Cari Entri WADi

Sabtu, 14 Februari 2015

Biografi Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat


بسم الله الرحمن الرحيم




Kelahirannya


Anak kedua dari perkahwinan Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) dengan isteri pertama ini dilahirkan pada tahun 1931 dan diberi nama Nik Abdul Aziz. Anak kelahiran Kampung Pulau Melaka ini membesar dalam suasana keluarga dan rumahtangga yang sederhana dan mengecapi zaman kanak-kanak seperti kanak-kanak lain.
Angkatan sepermainannya mengakui bahawa beliau seorang yang lemah-lembut, mudah bertolak ansur dan begitu disayangi oleh rakan-rakannya.
Pendidikan Asas

Negeri Kelantan terkenal dengan keprihatinan warganegerinya yang mementingkan didikan Islam bagi setiap anak-anaknya. Hal ini agak ketara berbeza dengan warganegeri lain. Ini adalah disebabkan latarbelakang sejarahnya yang menyaksikan banyak tumbuh pusat-pusat pengajian pondok terutamanya. Sebagaimana anak-anak lain yang diberi didikan agama sejak awal oleh ibubapa masing-masing, maka Nik Abdul Aziz juga tidak terkecuali. Bahkan kedudukan beliau agak istimewa kerana pendidik awalnya ialah ayahnya sendiri yang sangat mengutamakan asuhan dan  didikan agama bagi anak-anaknya. 





Kediaman Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jadual wajib setiap malam mereka adik beradik ialah mengaji Al-Quran. Dalam masa yang tidak lama, beliau didapati memiliki tahap kecerdasan yang tinggi dalam menangkap dan memahami setiap pelajaran. Hingga dapat menandingi teman-teman sepengajiannya bahkan dari kalangan yang lebih tua usianya. Kemudian diberi kepercayaan untuk mengantikan tempat ayahnya mengajar kanak-kanak lain membaca ayat-ayat lazim (Muqaddam).
Sekolah Rasmi

Pada umur enam tahun, beliau dihantar untuk berlajar di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat untuk mempelajari asas membaca dan menulis. Pulang dari sekolah, kanak-kanak ini tidak begitu terpaut hati untuk banyak bermain-main dengan rakan-rakannya. Sebaliknya beliau lebih gemar mengisi masa petangnya untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat sebarang kerjarumah yang ditugaskan oleh guru. Sesekali beliau turun ke tanah untuk bermain layang-layang dan gasing yang menjadi sebahagian hobi zaman kanak-kanaknya.

Di sekolah ini, beliau adalah pelajar pertama yang memakai seluar panjang kerana Tuan Guru Haji Nik Mat Alim sangat tidak suka melihat kanak-kanak lelaki berseluar pendek. Walau bagaimana pun, persekolahan di Sekolah Kebangsaan itu tidak lama kerana setelah beberapa bulan, beliau berhenti atas kesedaran ayahnya yang menyedari kecenderungan anaknya itu dalam pengajian Islam.
Mengaji di Pondok Tok Kenali

Lalu beliau dihantar menuntut ilmu di Kubang Kerian berguru pada Tok Kenali. Di pusat pengajian pondok ini, beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab.




Menjelang usia remaja, Nik Abdul Aziz di hantar pula ke Besut, untuk belajar di Pondok Tuan Guru Haji Abbas. Di sini beliau sudah mula menguasai beberapa ilmu untuk amalan seharian. Bila sekali-sekala pulang ke kampungnya, beliau kadang-kadang mengantikan ayahnya menjadi iman dalam sembahyang dan mengajar Al-Quran.
Mula Menuntut Di Seberang Laut

Sekitar tahun 1952, beliau belayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani.

Kemudian pada tahun 1957, beliau menyeberang sempadan masuk ke Pakistan belajar di Lahore melanjutkan pengajian dalam bidang Tafsir Al-Quran.



Belayar Lebih Jauh

Kecenderungan yang begitu mendalam dalam menuntut ilmu agama, telah membawa beliau belajar lebih jauh. Kali ini belayar lagi dan kemudian turun untuk menjejakkan kaki di bumi Mesir. Di Universiti Al-Azhar anak muda yang berusia sekitar 30 tahun ini mengambil jurusan Bahasa Arab lantaran minatnya yang begitu mendalam. Di sini beliau meningkatkan penguasaannya dalam ilmu-ilmu Bahasa Arab seperti balaghah, syair dan segala bentuk puisi Arab. Hingga akhirnya pemuda ini memperolehi Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Setelah itu Nik Abdul Aziz meneruskan pengajian dalam bidang Perundangan Islam (Syari'ah). Jurusan ini ternyata lebih mencabar. Beliau lebih banyak duduk bertekun membaca dan mutala'ah al-Umm (Imam as-Syafi'ie), Fath ul-Baari (Ibn Hajar al-Haitami), al-Iqna' dan beberapa kitab-kitab yang berjilid-jilid. Berkat ketekunan dan kesungguhan, beliau lulus dan mendapat Ijazah Sarjana Perundangan Islam di universiti tertua di dunia ini.
Belayar Pulang

Setelah lulus dalam jurusan Syari'ah, beliau bercita-cita pula untuk mendapatkan Diploma, tetapi hasrat itu terbantut apabila pulang dalam keadaan agak tergesa-gesa bersama Ustaz Yusof Bakar (bekas pensyarah Kolej Islam Kelang) pada awal 1962.


Pulang Ke Malaysia

Hampir dua belas tahun di rantau orang, bukanlah satu tempoh masa yang singkat. Berangkat ke luar negara ketika tanahair masih dalam jajahan British. Kini tanahair yang 'merdeka'nya masih kanak-kanak menyambutnya dalam suasana yang bagitu jauh berbeza. Sanak saudara yang menyambut tidak segera mengenalinya. Lebih-lebih lagi penampilannya yang jauh berbeza berbanding sewaktu berangkat sebelas tahun lalu. Anak muda berpakaian kemas dengan mengenakan talileher serta kasut yang berkilat itu akhirnya dicam orang apabila mereka terpandang kepada nama yang tertera pada beg yang dibawanya Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau mendapati negara ini sudah jauh berbeza terutama suasana di bandar. Tetapi apabila sampai di kampung halaman, keadaan yang agak mundur membuatnya berasa kekok buat beberapa ketika. Suasana Kampung Pulau Melaka jauh berbeza berbanding bandaraya Kaherah yang lebih moden.
Mula Bertugas

Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardhiyyah, Panchor merupakan institusi pendidikan terawal yang menerima khidmat bakti tokoh pendidik muda ini. Beliau turun awal pagi dari rumahnya di Kg Pulau Melaka menuju ke Panchor dengan berbasikal lumba (hadiah daripada Al-Marhum Tuan Haji Nik Abdullah bin Arsyad - lebih dikenali dengan panggilan Pak Nik Lah).Pada tahun ini juga (1962) Tuan Guru Haji Nik Mat Alim mengasaskan Sekolah Agama Darul Anwar di Kampung Pulau Melaka. Oleh kerana itu khidmat Haji Nik Abdul Aziz di Panchor tidak lama kerana berpindah mengajar di sekolah yang baru diasaskan oleh ayahnya itu. Selain menjadi tenaga pengajar di SADA, beliau juga diberi kepercayaan memegang jawatan Bendahari dalam organisasinya di samping ayahnya sendiri selaku Pengerusi.



Sekolah Menengah Darul Anwar Kg. Pulau Melaka berwajah baru hasil kegigihan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.



Mengakhiri Zaman Bujang

Pada usia 31 tahun, beliau melangsungkan perkahwinan dengan seorang gadis berusia 14 tahun pilihan kedua orang tuanya. Gadis itu ialah Tuan Sabariah bte Tuan Ishak yang dilahirkan pada tahun 1948, anak keempat dari enam adik beradik. Isterinya ini adalah anak jati Kampung Panchor, Kemumin.


Pendidikan Tuan Sabariah bte Tuan Ishak

Mendapat pendidikan secara rasmi di salah sebuah sekolah kendalian Majlis Agama Islam Kelantan. Apabila tamat darjah enam, beliau menyambung pengajian ke Sekolah Menengah Na'im lil Banat (Sek. Menengah Perempuan Na'im). Walaupun beliau bercita-cita untuk menyambung ke peringkat yang lebih tinggi, namun hasratnya itu terpaksa dipendamkan apabila beliau dijodohkan oleh ayahnya dengan Haji Nik Abdul Aziz (yang ketika itu sedang mengajar di SMATM Panchor).

Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.


Sebagai Penyelia KEMAS

Wargatua dari rakyat negara ini ketika itu kebanyakannya terdiri dari kalangan mereka yang buta huruf. Kenyataan ini memberi kesan yang mendalam dalam diri Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Pada pendapatnya, tahap kesedaran berilmu dan beramal dengan baik dan betul adalah sukar untuk dicapai selagi masalah buta huruf ini tidak diatasi. Lalu beliau menerima tawaran untuk lantikan sebagai Penyelia bagi Kelas Dewasa (kini dikenali sebagai kelas KEMAS). Namun begitu, penglibatan beliau dalam KEMAS tidak lama kerana beberapa perkara yang menjadi syarat persetujuanya untuk menerima jawatan itu telah tergugat.

Iaitu beliau perlu diberikan kebebasan untuk menyampaikan haq tanpa sebarang sekatan atau penentangan sekalipun bakal menyentuh mana-mana pihak samada di pihak KEMAS atau sesiapa sahaja. Kedua iaitu prinsip beliau menyampaikan sesuatu pengajaran agama adalah secara jelas menepati kandungan al-Quran dan al-Hadith, ijma' dan qias sebagaimana yang dipelajarinya.

Pada bulan-bulan terawal, banyak kritikan dan tegurannya masih boleh diterima oleh lapisan pelajar termasuk pengelola kelas itu sendiri. Tetapi akhirnya kegiatannya menimbulkan suasana politis yang agak gawat dan kontroversi hingga beliau disekat dengan bermacam-macam halangan. Semuanya adalah kerana teguran dan kritikan itu telah tersentuh ke atas batang hidung pihak yang tidak senang dengan usahanya untuk menyuburkan semangat keIslaman di kalangan lapisan pelajar kelas dewasa itu. Akhirnya, dua tahun kemudian, Haji Nik Abdul Aziz meletak jawatan.
Bertugas di Maahad Muhammadi

Sebaik sahaja melepaskan jawatan di KEMAS, beliau langsung mendapat peluang mengajar di SMA Maahad Muhammadi Lil Banin (Lelaki) pada tahun 1964.
Sebagai Ahli Politik

Tiga tahun kemudian, apabila berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Tuan Haji Ahmad Abdullah (Haji Ahmad Perai), Haji Nik Abdul Aziz telah dicalonkan oleh PAS Kelantan untuk mempertahankan kerusi tersebut. Dengan izin Allah dan di atas ketokohan, kewibawaan yang jelas pada dirinya, PAS mengekalkan kerusi Parlimen tersebut.

Maka sejak itu kehidupan Haji Nik Abdul Aziz mula berubah. Tiba-tiba beliau menjadi begitu sibuk dengan tugas barunya sebagai Ahli Parlimen. Beliau sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Kuala Lumpur. Tidak seperti wakil rakyat atau ahli parlimen lain yang lebih suka menetap di Kuala Lumpur, meninggalkan kawasan yang diwakili, meninggalkan rakyat yang telah mengundi mereka. Sebaliknya YB Haji Nik Abdul Aziz sanggup berulang alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Beliau masih meneruskan kewajibannya mengajar di Masjid Pulau Melaka dengan penuh komitmen.

Beliau sering balik lewat malam kerana memenuhi jemputan untuk berceramah di merata pelusuk tanahair. Masa untuk bersama keluarga menjadi begitu singkat. Ketika itulah Datin Tuan Sabariah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengurus rumahtangga dan mengasuh anak-anak.

YB Haji Nik Abdul Aziz tetap akan pulang ke rumah walau bagaimana sibuk sekalipun. Waktu yang begitu terbatas bersama keluarga digunakan dengan sebaik mungkin untuk melayani anak-anak dan menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit.


Perkhidmatan :

Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun.

Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.


Bidang Politik :

Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.


Bidang Dakwah:

Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.


Petah Bercakap

Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.


Keistemewaan :

Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.


Penghargaan Yang Diterima:

Beliau mendapat penghargaan:

1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.


Ahli Parlimen yang komited :

Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.




Kerajaan contoh :

Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri, Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.

Di sinilah di Dewan Zulkifli Muhammad inilah, ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang dikasihi dan dihormati itu.



Masalah Kesihatan


Beliau mempunyai masalah kesihatan jantung, darah tinggi dan gastrik. Pada akhir tahun 2004, beliau dimasukkan ke hospital setelah mendapat serangan sakit jantung. Pada tahun 2007, beliau dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana keletihan.

Beliau sendiri mengakui bahawa kesihatannya semakin terganggu sejak akhir-akhir ini. Namun itu semua tidak menghalangnya untuk terus berbakti kepada masyarakat.

“ Saya akui pada zahirnya, tubuh saya ada mengalami masalah berkaitan jantung tetapi pemikiran saya masih tajam untuk berfikir dan membuat penilaian atau keputusan. ”



Meninggal Dunia

Nik Aziz telah meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, Kota Bharu pada 12 Februari 2015 pada pukul 9:40 malam akibat penyakit kanser prostat tahap empat. Nik Aziz dikebumikan di sebelah kubur bapanya, Tuan Guru Haji Nik Mat Raja Banjar di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka, selepas disembahyangkan di Masjid Tok Guru Pulau Melaka.



Ringkasan Biodata




Tahun Lahir1931

Tempat LahirPulau Melaka, Kelantan

Status:Berkahwin dengan Tuan Sabariah Tuan Ishak dan memperolehi
10 cahaya mata (5 lelaki & 5 perempuan). Kesemua anak-anaknya mengambil
jurusan agama sebagai pilihan utama.

Pendidikan:

Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat (3 Bulan) – 1936.
Sekolah Pondok Tok Kenali Kubang Kerian.
Sekolah Pondok Tok Guru Haji Abbas Besut, Terengganu.
Universiti Deobond, India – 1952.
Lahore, Pakistan – Ilmu Tafsir Quran – 1957.
Universiti Al-Azhar, Mesir – Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab.
Universiti Al-Azhar, Mesir – Sarjana Perundangan Islam.

Penguasaan Bahasa:Melayu, Inggeris, Tamil, Urdu, Arab

Pekerjaan:Guru Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor.
Guru Sekolah Menengah Agama Darul Anwar, Pulau Melaka.
Penyelia Kelas Dewasa – KEMAS.
Guru Sekolah Menengah Maahad Muhammadi, Kota Bharu.

Kerjaya Politik:1967 – Daftar sebagai ahli PAS.
1967-1969 -Pilihanraya Kecil – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
1969-1974 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir.
1974-1978 – Ahli Parlimen Kelantan Hilir. (Kawasan ini ditukar nama kepada Parlimen Pengkalan Chepa).
1978-1982 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
1982-1986 – Ahli Parlimen Pengkalan Chepa.
1986-1990 – Ahli Dewan Undangan Negeri Semut Api Kelantan.
1990-Sekarang – Menteri Besar Kelantan.

Kesimpulan Jawatan Politik:19 Tahun Sebagai Ahli Parlimen.
4 Tahun Sebagai Ahli DUN. Hingga Sekarang Beliau Telah Berkhidmat Sebagai Menteri Besar Kelantan Selama 16 Tahun.

Hingga Sekarang Beliau Telah Berkhidmat Sebagai Wakil Rakyat DUN dan Parlimen Selama 39 Tahun.

Meninggal Dunia
12/02/2015  9.40p.m


 والله أعلم بالـصـواب 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik