Cari Entri WADi

Jumaat, 16 Mac 2012

Mandi Wajib/ Junub/ Hadas Besar dan Persoalan Berkaitannya



السلام عليكم




Mandi hadas atau berhadas besar merupakan suatu yang penting dan perlu ditekankan dalam kalangan umat Islam. Ia tampak seakan-akan sesuatu yang mudah dan remeh namun hakikatnya ia mempunyai tatacara dan panduan yang khusus untuk melakukannya supaya bertepatan dengan kehendak syara'. Allah s.w.t telah mewajibkan setiap mukmin mandi setelah ia berjunub (berhadas besar). Allah berfirman:



وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا

“Dan jika sekiranya kamu berjunub maka hendaklah kamu bersuci (mandi junub)”. (al-Maidah 5:6)


Pengertian Mandi Junub/ Hadas Besar

Pengertian mandi atau al-ghuslu (الغسل) menurut pengertian Bahasa Arab ialah:

“Mangalirkan air ke seluruh anggota tubuh badan”. ( Fath al-Bari, 1/359)

Al-Guslu (mandi) ialah: Menyempurnakan membasuh (mencuci) seluruh jasad (tubuh badan)”.(Lisanul Arab. 2/988)

Berkata Ibnu Hajar rahimahullah, dalam menjelaskan maksud mandi junub (mandi hadas besar) : 


“Hakikat mandi junub ialah menjirus (mengalirkan) air ke seluruh anggota tubuh  (dari hujung rambut ke hujung kaki). Sebahagian ulama mewajibkan berkumur-kumur dan menghisap air ke hidung (memasukkan air ke dalam hidung) semasa mandi junub”.( Fath al-Bari. 1/359)


Sebab-Sebab Mandi Junub/ Hadas Besar


1. Keluar Air Mani

Para ulama telah sepakat bahawa apabila keluar air mani dengan bersyahwat, bersetubuh atau bermimpi maka wajib baginya mandi junub. Begitu juga bagi kaum perempuan (jika keluar air mani) maka wajib baginya mandi junub sebagaimana keterangannya dari hadith-hadith berikut:

Dari Aisyah ia berkata:


"Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mendapati basah (kerana keluar mani) padahal tidak ingat bahawa ia bermimpi lalu baginda menjawab: Hendaklah ia mandi. Dan baginda pernah ditanya tentang lelaki yang bermimpi dirasakan seolah-olah keluar air mani tetapi tidak ada kesan basah. Baginda menjawab: Tidak wajib mandi. Kemudian Ummu Sulaim bertanya: Kalau perempuan bermimpi demikian wajibkah wanita itu mandi? Nabi menjawab: Ya, kerana sebenarnya kaum wanita itu adalah saudara-saudara kaum lelaki!”. (Riwayat Imam yang lima, kecuali Nasaii.)

Dari Ummi Salamah bahawa Ummu Sulaim berkata:

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah tidak malu kerana sesuatu yang haq! Apakah wanita wajib mandi junub kalau ia bermimpi? Baginda menjawab: Ya, apabila ia melihat air! Kemudian Ummu Salamah bertanya lagi: Apakah perempuan juga bermimpi? Celaka engkau, kalau tidak begitu dengan apa anaknya boleh serupa dengannya!”. (Muttafaq ‘alaihi)

“Dari Khaulah binti Hakim bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi seperti mimpinya lelaki lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Ia tidak wajib mandi sehingga mengeluarkan air mani seperti halnya lelaki tidak wajib mandi sehingga ia mengeluarkan air mani”. (Riwayat Ahmad)

“Dan Nasaii meriwayatkan dengan ringkas yang lafaznya: Bahawasanya dia (Khaulah) bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam tentang perempuan yang bermimpi mengeluarkan air mani dalam tidurnya lalu Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam menjawab: Kalau ia melihat air mani maka hendaklah ia mandi”. (Riwayat Nasaie)

Dari hadith-hadith sahih di atas, menunjukkan bahawa wanita juga terkadang bermimpi kerana wanita adalah saudara kandung lelaki. Maka sebagaimana kaum lelaki juga bermimpi maka kaum wanita demikian pula. [Fatwa-fatwa muslimah., Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan]

