Al-Manna Dalam Hadith

Tidak ditemukan suatu ayat al-Quran yang menjelaskan tentang al-Manna secara terperinci seperti yang disebutkan oleh Imam Ibn Kathir. Begitu juga dalam hadith. Namun ada hadith yang memberi gambaran kasar tentang al-Manna antaranya ialah hadith riwayat al-Bukhari, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

الْكَمْأَةُ مِنَ الْمَنِّ وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ

Al-Kam-ah sebahagian daripada al-Manna. Airnya dapat dijadikan ubat bagi sakit mata. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim]

Apa itu al-Kam-ah?

Ia adalah sejenis tumbuhan daripada keluarga cendawan/kulat yang hidup di dalam tanah seperti ubi kentang. Ia dikenali sebagai truffle dalam bahasa Inggeris yang mana sebahagian daripadanya menjadi makanan yang termahal di dunia.


Truffle yang dikatakan sebagai makanan termahal di dunia. $330,000 untuk 1.5KG
https://www.alux.com/most-expensive-truffle-in-the-world/

Imam an-Nawawi (wafat 676H) ketika menghuraikan maksud al-Kam-ah ini membawakan perbezaan pendapat para ulama’ hadith:

1. Al-Kam-ah menyerupai al-Manna sahaja yang mana ianya diturunkan oleh Allah kepada Bani Israel. Ini kerana manusia mendapatkannya tanpa sebarang kos, memberinya ubat/baja, menyiramnya dan sebagainya. Maksud yang boleh difahami disini ialah ianya tidak perlu ditanam dan diusahakan kerana ianya tumbuh sendiri. Ini merupakan pendapat kebanyakan ulama’ hadith.

2. Al-Kam-ah itu sebahagian daripada al-Manna yang diturunkan oleh Allah kepada Bani Israel secara hakiki. Mereka memegang kepada zahir lafaz hadith ini.

[Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 14/4] 

Imam ibn Al-Jauzi (wafat 597H) menambah pendapat yang ketiga yang mana pandangan ini mirip kepada pendapat al-Rabi’ bin Anas:

3. Al-Kam-ah ialah sesuatu yang gugur daripada dahan pokok di sebahagian negara. Ianya menyerupai madu yang dicampur. Ini merupakan pendapat Abu Abdullah al-Humaidi. [Kasyf al-Musykil 1/258]

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H) membawakan satu lagi pandangan:

4. Al-Kam-ah ialah tumbuhan yang tidak berdaun (pada dahan) dan tidak berbatang yang tumbuh di atas muka bumi dan tidak perlu ditanam. [Fath al-Bari 10/163]

Pandangan Ibn Hajar al-Asqalani ini lebih mendekati makna dan hakikat tumbuhan tersebut pada hari ini.

Beza cara tumbuh al-Kam-ah dan cendawan biasa.

Al-Kam-ah pada hari ini. Dikorek untuk mendapatkannya.



Bentuk al-Kam-ah asli yang baru dikutip.


Ubat Untuk Mata

Pelbagai pandangan ulama’ berkaitan dengan makna sebenar al-Manna yang juga digelar “hadiah dari langit” bagi kaum Bani Israel. Perbezaan pendapat yang agak banyak berlaku kerana tidak ada satu riwayat pun yang menjelaskan maksud al-Manna secara terperinci.

Begitu juga dengan fungsi, kegunaan dan khasiatnya.

Yang disebutkan daripada hadith yang sahih hanyalah khasiat al-Kam-ah yang dikatakan menyerupai atau sebahagian daripada al-Manna menurut pandangan sebahagian ulama’. Kalaupun kita menerima bahawa al-Kam-ah itu ialah al-Manna sepenuhnya, tetap tidak ada dalil yang sahih yang menyebutkan khasiatnya melainkan ianya ubat untuk mata sebagaimana yang disebutkan dalam hadith diatas.

Itulah yang diamalkan oleh ulama’ yang mengalami sakit mata seperti Abdullah bin Ahmad bin Hanbal, Imam Kamal bin Abd al-Dimasyqi dan sebagainya. Riwayat dan kisah-kisah mereka yang mengamalkan al-kam-ah sebagai ubat mata disebutkan panjang lebar oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani. [Fath al-Bari 10/165]

Maka, dakwaan bahawa al-Manna itu menyembuhkan atau mampu menjadi penawar bagi penyakit tertentu selain daripada sakit mata, tidak sahih daripada mana-mana riwayat hadith. Yang disebutkan dalam hadith hanyalah sakit mata.

Oleh kerana itu, maka khasiat al-Manna/al-kam-ah (truffle) kembali kepada kajian perubatan atau pakar tumbuhan yang dapat membuktikannya berdasarkan ilmu yang tepat. Dakwaan al-Manna/gam Arab penawar bagi penyakit buah pinggang, diabetes, sakit jantung dan sebagainya hendaklah mendapat pengesahan daripada pihak yang berautoriti. 

Setiap dakwaan hendaklah berdasarkan bukti dan ilmu yang tepat. Bukti terbaik untuk menentukan khasiat apa jua tumbuhan/makanan yang tidak disebutkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah melalui kajian daripada ahlinya.

Wallahua’lam.

.........................

Ad-Dien Abdul Kadir
Penasihat Syariah #MedTweetMY


Khamis, 6 April 2017

Memahami Hadith Umat Selepas Zaman Nabi Berbadan Gemuk



Teks hadith tersebut seperti berikut:

Diriwayatkan daripada Imran bin Husain, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ خَيْرَكُمْ قَرْنِي، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ، ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ - قَالَ عِمْرَانُ: فَلَا أَدْرِي أَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَعْدَ قَرْنِهِ، مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً -ثُمَّ يَكُونُ بَعْدَهُمْ قَوْمٌ يَشْهَدُونَ وَلَا يُسْتَشْهَدُونَ، وَيَخُونُونَ وَلَا يُؤْتَمَنُونَ، وَيَنْذِرُونَ وَلَا يُوفُونَ، وَيَظْهَرُ فِيهِمُ السِّمَنُ
“Sesungguhnya sebaik-baik kalian ialah pada kurunku, kemudian mereka yang datang selepas mereka, kemudian mereka yang datang selepas mereka.” Imran berkata: “Aku tidak tahu adakah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyebutkan selepas kurunnya itu dua atau tiga kali.” Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya selepas mereka itu akan ada golongan yang bersaksi sedangkan mereka tidak diminta untuk bersaksi, mereka berkhianat dan tidak boleh dipercayai, mereka bernazar namun tidak menunaikannya dan terzahir pada diri mereka itu kegemukan.”


Kedudukan Hadith

1. Hadith ini statusnya sahih. Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Namun hadith ini fokusnya bukanlah kepada aspek kegemukan semata-mata bahkan fokus utama dalam hadis ini ialah teks awal hadith iaitu akan muncul kaum yang memberi kesaksian tanpa diminta, orang yang khianat dan tidak boleh dipercayai serta bernazar tetapi tidak menunaikannya. Ini poin utama yang disebutkan dalam hadith ini kerana kebanyakan riwayat yang menyebutkan tentang isu ini datang tanpa menyebut tentang lafaz kegemukan. 


2. Imam al-Bukhari memuatkan hadith dengan lafaz ini dalam Sahihnya pada kitab-kitab berikut:
  • As-Syahadat (kesaksian); bab tidak boleh bersaksi dengan kesaksian palsu.
  • Manaqib; bab Kelebihan para Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
  • Riqaq (perkara yang melembutkan hati); bab peringatan terhadap keindahan dunia dan berlumba-lumba terhadapnya.
  • Al-Aiman wa an-Nuzur (Sumpah dab Nazar); bab Dosa bagi orang yang tidak menunaikan nazar.

Manakala dalam Sahih Muslim pula, lafaz ini dimuatkan dalam kitab-kitab berikut:
  • Fadhail as-Sahabah; bab Kelebihan para Sahabat radhiallahu ta’ala ‘anhum dan generasi selepas mereka (tabi’in dan tabi’ al-tabi’in)

Fokus Utama Dalam Hadith

Ini menunjukkan bahawa fokus utama dalam riwayat ini bukanlah masalah obesiti (kegemukan). Ianya merupakan poin tambahan terhadap ciri-ciri generasi akhir zaman setelah disebutkan tiga sifat buruk mereka di awal lafaz hadith. Bahkan riwayat ini juga dimuatkan dalam kitab-kitab akidah ketika para ulama’ membahaskan tentang kelebihan para sahabat dan tanda-tanda akhir zaman.

Terdapat hadith riwayat Al-Tirmizi dalam kitab al-Fitan dan Syahadat yang terus menyebutkan tentang umat kemudian yang sukakan kegemukan selepas lafaz Nabi menyebutkan kelebihan tiga generasi terawal. Namun, Imam al-Tirmizi menilai riwayat tersebut sebagai lemah.

Imam Ahmad Mukhtar al-Qadhi (wafat 683H) menyebutkan bahawa kegemukan disitu ialah perhiasan dunia dan hadith ini ialah gesaan kepada para salaf agar berwaspada terhadap fitnah dunia kerana mereka adalah sebaik-baik generasi sehinggalah kurun yang ketiga. [Al-Mutawari ‘ala Abwab al-Bukhari 1/387]

Imam Ibn Battal (wafat 449H) berkata:

“Hadith ini merupakan celaan dan penghinaan kepada sesiapa yang tidak menunaikan nazar dan perbuatan ini termasuk diantara tanda-tanda dekatnya kiamat...lafaz ‘terzahir pada mereka kegemukan’, adalah perumpamaan bagi keinginan mereka terhadap dunia dan sikap mereka yang mendahulukan syahwat mereka berbanding akhirat.” [Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal 6/156]

3. Fokus utama hadith ini bukan tentang masalah kegemukan tetapi orang-orang yang memiliki sifat khianat, tidak boleh dipercayai dan bersaksi palsu itu kebiasaan mereka semua itu di akhir zaman berbadan gemuk. Bukan sebaliknya. 

Jika difahami bahawa orang gemuk itu biasanya seorang yang khianat, melanggar nazar dan tidak boleh dipercayai, maka ini kefahaman yang maqlub (terbalik) bahkan menyimpang dari maksud hadith. Diskriminasi terhadap mereka yang bertubuh sedemikian boleh berlaku dan boleh membawa kepada penyalahan gunaan hadith oleh mereka yang bertubuh kurus.


Maksud Gemuk Dalam Hadith

Kegemukan mungkin berkait rapat dengan sifat kemalasan, dan kelemahan fizikal. Namun untuk dikaitkan secara mutlak kegemukan dengan sifat peribadi buruk tertentu adalah tidak tepat. Orang gemuk tidak semesti seorang pengkhianat dan penipu. Orang kurus juga boleh jadi sedemikian.

4. Ulama’ berbeza pendapat dalam menghuraikan maksud gemuk dalam hadith ini. Hal ini dijelaskan oleh Imam An-Nawawi (wafat 676H) yang membawakan beberapa pendapat ulama’ antaranya:
  • Gemuk yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah mereka yang banyak dagingnya dengan cara memperbanyakkannya yakni dengan makan dan minum melebihi kebiasaan yang normal. Adapun orang yang memang dijadikan dengan tubuh badan sebegini, maka tidak termasuk dalam lafaz kegemukan disini. Ini merupakan pendapat majoriti ulama’.
  • Gemuk disini bermaksud bahawa mereka ini memperbanyakkan apa yang tidak mereka miliki dan mendakwa sesuatu yang mereka tidak miliknya untuk mendapatkan penghormatan.
  • Gemuk disini bermaksud banyak harta. [Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim 16/87]

Kegemukan Disisi Islam

5. Walaupun hadith ini bukanlah menyentuh tentang masalah kegemukan secara khusus dan terdapat perbezaan pendapat tentang lafaz gemuk dalam hadith itu, namun kegemukan bukanlah sesuatu yang bagus bahkan sebenarnya ditegah syarak. Ketika mengulas hadith ini, Imam As-Syaukani (wafat 1250H) berkata bahawa tabiat suka makan dan minum dengan banyak menjadi punca kegemukan. [Nail al-Autar 8/342]

Imam al-Qurtubi (wafat 671H) berkata:

“Hadith ini menunjukkan celaan kerana kegemukan yang sengaja diperolehi itu adalah akibat banyak makan dan minum, bersantai, berehat, bersenang-senang dan bebas dengan hawa nafsu. Dia adalah hamba kepada dirinya bukan hamba Tuhannya.

Sesiapa yang berada dalam keadaan ini, pasti dia akan terjebak dengan perkara yang haram. Setiap daging yang tumbuh daripada sesuatu yang dilarang, maka neraka lebih layak baginya. Ini kerana Allah ta’ala telah mencela orang kafir kerana banyak sebagaimana firman-Nya:

‘Dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.’ (Surah Muhammad 47:12).
Maka jika seorang Mukmin mengikut jejak langkah mereka dan hidup dengan gaya hidup seperti mereka pada setiap keadaan dan masa, maka dimanakah hakikat keimanan dan perlaksanaan fungi-fungsi Islam? Sesiapa yang banyak makan dan minumnya, banyaklah sifat tamak dan rakus dalam dirinya. Bertambah kemalasan dan tidurnya di malam hari. Pada waktu siang pula digunakan untuk bersiar-siar dan malamnya tidur sahaja.” [Al-Jami’ li Ahkam al-Quran 11/67]

Imam Ibn Hajar al-Asqalani (wafat 852H) menyebutkan bahawa kegemukan akibat terlalu banyak makan dan minum bukanlah sifat yang terpuji. Kegemukan ialah sesuatu yang tidak baik kerana biasanya membawa kepada lemah daya fikir dan sedikit ibadah sebagaimana yang masyhur. [Fath al-Bari 1/134; 5/260]

Wallahua’lam.
……….
Ad-Dien Abdul Kadir
06/04/2017_Khamis

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik