Cari Entri WADi

Rabu, 15 Ogos 2012

Lailatul Qadar Dan Persoalan Berkaitannya


السلام عليكم 




Keutamaan Lailatul Qadar sangat besar kerana malam itu diturunkan Al-Quran al-Karim yang akan mengangkat dan memuliakan mereka yang berpegang kepadanya. Umat Islam yang selalu berpegang dengan ajaranNya perlu berlumba-lumba meningkatkan amalan dan ibadah sebagai usaha mencari malam yang mulia ini. 



Keutamaan Lailatul Qadar 


Lailatul Qadar disebut sebagai malam yang agung kerana beribadah pada malam itu lebih baik darjatnya daripada beribadah selama seribu bulan. Firman Allah subhanahu wa ta’ala


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ  ٭  وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ  ٭  لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ  ٭  تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ  ٭  سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ


Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar * Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? * Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan * Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut) * Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (Al-Qadr: 1-5)

Pada malam itu juga dijelaskan segala urusan disisi Allah subhanahu wa ta’ala dengan penuh kebijaksanaan serta diberkati kehadirannya. Firman Allah subhanahu wa ta’ala: 



إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ ٭ فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ ٭ أَمْرًا مِّنْ عِندِنَا ۚ إِنَّا كُنَّا مُرْسِلِينَ ٭ رَحْمَةً مِّن رَّبِّكَ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ



Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). * (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). * Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul. * (Untuk menyampaikan) rahmat dari Tuhanmu (kepada umat manusia); sesungguhnya Allah Jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (akan segala keadaan hamba-hambaNya). (Ad-Dukhan: 3-6)


Waktu Lailatul Qadar 

Diriwayatkan daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa malam al-Qadar itu jatuh pada malam ke 21, 23, 25, 27, atau 29 dan malam terakhir dari bulan Ramadhan. Terdapat pelbagai pendapat mengenai bila tibanya Lailatul Qadar disisi ulama’. Imam al-‘Iraqi telah menyusun sebuah risalah mengenai permasalahan ini yang berjudul Syarhus Sadr bi Dzikri Lailatil Qadar. Di dalam kitab ini dinaqalkan pelbagai pendapat para ulama’ meneganai permasalahan ini. 

Berkata Imam As-Syafie rahimahullah

Menurut saya, wallahua’lam , seolah-olah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberikan jawapan atas apa yang ditanyakan kepada beliau: “Adakah kita boleh mendapatkannya pada malam sekian?”. Beliau menjawab: “Raihlah Lailatul Qadar pada malam sekian.”  [Al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah (VI/388)] 

Pendapat yang paling rajih adalah pendapat yang menyatakan Lailatul Qadar itu jatuh pada malam-malam ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Hal ini dinyatakan daripada hadith ‘Aisyah radhiallahu ‘anha

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam selalu bangun pada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan lalu bersabda: Dapatkanlah (Dalam riwayat lain dengan lafaz carilah) Lailatul Qadar pada malam ganjil dari sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Jika seseorang itu tidak mampu, maka janganlah dia sampai tertinggal untuk mengejar Lailatul Qadar pada tujuh malam terakhir. Daripada Ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 


التمسوها في العشر الأواخر فإن ضعف أحدكم أو عجز فلا يغلبن على السبع البواقي 

Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir. Jika salah seorang daripada kalian tidak mampu atau lemah, hendaklah dia tidak ketinggalan untuk mengejar tujuh malam lainnya. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 


Sebagaimana yang diketahui dari Sunnah bahawa pengetahuan mengenai Lailatul Qadar ini tidak ditetapkan kerana manusia ketika itu saling berselisih mengenainya. Daripada ‘Ubadah bin as-Samit radhiallahu ‘anhu berkata, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah keluar rumah pada Lailatul Qadar. Kemudian ada dua orang Muslim yang berselisih maka beliau bersabda: Sesungguhnya aku keluar untuk memberitahu kalian mengenai Lailatul Qadar. Lalu si fulan dan si fulan tetap berselisih sehingga pengetahuan tentangnya tidak diberikan. Mudah-mudahan hal tersebut lebih baik bagi kalian. Oleh kerana itu, carilah pada malam kesembilan, ketujuh dan kelima (dalam riwayat lain disebutkan: pada malam ketujuh, kesembilan dan kelima). [Riwayat al-Bukhari (IV/232)]


Peringatan: 

Ada beberapa hadith yang menunjukkan bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan. Ada juga hadith lain yang menyebutkan bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir. Hadith sepuluh malam terakhir adalah bersifat umum sedangkan hadith malam-malam ganjil itu bersifat khusus. Oleh itu yang khusus didahulukan dari yang bersifat umum. Ada juga hadith yang menunjukkan bahawa Lailatul Qadar itu jatuh pada tujuh malam terakhir namun hadith ini terikat pada ketidakmampuan dan kelemahan jika tidak mampu menyerjakan pada sepuluh malam terakhir. Maka hadith ini tidak menunjukkan pertentangan dan tidak pula tertolak. 

Ringkasnya, seorang Muslim hendaklah berusaha mencari Lailatul Qadar itu pada malam-malam ganjil dari sepuluh malam terakhir di bulan ramadhan iaitu pada malam ke 21. 23, 25, 27 dan 29 tanpa mengabaikan malam-malam yang tidak ganjil. Jika tidak berkemampuan maka bolehlah berusaha pada malam-malam ganjil dari tujuh malam terakhir iaitu malam 25, 27 dan 29. Wallahua’lam 


Cara Mendapatkan Lailatul Qadar 

Adalah dianjurkan buat umat Islam untuk berusaha sedaya mungkin mencari Lailatul Qadar yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Seseorang yang berusaha dengan penuh kesungguhan dan mengharapkan keampunan dari Allah subhanahu wa ta’ala nescaya akan diampunkan kesalahannya malah diberikan ganjaran yang besar buatnya. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 


من قام ليلة القدر إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه 

Barang siapa yang solat pada (malam) Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka akan diberikan keampunan kepadanya atas dosa-dosanya yang telah lalu. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

Sunnah yang dianjurkan ialah membacakan doa dan memperbanyakkannya sebagaimana yang telah diriwayatkan daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam: Wahai Rasulullah, bagaimana pedapatmu jika aku mendapatkan Lailatul Qadar, apa yang perlu akan ucapkan? Rasulullah lalu bersabda: Bacalah: 


اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي 

Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, yang mencintai keampunan. Maka berilah keampunan kepadaku. [Riwayat al-Tirmizi no.3760, Ibn Majah no. 3850, hadith ini sahih.] 

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berusaha keras untuk mencari Lailatul Qadar yang tiba hanya pada bulan Ramadhan sahaja pada sepuluh malam terakhir. Baginda mengurangkan tidur, memperbanyakkan ibadah dan doa serta meninggalkan hubungan suami isteri demi untuk meningkatkan ketaatan di malam tersebut. Daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha berkata: 

Jika memasuki sepuluh malam terakhir (Ramadhan), Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memperkuatkan ikatan kainnya* sambil menghidupkan malam itu dan membangunkan keluarganya. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim] 

*Nota: Maksud memperkuatkan ikatan kainnya ialah menghindari hubungan suami isteri dalam usaha meningkatkan ibadah serta berusaha keras untuk mencari Lailatul Qadar. Demikian pendapat yang dinyatakan oleh Syeikh al-Halabi. 

‘Aisyah juga berkata bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam berusaha keras pada sepuluh malam terakhir yang mana tidak beliau lakukan pada bulan-bulan lainnya. [Riwayat Muslim no. 1174] 


Tanda-tanda Lailatul Qadar 

Amat masyhur dalam kalangan masyarakat bahawa pada malam Lailatul Qadar akan muncullah kejadian-kejadian aneh seperti pohon bersujud ke bumi, air laut menjadi tawar, aliran air terhenti dan sebagainya. Hal ini bertambah parah sehingga ia menjadi suatu pegangan dan keyakinan terhadap tanda-tanda hadirnya atau tanda-tanda seseorang itu memperolehi Lailatul Qadar. Walaupun ia adalah hujjah yang masyhur dan terkenal namun ia bukan penentu ia diterimapakai dalam Islam. Saudaraku yang dimuliakan Ilahi, sesungguhnya itu semua bukanlah hakikat dan tanda-tanda hadirnya Lailatul Qadar sebagaimana yang digembar-gemburkan masyarakat. Tidak ada suatu dalil hadith mahupun athar yang menyentuh keadaan seperti itu maka hendaklah kita menjauhi kepercayaan yang tidak berlandaskan dalil yang sahih. Adapun mengenai tanda-tandanya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menyifatkan pagi hari pada Lailatul Qadar sebagaimana hadith daripada ‘Ubai radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 


صبيحة ليلة القدر تطلع الشمس لا شعاع لها، كأنها طست حتى ترتفع 

Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tanpa sinar, seakan-akan ia tidak terik sehingga ia meninggi. [Riwayat Ahmad no. 20253 dan Muslim no. 762. Hadith ini sahih] 


Daripada Ibn Abbas radhiallahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: 


ليلة القدر ليلة سمحة، طلقة لا حارة ولا باردة تصبح الشمس صبيحتها ضعيفة حمراء 

Lailatul Qadar merupakan malam yang penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak pula dingin. Pada pagi harinya matahari tampak lemah dan merah. [Riwayat Ibn Khuzaimah (III/231), at-Thayalisi no.349 dan al-Bazzar (I/486). Hadith ini sanadnya bertaraf hasan]


والله أعلم بالصواب

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik