Seseorang yang sedang sakit memerlukan darah dan jika anda menderma darah kepadanya, ia merupakan suatu amalan yang mampu membantu menyelamatkan kehidupan insan lain. Ganjarannya cukup besar disisi Allah s.w.t. Islam memandang manusia itu sejenis makhluk yang mulia. Jadi, jika memberi minum kepada haiwan atau menolong menyelamatkan haiwan sudah melayakkan kita memperoleh ganjaran yang besar, apatah lagi dengan menyelamatkan nyawa seorang manusia, iaitu makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.
Maka jika yang menderma itu terdiri daripada kaum kerabat sendiri, sudah tentu ganjaran Allah berganda kepadanya kerana ada hadith yang menekankan agar diutamakan kerabat yang terdekat terlebih dahulu supaya hubungan silaturrahim itu bertambah erat. Demikian juga jiran dan rakan dan sebagainya. Malah menderma darah kepada orang yang bermusuhan juga baik kerana ia membantu menjernihkan kembali hubungan yang telah keruh sebelumnya.
Akademi Fekah Islam juga memfatwakan bahawa menderma darah atau organ manusia kepada mereka yang memerlukan adalah suatu amalan yang baik lagi terpuji. Malah al-Qardawi pernah menyeru Umat Islamdi Amerika supaya menderma darah kepada orang ramai yang bukan Islam yang terlibat dengan serangan 11 September 2001 dahulu. Justeru, ini termasuk amalan yang baik kepada seluruh manusia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa. Dalam hal ini, tiada istilah perbezaan sesama manusia. Perkaran ini bolehlah dibandingkan dengan menyelamatkan orang yang sedang lemas , iaitu wajib mereka diselamatkan meskipun mangsa bukanlah orang Islam. Ia termasuk dalam suruhan Allah s.w.t supaya saling tolong menolong dalam melakukan kebaikan dan tidak tolong menolong dalam melakukan keburukan.
Mungkin terlintas difikiran sesetengah individu, apa pula hukumnya mereka yang liat atau enggan menderma darah?. Menderma darah bukanlah perkara yang diwajibkan atau difardhukan, ianya harus. Maka dengan menderma darah membolehkan kita memperoleh ganjaran yang besar, namun jika tidak menderma, terhalanglah kita dari memperoleh ganjaran tersebut. Tidaklah anda dilabel berdosa kerana tidak menderma darah. Dalam keadaan tertentu, umpamanya darurat, menderma darah merupakan fardhu kifayah. Namun jika dengan menderma darah itu boleh membawa mudarat kepada penderma maka tidak perlu menderma darah itu.
Usaha tahunan seperti kempen menderma darah wajar digiatkan. Orang ramai harus memberikan respon yang positif dan baik dalam hal ini. Kita tidak perlu ragu-ragu untuk melakukan sesuatu amalan yang baik, apatah lagi dalam perkara yang berkaitan dengan menyelamatkan nyawa insan. Ia selari dan bertepatan dari segi "maqasid syariah" atau tujuan syariat untuk memelihara jiwa yang ada. Jika kita perlu membantu orang lain dengan sesuap makanan atau seteguk air pada hari kebuluran, mereka yang sakit pula memerlukan titisan darah dari mereka yang prihatin untuk membantu menyambung hayat mereka dengan izinNya.
Apa yang lebih penting, tanpa mengira status Muslim atau non-Muslim, pendermaan darah ini boleh mengeratkan lagi hubungan diantara satu dengan yang lain. Justeru itu, menderma darah tidak boleh dilakukan dengan niat untuk mengaut keuntungan melalui jual beli. Jika bayaran diambil, maka hukum menderma darah itu adalah haram dan berdosa kerana melibatkan bayaran kepada si penderma. Berdasarkan keadaan dan keperluan pesakit terhadap darah, jika semua orang tidak mahu menderma darah, maka pihak berkuasa yang mempunyai autoriti boleh mengadakan suatu peraturan untuk mewajibkan menderma darah ini dengan syarat-syarat yang tertentu. Ini adalah seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Mesir dengan syarat ada keluusan dari pakar yang adil dan mahir dalam bidang tersebut.
Oleh itu, adalah tidak wajar bagi kita untuk memandang rendah hikmah dan kebaikan yang diperolehi daripada menderma darah ini. Menderma darah boleh jadi antara sedekah yang besar dan pahalanya terus menerus mengalir untuk kita. Ia tidak mengira darjat, perbezaan warna kulit mahupun agama. Marilah bersama-sama membantu menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan. Boleh jadi suatu hari nanti, kita pula ditempat mereka yang memerlukan darah. Wallahua'lam
- Amal Dengan Ilmu -
WADi