السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Penyebaran hadith di zaman serba moden ini begitu pantas dan jauh tersebar. Dengan adanya kemudahan internet yang dan laman social seperti facebook, twitter dan blog, maka dengan mudah sesuatu khabar berita itu sampai kepada kita hari ini. Hal ini turut berlaku dalam lapangan hadith yang begitu cepat tersebar ke serata pelusuk dunia. Perkara ini memberi banyak kebaikan dan kelebihan antaranya sunnah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dapat tersebar dengan mudah ke mana sahaja. Dengan itu sesuatu sunnah yang telah lama ditinggalkan akan dapat dihidupkan semula, insyaAllah.
Namun begitu, keburukan turut tersebar secara sedar ataupun tidak iaitu tersebarnya khabar-khabar dan hadith-hadith yang tidak diketahui kebenarannya, tidak diketahui kedudukannya disisi para ulama’ lantas menjadi sandaran dan pegangan kepada orang yang membacanya. Perkara ini amat membimbangkan kerana bukan semua pembaca punya kesedaran untuk menyemak semula apakah sesebuah hadith itu sahih dan boleh diamalkan atau dhaif (lemah), maudhu’ (palsu) dan sebagainya.
Antara hadith yang begitu banyak tersebar di laman maya ialah hadith Peristiwa Huru-Hara Kiamat pada hari jumaat pertengahan ramadhan. Hadith ini sering ditanya oleh teman-teman baik di blog, facebook mahupun menerusi sms. Untuk menjawab persoalan tersebut dengan lebih terperinci dan ilmiah maka saya menulis artikel pendek ini. Berikut adalah hadith yang dimaksudkan:
قَالَ نُعَيْمٌ بْنُ حَمَّادٍ : حَدَّثَنَا أَبُو عُمَرَ عَنِ ابْنِ لَهِيعَةَ قَالَ : حَدَّثَنِي عَبْدُ الْوَهَّابِ بْنُ حُسَيْنٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ ثَابِتٍ الْبُنَانِيِّ عَنْ أَبِيهِ عَنِ الْحَارِثِ الْهَمْدَانِيِّ عَنِ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : “إذا كانَتْ صَيْحَةٌ في رمضان فإنه تكون مَعْمَعَةٌ في شوال، وتميز القبائل في ذي القعدة، وتُسْفَكُ الدِّماءُ في ذي الحجة والمحرم.. قال: قلنا: وما الصيحة يا سول الله؟ قال: هذه في النصف من رمضان ليلة الجمعة فتكون هدة توقظ النائم وتقعد القائم وتخرج العواتق من خدورهن في ليلة جمعة في سنة كثيرة الزلازل ، فإذا صَلَّيْتُمْ الفَجْرَ من يوم الجمعة فادخلوا بيوتكم، وأغلقوا أبوابكم، وسدوا كواكـم، ودَثِّرُوْا أَنْفُسَكُمْ، وَسُـدُّوْا آذَانَكُمْ إذا أَحْسَسْتُمْ بالصيحة فَخَرُّوْا للهِ سجدًا، وَقُوْلُوْا سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ، سُبْحَانَ اللهِ اْلقُدُّوْسِ ، ربنا القدوس فَمَنْ يَفْعَلُ ذَلك نَجَا، وَمَنْ لَمْ يَفْعَلْ ذَلِكَ هَلَكَ)
Nu’aim bin Hammad berkata: “Telah menceritakan kepada kami Abu Umar, dari Ibnu Lahi’ah, ia berkata; Telah menceritakan kepadaku Abdul Wahhab bin Husain, dari Muhammad bin Tsabit Al-Bunani, dari ayahnya, dari Al-Harits Al-Hamdani, dari Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu, dari Nabi sallallahu alaihi wasallam, beliau bersabda: “Bila telah muncul suara di bulan Ramadhan, maka akan terjadi huru-hara di bulan Syawal, kabilah-kabilah saling bermusuhan (perang antara suku/golongan) di bulan Zulkaidah, dan terjadi pertumpahan darah di bulan Zulhijjah dan Muharram…”. Kami bertanya: “Suara apakah, wahai Rasulullah?” Beliau menjawab: “Suara keras di pertengahan bulan Ramadhan, pada malam Jumat, akan muncul suara keras yang membangunkan orang tidur, menjadikan orang yang berdiri jatuh terduduk, para gadis keluar dari pingitannya, pada malam Jumat di tahun terjadinya banyak gempa. Jika kalian telah melaksanakan solat Subuh pada hari Jumat, masuklah kalian ke dalam rumah kalian, tutuplah pintu-pintunya, sumbatlah lubang-lubangnya, dan selimutilah diri kalian, sumbatlah telinga kalian. Jika kalian merasakan adanya suara menggelegar, maka bersujudlah kalian kepada Allah dan ucapkanlah: “Mahasuci Allah Al-Quddus, Mahasuci Allah Al-Quddus, Rabb kami Al-Quddus”, kerana barangsiapa melakukan hal itu, niscaya ia akan selamat, tetapi barangsiapa yang tidak melakukan hal itu, niscaya akan binasa”.
(Hadith ini diriwayatkan oleh Nu’aim bin Hammad di dalam kitab Al-Fitan I/228, No.638, dan Alauddin Al-Muttaqi Al-Hindi di dalam kitab Kanzul ‘Ummal, No.39627).
Sebelum kita menerimapakai, mempercayai dan beramal dengan sesebuah hadith, hendaklah diteliti akan kesahihannya tanpa mengira sesiapa sahaja yang menyampaikannya baik seorang agamawan, ustaz, ustazah, tok guru, dan sebagainya. Ini kerana tidak semua perkara yang sampai kepada kita itu benar kesahihannya dan para agamawan juga manusia biasa yang mungkin melakukan salah dan silap. Hanya kata-kata Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sahaja yang lebih benar dan tidak perlu dipertikaikan kebenarannya. Dan kata-kata manusia lain bermula dari zaman tabiin sehinggalah kini boleh diteliti semula, diterima mahupun ditolak. Tambahan di zaman ini, tidak sedikit para agamawan yang bermudah-mudahan dalam menyampaikan sesebuah hadith sehingga ia menjadi pegangan orang ramai kerana populariti dan kepercayaan terhadapnya. Oleh itu, hendaklah ia disemak dan diteliti sebaiknya sebelum ia diterima.
Kedudukan hadith
Hadith ini dinilai maudhu’ (palsu), karena di dalam sanadnya terdapat beberapa perawi hadith yang kazzab (pendusta) dan bermasalah sebagaimana diperbincangkan oleh para muhaddithin. Antara perawi yang didapati bermasalah dalam rantaian sanad hadith ini ialah:
1. Nu’aim bin Hammad
Dia seorang perawi yang dhaif (lemah),
Berkata An-Nasa’i tentangnya: “Dia seorang yang dha’if (lemah)” (Al-Dhu’afa wa Al-Matrukin, karya An-Nasa’i I/101 no.589)
Berkata Abu Daud: “Nu’aim bin Hammad meriwayatkan dua puluh hadith dari Nabi sallallahu alaihi wasallam yang tidak mempunyai dasar sanad / tidak ada asalnya (La asla lahu ).”
Berkata Imam Al-Azdi: “Dia termasuk orang yang memalsukan hadith dalam membela As-Sunnah, dan membuat kisah-kisah palsu tentang keburukan An-Nu’man (iaitu Abu Hanifah), yang semuanya itu adalah kedustaan” ( Mizan Al-I’tidal, imam Az-Zahabi IV/267).
Berkata Imam Az-Zahabi: “Tidak boleh bagi siapa pun berhujjah dengannya, dan ia telah menyusun kitab Al-Fitan, dan menyebutkan di dalamnya keanehan-keanehan dan kemungkaran-kemungkaran” (Siyar A’lam An-Nubala X/609).
2. Ibnu Lahi’ah (Abdullah bin Lahi’ah)
Dia seorang perawi yang dh’if (lemah), karena mengalami masalah dalam hafalannya setelah kitab-kitab hadithnya terbakar.
Berkata An-Nasa’i: “Dia seorang yang dhaif (lemah)” (Adh-Dhu’afa wa Al-Matrukin, An-Nasa’i I/64 no.346)
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalaini: “Dia mengalami masalah di dalam hafalannya setelah kitab-kitab hadithnya terbakar” (Taqrib At-Tahdzib I/319 no.3563).
3. Muhammad bin Thabit Al-Bunani
Dia seorang perawi yang dhaif (lemah dalam periwayatan hadits) sebagaimana dikatakan oleh Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani, Ibnu Hibban dan An-Nasa’i.
Berkata An-Nasa’i: “Dia seorang yang dhaif (lemah)”
Berkata Yahya bin Ma’in: “Dia seorang perawi yang tidak ada apa-apanya”(Al-Kamil Fi Dhu’afa Ar-Rijal, karya Ibnu ‘Adi VI/136 no.1638).
Berkata Ibnu Hibban: “Tidak boleh berhujjah dengannya, dan tidak boleh pula meriwayatkan darinya” (Lihat Al-Majruhin, Ibnu Hibban II/252 no.928).
Berkata Imam Al-Azdi: “Dia seorang yang gugur periwayatannya” (Lihat Tahdzib At-Tahdzib, karya Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani IX/72 no.104)
4. Al-Harith bin Abdullah Al-A’war Al-Hamdani.
Dia seorang perawi kazzab (pendusta), sebagaimana dinyatakan oleh imam Asy-Sya’bi, Abu Hatim dan Ibnu Al-Madini.
Berkata An-Nasa’i: “Dia bukan seorang perawi yang kuat (hafalannya)” (Lihat Al-Kamil Fi Dhu’afa Ar-Rijal, karya Ibnu ‘Adi II/186 no.370).
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani : “Imam Asy-Sya’bi telah mendustakan pendapat akalnya, dan dia juga dituduh berfahaman Rafidhah (syi’ah), dan di dalam hadithnya terdapat suatu kelemahan” (Taqrib At-Tahdzib I/146 no.1029).
Berkata Ali bin Al-Madini: “Dia seorang pendusta”
Berkata Abu Hatim Ar-Razi: “Dia tidak dapat dijadikan hujjah.” (Siyar A’lam An-Nubala’, karya imam Az-Zahabi IV/152 no.54)
5. Abdul Wahhab bin Husain
Dia seorang perawi yang majhul (tidak dikenal).
Berkata Al-Hakim: “Dia seorang perawi yang majhul (tidak jelas dirinya dan kredibilitinya dalam meriwayatkan hadith)” ( Al-Mustadrak No. 8590)
Berkata Az-Zahabi: “Dia mempunyai riwayat hadith palsu.” (Lisan Al-Mizan, Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani II/139).
Pendapat Para Ulama Tentang Hadith Ini
Berkata Ibnu Jauzi rahimahullah: “Hadith ini adalah pendustaan atas nama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam” ( Al-Maudhu’aat III/191).
Berkata Al-Uqaili rahimahullah: “Hadith ini tidak memiliki dasar dari hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah (dipercayai), atau dari jalan yang thabit (kuat dan benar adanya).” ( Adh-Dhu’afa Al-KabirIII/52).
Berkata Al-Uqaili rahimahullah: “Hadith ini tidak memiliki dasar dari hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah (dipercayai), atau dari jalan yang thabit (kuat dan benar adanya).” ( Adh-Dhu’afa Al-KabirIII/52).
Berkata Syaikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah: “Hadith ini tidak mempunyai dasar yang benar, bahkan ini adalah hadith yang batil dan dusta” ( Majmu’ Fatawa Bin Baz XXVI/339-341).
Berkata Syaikh Al-Albani rahimahullah: “Hadith ini maudhu’ (palsu). Dikeluarkan oleh Nu’aim bin Hammad dalam kitab Al-Fitan.” Dan beliau menyebutkan beberapa riwayat dalam masalah ini dari Abu Hurairah dan Abdullah bin Mas’ud radhiallahu anhuma. (Silsilah Al-Ahadits Adh-Dha’ifah wa Al-Maudhu’ah no.6178, 6179).
Kesimpulan
Dengan demikian, kita dapat mengambil kesimpulan bahawa hadits ini adalah hadith maudhu’ (palsu). Tidak boleh diyakini sebagai kebenaran, dan tidak boleh dinisbahkan sebagai sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Oleh karena itu, tidak halal bagi kita untuk menyebarkannya kepada orang lain baik melalui media cetak, maupun elektronik, kecuali dalam dengan menjelaskan kedhaifan , kepalsuan, dan kebatilannya, serta bertujuan untuk memperingatkan umat darinya dan bukan untuk beramal dengannya.
Jika kita telah melakukan ini, insyaAllah kita telah bebas dan selamat dari ancaman keras Nabi sallallahu alaihi wasallam:
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ فَإِنَّهُ مَنْ يَكْذِبْ عَلَيَّ يَلِجْ النَّارَ
"Janganlah kalian berdusta atas namaku, karena siapa yang berdusta atas namaku nescaya dia akan dimasukkan ke dalam neraka." (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)
مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ
"Barangsiapa berdusta atas namaku maka hendaklah dia menempati tempat duduknya dari neraka." (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Tirmizi, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
والله أعلم بالـصـواب