Dan jika ia (seseorang wanita) tidak menemui tanda/bekas/basah/sisa-sisa air setelah bangun tidur maka ia tidak diwajibkan untuk mandi junub. Adapun jika ia mendapati bekas/tanda air maka ia wajib mandi kerana Ummu Sulaim berkata: Wahai Rasulullah, apakah seorang wanita wajib mandi jika ia bermimpi (keluar air)? Rasulullah sallallahu ‘alaihi was-sallam menjawab: Ya, kalau ia melihat (mendapati basah) bekas air! Jika wanita mendapati ada bekas air maka ia diwajibkan mandi junub. [Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan]

Jika seseorang perempuan sering mengeluarkan cecair tanpa disebabkan oleh suatu rangsangan (nafsu syahwat/nikmat) maka sama sekali tidak diwajibkan mandi. Mandi hanya diwajibkan apabila melakukan persetubuhan, bermimpi, keluar air diiringi syahwat (seperti mimpi berjimak dengan seorang peria lalu ketika bangun terdapat bekas air maka diwajibkan baginya mandi junub). [ Fatwa-fatwa muslimah. Hlm. 141. Syeikh Muhammad bin Ibrahim al-Syeikh, Syeikh Abdurrahman bin Hashir as-Sa’diy, Syeikh Abdullah bin Abdullah bin Bazz, Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin, Syeikh Abdullah bin Jibrin dan Syeikh Soleh Fauzan bin Fauzan]


Beza antara Air Wadi dan Mazi 

 Wadi adalah cecair pekat yang biasanya keluar setelah seseorang selesai dari buang air kecil (kencing). Wadi ini dihukum najis dan harus disucikan seperti halnya kencing, akan tetapi tidak diwajibkan mandi. (Fiqh Wanita Syeikh Kamil Muhammad ‘Uwaidah)

Mazi adalah cecair yang bening dan pekat yang keluar dari zakar atau faraj ketika bercumbu atau ketika nafsu syahwat. Hal ini sama-sama dialami oleh lelaki dan juga wanita, akan tetapi pada wanita jumlahnya lebih banyak. Menurut kesepakatan para ulama, mazi ini dihukum najis. Apabila mazi ini mengenai badan maka wajib dibersihkan dan apabila mengenai pakaian maka cukup sekadar menyiramkan air pada bahagian yang terkena mazi. Mengenai hal ini terdapat hadis-hadis sahih yang menjelaskannya. Aisyah radiallahu ‘anha mengatakan:

“Wadi itu keluar setelah proses kencing selesai. Untuk itu hendaklah seseorang muslim (dan muslimah)mencuci kemaluannya (setelah keluarnya wadi) dan berwuduk serta tidak diwajibkan mandi junub”. (Riwayat Ibnu al-Munzir)

“Tentang mani, wadi dan mazi. Adapun mengenai mani maka diwajibkan mandi kerananya. Sedangkan mengenai mazi dan wadi maka cukup dengan membersihkan secara sempurna”. (H/R Al-Baihaqi dan Al-Athram)

“Mengenai wadi dan mazi, Rasulullah bersabda: Basuhlah kemaluanmu atau tempat kemaluanmu dan berwuduklah seperti pada saat hendak melaksanakan solat”. (Riwayat Baihaqi)

Oleh yang demikian maka keluar wadi atau mazi dihukum najis dan membatalkan wuduk. Wajib dibasuh zakar atau faraj dan pakaian yang terkena wadi atau mazi tetapi tidak diwajibkan mandi junub (mandi hadas besar) jika terkeluar wadi dan mazi sebagaimana penjelasan dari hadis-hadis yang lalu dan sabda Rasulullah s.a.w:

“Dari Ali berkata: Aku adalah seorang lelaki yang sering keluar mazi lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam kemudian ia bersabda: Dalam mazi itu berwuduk dan dalam mani itu wajib mandi. (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi dan disahihkan oleh Tirmizi)

“Dan dari Ahmad. Lalu baginda bersabda: Kalau engkau mengeluarkan mani maka mandilah kerana telah berjunub dan apabila engkau tidak mengeluarkan mani maka janganlah mandi”. (Riwayat Ahmad)

Berkata Ibnu Ruslan: Kaum Muslimin telah ijmak atas wajibnya mandi junub (mandi hadas) bagi lelaki dan perempuan disebabkan keluar air mani atau mengeluarkan air mani. (Nailul Autar.1/191.)


2. Persetubuhan

Menurut Imam An-Nawawi bahawa: Telah disepakati atas wajibnya mandi junub (bagi suami dan isteri) apabila hasyafah (kepala zakar lelaki) telah masuk ke dalam faraj walaupun tidak mengeluarkan air mani. Inilah pendapat dari ijmak. Keterangan ini dapat difahami dari hadis-hadis sahih yang berikut:

“Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam baginda bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk antara empat anggota perempuan kemudian ia bersungguh-sungguh maka ia wajib mandi (junub)”. (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

“Apabila salah seorang kamu duduk antara empat anggota perempuan (bersetubuh) kemudian ia bersungguh-sungguh maka wajib baginya mandi (junub) meskipun tidak mengeluarkan air mani”. (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Dari Abdullah bin Amr bin Ash: 

“Apabila dua kemaluan (zakar dan faraj) itu telah masuk maka telah diwajibkan mandi (mandi junub)”. (Riwayat Ibnu Syaibah)

Para ulama telah sepakat sebagaimana yang telah disyariatkan bahawa seandainya seorang lelaki meletakkan kemaluannya di atas kemaluan perempuan, padahal ia tidak memasukkannya maka tidak seorang pun antara keduanya diwajibkan mandi. (Nailul Autar. 1/190)

“Dari Aisyah ia berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Apabila salah seorang antara kamu duduk di antara empat anggota perempuan kemudian benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) bertemu benda yang dikhatan (kemaluan perempuan), maka telah diwajibkan mandi (junub)”. (Riwayat Ahmad dan Muslim)

“Apabila benda yang dikhatan (kemaluan lelaki) telah masuk ke dalam benda yang di khatan (kemaluan perempuan) maka telah diwajibkan mandi”. (Riwayat Tirmizi dan beliau menilainya sahih)

“Dari Ubai bin Ka’ab ia berkata: Sesungguhnya anak-anak muda itu pernah berkata: Air (mandi junub) itu kerana air (kerana keluar air mani), adalah keringanan (tidak wajib mandi) dari Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam diberikan pada permulaan Islam, kemudian ia memerintahkan kami agar mandi (junub) sesudah itu”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

“Pada lafaz Tirmizi: Mandi hanya kerana keluar air mani, itu hanyalah suatu keringanan pada permulaan Islam kemudian dilarangnya (dilarang dari mengamalkan amalan yang lama dan diperintahkan agar mandi junub)”. (Riwayat Tirmizi dan dinilai sahih olehnya)

Dari Aisyah bahawa ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam tentang seseorang yang menyetubuhi isterinya kemudian ia malas (untuk meneruskannya sebelum keluar mani) sedangkan Aisyah duduk di situ. Lalu Rasulullah sallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Sesungguhnya aku pernah melakukan seperti demikian dengan (Aisyah) ini lalu kami mandi (walaupun tidak keluar air mani)”. (Riwayat Muslim)

“Dari Rafi’ bin Khadej ia berkata: Aku pernah dipanggil oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam padahal aku sedang di atas perut isteriku. Lalu aku bangun dan aku belum mengeluarkan air mani kemudian aku mandi lalu keluar kemudian aku mengkhabarkan kepada baginda. Lalu baginda bersabda: Kamu tidak wajib mandi kerana mandi itu lantaran keluarnya air mani. Rafi’ berkata: Kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sesudah itu memerintahkan agar kami mandi”. (Riwayat Ahmad)

Seorang suami yang menyetubuhi beberapa orang isterinya pada satu malam maka hanya diwajibkan sekali mandi sahaja. Sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w:

“Dari Anas radiallahu anhu bahawa Nabi s.a.w pernah menggauli (menyetubuhi) isteri-isterinya dengan sekali mandi”. (Riwayat al-Jamaah kecuali Bukhari)

“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah mengelilingi isteri-isterinya pada satu malam dengan sekali mandi”. (Riwayat Ahmad dan Nasaii)

“Dari Abi Rafi’ maula Rasulullah s.a.w bahawa Rasulullah s.a.w pernah menggiliri isteri-isterinya dalam satu malam lalu ia mandi untuk setiap seorang dari mereka lalu aku bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kalau engkau mandi sekali sahaja? Lalu ia menjawab: Begini adalah lebih suci dan lebih bersih”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Berkata Syariah: Hadith ini menunjukkan, tidak wajib mandi bagi suami yang bermaksud mengulangi jimaknya (ingin mengulangi persetubuhannya).. Begitu juga isteri yang ingin diulangi (disetubuhi lagi) oleh suaminya maka isteri tidak diwajibkan mandi terlebih dahulu. (Nailul Autar. 1/199)


3. Setelah Suci Dari Haid Atau Nifas

Para wanita yang sudah bersih (kering) dari haid dan nifas maka diwajibkan mandi hadas (mandi junub) sebagaimana keterangan dari hadith-hadith sahih yang berikut:

Dari Aisyah bahawa Fatimah binti Abi Jahsy sedang istihadhah lalu aku bertanya kepada Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam. Kemudian baginda menjawab: Itu hanya sebahagian dari peluh, bukan haid. Maka apabila engkau sedang haid, tinggalkanlah solat dan kalau telah selesai maka mandilah dan bersolatlah”. (Riwayat Bukhari)


Sifat Mandi Junub/Hadas Besar Rasulullah s.a.w 

Adapun hadith-hadith tentang wajibnya mandi junub (mandi hadas) antaranya ialah:

“Dari Maimunah radiallahu ‘anha ia berkata: Aku pernah menuangkan air untuk Nabi s.a.w untuk mandi junub. Maka baginda memulakan dengan mencuci kedua tangannya dua kali atau tiga kali, kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci farajnya (kemaluannya) dan bahagian yang kena kotoran, setelah itu ia mengusapkan tangannya yang kiri ke tanah dua kali atau tiga kali lalu ia mencucinya. Kemudian baginda berkumur-kumur sambil menghisap (menyedut) air ke hidung lalu menghembuskannya kemudian ia mencuci mukanya dan kedua tangannya lalu ia mencuci kepalanya tiga kali, setelah itu barulah baginda menuangkan air ke seluruhan tubuhnya. Setelah selesai baginda pindah dari tempatnya lalu baginda mencuci kedua kakinya”. (Riwayat Bukhari, Kitabul Ghusul. Muslim, 1/175. Abu Daud. No 245. Turmizi, Nasaii, Ibnu Majah dan Ahmad)

Berkata Syariah: “Kemudian ia membasuh kedua kakinya”, ini menunjukkan bahawa wuduk yang dilakukan oleh Nabi s.a.w semasa memulakan mandi junub tanpa membasuh kedua kakinya.

Berkata Imam Malik: Apabila tempat mandi junub itu tidak bersih maka mengakhirkan membasuh kedua kaki itu adalah sunnah. Tetapi apabila tempat itu bersih maka mencuci dua kaki itu hendaklah didahulukan.

Berkata Imam an-Nawawi: Yang lebih benar dan lebih masyhur serta terpilih dari pendapat tersebut ialah menyempurnakan wuduknya.

Jumhur ulama berpendapat: Sunnah mengakhirkan membasuh kedua kaki ketika berwuduk dalam mandi junub iaitu membasuh setelah selesai mandi junub.

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha bahawa Nabi s.a.w apabila mandi junub baginda memulakan mencuci kedua tangannya kemudian ia menuangkan air dengan tangan kanannya ke tangan kirinya lalu ia mencuci kemaluannya. Kemudian baginda berwuduk sebagaimana waduknya untuk bersolat. Lalu baginda memasukkan jari-jari tangannya ke dalam air, lantas ia sela-sela pangkal-pangkal rambutnya dengan jari-jarinya itu, setelah ia merasakan telah basah rambutnya, ia tuangkan air ke atas kepalanya tiga kali cedukan dengan kedua tangannya kemudian ia alirkan air keseluruh tubuhnya”. (Riwayat Bukhari. 1/68. Muslim. 1/174. Abu Daud. 242. Ibn Majah 574)

“Dari Jabir radiallahu anhu bahawa Rasulullah s.a.w mengambil air tiga kali cedukan dan baginda tuangkan ke atas kepalanya, kemudian baginda menuangkan air ke seluruh tubuhnya”. (Riwayat Bukhari, 1/69. Kitab al-Ghusul)

“Dari Aisyah radiallahu ‘anha ia berkata: Adalah Rasulullah s.a.w apabila mandi junub, baginda meminta air dengan satu bejana besar lalu ia ambil air itu dengan tangannya, kemudian memulai pada bahagian kepala sebelah kanan, kemudian yang kiri, kemudian ia mengambil air dengan kedua telapak tangannya lalu ia tuangkan di atas kepalanya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Diriwayat yang lain: Kemudian baginda menyela-nyela rambutnya dengan kedua tangannya sehingga apabila ia merasa telah basah seluruh kulit kepalanya, ia tuangkan air di atasnya tiga kali”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Dan dari Jubair bin Muth’am ia berkata: Kami pernah berbincang-bincang tentang mandi junub di hadapan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam lalu baginda bersabda: Adapun aku, cukup mengambil air sepenuh dua tapak tanganku lalu aku tuangkan di atas kepalaku, kemudian aku menyiram bakinya atas seluruh tubuhku”. (Riwayat Ahmad)

“Dari Jubair radiallahu ‘anhu berkata: Adapun aku, menuangkan air ke atas kepalaku tiga kali (beliau memberi isyarat dengan kedua tangannya). (Riwayat Bukhari, 1/69)


Kemudian aku menyiram ke atas seluruh tubuhku”. (Riwayat Ahmad.)


Dari semua hadis-hadis tentang mandi junub yang telah lalu, dapat difahami dan diringkaskan bahawa sifat mandi junub Nabi s.a.w ialah:

1. Didahulukan dengan mencuci kedua telapak tangan hingga ke pergelangan tangan. Ia dilakukan tiga kali.

2. Mencuci kemaluan dengan tangan kiri.

3. Setelah mencuci kemaluannya, Nabi s.a.w menggosok tangannya ke tanah beberapa kali iaitu dua atau tiga kali.

4. Berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ada kalanya mentakhirkan dari mencuci kakinya.

5. Memasukkan jari-jemari ke dalam air kemudian menyela-nyela rambut dengan kedua-dua jari-jemari tangan sehingga rata.

6. Menuangkan air ke atas kepala tiga kali, sama ada dengan menceduk dengan kedua tangan atau dengan gayung.

7. Menjirus, meratakan dan membasuh ke seluruh tubuh badan

8. Selepas mandi tidak diwajibkan berwuduk semula jika wuduk sebelum mandi tidak batal tetapi jika sekiranya batal maka wajib memperbaharui wuduknya semula.

“Dari Aisyah radiallahu anha: Adalah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam tidak berwuduk setelah selesai mandi junub”. ( Riwayat  Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud. 1/171. TIrmizi, 1/72)



والله أعلمُ بالـصـواب

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Makluman dari (WADi)


1. Selamat datang ke Laman WADi

2. Laman WADi adalah laman berbentuk ilmu pelbagai namun lebih menjurus kepada keagamaan.

3. Metod penulisan berdasarkan pelbagai sumber.Sumber utama adalah Al-Quran, Al-Hadith, Athar, dan Ijmak ulama' .

4. Pelawat bebas untuk follow atau tidak blog ini.

5. Pelawat dibenarkan untuk menjadikan WADi sebagai bloglist anda jika bermanfaat.

6. Anda dibenarkan untuk mengambil mana-mana artikel dan penulisan WADi dengan memberi kredit kepada WADi. Jika itu membuatkan anda berasa keberatan (memberi kredit kepada WADi, maka anda tidak perlu berbuat demikian). Asalkan ilmu itu sampai kepada semua. Terpulang kredibiliti anda sebagai penulis.

7. Tidak ada copyright di WADi, apa yang ditulis disini adalah untuk disampaikan. Ilmu itu milik Allah.

8. Penulis merupakan insan biasa yang banyak kesilapannya termasuk ketika menulis. Jika anda terjumpa sebarang kekeliruan, kesilapan berkaitan permasalahan hukum, dalil, hadith, atsar dan sebagainya , sila maklumkan WADi melalui email. Teguran secara baik amat kami hargai.

9. Hubungi saya melalui email : addien90@yahoo.com

10. Selamat membaca, menimba ilmu dan menyebarkan ilmu.

Klik Klik